Categories
AGENDA NASIONAL

Pengusaha bas tawar khidmat hantar orang ramai ke Selvax DUN Sungai Kandis

SHAH ALAM, 3 OGOS: Seorang pengusaha menawarkan bas milik syarikatnya bagi membawa orang ramai menerima pelalian menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hari ini.

S Ganeson, 57, berkata bantuan itu sebagai tanggungjawab sosial korporat syarikatnya yang mempunyai tiga bas namun tidak dapat beroperasi kini susulan penutupan sekolah serta institut pengajian tinggi swasta ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Daripada bas itu tersadai sahaja, baik saya gunakan satu daripadanya untuk membawa penerima vaksin pada hari ini.

“Difahamkan ramai menghadapi masalah tiada pengangkutan terutama golongan kurang berkemampuan, jadi saya bantu mengikut kemampuan ada bagi meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui.

Ganeson menjelaskan dalam memberikan khidmat itu beliau tidak lupa mengamalkan tatacara operasi piawai antaranya melaksanakan penjarakan fizikal selain menyediakan cecair pembasmi kuman.

“Sebab itu kami buat beberapa perjalanan walaupun bas ini mempunyai kapasiti 44 orang, kena jaga SOP untuk keselamatan semua,” katanya.

Seramai 29 penghuni Rumah Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah antara penerima manfaat daripada perkhidmatan disediakan Ganeson.

Mereka dibawa dari premis di Jalan Kebun ke pusat pemberian vaksin (PPV) Selvax Komuniti DUN Sungai Kandis di Hotel De Palma di sini.

Categories
AGENSI SELANGOR

Wujud inisiatif khas bantu pengusaha bas sekolah

SHAH ALAM, 26 NOV: Kerajaan persekutuan diminta mewujudkan inisiatif khas bagi membantu pengusaha bas sekolah yang hilang pendapatan susulan penularan Covid-19.

Wakil rakyat Sentosa berkata kebanyakan golongan itu bergantung sepenuhnya kepada sumber berkenaan dan terpaksa membayar ansuran bulanan kenderaan kepada syarikat kredit.

“Ada dalam kalangan mereka yang juga ibu tunggal meraih pendapatan dengan cara itu dan menanggung beban untuk membayar ansuran bulanan kenderaan.

“Sehubungan itu, kerajaan melalui Kementerian Kewangan perlu memikirkan cara atau mengarahkan syarikat kredit memberikan moratorium kepada peminjam,” kata Gunaraj George dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, beberapa siri perjumpaan bersama pengusaha bas sebelum ini berharap kerajaan menyediakan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengusaha bas rayu kerajaan lanjut moratorium

SEREMBAN, 16 OKT: Beberapa pengusaha bas hari ini merayu kerajaan agar melanjutkan tempoh moratorium pinjaman daripada syarikat kredit memandangkan mereka kini berdepan detik sukar ekoran pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Sabah.

Mewakili kumpulan itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Catar Malaysia Mohd Rofik Mohd Yusoff berkata hampir 90 peratus pengusaha bas yang membuat pinjaman daripada syarikat kredit terjejas kerana permintaan terhadap perkhidmatan bas berkurangan, menyebabkan pendapatan mereka semakin merosot.

“Ketika ini, kami menghadapi tekanan yang hebat daripada syarikat kredit yang menuntut pembayaran setelah tamatnya tempoh moratorium pinjaman pada Ogos lepas sedangkan kami masih dibelenggu masalah kewangan.

“Keadaan pandemik Covid-19 ini menjejaskan periuk nasi kami sehingga kami tidak mampu membayar semula pinjaman… malah ada di antara kami basnya ditarik, hampir muflis serta ada yang menunggu tempoh perbicaraan mahkamah kerana gagal membayar pinjaman,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Johor R Thiagarajan, Presiden Gabungan Bas Persiaran Zon Utara Ahmad Ruslan serta Setiausaha Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia N Gunaratnam.

“Dalam keadaan yang mendesak ini, saya yakin industri bas akan lumpuh sekiranya luahan kami ini tidak didengari kerajaan. Kita juga memohon supaya kerajaan menyediakan tambahan dana dalam pelan geran khas bagi industri pengangkutan bas demi kelangsungan kami,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengusaha bas dakwa rugi, tidak dapat beroperasi

SHAH ALAM, 8 JUN: Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia mendakwa tidak dapat memulakan operasi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana menanggung kerugian besar.

Presidennya Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata pengusaha bas tiada motivasi kerana tatacara operasi piawai (SOP) hanya membenarkan separuh penumpang dibawa daripada kapasiti sebenar pengangkutan awam, lapor Berita Harian.

“Sebanyak 120 syarikat bas menanggung kerugian sejak PKP dikuat kuasa bermula 18 Mac lalu dan SOP baharu ini tidak dapat menampung kos operasi yang terpaksa ditanggung kami.

“Syarikat tidak boleh menaikkan tambang sewenang-wenangnya kerana ia dikawal kerajaan. Jadi, kami berharap perbincangan secara bersemuka dengan kerajaan dapat dilakukan segera bagi membincangkan masalah ini,” katanya.

Hari ini, menteri kanan (kluster keselamatan) berkata kerajaan tidak membenarkan bas beroperasi dengan kapasiti penuh kerana bertentangan dengan SOP dan penjarakan sosial ditetapkan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah penumpang yang menggunakan pengangkutan awam seperti bas, Transit Aliran Ringan (LRT) serta Transit Aliran Massa (MRT) perlu dikurangkan separuh daripada kapasiti sebenar bagi mengelak sentuhan dan kesesakan.