Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengusaha premis sembelihan halal wajar diiktiraf, dorong lebih ramai miliki sijil

SHAH ALAM, 4 MAC: Pengusaha pusat sembelihan yang memiliki sijil halal wajar diberi pengiktirafan sebagai dorongan agar terus melaksanakan operasi mengikut piawaian dan patuh syariah.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata penghargaan itu juga bagi menggalakkan lebih ramai pengusaha premis di negeri ini memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

“Pada masa sama ia juga mampu memberi kesedaran kepada masyarakat dan pengguna berhubung kepentingan memilih dan membeli produk sembelihan yang dijamin halal, bersih, berkualiti serta selamat.

“Justeru, kita berharap pengusaha yang sudah ada perakuan halal ini konsisten mematuhi syarat dan peraturan dikuatkuasakan,” katanya pada Majlis Anugerah Premis Sembelihan Halal Terbaik Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

EXCO Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bercakap kepada media selepas majlis Anugerah Premis Sembelihan Halal Terbaik Negeri Selangor sempena Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 4 Mac 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, beliau berkata Selangor menjadi negeri pertama menganjurkan penganugerahan tersebut dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai aktiviti dari semasa ke semasa bagi menyokong pembangunan industri halal,” katanya.

Terdahulu, syarikat Ayamas Food Corporation Sdn Bhd dinobatkan selaku pemenang kategori besar dan sederhana manakala Rumah Sembelihan Shah Alam diangkat juara kategori kecil sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.

Sebanyak tujuh premis sembelihan menyertai program julung kali itu dengan proses penilaian berlangsung sepanjang bulan lalu.

Panel penilai terdiri Bahagian Pengurusan Halal Jais, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Bahagian Regulatori, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan wakil jawatankuasa Industri Halal Selangor.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Pengusaha premis diberi masa pindah lokasi sesuai, dapat sijil halal

SHAH ALAM, 4 MAC: Kerajaan Negeri akan memberi ruang dan menetapkan tempoh masa kepada pengusaha premis sembelihan yang tidak memiliki sijil halal untuk memindahkan operasi ke kawasan sesuai.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pendekatan tersebut diambil supaya mereka tidak dikenakan tindakan penguatkuasaan dan pemindahan ke lokasi disasarkan membolehkan proses mendapatkan sijil halal dilakukan.

“Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesan kebanyakan pemilik premis mengusahakannya di atas tanah pertanian. Kita akan bincang dengan jabatan itu untuk menetapkan tempoh masa kepada mereka mencari kawasan industri.

“Jadi dalam tempoh diberikan, mereka boleh mencari tempat lebih baik berbanding sedia ada. Kita percaya ini semua demi kepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Anugerah Premis Sembelihan Halal Terbaik Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jais Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.

Menurut Mohd Zawawi, setakat Januari lalu hanya 14 daripada 343 premis sembelihan di Selangor memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

“Pemindahan pusat berkenaan ke premis industri bagi memudahkan operasi dan tidak menimbulkan isu pencemaran.

“Mungkin selepas ini sisa sembelihan seperti darah dan sebagainya dapat diurus dengan lebih baik kerana matlamat kita adalah untuk memelihara alam sekitar daripada tercemar,” katanya.