Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program khas bantu peniaga kecil terjejas SOP Thaipusam

SHAH ALAM, 17 JAN: Satu program khas diperkenalkan bagi membantu peniaga kecil yang terkesan akibat perlaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) perayaan Thaipusam.

Pegawai khas perhubungan masyarakat Dato’ Menteri Besar berkata beliau akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini bagi mendapatkan tempat perniagaan sementara buat peniaga terbabit.

Menurut Dr G Gunaraj, kebanyakan usahawan berkenaan sudah mengeluarkan modal termasuk sebahagian daripadanya membuat pinjaman bagi persiapan membeli barang niaga.

“Justeru, saya melalui pejabat Hal Ehwal Masyarakat kepada Dato’ Menteri Besar mengambil satu tanggungjawab memperkenalkan program membantu peniaga kecil yang terkesan ini.

“Saya akan bekerjasama dengan PBT di Selangor bagi mendapatkan tempat perniagaan sementara untuk suatu tempoh ditetapkan kepada mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Gunaraj berkata ahli majlis dan Ketua Komuniti India Selangor turut bersama membantu bagi menggerakkan program itu terutamanya di Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor.

“Inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu peniaga kecil memasarkan produk mereka yang telah tersedia untuk jualan sempena perayaan Thaipusam,” kata Ahli Dewan Negeri Sentosa.

Pada 12 Januari lalu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata kerajaan membenarkan hanya gerai jualan kekal di bawah pengurusan kuil beroperasi sepanjang perayaan Thaipusam manakala gerai jualan sementara dalam bentuk promosi atau jualan di dalam atau luar kawasan kuil tidak dibenarkan dalam usaha membendung wabak Covid-19.

Katanya, upacara ‘paal koodam’ atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’ bagi perayaan kali ini dengan mengikut SOP.

Upacara ‘paal koodam’ dibenarkan bermula 14 hingga 19 Januari dengan penetapan jumlah kehadiran berbeza mengikut kuil.

Manakala upacara sembahyang secara bersesi iaitu 12 sesi dari 16 hingga 17 Januari serta 19 Januari bermula 5 pagi hingga 5 petang, manakala 18 sesi bagi 18 Januari bermula 5 pagi hingga 11 malam dengan jumlah kehadiran mengikut kuil masing-masing.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor teliti bantu peniaga kecil, petani terjejas banjir

SEPANG, 28 DIS: Kerajaan Negeri sedang meneliti bantuan sewajarnya kepada peniaga kecil dan petani yang terjejas dengan bencana banjir di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika ini pihaknya mahu memfokuskan kepada pembersihan pascabanjir terlebih dahulu.

“Kita faham petani, usahawan perusahaan kecil dan sederhana turut terkesan dengan bencana ini tetapi kita akan melihat kepada kemampuan dan keupayaan untuk membantu mereka.

“Buat masa ini kita akan tumpu kepada pembersihan, kita akan umum dari semasa ke semasa untuk bantuan lain,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan pascabanjir di Sepang hari ini.

Dalam lawatan itu, Amirudin turut bergotong-royong membersihkan beberapa kawasan kediaman di Kampung Cemperai Dengkil selain meninjau kerja baik pulih jambatan menghubungkan Dengkil ke Banting yang runtuh akibat banjir.

Menurut Amirudin jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh Sepang juga semakin berkurang dan hanya beberapa sahaja masih aktif.

“Untuk di sini (Sepang), majoriti mangsa tidak berpindah di PPS, lebih 9,000 keluarga hanya duduk di rumah masing-masing meskipun kejadian banjir menimpa,” katanya.

Pada 21 Disember, Kerajaan Negeri mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit susulan insiden banjir di beberapa daerah minggu lalu.

Selain pemulihan infrastruktur, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban.

Sumbangan RM1,000 turut diagihkan kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman dan barangan yang rosak.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais seru orang ramai sokong peniaga kecil ketika Ramadan

SHAH ALAM, 6 APRIL: Orang ramai diseru menyokong perniagaan kecil dalam komuniti pada bulan Ramadan untuk membantu sektor itu yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata ada segelintir rakyat berdepan masalah perniagaan yang merosot dan lebih buruk lagi terpaksa menutup operasi mereka.

“Nak keluar makan bersama keluarga di bulan Ramadan? Cuba cari restoran yang diusahakan oleh warga komuniti kita.

“Kalau tahu ada kawan-kawan atau jiran yang menjual juadah berbuka, beli daripada mereka setidak-tidaknya seminggu sekali,” tulisnya menerusi Facebook.

Mais juga berkongsi amalan mulia lain yang boleh diamalkan pada bulan Ramadan iaitu membayar zakat fitrah dan bersedekah.

“Masak lebih sedikit dan sedekahkan kepada jiran di kawasan anda atau membeli juadah berbuka di bazar Ramadan untuk jiran anda,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Manfaat pendigitalan, bantu usahawan kecil tambah pendapatan

SHAH ALAM, 26 JAN: Kerajaan Selangor tekad membantu peniaga kecil dan mikro negeri ini memanfaatkan pendigitalan bagi meningkatkan pendapatan.

EXCO industri kecil dan sederhana berkata usaha terus dipergiat bagi memastikan golongan itu mampu bertahan dalam situasi mencabar pascapandemik Covid-19.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memerlukan peniaga untuk mendigitalisasi perniagaan mereka supaya aliran tunai berterusan,” kata Dato’ Teng Chang Khim ketika pelancaran kempen Selangor e-Bazar Tahun Baharu Cina 2021 hari ini.

Beliau menambah kempen e-bazar raya dan 11.11 Jualan Mega tahun lalu yang mencatat jualan jutaan ringgit membuktikan agenda ekonomi digital membantu ramai peniaga.

Menurutnya, kedua-dua inisiatif terbabit menghasilkan kesan riak (ripple effect) sebanyak RM1.39 bilion melalui jualan terus sebanyak RM43.76 juta.

Perolehan itu berdasarkan pemberian RM3 juta baucar oleh Kerajaan Negeri kepada dua laman e-dagang popular iaitu Shopee dan Lazada.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua juta peniaga kecil diminta berdaftar untuk terima bantuan kerajaan

PUTRAJAYA, 12 DIS: Terdapat hampir dua juta perniagaan kecil dan informal yang masih lagi tidak berdaftar di seluruh negara, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Bagi membolehkan peniaga-peniaga ini menikmati pelbagai bantuan di sediakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), beliau meminta untuk peniaga-peniaga kecil dan informal tersebut untuk mendaftarkan perniagaan mereka itu dengan pihak berwajib.

“Oleh kerana mereka tidak berdaftar, Medac tidak dapat menyalurkan bantuan kepada peniaga-peniaga ini.

“Kami prihatin dengan keadaan mereka (peniaga) dan ingin menolong mereka. Namun, mereka perlulah mendaftarkan perniagaan mereka agar apa sahaja bantuan yang ada, dapat kita diberikan melalui saluran yang betul,” katanya dalam satu kenyataan sempena majlis di Lundu, Sarawak hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 28 penduduk dan 55 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah Lundu, Sarawak menerima bantuan kewangan bernilai hampir RM200,000 di bawah geran Projek Luar Bandar Kecil (MRP) kerajaan negeri.

Pemberian MRP bernilai RM187,200, khusus untuk pendidikan dan bantuan perubatan kecemasan.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata dalam memastikan kelangsungan perniagaan di era Covid-19, para usahawan diminta untuk membuat persiapan yang sewajarnya, dalam migrasi operasi perniagaan mereka dari tradisional ke digital.

“Suka atau tidak, digitalisasi adalah norma baru. Disebabkan dari kesan pandemik ini, ramai yang memilih untuk membeli barang secara dalam talian. Mereka yang enggan berubah, seiring dengan waktu dan zaman, mungkin akan menghadapi masalah untuk mempertahankan perniagaan mereka.

“Namun, bagi mereka yang berjaya berhijrah ke operasi secara dalam talian, saya yakin mereka kini sedang menikmati hasilnya,” katanya.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan katanya, ada diantara peniaga-peniaga ini yang menikmati perningkatan penjualan hingga 500 peratus, setelah mereka berhijrah ke perniagaan secara dalam talian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA

Peniaga kecil, persatuan teksi lega tiada darurat

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini memberi kelegaan kepada golongan yang bergantung hidup memperoleh pendapatan harian seperti peniaga kecil dan pemandu teksi.

Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) Datuk Mohamad Abdullah berkata keputusan itu membolehkan kira-kira 15,000 penjaja dan peniaga kecil di bawah persatuan meneruskan perniagaan mereka yang kini masih dalam fasa pemulihan.

“Cuba bayangkan dalam keadaan sekarang pun susah nak berniaga sebab pelanggan kurang disebabkan oleh wabak Covid-19, apatah lagi jika darurat dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Titah Al-Sultan Abdullah itu dizahirkan setelah memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berbincang dengan Raja-Raja Melayu selain menilai situasi semasa yang sedang dihadapi negara.

Mohamad yang memuji kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong berkata tindakan Seri Paduka telah ‘menyelamatkan’ banyak pihak yang masih terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Katanya, ramai penganggur kini menjadikan perniagaan kecil-kecilan sebagai ‘talian hayat’ terakhir untuk mereka meneruskan kelangsungan kehidupan bagi menyara keluarga dan membayar segala komitmen bulanan.

Sehubungan itu, beliau berkata Al-Sultan Abdullah dilihat telah membuat keputusan tepat dengan mengambil kira kegelisahan dan masalah dihadapi rakyat ketika ini, diputuskan secara bijaksana, tidak mengikut emosi dan tanpa mengikut kehendak ahli politik.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kesepakatan Pemandu Teksi, Kereta Sewa, Limo Premier Executive Jiwa Malaysia (Perjiwa) Zailani Isaisuludin berkata titah Seri Paduka itu juga amat dinanti-nanti mereka yang berada dalam sektor pengangkutan awam memandangkan golongan ini juga terjejas teruk sejak penularan wabak Covid-19, di negara ini.

Katanya, ramai pemandu teksi mengeluh sumber pendapatan terjejas apabila orang ramai semakin kurang menggunakan perkhidmatan teksi dan sekiranya darurat dilaksanakan ia akan memberi impak lebih buruk kepada industri pengangkutan.

“Seri Paduka selaku ketua negara lebih arif dan prihatin keadaan rakyat, justeru keputusan tidak mengisytihar darurat mengambil kira keperluan dan kebajikan semua lapisan masyarakat yang menerima impaknya,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPKj serah lesen sementara kepada hampir 1,200 penjaja

SHAH ALAM, 30 SEPT: Hampir 1,200 penjaja dan peniaga kecil sekitar Kajang menerima lesen sementara bagi membolehkan mereka beroperasi secara sah, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata lesen pasca Covid-19 yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu boleh digunakan sehingga 31 Disember tahun depan namun perlu diperbaharui mengikut tempoh ditetapkan.

“Pemberian lesen itu antara inisiatif Kerajaan Negeri membantu golongan berpendapatan rendah (B40) menjana pendapatan susulan pandemik wabak,” katanya selepas menyerahkan permit kepada penjaja di MPKj semalam.

Sementara itu, Sze Han berkata PBT itu juga sudah mengeluarkan hampir 10,000 lesen perniagaan kepada penjaja sekitar kawasan berkenaan.

Kerajaan Selangor memutuskan program pemberian lesen sementara dilanjut sehingga penghujung 2021 selepas melihat kejayaan program itu membantu golongan terkesan.

Bagaimanapun had sah permit bergantung kepada PBT masing-masing mengikut kesesuaian semua faktor.

Categories
AGENDA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Program lesen sementara dilanjut hingga hujung tahun depan

SUBANG JAYA, 11 SEPT: Kerajaan Selangor memutuskan program pemberian lesen sementara kepada penjaja dan peniaga kecil dilanjut sehingga Disember tahun depan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han berkata keputusan tersebut dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selepas melihat program itu membantu golongan tersebut.

“Bagaimanapun had sah permit ini bergantung PBT (pihak berkuasa tempatan) masing-masing, mengikut kesesuaian semua faktor.

“Ada yang perlu perbaharui lesen setiap bulan, ada tiga bulan dan enam bulan. Ia bergantung kepada syarat,” katanya selepas Program Penyerahan Lesen Sementara Pasca Covid-19 hari ini.

Menurut Sze Han pihaknya berpuas hati dengan inisiatif berkenaan kerana memberi impak baik dan efektif kepada penjaja.

Beliau berkata setakat ini tiada laporan diterima berhubung pelanggaran syarat seperti menyewakan permit kepada pihak ketiga.

“Kita ingatkan peniaga supaya ikut ketetapan dibuat. Paling utama jaga keselamatan, kesihatan dan tidak ‘mengalibabakan’ lesen mereka.”

Pada 16 Ogos lalu, Majlis Bandaraya Shah Alam memberikan permit niaga sementara kepada 180 peniaga kecil dan penjaja yang kemudian diikuti semua PBT lain.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPK keluar 500 lesen penjaja sementara hingga hujung tahun

KLANG, 19 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengeluarkan 500 lesen penjaja sementara secara berperingkat bagi membantu peniaga kecil tidak berlesen meneruskan operasi mereka.

Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata lesen berkenaan sah sehingga 31 Disember ini di 25 lokasi ditetapkan.

“Untuk permulaan, hari ini kita beri kepada 35 peniaga tidak berlesen dan dijangka dalam sebulan ini semua penerima mendapat lesen sementara masing-masing.

“Dengan adanya lesen ini, penerima dibenarkan berniaga termasuk pekarangan petak rumah tanpa perlu risau tindakan penguatkuasaan majlis,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Penjaja Sementara Pasca Covid-19 Peringkat Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Ahmad Fadzli mengingatkan penerima lesen tidak melanggar syarat selain menyewakan permit sah mereka kepada orang lain.

Jika kesalahan itu dikesan, katanya, lesen akan dibatalkan serta-merta selain tindakan tegas dikenakan.

“Pemberian lesen ini akan diteliti mengikut keperluan semasa. Sekiranya penularan Covid-19 ini berterusan, mungkin langkah ini juga akan diteruskan.”

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

PBT diarah keluar lesen sementara bantu penjaja

KLANG, 19 OGOS: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diarah mengeluarkan lesen sementara kepada penjaja atau peniaga kecil yang berniaga di tempat selamat, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata langkah itu dapat membantu golongan berpendapatan rendah (B40) menjana pendapatan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Setiap PBT menggunakan kaedah berbeza mengikut kesesuaian. Tiga syarat utama mendapat lesen sementara ini pertama tak timbul kacau ganggu, kedua faktor kebersihan serta kesihatan dan terakhir aspek keselamatan.

“Setiap lesen mempunyai tempoh ditetapkan dan terpulang kepada PBT sekiranya mahu memberi lesen kekal. Ketika ini kita beri lesen sementara untuk benarkan penjaja tidak berlesen berniaga,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lesen Penjaja Sementara Pasca Covid-19 Peringkat Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Beliau menambah sekiranya pemberian lesen sementara mendatangkan manfaat kepada semua pihak, ia akan diteruskan pada masa akan datang.

“PBT akan mencari lokasi sesuai untuk peniaga dan pastinya lokasi itu berhampiran serta menjadi tumpuan orang ramai. Hasrat kita adalah membantu peniaga,” katanya.

Sze Han turut mengingatkan penerima lesen memanfaat peluang yang diberi dan berniaga mengikut tatacara operasi piawai (SOP) norma baharu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Inisiatif MBSA bela peniaga kecil bukti tohmahan tidak benar

SHAH ALAM, 16 OGOS: Inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan program penyusunan semula peniaga kecil membuktikan tohmahan yang dilempar sebelum ini tidak benar.

EXCO kerajaan tempatan berkata program berkenaan menunjukkan PBT itu membela nasib kumpulan terbabit terutama di Seksyen U20 Bandar Baru Sungai Buloh.

“MBSA sebagai sebuah PBT yang bertanggungjawab kepada keselamatan dan kesejahteraan setempat perlu responsif terhadap semua aduan dan cadangan orang awam supaya tidak terkesan daripada sebarang kacau ganggu yang akan menjejaskan keselamatan orang ramai.

“Syabas dan sekalung penghargaan kepada MBSA kerana telah bertindak selaras aspirasi Kerajaan Negeri dalam membantu para penjaja dan peniaga kecil tempatan secara proaktif dan progresif,” kata Ng Sze Han dalam kenyataan.

Program tersebut yang berlangsung di Dewan Meranti, Sungai Buloh mendapat sambutan baik apabila 114 peniaga yang memenuhi syarat diluluskan permit penjaja sementara secara serta-merta.

Berlangsung selama dua hari, MBSA turut menyediakan taklimat bagi memberi penerangan mengenai perkara melibatkan permohonan permit ubah suai bangunan, kebenaran merancang dan kebersihan serta keselamatan makanan.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata 25 pemilik premis kedai dan pejabat serta 68 pemilik kilang teres di Jalan Perusahaan 2 dan 3 turut hadir bagi mendapatkan khidmat nasihat.

Malah, katanya, 44 orang daripada kumpulan tersebut mengemukakan permohonan permit bangunan secara lengkap dan memperoleh kelulusan serta-merta pada hari yang sama.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MBSA susun semula penjaja, peniaga kecil Bandar Baru Sungai Buloh

SHAH ALAM, 14 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menyusun semula penjaja dan peniaga kecil sekitar Bandar Baru Sungai Buloh selepas operasi besar-besaran 12 Ogos lalu.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu membuka kaunter permit sementara dan permohonan kelulusan berkaitan premis niaga selama dua hari bermula esok di Dewan Meranti di kawasan tersebut.

Dalam notis pemberitahuan kepada peniaga kecil dan pemilik premis yang dikeluarkan Datuk Bandar, MBSA menyediakan taklimat antara 8 pagi hingga 4 petang esok dan 8 pagi hingga tengah hari Ahad.

Taklimat tersebut termasuklah permohonan permit lesen penjaja sementara, permohonan permit ubah suai bangunan, kebenaran merancang dan kebersihan serta keselamatan makanan.

“Tuan-puan adalah dijemput untuk hadir ke program ini. MBSA akan membuka kaunter permohonan permit penjaja sementara, permohonan permit binaan bumbung sengkuap, dinding sesekat dan sebagainya,” notis itu dipetik.

Difahamkan kira-kira 80 peniaga kecil di bandar baharu itu, dalam Seksyen U20, akan mendapat manfaat daripada langkah MBSA membantu usahawan tempatan.

PBT berkenaan menjalankan operasi sita dan roboh susulan serbuan terhadap premis judi haram dan peniaga warga asing, termasuk rokok seludup, di kawasan berkenaan.

Ia juga mengeluarkan 101 notis terhadap premis yang membina struktur tambahan tanpa izin PBT berkenaan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.