Categories
PBT SELANGOR

49 penjaja pasca Covid-19 di Petaling Jaya terima permit sementara

SHAH ALAM, 22 NOV: Seramai 49 penjaja tanpa lesen (PTL) di Petaling Jaya diberi permit sementara hari ini bagi menjalankan aktiviti perniagaan ketika pasca Covid-19.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkata Permit Sementara Bermasa diberi susulan lambakan PTL yang semakin meningkat di daerah itu akibat desakan hidup untuk mencari sumber pendapatan.

“Pandemik memberikan kesan yang buruk terhadap kestabilan ekonomi dan secara tidak langsung memberikan impak yang serius terhadap kadar penggangguran dan jurang pendapatan isi rumah semakin melebar terutamanya golongan B40,” katanya menerusi Facebook.

MBPJ turut menyediakan 51 petak bersaiz 8×8 kaki persegi bagi menyusun dan menempatkan PTL mengikut konsep perkongsian petak mengikut sesi.

Katanya, petak berkenaan dibahagikan kepada tiga sesi iaitu Sesi 1 (6 pagi hingga 10 pagi); Sesi 2 (11 pagi hingga 5 petang) dan Sesi 3 (6 petang hingga 12 tengah malam).

Majlis penyerahan permit dihadiri Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir; Timbalannya Sharipah Marhaini Syed Ali; Pengarah Jabatan Perlesenan Sharinaz Samsudin; Pengarah Penguatkuasaan Mohd Fauzi Maarop dan Ahli Majlis Zon 18 Ahmad Akhir Pawan Chik.