Categories
SELANGOR

Peniaga Pasar Meru tertekan, tekanan air rendah hampir 10 tahun

Oleh: AFIX REDZUAN

KLANG, 28 MEI: Persatuan Pemilik Gerai Kompleks Pasar Meru, di sini, meminta Majlis Perbandaran Klang (MPK) segera menyesaikan masalah tekanan air rendah yang berlarutan hampir 10 tahun.

Penasihat persatuan, Datuk Patrick Lioh berkata, peniaga mengalami masalah bekalan air antara jam 4 pagi hingga 12 tengahari.

“Keadaan ini amat menyukarkan kerana kami membayar sewa air dan kadar itu juga sudah dinaikkan. Kami minta MPK dan Syabas membuat rondaan juga semakan serta membaiki segera jika ada kebocoran,” katanya.

IMG_7603Lioh turut menyerahkan surat aduan kepada Exco Kerajaan Tempatan Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah yang mengadakan lawatan tapak di pasar itu, hari ini.

Katanya, MPK perlu mencari formula bayaran bulanan lebih munasabah kerana terdapat peniaga tidak mendapat bekalan air memuaskan.

“Kami juga ingin meminta kelonggaran bayaran denda 10 peratus yang dikenakan MPK jika lewat membayar sewa bulanan.

“MPK memberi tempoh tujuh hari menjelaskan sewa gerai setiap bulan. Kami berpendapat polisi itu kurang sesuai kerana peniaga mengalami masalah aliran tunai dan mempunyai tanggungan lain.

“Kami mencadangkan tempoh dipanjangkan hingga dua bulan. Selepas itu, kelewatan denda hanya dikenakan lima peratus sahaja dan ia munasabah kerana peniaga memberikan tiga bulan deposit kepada MPK,” katanya.

Sementara itu, Ean Yong dalam reaksinya berkata, denda itu disifatkan munasabah demi memastikan peniaga berdisiplin dalam menjelaskan sewa bulanan.

IMG_7591“Denda bagi bayaran lewat perlu demi memastikan peniaga membayar sewa tepat pada masanya. Kalau tiada penalti (denda), mereka akan sambil lewa membuat bayaran,” katanya.

Pandangan sama turut dipersetujui dan disuarakan Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MPK, Long Shalawati Mohd Sahit pada sesi lawatan itu.

Katanya, peniaga tidak berhadapan masalah atau dikenakan denda jika mengikut peraturan disyaratkan kerana kadar sewa di pasar itu sekitar RM200 hingga RM400 sebulan.

“Kadar sewa pasar ini masih rendah, jadi tidak ada masalah untuk mereka bayar. MPK juga mengambil maklum semua perkara yang dibangkitkan persatuan peniaga dalam pertemuan ini,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

PRK buka ruang peniaga makanan tambah rezeki

Oleh: HAFIZAN TAIB dan NAZLI IBRAHIM

PERMATANG PAUH, 7 MEI: Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh menghadirkan suasana meriah apabila restoran dan kedai makan menjadi antara lokasi tumpuan pada hari pembuangan undi, hari ini.

Berbeza dengan dakwaan berlaku kekecohan di beberapa tempat membabitkan penyokong parti, situasi itu tidak berlaku di lokasi berkenaan mungkin kerana ia tempat menjamu selera dan beramah mesra antara masyarakat.

bendera 11Suasana itu dapat dilihat di beberapa restoran dan kedai makan seperti Kampung Pelet, Tanah Liat, Kubang Semang dan Kampung Pertama apabila ada pengunjung membawa bendera atau berpakaian dengan logo parti berbeza.

“Meriah sebab selain orang kampung, pengundi di luar balik serta orang dari negeri lain juga datang ke sini.

“Memang seronok macam kenduri kerana keadaan ini memberi rezeki yang lebih kepada saya,” kata peniaga, Alias Mohamad, 40.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Peniaga ingkar berdepan kompaun RM500

BANTING, 30 APR: Kompaun maksimum RM500 menanti peniaga ingkar yang membahayakan pengunjung dengan meletakkan kerusi dan meja di kawasan tempat letak kereta.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, tindakan itu bagi memberi kesedaran kepada semua peniaga di wilayah seliaannya supaya tidak sewenang-wenang mengaut keuntungan lebih.

Katanya, kompuan itu diambil di bawah Seksyen 46 (1) (a) Akta Jalan Parit & Bangunan 1974 (Akta 133).

IMG_0526“MDKL tidak akan berkompromi terhadap pemilik premis yang ingkar dan mengambil mudah aspek keselamatan masyarakat setempat dalam mengendali operasi perniagaan mereka.

“Pelanggan juga dinasihat lebih mengutamakan keselamatan dalam memilih persekitaran premis yang selesa dan selamat,” katanya dalam kenyataan media.

Baru-baru ini, MDKL melancarkan operasi bersepadu melibatkan tujuh anggota penguatkuasa dibantu dua polis IPD Kuala Langat.

Hasil operasi, 74 kerusi dan 16 meja yang diletakkan di kawasan parkir MDKL disita.

Categories
SELANGOR

3 kali ulang salah, MPSJ batal lesen peniaga pasar

Oleh: LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 10 FEB: Tindakan pembatalan lesen akan diambil jika peniaga pasar pagi dan malam gagal memenuhi syarat ditetapkan selepas tiga kali mengulangi kesalahan.

Pengarah Pelesenan, Asfarizal Abdul Rashid berkata, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kini giat mengagihkan notis pemberitahuan kepada peniaga sebelum tindakan penguatkuasaan diambil, bermula Mac ini.

“Antara arahan notis membabitkan pemegang lesen perlu mengekalkan kebersihan ketika dan selepas menjalankan perniagaan.

_MG_5830“Kita juga sentiasa memantau sama ada peniaga memanfaatkan lesen yang diterima atau memberikan kepada orang lain untuk berniaga,” katanya dalam satu sidang media di pasar pagi Taman Wawasan, di sini.

Syarat lain termasuk peniaga perlu menggantung lesen supaya mudah dilihat, sediakan tong sampah dan sentiasa hadir di pasar.

Peniaga yang ingkar dan tidak mematuhi arahan akan dikenakan Notis Tawaran Kompaun (NTK) sebelum tindakan pembatalan lesen selepas tiga kali kesalahan di bawah peruntukan Undang-undang Kecil Penjaja (MPSJ) 2007.

“Kita akan masukkan terus pemohon yang berada dalam senarai simpanan untuk menggantikan peniaga yang dibatalkan lesen tanpa notis lanjutan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Peniaga trauma gerai musnah sekelip mata

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 OKT: Peniaga Uptown Seksyen 24, di sini, masih trauma dan terkejut dengan kejadian yang berlaku selain tidak menyangka perniagaan mereka musnah sekelip mata dijilat api, awal pagi tadi.

Ada di antara peniaga yang ditemui Selangor Kini redha dengan kejadian yang berlalu dan sudah memulakan perniagaan di Kompleks Muhibbah itu, sejak lapan tahun lalu.

Namun, dengan bantuan pinjaman kewangan maksimum tanpa faedah Skim Miktokredit Miskin Bandar (MIMBAR) berjumlah RM5,000 seorang tanpa sebarang birokrasi serta sumbangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) RM500 sedikit sebanyak meringankan beban mereka untuk meneruskan perniagaan.

IMG_4095Hasan Nuruddin, 46, berkata, ketika kejadian beliau kebetulan berada di hadapan kompleks perniagaan dan bergegas ke arah belakang Blok B bagi membantu peniaga lain.

“Kira-kira jam 2.30 pagi ada kedai terbakar, saya berada di hadapan terus berlari ke belakang untuk membantu kawan memadam api.

“Tetapi tidak boleh padam guna alat pemadam api. Bila bomba datang api dah besar. Ketika itu tekanan air kurang, maka menyukarkan tugas bomba,” katanya.

Beliau mengakui kejadian kebakaran yang berlaku terlalu pantas membuatkannya panik, sekali gus memusnahkan empat lot kedai miliknya yang menjalankan perniagaan pakaian wanita dan jam.

Bagi Sharizul Saad, 29, pula beliau hanya sempat menyelamatkan separuh barang perniagaan aksesori perak 925 miliknya sejurus kebakaran itu.

Ketika kejadian berlaku, isterinya sudah pulang ke rumah kira-kira jam 2.00 pagi dan beliau hanya dimaklumkan berkenaan kebakaran itu sekitar jam 3.00 pagi.

“Masa kejadian berlaku isteri saya sudah balik rumah. Kira-kira jam 3.00 pagi dapat panggilan dan mulanya menjangkakan terputus bekalan eletrik.

“Isteri saya sampai pada jam 3.30 pagi dan berjaya selamatkan separuh barangan aksesori perak 925.

_MG_8735“Kita tengok dahulu sebab tidak boleh agak berapa banyak jumlah peruntukan yang dapat,” katanya yang menganggarkan kos kerugian berjumlah RM20,000.

Sementara bagi Mohd Azizi Ismail, 37, faktor angin yang kuat dilihat menjadi punca api marak dengan cepat sehingga mengakibatkan Blok B Kompleks Muhibbah itu hangus dijilat api.

Beliau yang menjalankan perniagaan pakaian lega apabila bomba berjaya mengawal kebaran daripada merebak ke Blok A.

Katanya, ketika kejadian semua peniaga bertungkus lumus menyelamatkan barang perniagaan mereka lalu dilonggokkan di tepi jalan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

110 peniaga pasar pagi Seri Muda bakal berpindah ke lokasi baru 2016

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 5 MEI: Seramai 110 para peniaga asal di Pasar Pagi Seri Muda dijangka dapat menjalankan perniagaan mereka dalam keadaan lebih selesa dan teratur apabila Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan lokasi baru yang lengkap dengan pelbagai prasarana dan kemudahan, menjelang 2016.

Pembinaan pasar baru yang dianggarkan menelan kos RM22 juta dijangka dimulakan pada Oktober ini dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata pasar baru enam tingkat itu dibina dengan berkonsepkan ‘hypermarket’ bersebelahan tapak pasar sedia ada.

“Tapaknya terhad cuma dua ekar. Komponennya enam tingkat iaitu tiga tingkat untuk 67 lot pasar basah, 72 lot pasar kering, 28 gerai makanan dan lapan buah kiosk. Terdapat tempat pelupusan sampah, surau, tandas, bilik air, pejabat pengurusan dan agak cantik serta berkonsep seperti ‘hypermarket’.

7a“Kawasan pasar ini sangat padat, jadi kita bina sekali dengan kemudahan 200 petak tempat letak kereta dan 112 tempat letak motorsikal. Peruntukkannya RM22 juta yang akan dipohon daripada Kerajaan Negeri,” katanya pada Majlis Menandatangani Persetujuan Perpindahan Peniaga Pasar Taway di Dewan Kemunting, Seksyen 25, di sini, hari ini.

Menyentuh isu perpindahan 110 peniaga terbabit, Mohd Jaafar berkata, beliau melahirkan rasa lega atas persetujuan yang berjaya dicapai antara MBSA dan golongan itu.

“Hari ini ada 110 peniaga yang tandatangan dan kalau ada yang tertinggal kita minta mereka datang jumpa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie yang akan salurkan kepada MBSA.

“Kita periksa dahulu butiran peniaga seperti lesen perniagaan untuk sahkan bahawa dia memang peniaga di situ dahulu. Kita tidak mahu pihak luar mengambil kesempatan untuk berniaga di situ kerana kemudahan ini untuk peniaga tempatan,” katanya.

1aMenyentuh isu sama, Shuhaimi pula berkata,peniaga yang memberikan lesen dan tapak perniagaan mereka kepada pihak lain akan dikenakan tindakan keras oleh MBSA.

“Saya rakamkan terima kasih atas usaha yang dijalankan MBSA dan Kerajaan Negeri terutama Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Teng Chang Khim dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri yang mahu mendengar rintihan peniaga kerana isu ini sudah lama.

“Saya menyeru peniaga berniaga dengan baik. MBSA akan membuat satu garis panduan untuk mengelakkan peniaga yang tidak sepatutnya berniaga di situ dan tindakan keras boleh diambil mengikut kaedah sedia ada,” katanya.

-NFN-