SHAH ALAM, 30 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan penilaian risiko sebelum memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negara ini dilanjut atau sebaliknya.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata penilaian yang memasuki minggu terakhir mengambil kira kadar kebolehjangkitan di sesuatu kawasan PKPB.
“Beberapa hari sebelum tamat (PKPB), KKM akan nasihatkan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan saya akan umumkan dalam sidang media,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata pengumuman berhubung pelaksanaan itu dijangka diketahui pada Jumaat ini.
“InsyaAllah kita akan umum lebih awal supaya memudahkan perancangan orang ramai,” katanya.
PKPB dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah bermula 14 Oktober lalu, diikuti semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan pada 9 November.
Kelantan kemudian menyusuli dengan pelaksanaannya pada 21 November. PKPB di kesemua negeri yang terlibat akan berakhir 6 Disember ini.