Categories
AGENDA JENAYAH

Polis siasat skim pelaburan palsu, tawar keuntungan dalam tempoh dua hari

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan terhadap dua skim disyaki pelaburan tidak wujud yang dikenali sebagai Al Kahtifah Trust dan Madinah Mining.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata setakat ini sebanyak 38 kertas siasatan dibuka membabitkan skim pelaburan Al Kahtifah Trust dengan kerugian sebanyak RM468,870 dan 28 kertas siasatan bagi skim pelaburan Madinah Mining melibatkan kerugian berjumlah RM343,282.

Menurutnya, siasatan mendapati kedua-dua skim pelaburan ini dikesan aktif sejak hujung tahun lepas dengan menggunakan platform media sosial untuk mencari pelabur.

“Pakej yang ditawarkan serendah RM500 dengan kadar keuntungan 100 peratus dalam tempoh satu hingga dua hari sahaja.

“Bagi meyakinkan pelabur, penganjur pelaburan ini mendakwa skim ditawarkan adalah patuh syariah dan mempunyai kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarudin berkata, siasatan terperinci berhubung skim pelaburan berkenaan masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai diingatkan supaya memberikan perhatian dan membuat semakan lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan serta mendapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti ‘semak mule’ serta senarai amaran BNM, Suruhanjaya Sekuriti (EC) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan.

Semalam, media tempatan melaporkan dua selebriti mendakwa nama mereka digunakan sindiket pelaburan tidak wujud dan sudah membuat lima laporan polis sejak awal tahun ini dengan terbaharu dibuat pada 25 Feb lepas di Balai Polis Kelana Jaya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Serah nombor kad bank, pesara guru rugi RM100,000 ditipu penyamar ejen insurans

ALOR SETAR, 17 JAN: Seorang pesara guru wanita kerugian RM100,000 selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket ‘Macau Scam’ oleh seorang individu yang menyamar sebagai ejen insurans pada 3 Jan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah Supt Elias Omar berkata mangsa yang berusia 60 tahun dan berasal dari Changlun, Kubang Pasu itu menerima panggilan telefon berhubung satu kes kemalangan dan tuntutan insurans yang melibatkan mangsa.

“Mangsa yang menafikan tuntutan insurans berkenaan kemudiannya telah diarahkan untuk membuat laporan ke Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur secara dalam talian. Panggilan itu telah disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat sarjan dari balai polis berkenaan.

“Suspek memberitahu mangsa bahawa dia terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan diminta untuk memberikan 16 digit nombor yang tertera di kad bank serta butiran perbankan dalam talian miliknya untuk tujuan siasatan dan perlu menunggu selama tiga minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Elias berkata mangsa yang berasa curiga telah membuat semakan dan mendapati wang dari akaunnya berkurangan dengan berlaku pindahan wang secara berperingkat yang berjumlah RM100,000 dari akaun miliknya ke akaun milik suspek.

“Suspek telah menakutkan mangsa dan memaklumkan waran tangkap terhadap mangsa telah dikeluarkan dan bagi mengelakkan mangsa ditahan polis, mangsa perlu melaporkan diri kepada suspek menerusi aplikasi WhatsApp setiap dua jam.

“Mangsa yang bimbang kemudiannya telah membuat laporan polis pada 13 Jan lalu di Balai Polis Changlun dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Elias sehubungan itu meminta orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID’ bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis nafi wujud sindiket godam telefon bimbit, pindah wang mangsa ke akaun lain

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Polis Diraja Malaysia menafikan wujudnya modus operandi penipuan bentuk baharu yang dinamakan sebagai “Sim Swap”.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata mesej berkenaan kewujudan modus operandi baharu itu dikenal pasti pihaknya menerusi sebaran informasi melalui aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Menurutnya, mesej itu adalah palsu dan setakat ini tiada laporan polis diterima berkaitan modus operandi berkenaan.

“Menerusi mesej itu, mangsa akan menerima panggilan dan diminta menekan butang satu sebelum telefon digodam serta diambil alih penjenayah bagi memindahkan semua wang mangsa ke akaun lain.

“Apa yang kerap berlaku adalah penghantaran fail APK (Paket Pakej Android) kepada pengguna telefon pintar yang mengandungi aplikasi berbahaya. Apabila pengguna memuat turun aplikasi itu, ianya akan memberi akses kepada penjenayah untuk mendapatkan data mengenai perbankan internet milik mangsa dan kemudian digunakan untuk memindahkan wang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin menasihatkan orang ramai untuk berhenti menyebarkan maklumat itu dan berita tidak benar bagi mengelak kegusaran awam serta boleh menghubungi CCID Scam Response Centre (Pusat Respon Penipuan JSJK) di talian 03-26101559/1599 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi menyalurkan maklumat.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

38 laporan sindiket menyamar kakitangan KKM diterima, babit kerugian RM54,500

SHAH ALAM, 22 JULAI: Polis menerima 38 laporan berkaitan sindiket yang memanipulasi isu penjualan vaksin Covid-19 secara dalam talian untuk memperdaya mangsa melibatkan kerugian RM54,500.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman berkata modus operasi sindiket itu ialah dengan menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut Datuk Mohd Kamarudin Md Din sindiket menghubungi mangsa dan mendakwa akan dikenakan tindakan atas kesalahan menjual vaksin Covid-19 di Facebook.

“Mangsa yang panik dengan dakwaan tersebut kemudiannya akan menuruti semua arahan yang diberikan sehingga akhirnya membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan pihak sindiket,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau juga memaklumkan, JSJK turut menerima empat laporan berhubung aktiviti penipuan penjualan vaksin Covid-19 dengan lapan individu telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kesemua mereka telah pun dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dijalankan.

“Satu daripada kes tersebut telah selesai dan pihak Jabatan Peguam Negara memutuskan tiada pertuduhan dikenakan setelah mendapati tiada bukti serta keterangan untuk menuduh suspek,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Waspada tipu iklan jawatan guna nama Pos Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan panggilan telefon, pesanan teks atau e-mel berunsur penipuan termasuk iklan jawatan kosong palsu yang menggunakan nama Pos Malaysia.

Pos Malaysia, dalam kenyataan hari ini, berkata penipuan tersebut menjadi semakin tersebar dengan tujuan untuk memperdaya orang ramai dan mendapatkan maklumat seperti butiran kad kredit, kata laluan, maklumat akaun atau data peribadi lain.

“Kami menasihati orang ramai agar tidak mendedahkan maklumat tersebut dengan tidak membalas apa-apa permintaan melalui telefon atau perkhidmatan pesanan teks (SMS/WhatsApp), e-mel atau kaedah lain. Paling penting, jangan klik pautan yang dihantar bersama mesej penipuan itu.

“Tidak berkongsi atau memasukkan maklumat sensitif di laman web/portal yang tidak dimiliki Pos Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Pos Malaysia berkata wujud penipuan melalui e-mel dengan menggunakan nama dan logo Pos Malaysia tanpa kebenaran dan dihantar untuk menuntut pembayaran duti atau cukai Kastam untuk pelepasan bungkusan.

Katanya e-mel seperti itu harus diabaikan atau dipadam dengan segera.

Selain itu, ia juga meminta orang ramai berwaspada dengan iklan jawatan kosong palsu yang menawarkan kerjaya di Pos Malaysia serta disaran mengesahkan maklumat dengan sumber yang sah.

Menurutnya kekosongan jawatan hanya diiklankan di laman web pekerjaan yang bereputasi dan sah seperti JobStreet atau di platform media sosial rasmi Pos Malaysia.

“Pos Malaysia sentiasa melindungi pelanggan dan komited dalam memastikan semua maklumat peribadi dan transaksi kekal dan terjamin,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai keselamatan dalam talian, jenis penipuan dan saluran pelaporan dengan melayari https://www.pos.com.my/news-info/online-security-fraud-and-scams.html.

— BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis kenal pasti sindiket pelaburan dalam talian M2DCoin

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Polis mengenal pasti sindiket pelaburan saham mata wang digital atau kripto dalam talian yang didakwa menggunakan platform M2DCoin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata siasatan mendapati platform M2DCoin adalah laman web digital exchanger luar negara yang menggunakan hosting di Arizona, Amerika Syarikat.

Menurutnya, laman itu sudah beroperasi selama sembilan bulan dan tidak mempunyai lesen untuk menjalankan operasi mata wang kripto dari mana-mana negara serta kini ia tidak dapat diakses.

“Siasatan mendapati, pelaburan itu mula beroperasi sekitar pertengahan tahun lepas dan pelabur akan dihubungi melalui aplikasi WhatsApp untuk tawaran pelaburan.

“Pelabur yang berminat akan diberikan kemudahan mengakses platform M2DCoin bagi memudahkan mereka membuat pelaburan serta dijanjikan keuntungan yang tinggi selepas membuat pembayaran melalui orang tengah untuk menguruskan pelaburan mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.

Zainuddin berkata setakat ini pihaknya menerima satu laporan mengenai pelaburan saham mata wang kripto itu dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat atau telah melabur dalam skim sama untuk membuat laporan polis agar siasatan lanjut dapat dijalankan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Waspada gadai barang berharga, elak jadi mangsa tipu

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Polis meminta masyarakat berwaspada jika menggadaikan barangan berharga di pajak gadai bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata ini kerana kemungkinan wujudnya kegiatan pajak gadai tidak berlesen atau penipuan pajak gadai yang mengambil kesempatan ke atas mangsa terdesak untuk mendapatkan wang.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac tahun lepas sedikit sebanyak memberikan impak dari segi ekonomi dan pendapatan golongan tertentu. Demi kelangsungan hidup, sesetengah daripada mereka terpaksa menggadaikan barangan berharga di pajak gadai.

“Sekiranya masyarakat ingin menggadaikan barangan berharga, sila pastikan berurusan dengan syarikat pajak gadai yang dilesenkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya jangan sesekali berurusan melalui medium secara dalam talian kerana kegiatan pajak gadai hendaklah dijalankan secara fizikal di premis perniagaan berdaftar.

Beliau berkata walaupun polis tidak menerima sebarang laporan kes berkenaan, kebarangkalian untuk kes-kes sebegini berlaku adalah tidak mustahil.

Zainuddin berkata masyarakat perlu sentiasa berjaga-jaga dan mengambil tahu prosedur serta undang-undang yang berkaitan bagi mengelak diri daripada menjadi mangsa penipuan.

“Usaha dan peranan polis serta masyarakat adalah amat penting bagi memastikan negara ini terhindar daripada perlakuan jenayah komersial. Antara lain, masyarakat juga diingatkan untuk sentiasa mengamalkan sikap berjimat-cermat dan mengutamakan keperluan,” katanya.

Beliau berkata hidup secara bermewah-mewah bukan lagi suatu pilihan kerana yang lebih penting adalah memastikan kelangsungan hidup itu sendiri.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia X beri amaran waspada WhatsApp palsu berkait bayaran

KUALA LUMPUR, 27 JAN: AirAsia X memberi amaran kepada orang awam mengenai mesej penipuan melalui aplikasi WhatsApp yang melibatkan AirAsia X atau syarikat berkaitannya, meminta penerima untuk membuat bayaran ke dalam akaun yang dikatakan milik salah sebuah syarikat pengurusan kredit.

Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia X ingin menekankan bahawa syarikat dan kakitangannya sama sekali tidak mempunyai penglibatan dengan amalan penipuan ini dan tidak pernah melakukan permintaan sedemikian.

“AirAsia X tidak berkomunikasi dengan para tetamunya melalui mana-mana aplikasi sembang seperti WhatsApp,” katanya.

Menurutnya, AirAsia X dan AirAsia tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang tuntutan berikutan penipuan itu yang tidak melibatkan kakitangan rasmi syarikat.

Bagaimanapun katanya, AirAsia X tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau kumpulan yang menggunakan jenama AirAsia X atau Airasia untuk melakukan penipuan atau kecurian identiti.

Tambahnya, orang ramai boleh berhubung dengan AirAsia melalui saluran komunikasi rasminya di Twitter di www.twitter.com/airasia, Instagram di www.instagram.com/airasia dan Facebook di www.facebook.com/airasia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Guru wanita rugi RM27,550 ditipu lelaki mengaku polis

KUANTAN, 23 JAN: Seorang guru wanita membuat laporan polis kerana mengalami kerugian RM27,550 akibat diperdayakan lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita berumur 57 tahun itu mendakwa dia dihubungi suspek lelaki mengaku sebagai pegawai polis Rabu lepas, yang memberitahu namanya digunakan bagi membuka sebuah akaun bank yang dikaitkan dengan aktiviti penggubahan wang haram.

“Wanita itu mendakwa telah menuruti arahan untuk memberikan maklumat peribadi dan perbankan kepada suspek, kononnya bagi tujuan siasatan kerana bimbang ditangkap jika tidak memberikan kerjasama kepada polis.

“Bagaimanapun selepas wanita itu memeriksa baki akaun banknya pada pagi semalam, dia mendapati ada banyak transaksi pemindahan wang secara atas talian daripada dua akaun bank miliknya ke akaun yang tidak dikenali,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata guru wanita itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, kira-kira 220 kilometer dari sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai untuk tidak berkongsi maklumat peribadi dan perbankan menerusi panggilan telefon, termasuk kepada mereka yang memperkenalkan diri sebagai polis atau agensi kerajaan lain, sebaliknya membuat pemeriksaan terlebih dahulu di balai polis berhampiran.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima syarikat dikompaun RM750,000 daftar prabayar tanpa pengesahan

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Sebanyak 15 kompaun bernilai RM750,000 dikeluarkan kepada lima syarikat telekomunikasi pada 4 Disember lalu atas kesalahan pendaftaran kad SIM prabayar tanpa membuat pengesahan maklumat pengguna.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kompaun itu dikeluarkan atas kesalahan di bawah Seksyen 127 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Dengan pengeluaran kompaun terbaru tersebut, ini bermakna jumlah kompaun yang dikeluarkan sepanjang 2020 adalah sebanyak 70 kompaun bernilai RM3.45 juta.

“Jumlah berkenaan adalah 16 peratus lebih tinggi berbanding 58 kompaun bernilai RM2.9 juta yang dikeluarkan pada tahun 2019 bagi kesalahan yang sama,” menurut kenyataan itu.

SKMM memaklumkan penerima jumlah kompaun tertinggi ialah syarikat Digi Telecommunications Sdn Bhd dengan lima kompaun bernilai RM250,000 diikuti Maxis Broadband Sdn Bhd sebanyak empat kompaun bernilai RM200,000.

Syarikat Umobile Sdn Bhd dikenakan tiga kompaun bernilai RM150,000 manakala Tune Talk Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd masing-masing dikenakan dua kompaun bernilai RM100,000 dan satu kompaun bernilai RM50,000.

SKMM memaklumkan tindakan kompaun itu diambil berdasarkan audit yang dijalankan SKMM di Pahang, Kelantan dan Terengganu sekitar Ogos dan Oktober tahun lepas.

Katanya, tindakan diambil mencerminkan usaha tegas dan berterusan oleh SKMM dalam melindungi kepentingan pengguna daripada kes-kes penipuan (scam) dalam talian yang semakin meningkat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Hampir 1,000 ditahan terlibat ‘Macau Scam’ sehingga Okt

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Sebanyak 993 individu ditahan dalam tempoh 10 bulan tahun ini
selepas terlibat dalam kegiatan ‘Macau Scam’.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II Jonathan Yasin berkata tangkapan pada 1 Januari hingga 31
Oktober itu melibatkan 912 warga tempatan dan 81 rakyat asing.

“Pertuduhan yang dibuat berkaitan kes Macau Scam ini ialah 605 orang,” katanya menjawab
soalan tambahan Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) mengenai jumlah kes penipuan Macau
Scam serta peringkat umur penjenayah yang terlibat pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari
ini.

Beliau berkata pada masa ini, belum ada kajian mengenai umur mereka yang terlibat dalam
kegiatan itu dan pihak Kementerian Dalam Negeri akan membuat penelitian berhubung perkara
berkenaan.

Dalam pada itu, Jonathan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerjasama dengan
pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bank
Negara Malaysia, syarikat telekomunikasi dan institusi perbankan untuk membanteras jenayah
penipuan dalam talian.

Selain itu, katanya sebuah Jawatankuasa Teknikal Jenayah Siber yang terdiri daripada PDRM
dan SKMM telah ditubuhkan pada Mac 2019 bagi tujuan sama.

Beliau berkata di peringkat dalaman PDRM pula, satu Pasukan Petugas Khas ditubuhkan bagi
mengenal pasti dan memantau trend terkini kes jenayah dalam talian serta bekerjasama dengan
agensi seperti SKMM yang membantu dari segi kepakaran dan teknologi.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis: Waspada, lebih 80,000 akaun keldai diguna sindiket tipu dalam talian

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Lebih 80,000 akaun keldai milik individu yang membenarkan sindiket menggunakannya bagi aktiviti penipuan dalam talian dikesan dari 1 Januari 2019 hingga 9 Oktober lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Zainuddin Yaacob berkata akaun keldai merujuk kepada akaun yang dibenarkan atau diberikan oleh pemiliknya kepada sindiket keldai akaun untuk digunakan pihak ketiga tanpa mengetahui tujuan sebenar penggunaan akaun itu.

Menurut beliau, sindiket ini memperdaya mangsa menyebabkan mereka sanggup ‘meminjamkan’ kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan nombor pin dengan bayaran antara RM200 hingga RM2,000 bagi setiap transaksi.

“Modus operandi sindiket ini untuk mendapatkan akaun berkenaan adalah melalui tawaran iklan di media sosial atau ditawarkan melalui rakan dengan jumlah bayaran tertentu.

“Antara alasan yang digunakan adalah untuk tujuan perniagaan dan sebagainya yang sasaran mereka terdiri daripada golongan yang memerlukan seperti penagih dadah, suri rumah dan pelajar,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Jelasnya lagi, dalam kes tertentu ada juga individu yang membuat pinjaman wang daripada along yang kemudiannya diarahkan untuk memberikan kad ATM dan nombor pin sebagai syarat untuk pembayaran semula.

Zainuddin berkata pada tahun lepas, sebanyak 18,130 akaun keldai disita dan dibekukan manakala tahun ini sehingga 9 Oktober lepas, sebanyak 16,429 akaun juga telah diambil tindakan yang sama.

“Seramai 6,409 pemilik akaun itu didakwa pada tahun lepas dan seramai 3,176 orang dituduh setakat 9 Okt tahun ini.

“Mereka ini didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana memiliki harta curi,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan pemilik akaun ini tidak menyedari akaun mereka digunakan sindiket namun ada antara mereka yang sengaja memberikan nombor akaun untuk tujuan penipuan dalam talian.

Zainuddin berkata perkara itu jelas melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan jika didapati bersalah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai diingatkan untuk tidak bekerjasama dengan sindiket penipuan dalam talian ini dan sengaja memberikan nombor akaun mereka. Jika melihat ada transaksi yang mencurigakan, cepat-cepat buat laporan supaya tindakan segara boleh diambil,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya sentiasa bekerjasama erat dengan institusi kewangan dan telekomunikasi serta penguat kuasa luar negara bagi membanteras dan mencari penyelesaian terbaik untuk kes-kes komersial khususnya jenayah siber.

Beliau sekali lagi mengingatkan orang ramai agar sentiasa membuat rujukan dengan bank berkaitan, serta portal kendalian Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu ccid.rmp.gov.my/semakmule atau laman sosial rasmi PDRM.

-BERNAMA