Categories
AGENDA JENAYAH

Penguasa SPRM dipenjara, sebat salah guna wang rampasan beli kereta mewah, hartanah

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Seorang Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipenjara tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyalahgunakan wang rampasan SPRM berjumlah US$6.94 juta.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas Shahrum Nizam Baharuddin, 41, menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan ketika sebutan kes hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dari tarikh tangkap pada 13 Sept 2021.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan penahanan tiga pegawainya bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Pada 12 April 2021, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Hasanah daripada pertuduhan melakukan pecah amanah US$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Suzana berkata hukuman yang dikenakan ke atas tertuduh diharap dapat memberi pengajaran kepadanya agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Dalam pada itu, Suzana turut mengarahkan supaya harta yang dibeli menggunakan wang rampasan dan yang disita iaitu seutas jam tangan jenama Hublot Big Bang berwarna biru, sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Raptor, sebuah kereta Honda Civic, sebuah Mercedes-Benz, dua motosikal berkuasa tinggi jenama Ducati, sebuah rumah dua setengah tingkat di Kota Warisan Sepang, dua bidang tanah di Jerantut, Pahang dan wang tunai RM8,700, dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.

Turut diperintahkan untuk dilucut hak kepada kerajaan ialah wang tunai US$4.07 juta dan RM1.6 juta.

Mengikut pertuduhan pilihan, Shahrum Nizam didakwa menjadikan harta iaitu wang berjumlah US$6.94 juta bagi kegunaannya sendiri.

Dia melakukan perbuatan tersebut di Pejabat Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK), Bahagian Siasatan, Aras 14, Blok C, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya antara 17 Dis 2018 dan 9 April 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda.

Terdahulu, peguam Ahmad Hafiz A Bakar yang mewakili Shahrum Nizam memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah mengaku bersalah dalam pertuduhan pilihan dan pengakuan itu perlu diberi kredit oleh mahkamah dalam menjatuhkan hukuman.

“Ini merupakan kesalahan pertama tertuduh dan dia tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah sebelum ini.

“Kesalahan pertama ini merupakan faktor yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah dalam memberikan keputusan. Anak guam saya juga mengakui akibat kes ini, hidupnya dalam kegelapan,” kata peguam itu yang turut memaklumkan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga dan bapa kepada dua anak berusia 10 dan 12 tahun.

Menceritakan mengenai latar belakang pekerjaan anak guamnya, Ahmad Hafiz berkata tertuduh telah berkhidmat dengan SPRM sejak 14 Nov 2005 dan dia memperoleh anugerah perkhidmatan cemerlang sebanyak empat kali sepanjang perkhidmatannya.

Katanya tertuduh menghidap kanser hidung dan satu laporan perubatan dari sebuah hospital swasta turut diberikan kepada mahkamah.

Menurut Ahmad Hafiz, aset yang dibeli menggunakan wang hasil daripada rampasan SPRM itu, telah dirampas dan disita oleh SPRM dan anak guamnya memohon maaf atas kesilapannya dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memohon mahkamah mempertimbangkan faktor kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh dalam menjatuhkan hukuman.

“Mahkamah perlu mengambil kira tahap keseriusan kesalahan dilakukan dan ia dilakukan oleh seorang penjawat awam yang diberi amanah dengan tugas tetapi mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri.

“Pendakwaan mohon mahkamah mengambil kira nilai wang yang terlibat dan kesalahan ini telah mencemarkan imej SPRM sebagai sebuah organisasi dan individu tertentu dalam organisasi tersebut secara khasnya,” katanya.

— BERNAMA

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat warga asing didenda, penjara seleweng gas bersubsidi

SHAH ALAM, 26 JAN: Seorang daripada empat warga asing didenda RM60,000 kerana menyeleweng gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi membabitkan nilai rampasan sejumlah RM65,310.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor berkata sekiranya gagal membayar denda, pelaku dipenjara 10 bulan manakala tiga lagi individu dipenjara 10 bulan.

Menurut Muhammad Zikril Azan Abdullah suspek masing-masing mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 8, Shah Alam ketika dibicarakan pada 13 dan 24 Januari lalu.

“Kesalahan adalah mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 (tidak mempunyai lesen atau menjual barang kawalan),” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata dalam serbuan di premis tidak berlesen di Bukit Kemuning pada November tahun lalu, pihaknya turut merampas 204 unit tong LPG seberat 14 kilogram (kg), 71 tong LPG (50 kg) dan beberapa barangan lain.

KPDNHEP turut memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat lebih bertanggungjawab menjalankan perniagaan dan tidak melakukan penyelewengan terutama membabitkan barangan bersubsidi.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung salah laku tidak beretika boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi berikut:

  • Portal e-aduan.kpdnhep
  • Call Centre 1-800-886-800
  • Emel [email protected]
  • Ez ADU KPDNHEP
  • Bilik Gerakan KPDNHEP Selangor di talian 03-5514 4393/5518 1810/ 5512 5485
  • WhatsApp 019-279 4317
Categories
SELANGOR

Bekas polis dipenjara, denda halang tugas penguasa di KLIA

SEPANG, 9 NOV: Bekas anggota polis dijatuhi hukuman penjara tujuh hari selain didenda RM5,000 kerana menghalang tugas anggota polis yang mengeluarkan saman, terhadap kenderaan di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Nov lepas.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Basri Lebai Bawai, 55, yang kini seorang peniaga manakala anaknya, Muhammad Saari Basri, 22, didenda RM2,500 selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, menghalang Lans Koperal Ikhwan Syafiq Ismail daripada menjalankan tugasnya.

Dua beranak itu didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Pintu Lima dan Pintu Enam di aras lima terminal utama KLIA kira-kira 1 tengah hari pada 2 Nov lepas, mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman pemenjaraan ke atas Basri bermula dari tarikh tangkap pada 5 Nov lepas serta mereka masing-masing akan dipenjara 10 bulan dan tiga bulan, jika gagal membayar denda RM5,000 dan RM2,500 tersebut.

Mengikut fakta kes, ketika Ikhwan Syafiq yang sedang bertugas di tempat kejadian, beliau telah dimaki Basri kerana berang disaman oleh rakan pengadu atas kesalahan parkir kereta di kawasan orang kurang upaya (OKU), serta menghalang lalu lintas.

Ikhwan Syafiq kemudian menuju ke arah kereta Basri dan mengarahkan tertuduh menunjukkan kad pengenalan serta lesen memandu, namun dia enggan dan terus masuk ke dalam kereta.

Pengadu cuba menghalang Basri daripada bergerak, namun Muhammad Saari yang merupakan pemandu kereta terus memandu kenderaan tersebut dengan cara berbahaya serta seakan mahu melanggar pengadu, dan mereka berdua terus melarikan diri.

Dalam rayuan, peguam Zaflee Pakwanteh yang mewakili dua beranak itu memohon, agar mahkamah mengenakan hukuman yang ringan atas alasan kedua-dua anak guamnya, Basri merupakan peniaga yang terkesan akibat pandemik Covid-19, manakala Muhammad Saari masih belajar.

“Kesalahan tersebut timbul akibat isu salah faham kerana Basri menghantar saudaranya yang merupakan OKU ke KLIA, namun keretanya tidak mempunyai pelekat OKU,” hujah Zaflee.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua mereka, kerana isu kemarahan tidak patut dijadikan alasan untuk mereka melakukan kesalahan tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cadangan penjara seumur hidup, sebat seludup migran

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Hukuman bagi kesalahan penyeludupan migran yang lebih berat dicadang dinaikkan daripada penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, kepada pemenjaraan seumur hidup dan boleh juga dihukum sebat.

Perkara itu terkandung dalam Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021 yang dibentang bagi bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang itu turut memperuntukkan pegawai awam yang menyeludup migran ketika melaksanakan kewajipan awamnya tergolong dalam kesalahan penyeludupan migran yang lebih berat.

Pindaan itu juga meliputi hukuman penjara bagi kesalahan penyeludupan migran dinaikkan daripada tidak melebihi 15 tahun kepada maksimum 20 tahun.

Selain itu, pindaan juga melibatkan hukuman penjara berhubung kesalahan pemerdagangan orang dalam transit yang dinaikkan daripada tempoh maksimum tujuh tahun kepada tidak melebihi 15 tahun.

Rang undang-undang itu bertujuan memastikan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) selaras dengan kehendak Protokol Palermo dan Konvensyen ASEAN bagi Menentang Pemerdagangan Manusia terutama Wanita dan Kanak-Kanak (ACTIP).

Ismail berkata bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dibuat pada sidang Parlimen ini.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Denda hingga RM5,000, penjara 12 bulan jika berbasikal di lebuh raya

SHAH ALAM, 18 OKT: Aktiviti berbasikal di lebuh raya tanpa kebenaran polis dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) boleh didenda hingga RM5,000 atau penjara sehingga 12 bulan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman berkata penunggang basikal boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, lapor Harian Metro.

“Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara sehingga 12 bulan.

“Gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya boleh menyebabkan individu itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 79(2) akta sama, manakala Seksyen 112(3) pula membolehkan basikal disita jika melakukan mana-mana kesalahan berbasikal,” kata Datuk Mat Kasim Karim.

Beliau berkata, penunggang yang didapati tidak memasang lampu depan dan belakang pada basikal boleh dikenakan tindakan mengikut Kaedah 35 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan.

Katanya, kaedah 42 yang membawa hukuman sama boleh dikenakan jika basikal tiada brek dan loceng sebagai ciri keselamatan serta menunggang secara berkumpulan iaitu tidak berada dalam satu deretan.

Mat Kasim berkata berdasarkan rekod sebanyak 150 kes kemalangan membabitkan penunggang basikal, sejak Januari hingga September tahun ini.

Daripada jumlah itu, menurutnya, sebanyak 71 kes kematian, manakala 24 cedera parah dan 55 lagi cedera ringan.

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Tipu derma Covid-19, penyelia kontrak dijel tiga tahun, denda dan sebat

KOTA TINGGI, 8 SEPT: Seorang penyelia kontrak dipenjara tiga tahun, didenda RM16,000 dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menipu dua rakan sekerjanya bagi mendapatkan sumbangan derma berjumlah RM8,357, minggu lepas.

Tertuduh Mohd Zahazan Zainon, 45, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Zahazan dengan niat curang menipu rakan sekerjanya dengan mengatakan ahli keluarganya meninggal dunia akibat Covid-19 sedangkan perkara itu tidak benar dan mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM7,857 ke akaun bank peribadinya sebagai sumbangan derma.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperdaya seorang lagi rakan sekerja dengan alasan yang sama dan mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM500 ke akaun bank tertuduh untuk sumbangan derma.

Kedua-dua kesalahan tersebut dilakukan tertuduh pada 3 Sept lepas antara 5.20 petang hingga 9.25 malam di Pejabat Bahagian Keselamatan Kompleks Bersepadu Pengerang di sini.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, peguam Nurul Hidayah Mohd Asri memohon hukuman lebih ringan kerana ia merupakan kesalahan pertama tertuduh, selain beliau menanggung empat anak hasil perkahwinan terdahulu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nursyamim Fateha Mohd Amin memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh demi kepentingan awam.

Nurmadiana kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dari tarikh tangkapan, denda RM15,000 yang jika tidak dibayar boleh dipenjara lima bulan dan dikenakan satu sebatan bagi pertuduhan pertama.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman setahun penjara dari tarikh tangkapan, denda RM1,000 yang jika gagal dibayar boleh dipenjara sebulan dan satu sebatan.

Kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 4 Sept.

Minggu lepas tular di media sosial seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki menyebarkan berita palsu yang mencetuskan simpati orang ramai mengenai kehilangan 14 ahli keluarganya akibat Covid-19, sehingga memperoleh sumbangan orang awam berjumlah RM91,000.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Baru bebas dua hari, bekas banduan dipenjara semula curi motosikal

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Seorang bekas banduan yang baru sahaja dibebaskan dari penjara dua hari lepas, dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini kerana mencuri sebuah motosikal.

Majistret Nik Fadli Nik Azlan menjatuhi hukuman itu terhadap S. Nagendran, 39, selepas dia mengaku bersalah mencuri sebuah motosikal milik tukang masak, Soon Tek Chai, 36, di hadapan sebuah kedai kopitiam di Taman Seri Batu Caves, Gombak, di sini antara 7.10 malam dan 8.30 pagi, pada 9 hingga 10 Julai lepas.

Mahkamah memerintahkan Nagendran menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 10 Julai.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan juga boleh dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Soon yang juga pengadu dalam kes ini mendapati motosikal miliknya yang diparkir di hadapan kedai tempat dia bekerja sebagai tukang masak telah hilang sebelum membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Berdasarkan hasil siasatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis menahan tertuduh yang mempunyai 20 rekod jenayah lampau di hadapan sebuah kedai serbaneka dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor tertuduh ditangkap ketika sedang membawa motosikal yang dicuri dan sebelum ini dia telah dipenjara atas kesalahan sama, namun peguam daripada Yayasan Bantuan Peguam Kebangsaan (YBGK) M. Mariappan yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Langgar PKP kerja di pusat snuker, dua lelaki dipenjara

PETALING JAYA, 17 JUN: Dua lelaki warga Indonesia dipenjara 20 hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan bekerja di sebuah pusat snuker.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu ke atas Vinoris Mendonca Amaral, 27, dan rakannya Yuvanalis Manek, 26, selepas mereka mengaku bersalah gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan untuk mengambil langkah bagi maksud mencegah dan mengawal apa-apa penyakit berjangkit dengan bekerja di sebuah pusat snuker di Damansara Jaya di sini pada 4 petang, 30 Mei lepas.

Mereka didakwa telah melanggar Peraturan 9, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 17(1) peraturan sama yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 30 Mei.

Terdahulu, kedua-dua lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan mereka menanggung keluarga di Indonesia, namun Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memohon hukuman setimpal.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Pemilik kilang simpan minyak pelincir terpakai dipenjara, didenda

SHAH ALAM, 8 MEI: Pemilik sebuah kilang yang menjalankan aktiviti penstoran minyak pelincir terpakai di Telok Panglima Garang, Kuala Langat dipenjara sehari oleh Mahkamah Sesyen Sepang.

Hakim Noorhisham Jaafar menjatuhi hukuman ke atas pemilik berusia 37 tahun selaku orang kena saman (OKS) selain mengarahkannya membayar denda sebanyak RM85,000.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berkata OKS mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan menjalankan aktiviti terbabit tanpa kebenaran jabatan tersebut.

“Pada 24 Oktober 2019, OKS didapati menempatkan buangan terjadual di premisnya tanpa kelulusan ketua pengarah Alam Sekeliling mengikut Seksyen 34B(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000,” kata Nor Aziah Jaafar dalam kenyataan semalam.

Bagi pertuduhan kedua, beliau berkata pemilik didapati menjalankan aktiviti tanpa kelulusan Laporan EIA seperti kehendak mengikut Seksyen 34A(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sementara pertuduhan ketiga, pemilik didapati menjalankan aktiviti berkenaan tanpa Kebenaran Bertulis daripada ketua pengarah mengikut Seksyen 19(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Bagi pertuduhan terakhir, pemilik menjalankan aktiviti tanpa lesen sebagai Premis Yang Ditetapkan daripada ketua pengarah mengikut Seksyen 18(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” kata Nor Aziah.

Beliau menegaskan JAS Selangor tidak akan berkompromi terhadap penjenayah alam sekitar dan sentiasa mengambil tindakan tegas.

Aktiviti pencemaran alam sekitar boleh dilapor melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel [email protected] atau portal e-aduan di https://eaduan.doe.gov.my.

Categories
AGENDA NASIONAL

Terima telefon hasil rompakan, mekanik dipenjara 18 bulan

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Gara-gara menerima sebuah telefon bimbit hasil rompakan berkumpulan, seorang mekanik dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas Ibnu Sina Idris, 28, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan bapa anak tiga itu diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 26 Mac lepas.

Tertuduh didakwa dengan curang menerima secara tidak jujur sebuah telefon bimbit milik pengurus bangunan Abu Bakar Che Mat, 63, yang tertuduh mengetahui atau ada sebab munasabah untuk mempercayai bahawa telefon bimbit itu adalah hasil rompakan berkumpulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Tengah 3 Kampung Tengah 6 1/4 Jalan Gombak di sini kira-kira 5 petang, 26 Mac mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira keseriusan kes serta kerugian dialami mangsa manakala Ibnu Sina yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia menanggung tiga anak selain menyesal atas kesalahan itu.

Berdasarkan fakta kes, pada 6 Januari lepas semasa mangsa (Abu Bakar) berada di atas motosikal di tepi jalan dan sedang bercakap di telefon bimbitnya, tiba-tiba datang dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal lalu mengambil telefon bimbit milik mangsa.

Pihak polis kemudian telah pergi membuat tangkapan di kawasan kejadian dan tertuduh ditahan selepas mendapati dia menyimpan harta rompakan iaitu sebuah telefon bimbit milik mangsa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Darurat: Kerajaan boleh pinjam bangunan jadikan depoh sementara

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Kesesakan di dalam penjara hingga boleh mengakibatkan penularan dan peningkatan kes Covid-19 dijangka dapat dikekang dengan adanya ordinan khas di bawah Proklamasi Darurat.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata Kluster Keselamatan di bawah Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat boleh mencadangkan untuk meminjam dan menguna pakai mana-mana bangunan untuk dijadikan depoh sementara.

“Kesesakan di penjara menjadi antara satu faktor menyebabkan meningkatnya kes-kes Covid-19 kerana kita faham ‘nature’ di penjara, bilangan pesalah itu berada setempat dan terkurung dalam kapasiti yang ramai.

“Maka, dengan tujuan untuk mengekang atau mengurangkan potensi berjangkitnya Covid-19, mungkin satu ordinan boleh kita bentuk, dengan memindahkan pesalah-pesalah ke dalam depoh sementara untuk mengurangkan bilangan tahanan dalam penjara, sekali gus dapat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Bicara Naratif yang disiarkan secara langsung oleh RTM, bertajuk Pengurusan Darurat: Pendekatan Strategik Memerangi Covid-19, yang turut menyaksikan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohd Rabin Basir sebagai panel.

Dalam masa sama, Mohd Zuki berkata tahanan yang bakal menghampiri tempoh tamat hukuman penjara, misalnya berbaki sebulan atau dua bulan, mungkin boleh dicadangkan untuk dibebaskan lebih awal.

“Kita boleh meminda akta atau memperkenalkannya…kalau diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, kita boleh memendekkan tempoh hukuman mereka.

“Ini semua contoh cadangan, perkara-perkara ini kita akan bincangkan secara teliti dengan setiap kluster akan mengemukakan cadangan kepada Sidang Khas MKN dan sekiranya Sidang Khas MKN bersetuju, ia akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Beliau berkata di bawah pengurusan darurat, kerajaan juga akan dapat mengawal sebarang aktiviti sabotaj atau kenaikan harga barangan, bagi memastikan tiada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas pandemik Covid-19.

“Selama ini Akta Kawalan Harga dilaksanakan hanyalah ketika musim perayaan, jadi dalam keadaan darurat ini kita boleh memperkenalkan dan menggunakan ordinan untuk tujuan mengawal harga barangan…kita tidak mahu ada yang mengambil kesempatan,” katanya sambil menambah cadangan itu akan diberi fokus di bawah Kluster Ekonomi.

Selain Kluster Keselamatan dan Ekonomi, empat kluster utama lagi ialah Kluster Kesihatan, Pendidikan, Komunikasi dan Kluster Perhubungan Persekutuan dan Negeri akan diberi fokus oleh kerajaan susulan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat.

Jawatankuasa teknikal ini antara lain bertanggungjawab untuk memantau isu-isu berkaitan pelaksanaan dan pengurusan darurat, selain meneliti dan mengkaji isu-isu berbangkit berkaitan darurat dan mengesyorkan cadangan penyelesaian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Parlimen bangkit isu rakyat Malaysia dipenjara luar negara

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Status terkini dan bilangan rakyat Malaysia yang dipenjarakan di luar negara serta usaha Kementerian Luar untuk membantu mereka yang terlibat, merupakan antara isu yang akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu terkandung dalam sesi soal jawab yang akan diajukan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian), kepada Menteri Luar berhubung perkara itu.

Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) pula meminta Menteri Kesihatan menyatakan tahap kesiapsiagaan dan tindakan yang telah diambil, dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19 dan pengurusan perawatan pesakit-pesakit, yang semakin meruncing di Sabah.

Dalam sesi soal jawab lisan itu juga, Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri memperincikan usaha yang dilakukan untuk meneroka bidang baharu pekerjaan, seiring dengan perkembangan semasa pandemik Covid-19 dan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) sebagai langkah mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia.

Persidangan dewan kemudian diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa, melibatkan dua lagi kementerian.

Dua kementerian tersebut ialah Kementerian Kesihatan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Berdasarkan takwim Dewan Rakyat sesi perbahasan berkenaan akan berlangsung selama 10 hari sehingga 15 Disember ini, sementara Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 29 hari sehingga 17 Disember.

-BERNAMA