Categories
AGENDA NASIONAL

Dron jadi ‘mata’ polis pantau SOP bazar Ramadan

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Dron sekali lagi menjadi ‘mata’ kepada pihak berkuasa khususnya polis apabila teknologi itu turut digunakan memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pencegahan Covid-19 dalam kalangan pengunjung bazar Ramadan di sekitar ibu kota.

Tinjauan Bernama di Bazar Ramadan Desa Pandan petang semalam mendapati pengoperasian dron itu digunakan untuk memantau pergerakan serta memberi amaran dan peringatan kepada pengunjung menerusi pembesar suara yang ada pada dron itu.

Video dan gambar akan dirakamkan dan boleh dilihat di pusat operasi unit dron yang ditetapkan bagi memantau pergerakan pengunjung di bazar.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah ketika dihubungi berkata pemantauan menggunakan dron selain kehadiran anggota polis di bazar Ramdan akan diteruskan sehingga menjelang Aidilfitri.

“Hari ini pengunjung tidak ramai seperti hari cuti dan hujung minggu… walau bagaimanapun polis tetap mengetatkan kawalan di semua pintu masuk bazar bagi memastikan penjarakan fizikal dipatuhi,” katanya.

Pada 1 Mei lepas, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani (kini Ketua Polis Negara) berkata polis menggunakan dron untuk memantau pematuhan SOP di bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di sekitar Lembah Klang.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Gagal patuhi penjarakan fizikal rekod salah tertinggi ingkar PKPP

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal antara kesalahan tertinggi direkodkan semalam membabitkan 206 daripada 455 individu yang dikenakan tindakan atas kesalahan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah individu yang dikenakan tindakan semalam, 427 daripada mereka dikenakan kompaun, 27 direman dan seorang dibebaskan dengan jaminan.

Kesalahan ingkar PKPP yang lain membabitkan 72 individu dalam aktiviti pusat hiburan, tidak memakai pelitup muka (63), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (59), rentas negeri/daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran pihak berkuasa (21) dan lain-lain (34), katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata tindakan diambil hasil pemeriksaan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata Operasi Benteng yang dilaksanakan bagi mengekang jenayah rentas sempadan berjaya memberkas 28 pendatang tanpa izin dan seorang penyeludup, semalam.

“Sebanyak tiga kenderaan darat turut dirampas,” katanya dan menambah kata kejayaan itu hasil 306 sekatan jalan raya Operasi Benteng yang dilaksanakan melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata seramai 72,062 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lepas sehingga semalam, dan ditempatkan di 72 hotel serta 19 Institut Latihan Awam dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 10,396 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 404 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 61,262 individu telah discaj dan dibenarkan pulang,” katanya menambah kesemua mereka pulang dari 36 negara.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 654 premis perniagaan termasuk 483 peruncit, 140 pemborong dan 31 pengilang.

Ismail Sabri berkata pegawai penguat kuasa KPDNHEP turut melakukan 638 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati kesemua premis yang diperiksa mematuhi arahan ditetapkan.

Beliau, bagaimanapun menggesa pengusaha dan orang ramai agar mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya ketika menjalankan aktiviti jual beli barangan keperluan harian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Masih ramai tidak amal penjarakan fizikal, langgar SOP – menteri

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Tidak mengamalkan penjarakan fizikal antara kesalahan yang masih banyak dilakukan orang ramai walaupun ia antara tatacara operasi piawai diwajibkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata berdasarkan laporan polis yang mengetuai Pasukan Petugas Operasi Pematuhan PKPP, seramai 26 individu ditahan atas kesalahan itu semalam.

“Kesalahan lain termasuk gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (24), tidak memakai pelitup muka (20), lari dari pusat kuarantin (satu) serta premis beroperasi lebih masa (satu).

“Daripada jumlah itu 70 individu dikompaun, seorang direman dan seorang dijamin,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKPP hari ini.

Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng melakukan 14 tangkapan melibatkan 25 pendatang tanpa izin dan seorang penyeludup.

Bagi kuarantin wajib sejak 24 Julai sehingga semalam, beliau berkata 24,961 individu dari 32 negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di 67 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

Ismail Sabri berkata daripada jumlah itu, seramai 9,887 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 15,008 lagi individu discaj dan dibenarkan pulang.

Sejak 30 Mac, sebanyak 9,874 operasi sanitasi awam merangkumi 134 zon dilaksanakan melibatkan 12,970 premis terdiri daripada 2,708 pusat perniagaan, 5,706 bangunan kerajaan, 1,596 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,606 tempat awam dan 354 pasar raya, katanya.

-BERNAMA