Categories
AGENSI SELANGOR

Amal kebiasaan baharu jika mahu kes Covid-19 turun – STFC

SHAH ALAM, 18 JUN: Masyarakat diingatkan untuk terus mengamalkan kebiasaan baharu jika mahu menurunkan kes Covid-19, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

“Pelandaian keluk pandemik akan terus berjaya apabila setiap warga negara mengamalkan norma baru secara disiplin.

“Pastikan anda terus menjaga penjarakan fizikal, bersihkan tangan dengan kerap serta pakai pelitup muka ketika keluar,” katanya.

Selangor merekodkan dua kes baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 2,006 kes.

Secara keseluruhan Malaysia merekodkan 14 kes baharu dengan tiga adalah kes import dan 11 kes penularan di dalam negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

Promosi jualan murah boleh tetapi jangan bersesak – Dr Noor Hisham

SHAH ALAM, 2 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan supaya syarikat perniagaan tidak membuatkan orang ramai bersesak-sesak apabila menjalankan promosi jualan murah secara besar-besaran, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan jualan murah dilakukan namun tatacara operasi piawai (SOP) seperti penjarakan sosial perlu diamalkan.

“Boleh promosi tetapi kurangkan kesesakan, kalau boleh (syarikat perniagaan) jalankan aktiviti jualan dengan cara temujanji ataupun dalam talian.

“Elakkan ruang sempit dan sekiranya berlaku kesesakan, majikan perlu kaji semula cara pelaksanaan perniagaan berkenaan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Makan di restoran dibenarkan, pastikan jarak sosial

SHAH ALAM, 12 MEI: Semua restoran di Selangor kini dibenarkan beroperasi sepenuhnya termasuk makan dan minum di dalam premis dari jam 7 pagi hingga 10 malam tertakluk kepada pematuhan penjarakan sosial, kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar berkata ketetapan dibuat selepas persidangan bersama datuk bandar, yang dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pegawai daerah seluruh negeri ini pagi tadi susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun 2020.

Bagaimanapun, beliau berkata peniaga restoran digalakkan memberi pilihan pratempahan kepada pelanggan bagi mengelak kesesakan di dalam kedai.

“Penjaja makanan dalam kategori tidak berpremis (kendera saji dan penjaja tepi jalan) boleh mula beroperasi 8 pagi hingga 10 malam namun terhad kepada pandu lalu, bungkus dan penghantaran sahaja. Membuka meja di kawasan kaki lima serta parkir tidak dibenarkan.

“Penguat kuasa PBT akan turut membuat pemeriksaan mengejut dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang dikuatkuasa berada di tahap optimum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, aktiviti pasar selain daripada bentuk penyembelihan dibenarkan beroperasi seperti biasa dan larangan operasi pasar pagi dan pasar malam adalah kekal buat masa ini.

“Sebarang bentuk aktiviti penyembelihan dan pemprosesan haiwan seperti ayam di pasar awam, pasar borong, pasar segar dan pasar swasta adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Pada 10 Mei lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan empat minggu lagi sehingga 9 Jun 2020.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM saran Ujian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain dibatalkan – menteri

PUTRAJAYA, 15 APRIL: Semua Majlis Agama Negeri disaran agar membatalkan Ujian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) selaras dengan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata kementeriannya telah berbincang dengan kesemua Majlis Agama Negeri mengenai pembatalan peperiksaan itu, mengambil kira keselamatan murid.

“Saya sudah berbincang dengan semua Majlis Agama Negeri berkaitan ujian Kafa dan sebagainya, kita tekankan bahawa negeri-negeri secara umumnya mengambil langkah yang sama.

“Apa yang penting adalah keselamatan anak-anak, mereka masih kecil dan tempoh pengajian masih jauh lagi,” katanya pada sidang media hari ini.

Mohd Radzi berkata jumlah pelajar UPSR tahun ini iaitu lebih 450,000 orang disifatkan satu jumlah yang besar dan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Susulan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri bagi menyampaikan saranan itu agar selaras dengan keputusan KPM.

Mengulas mengenai kelas pra-sekolah di bawah KPM, Mohd Radzi berkata ia juga perlu ditangguhkan sehingga keselamatan murid-murid terjamin.

“Fokus kita adalah kepada murid yang mudah dikawal oleh guru. Cabaran utama yang di Tadika adalah untuk melakukan penjarakan sosial (dalam kalangan murid-murid Tadika).

“Apabila sekolah dibuka (selepas PKP) yang pergi ke sekolah dahulu adalah tingkatan lima dan enam,” katanya.

-BERNAMA