Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam rugi RM383,000 jadi mangsa ‘pegawai LHDN’

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Seorang penjawat awam wanita kerugian RM383,000 selepas dihubungi ‘pegawai’ Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 12 Februari lepas.

Wanita berusia 46 tahun itu menerima panggilan telefon daripada LHDN mengatakan dia mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM36,690 dan kemudian dinafikan wanita tersebut menyebabkan panggilannya disambungkan kepada ‘Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan’.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata wanita itu kemudian bercakap dengan seorang ’pegawai polis’ berpangkat Inspektor dan setelah semakan dibuat, dia dikatakan mempunyai rekod penyeludupan dadah.

“Mangsa yang bimbang terhadap ugutan itu, memasukkan sejumlah wang secara berperingkat sebanyak empat kali ke dalam akaun yang berbeza pada 14 Februari lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setelah memindahkan wang keseluruhannya berjumlah RM383,000, wanita itu menyedari dirinya ditipu.

Mohamad Fakhrudin sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah dan ugutan yang dilakukan oleh sindiket itu.

“Orang ramai dinasihatkan segera menghubungi pihak polis sekiranya menerima panggilan-panggilan telefon sebegini. Modus operandi sindiket ini menyasarkan sesiapa sahaja terutama yang cepat panik dan golongan yang kurang pendedahan mengenai maklumat-maklumat terkini jenayah siber,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Penjawat awam perlu sedia terima perubahan, elak tertinggal

SHAH ALAM, 24 JAN: Penjawat awam perlu bersedia menerima setiap perubahan yang berlaku bagi mengelak ketinggalan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pencapaian diperoleh sepanjang berkhidmat dalam sektor awam akan menjadi sia-sia sekiranya gagal berbuat demikian.

“Kita berada dalam realiti dan dunia baharu, maka kita semua kena bersedia adaptasi (perubahan) kerana kalau tak akan tertinggal.

Penjawat awam, Nor Fadilah Jamaludin, 37

“Apa yang dilaksanakan sebelum ini juga hanya dianggap sejarah dan tak relevan kalau gagal terima perubahan,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Sementara itu, penjawat awam, Nor Fadilah Jamaludin, 37, mengakui perubahan penting dalam diri seorang kakitangan bagi meningkatkan prestasi kerja.

“Kalau tak buat perubahan mungkin kerja akan jadi lambat dan tak teratur. Jadi, saya bersedia terima dan buat perubahan untuk kemajuan kerjaya masa hadapan,” katanya.

Penjawat awam, Fatin Nabihah Abd Wahid, 28

Pembantu tadbir Fatin Nabihah Abd Wahid, 28, pula akan berusaha mengadaptasi perubahan dan budaya kerja meskipun baharu sebulan berkhidmat dalam sektor awam.

“Sekarang apa-apa boleh berlaku. Mahu atau tidak, kita kena bersedia dari semua aspek dan sahut cabaran untuk terima perubahan akan datang,” katanya.

Bagi pembantu tadbir Syamsyul Fikri Mustapha, 40, perubahan dilakukan bukan sahaja mampu menambah baik mutu kerja penjawat awam, malah meningkatkan nama baik pemegang taruh.

“Saya menyambut baik saranan Dato’ Menteri Besar bahawa penjawat awam perlu melalui anjakan paradigma dalam diri masing-masing supaya lebih maju dan berjaya,” katanya.

Penjawat awam, Syamsyul Fikri Mustapha, 40
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan harap penjawat awam jauhi rasuah, amanah ketika bertugas

SHAH ALAM, 20 JAN: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap penjawat awam khususnya di Selangor mempunyai integriti yang tinggi dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

“Beta berharap agar penjawat awam menjalankan tugas dengan amanah, menjauhi rasuah dan peka dengan masalah yang dihadapi rakyat,” titah baginda di Majlis Pelancaran Buku From AS to AG – Reminiscence of a PTD Officer karya Tan Sri Ambrin Buang di sini, hari ini.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan hadir di majlis itu.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Tan Sri Abdul Halim Ali.

Baginda bertitah Ambrin merupakan Ketua Audit Negara paling lama iaitu selama 11 tahun dan telah mengemudi tugasnya dengan cemerlang.

“Beta berterima kasih atas khidmat bakti ketika beliau berkhidmat di Selangor,” titah baginda.

Ambrin yang telah berkhidmat di peringkat kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri selama 46 tahun, pernah menyandang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dari 1999 hingga 2001.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam miliki sijil vaksin palsu berdepan tindakan

KUALA NERUS, 10 JAN: Kerajaan Negeri Terengganu akan memantau dan mengambil tindakan sekiranya terdapat penjawat awam negeri yang didapati memiliki sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata pihaknya memandang serius isu berkaitan sijil vaksinasi palsu ini memandangkan ia melibatkan keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Kita akan arahkan jabatan-jabatan kerajaan untuk memantau golongan yang terutamanya antivaksin satu hal, yang keduanya dia beli pula sijil vaksin palsu. Ini satu kesalahan yang serius dan perkara ini akan dipantau oleh jabatan-jabatan berkenaan, untuk pastikan perkara ini (pembelian sijil vaksin palsu) tidak berulang,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan seorang doktor sebuah klinik swasta oleh pihak polis Terengganu di Marang pada Sabtu lepas, selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu.

Dr Alias berkata kerajaan negeri juga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memantau dan mengenal pasti sekiranya terdapat lagi pengamal perubatan di negeri ini yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu.

Terdahulu, Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa dalam sidang media hari ini memberitahu doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu, selepas menerima aduan awam mengenai kegiatan tersebut.

Rohaimi berkata siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik tersebut bagi tujuan vaksinasi, dan daripada jumlah itu pihak polis masih menyiasat jumlah sebenar individu yang tidak mendapatkan suntikan, namun hanya mendapatkan sijil vaksinasi palsu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Penjawat awam, sukarelawan ganding bahu bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 2 JAN: Musibah banjir melanda negeri ini menyaksikan kerjasama penjawat awam dan sukarelawan meringankan beban mangsa meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata situasi itu menunjukkan kekuatan sebenar rakyat Malaysia, mengatasi perbezaan kaum.

“Kita menyaksikan kerjasama para penjawat awam bersama sukarelawan membantu mangsa banjir walaupun berhadapan pelbagai geruh yang tidak diduga.

“Pastinya ketika semangat memuncak mahu membantu, ada khilaf tertentu. Namun kita sedar, semua yang terlibat mahu segera menyelamatkan dan membantu mangsa,”katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2022.

Sukarelawan Team Selangor bergotong-royong membersihkan rumah penduduk yang terjejas akibat di Kampung Lombong, Shah Alam pada 26 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurut Amirudin, seramai 2,500 sukarelawan naungan Kerajaan Negeri seperti Sukarelawan Selangor (SERVE) dan Team Selangor turun padang membantu proses pembersihan pascabanjir.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu mengakibatkan banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Kerajaan Negeri pada 21 Disember mengumumkan dana RM100 juta bagi permulaan program Selangor Bangkit.

Peruntukan itu meliputi pemulihan infrastruktur, bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa banjir yang terkorban dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) menjalakan kerja pembersihan pascabanjir di Taman Sri Muda pada 31 Disember 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
Categories
AGENDA NASIONAL

Statistik penjawat awam enggan divaksin antara tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Statistik penjawat awam yang enggan divaksin atau belum bersedia menerima vaksinasi Covid-19 tanpa alasan kukuh adalah antara soalan yang akan dikemukakan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman web rasmi Parlimen, persoalan itu akan diajukan oleh Chan Foong Hin (HARAPAN-Kota Kinabalu) kepada Perdana Menteri pada sesi soal jawab.

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) pula meminta Perdana Menteri menjelaskan mengenai jurang pendapatan golongan bandar dan luar bandar dan sejauh mana pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap perkara berkenaan.

Selain itu, Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) akan mengajukan soalan kepada Menteri Kanan Pertahanan mengenai keberkesanan pertahanan negara bagi operasi National Task Force (NTF) melalui Op Benteng di kawasan sempadan negara Laut China Selatan.

Selesai sesi itu, Persidangan Dewan Rakyat akan menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober lepas.

Setakat semalam, seramai 85 Ahli Parlimen daripada blok pembangkang dan kerajaan serta bebas mengambil bahagian dalam perbahasan peringkat dasar Bajet 2022 yang bermula 1 November lepas.

Penggulungan Bajet 2022 oleh kementerian-kementerian berkaitan dijadual berlangsung selama empat hari bermula 15 November.

Dewan Rakyat akan bersidang hingga 16 Disember.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam dapat bonus RM700, pesara RM350

SHAH ALAM, 29 OKT: Seramai 1.3 juta penjawat awam Gred 56  dan ke bawah akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM700 sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh mencabar ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata manakala seramai satu juta pesara kerajaan pula akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM350.

“… (kedua-dua bantuan ini melibatkan) dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion. Diharapkan semoga bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Perkara itu adalah antara yang cadangan di bawah strategi keempat iaitu “Mendokong Penyampaian Perkhidmatan Awam” daripada Fokus Ketiga Bajet 2022 yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”.

Selain itu, Zafrul berkata gantian cuti rehat (GCR) juga dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 bagi menghargai pengorbanan penjawat awam terutama barisan hadapan yang tetap komited dengan tugas dan tidak berpeluang bercuti.

Beliau berkata kerajaan turut akan melaksanakan kemudahan membenarkan penebusan awal GCR sehingga 50 peratus atau 80 hari dengan mengambil kira keperluan penjawat awam seperti menunaikan haji atau membiayai pengajian tinggi anak mereka.

Katanya, kerajaan juga bercadang untuk menambah baik beberapa kemudahan anggota perkhidmatan awam antara lain memperuntukkan RM365 juta  untuk menyelenggara kuarters dan bangunan guna sama di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah.

Antara tambah baik lain adalah meningkatkan Kadar Bayaran Insentif Pengawasan Banduan daripada RM150 kepada RM200 sebulan yang bakal memanfaatkan lebih 14,000 pegawai penjara, selain meningkatkan Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan Polis daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam untuk pegawai dan RM6 kepada RM8 sejam untuk anggota.

Kerajaan juga bercadang memberikan bayaran insentif sebanyak RM200 kepada Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14 yang bertugas di 24 institusi kebajikan yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan menjaga dan merawat penghuni warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit mental.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam digesa lengkapkan vaksin Covid-19 sebelum 1 Nov

PUTRAJAYA, 28 OKT: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman hari ini mengingatkan semua penjawat awam supaya melengkapkan vaksinasi Covid-19 masing-masing sebelum 1 Nov ini.

Berucap pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secara maya hari ini, Mohd Khairul Adib berkata ketika ini, kelompok penjawat awam di seluruh negara yang belum mendaftar untuk divaksin adalah kecil berbanding majoriti yang telah melengkapkan vaksinasi mereka.

Namun, katanya keengganan kelompok kecil itu tetap memberi implikasi terhadap program vaksinasi kerajaan dan menggambarkan imej negatif penjawat awam secara keseluruhan, selain menjejaskan penyampaian perkhidmatan.

“Penjawat awam seharusnya mempunyai rasa tanggungjawab dalam menyokong usaha kerajaan dan memberi keyakinan kepada orang ramai tentang keberkesanan program vaksinasi yang dijalankan,” katanya.

Mohd Khairul Adib pada majlis itu turut mengingatkan bahawa semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [PU(A) 395/1993].

Dalam satu pekeliling dinyatakan pegawai perkhidmatan awam Persekutuan yang gagal melengkapkan imunisasi Covid-19 boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan apabila dasar baharu berhubung imunisasi melibatkan penjawat awam dilaksanakan mulai 1 Nov ini.

Perkara itu dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 mengenai Dasar Pelaksanaan Imunisasi Covid-19 Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW, sebanyak 22,214,490 atau 94.9 peratus kadar populasi dewasa di negara ini sudah lengkap menerima vaksin Covid-19 setakat pukul 11.59 malam pada 27 Okt.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KSN: Penjawat awam tolak vaksin berdepan tindakan tatatertib

LABUAN, 22 OKT: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali menyeru kepada semua penjawat awam agar patuh kepada pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan mereka melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November ini.

Beliau berkata tindakan tatatertib boleh diambil kepada penjawat awam yang enggan memberi kerjasama menerima vaksin.

“Kalau mengikut pekeliling dan dari segi peraturan, penjawat awam harus patuh dengan apa yang telah diputuskan oleh pihak ketua jabatan masing-masing.

“Dalam konteks ini, memang akan ada tindakan mungkin diambil sekiranya mereka masih enggan untuk divaksin.

“Jadi, pada kesempatan ini, saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk memberikan kerjasama memastikan diri mereka lengkap divaksinasi sebelum tarikh yang ditetapkan oleh JPA,” katanya selepas menerima dos penggalak di pusat pemberian vaksin Klinik Kesihatan Membedai dekat sini hari ini.

Mohd Zuki berkata selepas kesemua negeri beralih ke fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), operasi di semua pejabat kerajaan akan dibuka semula.

“Untuk mengelakkan ketidakselesaan, apabila tidak divaksin dan datang ke pejabat, ia akan memberikan kesan atau anggapan negatif dalam kalangan mereka yang telah divaksin…penjawat awam di Labuan yang telah menerima vaksin melebihi 90 peratus, iaitu sama dengan peratusan seluruh negara,” katanya.

Ketika ini, kelompok penjawat awam di seluruh negara yang belum mendaftar untuk divaksin adalah seramai 16,902 orang.

JPA menerusi kenyataan akhbar pada 30 Okt lepas memaklumkan, keputusan mewajibkan suntikan vaksin kepada penjawat awam itu dibuat bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Menurutnya, ia juga selari dengan usaha mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa PPN.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Parlimen: 98.18 peratus penjawat awam lengkap terima vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Jumlah penjawat awam yang telah lengkap menerima vaksin Covid-19 mencecah 98.18 peratus setakat ini kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Beliau berkata ini bermakna hanya baki 1.92 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam masih belum mengambil vaksin itu.

“Program vaksinasi masih lagi berjalan dan ia dibuat secara sukarela termasuk kepada kakitangan awam,” katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading) yang meminta penjelasan tentang status dan hak penjawat awam yang enggan mengambil vaksin dan adakah kerajaan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap penjawat awam itu.

Abdul Latiff berkata jika kerajaan mahu mewajibkan penjawat awam yang tidak mahu mengambil vaksin untuk menerima vaksin itu, ia memerlukan peraturan dan libat urus supaya boleh dilakukan dengan cara yang berhemah.

Tambah beliau setakat ini kerajaan belum bercadang mewajibkan pengambilan vaksin seperti di negara lain contohnya Singapura dan Kanada.

Namun katanya kerajaan setakat ini menggunakan pendekatan melarang mereka yang enggan menerima vaksin menikmati kemudahan termasuk tidak boleh makan di dalam kedai makan atau aktiviti lain yang boleh dinikmati oleh individu yang telah lengkap vaksin.

“Dengan cara begini lama-kelamaan mereka akan sedar, mereka tidak boleh hidup tanpa mengikuti nikmat yang orang lain (dapat), mereka juga terdedah kepada risiko jangkitan teruk jika dijangkiti Covid-19,” katanya.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penjawat awam sengaja tolak vaksin berdepan tindakan tatatertib

SHAH ALAM, 7 OKT: Penjawat awam di Selangor yang menolak pemberian vaksin tanpa sebarang alasan munasabah berdepan tindakan tatatertib.

Dato’ Menteri Besar berkata keputusan berkenaan dibuat selepas menerima nasihat penasihat undang-undang dan perkara tersebut dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada minggu depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga menjelaskan bentuk tindakan bakal diputuskan jawatankuasa tatatertib antaranya amaran, pemotongan gaji dan diberhenti kerja.

“Tindakan dikecualikan kepada mereka yang ada alasan klinikal, masalah kesihatan dan mendapat nasihat doktor dan pakar,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada 22 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan kekecewaan apabila dimaklumkan seramai 96 individu dalam kalangan guru  Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah menolak vaksin.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga kecewa apabila hanya 203 individu menyertai program vaksinasi khas Covid-19 untuk petugas Jabatan Agama Islam Selangor sedangkan seramai 873 orang diarah hadir.

Baginda bertitah akan meneliti nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar: Keputusan wajibkan penjawat awam ambil vaksin sah ikut syarak

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Keputusan kerajaan mewajibkan penjawat awam mengambil vaksin Covid-19 berdasarkan pertimbangan tertentu, adalah sah dari sudut pandangan syariah dan perlu dipatuhi serta tidak boleh dianggap menyekat kebebasan individu di negara ini, kata seorang pakar syariah.

Ketua Penolong Mufti (Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed berkata berdasarkan Siasah Syar’iyah, apabila kerajaan telah mewajibkan penjawat awam divaksinasi maka kelompok yang enggan patuh boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar arahan berkaitan kepentingan umum serta tidak bertentangan dengan syariat.

“Agama Islam melalui bidang Siasah Syar’iyah memberikan hak mutlak kepada pemerintah (kerajaan yang mentadbir) untuk mengeluarkan arahan tertentu dalam menguruskan keadaan darurat seperti penularan Covid-19.

“Tindakan tatatertib boleh dikategorikan sebagai hukuman ringan yang boleh dikenakan oleh kerajaan menurut Siasah Syar’iyah,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Syed Shahridzan berkata vaksinasi adalah demi kepentingan umum dan bukan individu serta memerlukan kerjasama orang ramai untuk menjayakannya kerana sudah terbukti secara saintifik bahawa individu yang tidak divaksin boleh menyebabkan orang lain lebih mudah dijangkiti Covid-19.

“Dalam kes ini, kita menggunakan kaedah fekah ‘al-masalahatu al-‘ammatu muqaddamatun ‘ala al-maslahati al-khaassati’ (kepentingan awam lebih diutamakan daripada kepentingan peribadi).

“Kerajaan boleh mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 ke atas penjawat awam atas dasar maslahat (kepentingan). Berdasarkan kelebihan yang diperuntukkan oleh Siasah Syar’iyah kepada pemerintah (kerajaan), ia boleh mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 ke atas semua rakyat di negara ini,” katanya.

Menurut Syed Shahridzan, ini berpandukan kaedah fekah lain yang menyatakan, ‘tasarruful Imami ‘ala al-ra‘iyyati manutun bil maslahati’ (keputusan kerajaan untuk rakyat dilaksanakan demi kepentingan mereka).

Beliau berkata majoriti umat Islam di negara ini bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mewajibkan taat kepada arahan pemerintah dalam perkara berhubung kepentingan umum dan tidak bertentangan dengan syariah.

Pada 30 Sept, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataannya memaklumkan semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan diwajibkan mengambil vaksin Covid-19 dan mereka dikehendaki untuk segera melengkapkan vaksinasi sebelum 1 Nov 2021.

Menurut JPA, hampir 98 peratus pegawai telah mengambil vaksin manakala kelompok yang masih belum mendaftar adalah kecil iaitu hanya 1.6 peratus melibatkan 16,902 orang.

Semua pegawai awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

-BERNAMA