SHAH ALAM, 17 DIS: Bapa kepada tiga anak berasa lega dan terharu apabila persiapan sekolah anak untuk tahun depan disediakan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Mohd Azli Ibrahim, 43, berkata situasi Covid-19 yang berterusan sehingga hari ini menyebabkan pendapatannya sebagai penjual burger terjejas teruk.
“Tetapi nasib saya baik kerana LZS ada dan sudah dua tahun anak-anak saya mendapat bantuan persekolahan yang disediakan mereka.
“Jika dahulu, saya hanya dapat beli sepasang saja baju seragam sekolah untuk anak-anak, tetapi sekarang mereka ada kelengkapan yang lebih baik dan selesa,” katanya.
Wan Zaharah Wan Mohamad pula menarik nafas lega apabila kali pertama dimaklumkan beliau mendapat bantuan persekolahan untuk anak-anaknya.
Pembantu gerai itu berkata suaminya sudah kehilangan pekerjaan pada awal Mac lalu akibat pandemik.
“Saya amat gembira kerana anak-anak dapat bersekolah dalam keadaan lebih selesa walaupun saya tidak mampu menyediakan kelengkapan mereka.
“Terima kasih kepada Zakat Selangor di atas bantuan diberikan,” katanya.
Kedua-dua mereka ditemui ketika Program Agihan Persekolahan Asnaf Fakir, Miskin dan Mualaf sesi 2021 di Bangunan LZS, semalam.
Agensi menyediakan RM34.6 juta bantuan kepada lebih 70,000 penerima membabitkan pelajar pra-sekolah hingga sekolah menengah.