Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri minta pengusaha pengangkutan awam pastikan penumpang lengkap vaksin

PUTRAJAYA, 11 OKT: Semua pengusaha pengangkutan awam darat, udara dan sektor maritim diminta memastikan penumpang mereka lengkap vaksinasi sebagaimana yang dikehendaki di bawah tatacara operasi piawai (SOP) bagi perjalanan rentas negeri, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

“Semua pengusaha perlu memastikan setiap penumpang atau pengguna pengangkutan awam menunjukkan sijil vaksinasi masing-masing bagi membuktikan bahawa mereka sudah lengkap vaksinasi,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan penarikan sekatan perjalanan rentas negeri seperti diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, pengusaha terbabit diingatkan supaya mengelak bersikap puas hati dan perlu sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan di bawah Pelan Pemulihan Negara (NRP).

“SOP lain yang perlu dipatuhi ialah memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan atau menggunakan pensanitasi tangan juga harus dipatuhi tanpa kompromi,” katanya.

Wee berkata pengguna pengangkutan awam turut digalak menjalani ujian saringan Covid-19 kendiri sebelum melakukan perjalanan rentas negeri bagi melindungi diri sendiri, keluarga dan orang di sekeliling mereka.

Perdana Menteri dalam sidang media khas semalam mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saksi dengar bunyi helikopter kuat sebelum terhempas

KUALA LUMPUR, 24 MAC: “Saya dengar bunyi kuat dari arah helikopter tetapi tidak seperti biasa,” kata R. Romu, 74, apabila ditanya mengenai insiden helikopter jenis Airbus H125 yang terhempas dalam kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), di Subang, pagi tadi.

Romu berkata dia mendengar bunyi kuat itu semasa hendak keluar bersarapan namun tidak memperdulikannya.

“Selepas bersarapan saya melalui jalan berhampiran LTSAAS dan mendapati sebuah helikopter telah terhempas.

“Saya sudah biasa dengar bunyi helikopter mahupun kapal terbang tetapi kali ini bunyinya amat lain tidak seperti kebiasaan (helikopter),” katanya kepada pemberita ketika ditemui berhampiran lokasi kejadian di LTSAAS, di sini, hari ini.

Romu berkata beliau tidak pernah dengar bunyi yang begitu kuat sepanjang bekerja di kawasan berhampiran.

“Jarak lokasi kejadian dan tempat saya bekerja hanya 500 meter dan ini merupakan kali pertama dalam hidup saya melihat kejadian itu (helikopter terhempas),” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati bangkai helikopter berkenaan telah dialihkan dan dibawa ke hanger Airbus pada kira-kira 3 petang tadi dipercayai untuk siasatan lanjut oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara.

Selain itu, kelihatan kakitangan lapangan terbang juga sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian.

Dalam kejadian helikopter jenis Airbus H125 yang terhempas pada jam 9.18 pagi tadi di kawasan LTSAAS itu, kelima-lima individu di dalam helikopter berkenaan dilaporkan selamat.

Mereka yang berada dalam helikopter berkenaan adalah juruterbang, penolong juruterbang serta tiga penumpang.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MH370: Genap tujuh tahun tragedi berlalu

IPOH, 7 MAC: Acapkali apabila tiba 8 Mac, ada sekelumit perasaan ingin tahu tercetus dalam kalangan waris penumpang dan anak kapal penerbangan Malaysia Airlines MH370, apa sebenarnya yang terjadi kepada pesawat itu tujuh tahun lepas, mengiringi doa dan harapan agar keajaiban akan muncul satu hari nanti.

Ada juga yang sudah tidak mahu mengingatinya dan hanya berserah kepada Tuhan serta pihak berkuasa dalam merungkai misteri paling pelik dalam sejarah penerbangan dunia itu.

Maira Elizabeth Nari, anak perempuan ketua pramugara pesawat itu, Andrew Nari berkata tiada apa yang boleh dilakukan dan kehidupan perlu diteruskan walaupun tahun demi tahun sejak kehilangan pesawat itu silih berganti, tanpa sebarang jawapan bagi merungkai misteri kehilangannya.

“Sudah bertahun berlalu, cepat sungguh tujuh tahun. Perasaanya sama seperti keadaan tujuh tahun lepas semasa saya berumur 17 tahun, tapi tiada apa yang boleh kita lakukan, hanya teruskan sahaja kehidupan, kami baik-baik sahaja, setiap tahun sama,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, adik ipar kepada Ketua Pramugari MH370, Goh Sock Lay yang enggan dikenali, sewaktu ditemui dirumahnya di Kampung Tawas disini baru-baru ini berkata peristiwa yang berlaku itu tidak mahu diingati mereka lagi.

“Kami sudah tidak mahu ingat lagi peristiwa (tragedi MH370), hal sudah lama kami sekeluarga sudah lupa. Apa mahu cerita lagi, ini sedih punya hal tak nak ingat lagi,” katanya.

Beliau berkata suami Goh Sock Lay kini bekerja di sebuah kilang sarung tangan di Seremban dan sudah agak lama tidak pulang ke kampung halaman, hanya berhubung dengan mereka sekeluarga menerusi panggilan telefon untuk bertanya khabar.

Lelaki berkenaan berkata mereka sekeluarga menyerahkan sepenuhnya kes itu kepada kerajaan Malaysia dan mereka tidak mempunyai hak untuk mencampuri misi pencarian penerbangan MH370.

Sementara itu, wakil keluarga kepada salah seorang penumpang MH370, Tan Ah Meng di Kampung Kanthan, Chemor di sini turut mengakui sudah melupakan peristiwa itu.

“Kami sekeluarga sudah lupa kejadian itu, tidak ada apa mahu cakap,” katanya menambah, kedua ibu bapa Tan Ah Meng sudah meninggal dunia beberapa tahun lepas.

Sementara itu, seorang pakar penerbangan Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata tiada petunjuk baru mengenai kehilangan pesawat itu timbul setakat ini, dan keadaan ini kemungkinan menggusarkan ramai pihak.

Namun juruterbang ujian Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu berkata ada beberapa kes rujukan, yang menyaksikan bangkai kapal terbang dijumpai selepas hilang beberapa tahun dan tidak salahnya jika ada pihak yang ingin meneruskan usaha mencari pesawat Boeing 777 itu.

“Contohnya ialah bangkai kapal terbang Piper dijumpai di Michigan Amerika Syarikat selepas 21 tahun manakala bangkai kapal terbang Learjat yang dijumpai di New Hampshire Amerika Syarikat selepas 3 tahun.

“Di dalam kes kes itu, usaha pencarian dilakukan secara besar-besaran dan terperinci, namun kesan kemalangan udara itu tidak dijumpai sehingga selepas beberapa tahun kemudian. Ini menunjukkan harapan masih jikalau ada pihak masih berhasrat untuk meneruskan usaha pencarian,” katanya.

Esok genap tujuh tahun pesawat Malaysia Airlines, penerbangan MH370 hilang daripada imbasan radar semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China dan keluarga 239 penumpang dan anak kapal pesawat itu masih menanti pengakhiran episod tragis terbabit.

Kementerian Pengangkutan sebelum ini dilaporkan masih belum memutuskan sama ada akan melancarkan semula pencarian MH370 atau tidak, kerana setakat ini tiada sebarang bukti baharu mengenainya ditemui untuk mengerakkan semula pencarian.

Sumber Kementerian Pengangkutan memberitahu Bernama, kerajaan akan membuat satu pengumuman penting berkaitan tragedi tersebut dalam masa terdekat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah penumpang AirAsia susut 85 peratus suku ketiga 2020

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Jumlah penumpang AirAsia Group Bhd (AirAsia) susut sebanyak 85 peratus kepada 1.91 juta pada suku ketiga 2020 daripada 13 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Di sebalik pandemik Covid-19, faktor muatan AirAsia berkurangan sebanyak 18 mata peratusan (ppts) tahun ke tahun kepada 66 peratus, kata syarikat penerbangan tambang murah itu dalam satu kenyataan semalam.

Bagi tempoh bulanan, metrik operasi utamanya meningkat pada September berbanding Julai dengan mencatatkan jumlah penumpang yang lebih tinggi dalam operasinya di Malaysia, India dan Thailand, ia meningkat masing-masing sebanyak 36 peratus, 79 peratus dan 65 peratus.

Ia berkata faktor muatan untuk kumpulan itu meningkat 7.0 ppts pada September berbanding Julai.

“Peningkatan ini menunjukan trend kenaikan yang kukuh untuk permintaan bagi perjalanan udara di pasaran utama untuk kumpulan tersebut,” katanya.

AirAsia Malaysia beroperasi pada tahap 52 peratus daripada kapasiti domestiknya pada bulan September berbanding 40 peratus pada Julai kerana permintaan perjalanan telah berada pada trajektori menaik sejak suku kedua berikutan kelonggaran terhadap perjalanan antara negeri.

AirAsia Malaysia mencapai faktor muatan sebanyak 68 peratus dengan mencatat hampir 1.8 juta penumpang pada suku tersebut.

Walaupun kapasiti telah dikurangkan pada bulan Oktober susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan, AirAsia sedang berusaha untuk pulih kepada tahap 60 peratus pada suku keempat sama seperti tempoh sebelum penularan Covid-19 dalam kapasiti domestik.

Faktor muatan AirAsia Indonesia turun sebanyak 36 ppts kepada 49 peratus pada suku ketiga 2020 manakala AirAsia Filipina beroperasi pada tahap hanya lima peratus sahaja daripada kapasiti tahun lepas pada suku yang dikaji.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

AADK Selangor periksa pemandu, penumpang bas

SHAH ALAM, 30 JULAI: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor menempatkan anggota penguatkuasanya di terminal bas negeri ini sempena cuti perayaan Aidiladha untuk memastikan pemandu dan penumpang bas ekspres bebas dadah.

Pengarah AADK Selangor Dr Nazira Sadiron berkata menerusi langkah itu, setiap pemandu dan penumpang akan diperiksa dalam operasi empat hari iaitu semalam dan hari ini serta pada Selasa dan Rabu ini (4 dan 5 Ogos).

“Seramai 48 anggota AADK dan 180 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri turut terlibat dalam operasi ‘Op Terminal’ ini.

“Anggota AADK dan JPJ akan sentiasa berada di terminal bas Seksyen 17 di sini, Kajang dan Klang Sentral,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran operasi itu, malam tadi.

Nazira berkata setakat semalam, seramai 54 pemandu sudah diperiksa dan kesemuanya negatif ujian dadah.

Katanya, menerusi operasi itu beliau turut berharap kemalangan membabitkan kes penyalahgunaan dadah terutamanya dalam kalangan pemandu dapat dibendung.

“Pemeriksaan bas turut dilaksanakan oleh JPJ dan setakat ini keadaan memuaskan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP Bersyarat: Perhimpunan sambutan perayaan tertakluk arahan KKM

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Perhimpunan yang dibenarkan untuk sambutan perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai Dayak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih tertakluk kepada sebarang arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Perkara ini dinyatakan dalam Peraturan 7 (2) (a), Warta Kerajaan Persekutuan mengenai Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.6) 2020 yang dikeluarkan laman sesawang Jabatan Peguam Negara, semalam.

Subperaturan (2) di bawah Peraturan 7 itu menyebut “walau apa pun subperaturan (1), seseorang boleh berhimpun atau terlibat dalam suatu perhimpunan – (a) bagi Hari Raya Puasa, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai Dayak tertakluk kepada apa-apa arahan Ketua Pengarah Kesihatan, dan (b) bagi pengebumian, dengan syarat orang yang hadir ke pengebumian itu tidak melebihi 20.”

Warta itu yang ditandatangani Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menyatakan bahawa, Peraturan-Peraturan itu berkuatkuasa dari tempoh 13 Mei, 2020 hingga 9 Jun, 2020.

Warta itu turut menyatakan bahawa mana-mana orang yang memandu kenderaan persendirian tidak boleh membawa lebih daripada tiga penumpang dan penumpang itu hendaklah orang yang tinggal serumah dengannya.

Peraturan-Peraturan itu juga menyatakan tiada seorang pun boleh melakukan, menganjurkan, mengusahakan atau terlibat dalam mana-mana aktiviti terlarang dalam mana-mana kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan tempatan jangkitan di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Warta itu menyenaraikan 15 aktiviti terlarang yang menyebabkan ramai orang berhimpun iaitu aktiviti hiburan, riadah, sukan, kelab malam, perayaan keagamaan, kebudayaan dan kesenian, perniagaan, perjudian, penggunaan bilik acu di dalam kedai pakaian, mencuba aksesori fesyen, perkhidmatan di kedai gunting rambut dan salun kecantikan, penggambaran filem, drama, dokumentari dan iklan serta aktiviti kapal persiaran dan perkhidmatan pelancongan.

Peraturan 6 (1) menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh bergerak dari satu kawasan tempatan jangkitan ke suatu kawasan tempatan jangkitan yang lain kecuali untuk pergi dan balik kerja.

Peraturan-Peraturan itu juga menyatakan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri masing-masing boleh menghadiri persidangan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Bagi pengangkutan awam seseorang pemegang lesen atau permit mana-mana pengangkutan awam darat, laut atau udara untuk membawa penumpang hendaklah memastikan pengangkutan awam yang berhubungan dengan lesen atau permitnya tidak membawa lebih daripada separuh jumlah kapasiti maksimum bilangan penumpang yang boleh dibawa di dalam pengangkutan awam itu bagi setiap perjalanan.

Sementara itu, pemandu kereta sewa, teksi, teksi lapangan terbang, teksi mewah atau kenderaan e-hailing tidak boleh membawa lebih daripada dua penumpang bagi setiap perjalanan.

Bagi pengangkutan awam udara ke Negeri Sabah atau Sarawak dari Semenanjung Malaysia dan sebaliknya, Peraturan itu menyebut bahawa pemegang lesen atau permit mana-mana pengangkutan awam udara untuk membawa penumpang hendaklah memastikan pengangkutan itu tidak membawa lebih daripada 66.6 peratus jumlah maksimum faktor beban pengangkutan yang boleh dibawa bagi setiap perjalanan penerbangan berjadual dari Negeri Sabah atau Sarawak ke Semenanjung Malaysia.

Ia juga menyatakan pemegang lesen atau permit mana-mana pengangkutan awam udara untuk membawa penumpang boleh membawa jumlah kapasiti maksimum bilangan penumpang bagi setiap perjalanan penerbangan berjadual dari Semenanjung Malaysia ke Negeri Sabah atau Sarawak.

Bagi pemegang lesen atau permit mana-mana pengangkutan awam udara untuk membawa penumpang boleh membawa jumlah kapasiti maksimum bilangan penumpang bagi setiap perjalanan penerbangan tidak berjadual dari Semenanjung Malaysia ke Negeri Sabah atau Sarawak, jika kesemua penumpang itu adalah pelajar di Semenanjung Malaysia yang pulang ke Negeri Sabah atau Sarawak.

Sesiapa yang melanggar Peraturan-Peraturan itu boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA