Categories
BERITA UTAMA

KPN lahir kewaspadaan penyalahgunaan dadah

KUALA LUMPUR, 29 JUL: Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador melahirkan kewaspadaan mengenai penyalahgunaan dadah di negara ini sambil berkata jumlah kes telah meningkat dua kali ganda hinggakan ada anggota polis didapati mengambil dadah.

Beliau berkata, jika langkah-langkah tegas tidak diambil untuk membendung gejala dadah, Malaysia boleh menjadi seperti Colombia.

“Bukan sahaja kalangan orang biasa terlibat tetapi anggota saya sendiri, setiap minggu kita menahan anggota kita sendiri … yang menggunakan “meth” dan syabu.

“Sejak Januari, tidak kurang daripada 30 anggota polis ditahan kerana mengambil dadah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan “Roadshow Autism: Garis Panduan Polis Diraja Malaysia” di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, selama bertahun-tahun, penyalahgunaan dadah kekal sebagai musuh nombor satu negara tetapi malangnya bilangan penagih dadah meningkat dua kali ganda.

Abdul Hamid berkata, beliau bimbang kerana usaha memerangi dadah akan terjejas jika anggota polis sendiri juga melakukan kesalahan itu.

“Jadi terimalah hakikat bahawa penyalahgunaan dadah di negara ini berada pada tahap kritikal.

“Jika kita tidak membendungnya secara serius mulai sekarang, saya fikir ia akan sampai ke tahap seperti kita dapati di Colombia. Begitu buruk sekali keadaannya,” kata beliau.

Colombia telah bergelut dengan masalah dadah dan menurut laporan media, polis negara itu tahun ini telah melancarkan salah satu kempen berskala besar untuk memerangi dadah dalam masa beberapa tahun kebelakangan ketika cuba untuk mengekang pengedaran kokain.

Abdul Hamid juga menarik perhatian bahawa polis telah merampas sejumlah besar dadah dalam serbuan di pusat-pusat perjudian dan makmal dadah haram.

“Polis menemukan beratus-ratus kilogram dadah… (tetapi) saya percaya ada banyak lagi. Kita bertekad keras untuk membendungnya. Kita perlu menyekat bekalan dadah ke pasaran. Kita tidak boleh terus mengadakan operasi demi operasi; anggota saya juga letih” kata beliau.

Abdul Hamid berkata, pendekatan yang lebih holistik daripada kerajaan diperlukan untuk mengekang penyalahgunaan dadah kerana serbuan polis sahaja tidak akan menyelesaikan masalah itu.

“Ketika kita menggempur makmal dadah, kita cuba mengenal pasti dan menjejaki sindiket dadah. Kita berbincang dengan kerajaan dan memberi idea bagaimana untuk menutup atau menyekat akses penyeludup dadah atau pengeluar dadah ke pasaran, ” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB seru tingkat usaha perangi penyalahgunaan dadah

mb khalid ibrahim etika golf 01

SUBANG JAYA 28 OKT – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta supaya berusaha keras bagi membanteras penyalahgunaan dadah di negara ini.

Abdul Khalid berkata, kerjasama semua agensi yang terbabit dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia bebas dadah, menjelang 2015.

“Masa terlalu singkat dan saya akan meminta Exco kerajaan negeri bersama Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor, Dr Abdul Rani Osman untuk bekerja keras bagi memberi sokongan kepada usaha pelaksanaan membanteras dadah dan menjadikan Malaysia bebas daripada gejala itu.

“Sewajarnya kita berganding bahu dan memberi sokongan, khususnya kepada usaha mencegah, memerangi dan membanteras dadah di Selangor dan Malaysia,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika memberi ucapan di majlis makan malam sempena Perhimpunan Agung Tahunan PEMADAM Ke-38 di Hotel Summit, USJ, di sini, malam tadi.

Turut hadir Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Yang DiPertua PEMADAM Kebangsaan, Datuk Mohd Johari Baharum; Ahli Exco kerajaan negeri, Rodziah Ismail dan Dr Abdul Rani serta lebih 5,000 ahli PEMADAM seluruh negara.

Pada masa sama, Abdul Khalid menyatakan rasa yakin terhadap PEMADAM Selangor yang sentiasa berusaha memastikan penyalahgunaan dadah dapat dikawal dan dibanteras.

Katanya, statistik penyalahgunaan dadah di Malaysia menunjukkan masalah berkenaan meningkat dan membawa petanda yang tidak sihat.

“Berdasarkan statistik, sekitar 1.27 peratus daripada 5.4 juta pelajar di negara ini terbabit dengan masalah disiplin, termasuk gejala dadah, daripada Januari hingga Jun 2011.

“Manakala, seramai 4,474 kanak-kanak berumur seawal tujuh tahun ditahan dalam pelbagai kes jenayah termasuk 1,847 orang adalah murid sekolah.

“Laporan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mendapati seramai 137 pelajar Instituti Pengajian Tinggi (IPT) terbabit dalam penyalahgunaan dadah, khususnya di Selngor, bermula Januari hingga April lalu,” katanya.

-NFN-