Categories
NASIONAL

KJ Kena Jawab Pinjaman Mudah Jutaan Ringgit Bank Pertanian Dilupuskan?

Chegu-Bard and khairy

SHAH ALAM, 30 DIS: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin(KJ) digesa menjawab dakwaan isu pinjaman jutaan ringgit dari Bank Pertanian Malaysia Berhad yang dikaitkan dengan beliau ketika bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi masih menjawat jawatan Perdana Menteri.

Pinjaman masih tertunggak itu juga dikatakan bakal dilupuskan sehingga menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pegawai bank yang menguruskan pinjaman mudah itu.

Demikian menurut Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Chegu Bard kepada TV Selangor hari ini.

“Saya ada datanya, pinjaman itu dibuat sebelum Pilihan Raya Umum tahun 2008 lagi, tetapi Khairy tidak pernah membayar sekali pun,” kata Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin.

Chegu Bard yang belum mahu mendedahkan jumlah pinjaman tersebut turut mempersoalkan tujuan pinjaman tersebut dibuat.

“Kalau petani biasa, nak pinjam cuma beberapa ribu ringgit, tetapi pelbagai syarat perlu dipenuhi seperti ‘proposal’ (kertas cadangan) dan sebagainya, tetapi apa ‘proposal’ Khairy beri sehingga membolehkan dia dapat pinjaman yang bukan sedikit.

“Lazimnya rakyat kebanyakkan kalau tak bayar pinjaman seperti pinjaman kereta contohnya, kelam-kabut sorok kereta di belakang rumah, bimbang kena tarik.

“Adakah Bank Pertanian beri layanan berbeza dengan VIP seperti Khairy hinggakan pinjaman berjuta ringgit boleh dilupuskan begitu sahaja, sedangkan bank itu milik kerajaan dan fungsinya untuk membantu golongan petani untuk memajukan diri mereka dalam bidang pertanian” ujar beliau lagi.

Categories
NASIONAL

Nama Soi Lek Disebut Bantu Rundingan Dana Kebajikan PM Libat Komisyen RM200,00

SHAH ALAM, 18 SEPT: Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek, merupakan individu  disebut dalam rundingan geran bantuan kerajaan bernilai RM500,000 dari Perdana Menteri kepada Persatuan Bekas Polis Malaysia.

Bagaimanpun, rundingan tersebut menetapkan sebanyak 40 peratus atau RM200,000 haruslah dibayar kepada sebuah syarikat yang ditetapkan.

Demikian menurut Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin kepada TV Selangor hari ini.

Badrul Hisham memberitahu, nama Soi Lek disebut di dalam minit mesyuarat Persatuan Bekas Polis Malaysia.

“Dalam dua minit mesyuarat ada disebut dengan jelas nama Chua Soi Lek sebagai orang yang membantu untuk persatuan mendapat dana geran bantuan kebajikan dari Perdana Menteri Malaysia.

“Dalam minit mesyuarat yang sama juga ada disebut satu nama syarikat yang harus dibayar 40 peratus sebagai komisyen kepada orang perantara,” beritahu Badrul Hisham.

Bagaimanapun beliau tidak dapat mendedahkan nama syarikat yang menerima komisyen bantuan kebajikan tersebut.

“Saya boleh dedah setakat itu sahaja kerana SPRM ingatkan saya dan saya juga tandatangan akujanji tersebut sebab kalau saya dedahkan lebih terhadap dokumen yang saya serahkan kepada SPRM, mengikut akta yang ada, saya boleh  dipenjara dua tahun atau denda RM10,000.

Sebelum ini, pada 16 September lalu, satu laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  dibuat Badrul Hisham berhubung isu komisyen geran bantuan kebajikan ini.

Antara lain laporan tersebut turut menyatakan pembayaran kepada syarikat penerima komisyen itu dibuat melalui 10 keping cek dari Persatuan Bekas Polis Malaysia.