Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Kontraktor perlu tingkat kecekapan senggara jalan, beri pengguna selesa

SHAH ALAM, 13 DIS: Kontraktor di negeri ini akan dibantu untuk melengkapkan pengetahuan teknologi terkini bagi meningkatkan kecekapan penyelenggaraan jalan raya, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata perkembangan teknologi boleh dimanfaatkan untuk memastikan keadaan jalan raya di negeri ini pada tahap terbaik dan memberi keselesaan kepada pengguna.

“Seperti contoh dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) penggunaan robotik mungkin boleh dipertimbang bagi memantau keadaan jalan raya.

“Kerajaan Negeri akan bantu tingkatkan kecekapan mereka dengan mengadakan kursus,” katanya selepas merasmikan seminar pembangunan kontraktor jalan raya di sini, hari ini.

Izham berkata, selain aspek teknikal kursus kepada kontraktor turut membabitkan aspek pembangunan sahsiah dan integriti bagi memastikan kelancaran penyelenggaraan.

“Ini usaha Kerajaan Negeri untuk memberi tambah nilai dan kecekapan kepada kontraktor,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penduduk mula beli bekas simpanan air, harga kekal

SHAH ALAM, 10 OKT: Tiada kenaikan harga tong air secara mendadak dikesan menjelang beberapa hari sebelum penyelenggaraan aset kritikal di loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 bermula pada 13 Oktober.

Tinjauan ke sebuah kedai menjual barangan plastik dan logam di Kampung Jalan Kebun, Seksyen 30 di sini mendapati harga tong air mengikut saiz kekal.

Jenis tong air yang tersedia antaranya tempayan, tong hitam dan tong biru berharga antara RM30 hingga RM140.

Pemilik kedai Luezita Ahmad, 48, berkata penduduk setempat mula mengunjungi kedainya empat hari lalu untuk mendapatkan tong tersebut sebagai persediaan menyimpan bekalan air.

Ibu tiga anak juga memberi jaminan stok bahan tersebut mencukupi, malah beliau sentiasa berhubung dengan pembekal sekiranya kehabisan.

“Penduduk tidak perlu bimbang kerana barang sentiasa ada, paling penting harga kekal. Cuma semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu, harga naik satu peratus.

“Saya memang menjangka pelanggan datang tetapi mereka mungkin tidak membuat pembelian panik kerana kebanyakannya ada tong di rumah. Kalau beli pun sebagai tambahan,” katanya.

Luezita yang mengusahakan perniagaan itu sejak lebih 20 tahun turut menasihati penduduk supaya tidak melakukan pembaziran air sepanjang tempoh berkenaan.

“Kalau beli tong air, pastikan boleh bertahan hingga bekalan pulih dan jangan membazir (air),” katanya.

Orang ramai di 998 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor diminta menyimpan bekalan air secukupnya mulai 13 Oktober.

Bekalan air 998 kawasan mula disalur berperingkat mulai jam 5 petang pada 14 Oktober dan dijadual pulih sepenuhnya jam 9 malam pada 16 Oktober bergantung kepada jarak lokasi premis serta tekanan pada sistem agihan.

Orang ramai juga boleh menyemak perincian mengenai penyaluran bekalan air kawasan masing-masing menerusi laman web hentitugas.airselangor.com

Dalam tempoh tersebut, sebanyak 18 pili awam dan 105 lori tangki disediakan ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Empat stesen pengisian air setempat juga dibuka kepada pelanggan komersial untuk membeli bekalan menggunakan lori tangki.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengusaha pusat cuci kereta simpan bekalan air, operasi seperti biasa

SHAH ALAM, 9 OKT: Seorang pengusaha pusat cucian kenderaan di Kampung Jalan Kebun, Seksyen 30 di sini, menyimpan air dalam kolah susulan penyelenggaraan loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1.

Ahmad Humini Alias, 42, menyimpan air dalam kolah seluas 9×4 kaki sejak dua hari lalu selepas dimaklumkan rakannya bahawa aset loji akan dinaik taraf pada minggu depan.

Ahmad Humini Alias, 42.

Turut menyediakan sebiji tong besar untuk menyimpan bekalan tambahan, bapa empat anak yang tinggal di Seksyen 25 berkata langkah itu bagi memastikan perniagaan berjalan seperti biasa sepanjang tempoh berkenaan.

“Mujurlah kolah memang tersedia dari awal sejak saya mula mengambil alih tempat ini kira-kira setahun lalu. Alhamdulillah, lagipun dapat jimatkan kos sebab hanya pakai air hujan tanpa perlu guna air paip.

“Saya berharap air dalam kolah ini dapat bertahan sehingga kerja selenggara selesai memandangkan pusat cuci kereta memerlukan air untuk beroperasi, kalau tiada (air) memang masalah kepada saya dan pengusaha lain,” katanya.

Pekerja pusat cucian kenderaan air membersihkan kereta di Jalan Kebun, Shah Alam ketika tinjauan SelangorKini pada 8 Oktober 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dia yang turut mengusahakan perniagaan air kisar di kawasan berhampiran menganggap penyelenggaran dilakukan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) penting untuk keselesaan jangka panjang.

“Walaupun pada awalnya agak panik, tetapi saya percaya kerja baik pulih ini penting, mungkin tiada lagi gangguan sebab sudah menggantikan peralatan baru,” katanya.

Pada 1 Oktober, Pengurusan Air Selangor meminta orang ramai di 998 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor menyimpan bekalan secukupnya mulai 13 Oktober.

Sebanyak 105 lori tangki turut digerakkan Air Selangor selain penyediaan 18 pili awam ke kawasan terlibat bagi memudahkan orang ramai memperoleh bekalan demi kemudahan pengguna.

Bekalan air mula disalur berperingkat mulai jam 5 petang 14 Oktober dan dijangka pulih sepenuhnya jam 9 malam pada 16 Oktober bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna serta tekanan pada sistem agihan.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com.

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Tiga stesen MRT ditutup sementara untuk diselenggara

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh, Kampung Selamat dan Kwasa Damansara akan ditutup pada enam hujung minggu (Sabtu dan Ahad) mulai bulan ini, Ogos dan September bagi penyelenggaraan landasan.

MRT Corp dan Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan bersama hari ini memaklumkan penutupan itu bagi melakukan kerja migrasi berkaitan pemindahan sebahagian daripada MRT Laluan Kajang (sebelum ini dikenali sebagai MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang) menjadi sebahagian Laluan Putrajaya (sebelum ini dikenali sebagai MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya).

“Penutupan stesen tersebut akan dilaksanakan pada 11,12, 25 dan 26 Julai; 8, 9, 22 dan 23 Ogos serta 5, 6,19 dan 20 Sept ini,” menurut kenyataan itu.

Dengan penutupan sementara tiga stesen tersebut, tren MRT dari Kajang akan berakhir di Stesen Kwasa Sentral dan perkhidmatan gantian bas perantara percuma akan beroperasi di antara Stesen Kwasa Sentral, Stesen Sungai Buloh dan Stesen Kampung Selamat.

“Bas perantara ini tidak akan berhenti di Stesen Kwasa Damansara kerana tiada aktiviti komersial dan kawasan perumahan. Tempat letak kereta di stesen ini juga akan ditutup, justeru pengguna dinasihatkan supaya menggunakan kemudahan itu di Stesen Kwasa Sentral atau di Stesen Sungai Buloh,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, perkhidmatan bas perantara sedia ada dari Stesen Sungai Buloh dan Stesen Kampung Selamat akan beroperasi seperti biasa.

Pengguna tren yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai penutupan stesen tersebut boleh menghubungi Rapid KL di talian 03-78852585 atau talian Hotline Projek MRT di 1800-82-6868.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Wujud lebih banyak perkhidmatan MRO Industri Aeroangkasa – MB

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 FEB: Kerajaan Negeri berhasrat mewujudkan lebih banyak perkhidmatan Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) dalam Industri Aeroangkasa dan Penerbangan khususnya di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, selain MRO, tapak Pembuatan Pesawat Udara juga diperlukan selaras mengukuhkan kedudukan sebagai Pusat Kecemerlangan ‘Research & Development’ dalam industri terbabit.

Justeru, katanya, Kerajaan Negeri mula berbincang dengan syarikat antarabangsa bagi penempatan semula beberapa operasi syarikat global untuk dipindahkan ke negeri itu.

“30 peratus daripada aktiviti Aeroangkasa dan Penerbangan termasuk permintaan datang dari Wilayah Asia Pasifik memandangkan ia sudah berkembang pesat sejak tempoh 10 tahun lalu.

“Pengeluaran pesawat hanya 600 unit setiap tahun di seluruh dunia, malahan lebih daripada 10,000 tempahan pesawat kini sedang menunggu dan belum dibuat MRO, meskipun untuk memecahkan atau merobohkan kraf di B737, 757, 767 dan 747 serta Airbus A300 juga lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Townhall Selangor Aerospace Action Plan Invest Selangor, di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan Pengarah Urusan Malaysia of Frost & Sullivan, Hazmi Mohd Yusof.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan lebih ramai syarikat dan pemain dalam industri berkenaan ke rantau ini memandangkan permintaan daripada aspek rantaian bekalan bahagian pesawat serta MRO adalah perniagaan yang mampu memberi pulangan besar.

“Bidang Aeroangkasa dan Penerbangan bukan di pesawat komersial atau untuk pertahanan sahaja tetapi saya percaya ‘Drones’ dan Teksi Udara akan dipasarkan secara meluas pada tahun hadapan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

KDEB Sangkal Dakwaan Ahli Akademik Selangor Boleh Kawal Syabas

syabas-AIR1

SHAH ALAM 14 JAN: Pengaruh Kerajaan Selangor di dalam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) terhad kepada perwakilan dalam lembaga pengarah sahaja syarikat itu sahaja dan bukan di dalam operasi harian Syabas.

Ini dapat dilihat apabila pada Julai tahun lepas, Syabas mencadangkan catuan air di seluruh Lembah Klang dan Selangor tanpa persetujuan dan pengetahuan Kerajaan Selangor, kata Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

KDEB adalah sebuah syarikat berkaitan Kerajaan Negeri yang memiliki pegangan saham 30 peratus di dalam Syabas.

Dalam satu kenyataan hari ini, presiden KDEB Suhaimi Kamaralzaman membidas dakwaan seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), bahawa Kerajaan Negeri cuba menutup kelemahannya menangani isu air.

Pensyarah itu, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri mendakwa Syabas dibawah kendalian kerajaan negeri dan Selangor cuba menutup fakta seolah-olah ia tidak mempunyai kepentingan di dalam Syabas.

Suhaimi berkata, kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan harian, peralatan dan sistem pengagihan bekalan air dilaksanakan oleh pengurusan Syabas yang telah dilantik oleh pemegang saham majoriti iaitu Puncak Niaga Holdings Berhad.

“Pengaruh Kerajaan Negeri terhad dalam pengurusan Syabas boleh terlihat apabila pengurusan Syabas mencadangkan pencatuan air pada bulan Julai 2012 yang telah diputuskan oleh pengurusan Syabas tanpa merujuk Lembaga Pengarah terlebih dahulu,” jelas Suhaimi.

Kuasa terhad Kerajaan Selangor di dalam Syabas adalah antara sebab ia mahu mengambilalih industri air daripada Syabas kerana mendakwa syarikat itu gagal melaksanakan tugasnya sebagai syarikat pengedar air terawat di Selangor.

Ini dibuktikan apabila lima pam air di rumah pam Wangsa Maju rosak akibat tidak diselenggara dengan sempurna sejak awal tahun lepas dan menyebabkan lebih 500,000 penduduk di 90 kawasan di Gombak dan Ampang mengalami gangguan bekalan air.

Dalam pada itu, wakil Kerajaan Negeri dalam lembaga pengarah Syabas akan menuntut penjelasan daripada pengurusan Syabas serta pelan tindakan untuk penyelenggaraan sempurna bagi mencegah kejadian seperti itu berulang.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Air Negeri Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi juga telah memantau Syabas setiap hari terutamanya bagi pelan tindakan dan pemulihan air.

Jawatankuasa tersebut dan juga wakil KDEB juga telah meminta penjelasan daripada Syabas mengenai kegagalan dan penyelesaian jangka pendek dan panjang mengenai isu ini.

“Mereka ini telah dipertanggungjawabkan bagi mempastikan semua pelan tindakan dilaksanakan dengan pantas dan efisien,” kata Suhaimi lagi.