Categories
AGENDA NASIONAL

Pulau Ketam pilihan penyeludup, pendatang asing ceroboh negara

PELABUHAN KLANG, 27 APRIL: Pulau Ketam merupakan satu daripada pintu masuk pilihan penyeludup dan pendatang tanpa izin menceroboh negara ini berikutan lokasinya berhampiran negara jiran, kata polis.

Penolong Pengarah Pengoperasian Pasukan Gerakan Am (PGA) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Supt Ahmad Radzi Hussain berkata jarak di antara Pulau Ketam dan Tanjung Balai, Indonesia terlalu dekat iaitu kira-kira 20 hingga 30 batu nautika.

Ia mengambil masa perjalanan kurang daripada sejam menggunakan bot.

“Kedudukan pulau itu yang terletak berhampiran Rumah Api, One Phantom Bank juga memainkan faktor pulau itu menjadi pilihan.

“Oleh itu, Pulau Ketam ini menjadi perhatian penyeludup barangan kontraban seperti rokok dan arak selain menjadi transit bagi tekong darat untuk membawa masuk pendatang tanpa izin,” katanya kepada pemberita selepas melakukan rondaan di pulau itu hari ini.

Sementara itu, Ahmad Radzi berkata sejumlah 242 pendatang tanpa izin ditahan oleh PGA dalam tempoh 1 Jan hingga 26 April dan pasukan itu juga merampas pelbagai barang seludup yang dianggar bernilai RM5.3 juta, antaranya rokok dan arak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penyeludup kini guna dron lakukan aktiviti jenayah

KOTA TINGGI, 23 FEB: Sindiket penyeludupan kini dikesan mengubah modus operandi mereka termasuk menggunakan teknologi dron dalam menjalankan aktiviti penyeludupan migran dan barangan.

Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata taktik tersebut digunakan bagi mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa yang menjalankan rondaan Op Benteng di perairan negara.

“Kita tengok dulu, trend mendarat mereka (sindiket penyeludupan) lebih kepada waktu tengah malam hingga awal pagi tetapi sejak sering berjaya dikesan pihak berkuasa, mereka telah mengubah modus operandi.

“Malah hasil laporan diterima daripada unit-unit yang melaksanakan Op Merpati di bawah Op Benteng dan sebagainya, mereka juga telah dikesan menggunakan teknologi dron dalam mengesan pergerakan atau atur gerak pasukan-pasukan keselamatan,” katanya pada sidang media selepas melawat Markas Taktikal Tanjung Sepang, Bandar Penawar bagi meninjau Op Benteng di perairan Johor hari ini.

Muhammad Hafizuddeain berkata pihak risikan masih memantau situasi berkenaan dan sehingga kini pihaknya belum mengambil tindakan drastik seperti menembak jatuh pesawat dron yang dikenal pasti oleh radar tentera.

Sementara itu, mengenai Op Benteng, Muhammad Hafizuddeain berkata sejak operasi dilaksanakan pada 16 Mei tahun lepas melibatkan kawasan pesisiran pantai sepanjang 220 kilometer di Johor, pihak berkuasa berjaya menahan 26 tekong dan 1,252 migran selain merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM3.7 juta.

Katanya, angka ini meningkat sebanyak 200 peratus berbanding kejayaan yang pernah direkodkan sebelum Op Benteng dilaksanakan.

“Kejayaan ini kerana kita bekerjasama dengan pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen. Jadi, boleh dikatakan kita lebih fokus dan efektif dalam menangani isu penyeludupan migran dan barangan berbanding bekerja secara berasingan sebelum ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis: Penyeludup mungkin beralih ke sempadan Perak-Thailand

IPOH, 3 DIS: Polis tidak menolak kemungkinan pengawasan dan kawalan ketat di sempadan Malaysia-Thailand di Perlis dan Kedah, membuatkan sindiket penyeludupan beralih arah ke sempadan Pengkalan Hulu, Perak dan Betong di Wilayah Yala selatan Thailand.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketika ini sempadan Pengkalan Hulu-Betong itu kurang menjadi perhatian penyeludup bagi menjalankan aktiviti haram, kerana bentuk muka bumi yang berbukit bukau dan dilitupi hutan tebal.

“Disebabkan itu sempadan ini bukan pilihan utama untuk penyeludupan, tapi tidak menolak kemungkinan laluan itu mungkin menjadi sasaran selepas ini dan sudah pasti kita setiap masa memperketat kawalan bersama beberapa agensi keselamatan yang lain.

“Jarak antara pintu sempadan di Pengkalan Hulu dengan pekan paling dekat dalam kawasan negara jiran iaitu Bentong hanya 700 meter jadi tahap kawalan amat tinggi,” katanya ketika ditemui Bernama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Selasa.

Beliau berkata penugasan keselamatan dan pemantauan di sempadan yang mempunyai tembok sepanjang 12 kilometer (km) dan pagar kawat duri 11.4km, turut melibatkan agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan (Aksem), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

Katanya, sesiapa yang ingin memasuki kawasan sempadan perlu melalui sekatan jalan raya (SJR) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit, Pengkalan Hulu, yang turut dibantu Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA).

Mior Faridalathrash berkata tidak dinafikan berlaku penyeludupan di sempadan itu, terutama melibatkan barangan makanan seperti minyak masak, tepung gandum, gula, susu dan beras Thailand, selain ketum, dadah, senjata api tetapi bukan dalam jumlah yang besar.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga September lepas, sebanyak 14 kes penyeludupan direkodkan yang membawa kepada penangkapan sembilan individu, termasuk seorang bukan warganegara.

“Antara rampasan yang cuba diseludup bagi tempoh itu adalah tiga kenderaan, 117,316 batang rokok dan lebih 1,000 liter minuman keras dengan keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM330,537,” katanya.

Ditanya sama ada pasukan keselamatan di sempadan Perak pernah menerima ancaman atau diserang penyeludup, Mior Faridalathrash berkata pihaknya tidak menerima laporan mengenai perkara tersebut setakat ini.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata pihaknya turut meningkatkan risikan bagi membanteras sindiket penyeludupan yang menggunakan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli untuk membawa daun ketum dari Kedah ke Kelantan.

-BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Nelayan diminta salur maklumat, jangan jadi tali barut penyeludup

SHAH ALAM, 24 OGOS: Masyarakat terutama nelayan di Sekinchan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membendung pendaratan pendatang asing di kawasan itu, kata Ahli Dewan Negerinya.

Ng Suee Lim berkata pihaknya kesal apabila perairan atau jeti nelayan menjadi tempat pendaratan sekaligus mencemarkan imej Sekinchan sebagai lokasi pelancongan utama.

“Saya berharap orang ramai dan nelayan di Sekinchan, Sabak Bernam dan Sungai Besar bekerjasama menyalurkan maklumat aktiviti penyeludupan kepada pihak berkuasa.

“Saya ingatkan nelayan supaya tidak terlibat, bersubahat atau menjadi tali barut sindiket penyeludupan.

Saya gesa pihak berkuasa segera ambil tindakan jika ada nelayan terlibat, kita tidak boleh bertolak ansur,” katanya pada sidang media di Bangunan Annex, di sini semalam.

Beliau mengulas berhubung tujuh bot nelayan tempatan membawa 28 pendatang asing termasuk tujuh tekong ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah di perairan Sekinchan pada Rabu dan Khamis lepas.

Komander PGA Briged Tengah, SAC Muhammad Abdul Halim berkata hasil risikan mendapati sindiket penyeludupan menggunakan bot nelayan tempatan berdaftar sebagai taktik terbaharu untuk menjalankan kegiatan berkenaan.