Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Simbol jujur dan bahagia, kisah di sebalik penyepit

Foto HAFIZ OTHMAN & REMY ARIFIN

Penyepit atau ‘chopstick’ yang popular dalam kalangan masyarakat Cina seluruh dunia termasuk Malaysia sebenarnya melambangkan keteguhan dan kejujuran.

Tekstur penyepit simbol keteguhan manakala bentuknya yang lurus melambangkan kejujuran. Ia menjadi teras nilai kehidupan yang diterap kepada masyarakat berkenaan.

Tercipta sejak 3,000 tahun dahulu ketika pemerintahan Dinasti Shang, penyepit digunakan bagi mengelakkan tangan seseorang daripada menyentuh makanan panas.

Pada awalnya, mereka gunakan buluh, lebih kuat dan lebih tahan lama. Seiring perkembangan zaman, penyepit kemudian diperbuat menggunakan kayu, besi dan plastik.

Maharaja China zaman dahulu kala pula menggunakan penyepit yang diperbuat daripada emas dan gading gajah sebagai simbol kuasa dan kemegahan.

Pada masa ini, penggunaan penyepit telah berkembang ke pelusuk banyak negara antaranya Korea, Jepun, Vietnam, bahkan Amerika Latin.

“Sekarang kaum lain pun sudah biasa gunakan ‘chopstick’, malah ada yang lebih pandai daripada orang Cina,” kata Presiden Pertubuhan Pemeliharaan Warisan Budaya Tang Ah Chai kepada Selangorkini pada 18 Januari.

Masyarakat Cina juga digalak menukar penyepit baharu dalam perayaan Tahun Baharu Cina, biasanya berwarna merah sebagai simbol memulakan hidup baharu. Pada masa sama, ia dikatakan mendatangkan kemewahan dan kehidupan lebih baik.

Menurut Ah Chai yang terlibat dalam usaha pemeliharaan budaya dan warisan selama lebih 30 tahun, penyepit juga dijadikan hadiah kepada tetamu majlis perkahwinan. Malah, sepasang penyepit diibarat pasangan pengantin.

Presiden Persatuan Pemeliharaan Warisan Budaya Tang Ah Chai menunjukkan pelbagai jenis penyepit yang digunakan masyarakat Cina, Jepun dan Korea ketika ditemu bual Media Selangor di Segambut, Kuala Lumpur pada 18 Januari 2022

“Bayangkan, dengan penyepit kita boleh pegang makanan panas, sejuk atau suam-suam. Ia sama seperti pengantin. Kita kena bersama-sama melalui kehidupan tidak kira saat panas, sejuk, masam manis ataupun pahit,” katanya.

Pantang larang

Penyepit juga ada pantang larang tersendiri. Jika menikmati hidangan, misalnya, perbuatan mencucuk penyepit secara tegak di tengah-tengah mangkuk nasi amat ditegah. Penggunaan cara demikian hanya dibuat dalam upacara kematian sahaja.

Penyepit juga tidak boleh dipisah antara satu sama lain. Penggunaanya mesti tertib. Jika diletak di tepi atau dalam mangkuk, kedudukan mesti teratur. Tidak boleh bersepah-sepah. Pengguna yang tidak mematuhi perkara itu dianggap tidak sopan.

“Ia mesti diletak sepasang, jangan pisahkan satu sebelah kiri satu lagi sebelah kanan. Penggunaan tidak sama seperti sudu yang boleh diasing,” tegas Ah Chai.

Jika tidak diamati, bentuknya kelihatan sama. Lurus dan panjang seumpama lidi bersaiz lebih besar. Namun, rekaan perkakasan itu sebenarnya berbeza antara negara, misalnya China, Jepun dan Korea.

Penyepit dari China biasanya berbentuk petak di bahagian pemegang manakala bawahnya berbentuk bulat. Bentuk itu diibarat seperti langit dan bumi.

Penyepitnya juga lebih besar, berat dan panjang berbanding negara lain. Ini memudahkan masyarakatnya menikmati hidangan ketika majlis makan besar.

Di Jepun, bentuk pemegangnya bulat dan muncungnya tajam. Bentuknya begitu kerana penduduk Negara Matahari Terbit lebih banyak memakan ikan. Muncung yang tajam memudahkan mereka mengambil isi ikan.

Berlainan bagi Korea, pemegang dan muncungnya leper dan rata. Tambah unik, semua penyepit di negara itu dihasilkan menggunakan keluli tahan karat. China dan Jepun berbeza, mereka menggunakan buluh atau kayu.

Tambah menarik, penyepit juga dihiasi ukiran motif tertentu. Paling popular motif ikan yang dianggap membawa simbol keuntungan dan kelebihan.

“Jika kita beri hadiah penyepit yang diukir bentuk ikan, maksudnya kita mendoakan seseorang itu dapat keuntungan dan kelebihan,” kata Ah Chai lagi.

Selain itu, empat corak tumbuhan paling kerap diukir iaitu buluh, bunga teh, plum dan orkid.

Buah plum digambar sebagai sesuatu yang mampu berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan. Buluh pula bermaksud berpendirian lurus.

Setiap penyepit dihiasi ukiran dan motif yang melambangkan simbol mengikut kepercayaan masyarakat Cina

Gerakan

Digunakan berbilion penduduk dunia, cara memegang penyepit juga perlu kena gaya dan ada maksud tertentu. Cara betul ialah menggerakkan sebatang penyepit sahaja manakala satu lagi tidak digerakkan.

Pergerakan itu melambangkan gaya hidup yang harus dilakukan masyarakat iaitu ada waktunya kita pantas (menggerakkan penyepit) dan ada masanya perlahan (penyepit yang tidak digerakkan).

“Jika hidup kita ini selalu kena pantas seperti kita gerakkan dua-dua penyepit, sudah tentu kelam-kabut. Tetapi jika dua-dua penyepit tidak digerakkan, apapun tidak jadi, macam orang malas.

“Oleh sebab itu lebih elok jika satu bergerak dan satu lagi diam sahaja. Itulah cara hidup yang betul, kadang kala kita perlu pantas, kadang kala kena ‘slow and steady’ (perlahan dan tenang),” terangnya.