Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor FC ajak penyokong bersatu, tolak sikap ganas segelintir individu

SHAH ALAM, 6 MAC: Selangor FC menentang sekeras-kerasnya insiden pergaduhan antara penyokong pasukan itu dengan Kuala Lumpur City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.

Pasukan Gergasi Merah menerusi kenyataan di Facebook menegaskan keganasan itu mengancam keamanan dan keselamatan penyokong lain yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

“Bola sepak merupakan sukan menyatukan dan menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikannya terpelihara daripada kelakuan tidak berakhlak segelintir individu yang hanya mementingkan diri sendiri.

“Kita semua perlu menitikberatkan keselamatan dan kesejahteraan penyokong terutama dalam kalangan warga emas, kanak-kanak dan wanita supaya bola sepak boleh dinikmati bersama tanpa sebarang keresahan serta rasa ketakutan pada masa akan datang,” katanya.

Tambah kenyataan itu, tiada penyokong yang menjadi mangsa mana-mana kumpulan yang ganas, ekstrem dan berkelakuan membahayakan orang lain.

“Kami berdiri bersama mesej keamanan dalam bola sepak kerana sukan ini adalah untuk semua,” katanya.

Pergaduhan antara penyokong berlaku di luar stadium selepas tamat perlawanan pertama Liga Super. Selangor FC dan KL City berkongsi satu mata selepas terikat jaringan 3-3.