Categories
AGENDA NASIONAL

Perak pula mohon pinjam vaksin Selangor selepas Pulau Pinang

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kerajaan Perak meminjam sejumlah dos vaksin Covid-19 daripada Selangor bagi membolehkan suntikan pelalian diberi kepada penduduk dewasa negeri berkenaan.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad menjelaskan surat rasmi berhubung perkara itu dihantar pagi tadi  kepada kerajaan Selangor, lapor Berita Harian.

“Surat dihantar untuk membolehkan kita meminjam vaksin dari Selangor,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAKATAN- Sungai Rapat) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.

Tanpa memperinci jumlah dos yang ingin dipinjam Saarani menjelaskan vaksin tersebut akan diganti selepas menerima bekalan daripada kerajaan persekutuan.

Hari ini, Dato’ Menteri Besar Selangor berkata pihaknya sedang mempertimbangkan permohonan sebuah negeri lagi yang mahu meminjam vaksin dari program Vaksin Selangor (Selvax).

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan perkara itu kini diurus bersama Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) yang akan memutuskan sama ada membenarkan atau tidak untuk memberi pinjaman berkenaan.

Pada 19 Ogos lalu, Kerajaan Negeri bersetuju meminjamkan sebanyak 500,000 stok vaksin yang dibeli sendiri CITF dan antara negeri bakal menerima bekalan tersebut ialah Kedah, Pulau Pinang serta Sabah.

Esok, sebanyak 200,000 vaksin akan diserahkan kepada Pulau Pinang bagi membantu negeri itu memberi suntikan pelalian lebih cepat untuk penduduk.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Perak kekal 241 orang

IPOH, 25 OGOS: Mangsa banjir di Perak masih kekal seperti petang semalam dengan 241 orang daripada 66 keluarga yang ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua daerah pagi ini.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata jumlah mangsa banjir di daerah Kerian iaitu di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak masih kekal seramai 111 orang daripada 26 keluarga.

“Mangsa banjir di PPS SK Alor Pongsu juga kekal 60 orang daripada 17 keluarga seperti petang semalam. Mangsa banjir di PPS SK Matang di daerah Larut, Matang dan Selama juga kekal 70 orang daripada 23 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, prihatin dengan nasib mangsa banjir dan petugas barisan hadapan termasuk media, seorang peniaga makanan Mohamed Fareed Mohamed Nainar, 46,  menyumbangkan hidangan mi goreng mamak di PPS Alor Pongsu.

Mohamed Fareed berkata usahanya itu bagi meringankan beban mangsa banjir, selain menukar selera mangsa yang berkampung di PPS terbabit sejak Jumaat lepas.

“Saya mengeluarkan modal sebanyak RM400 untuk menyediakan lebih 100 bungkusan mi goreng mamak. Saya ikhlas untuk membantu mereka dan berharap sumbangan kecil saya ini mendapat keberkatan dari Allah SWT bagi membantu mangsa banjir dan petugas barisan hadapan,” katanya yang berniaga di Jalan Harmoni, Alor Pongsu.

Menurutnya, sumbangan itu juga kerana mahu menunaikan nazar kejayaan anaknya Nur Faliha, 18 yang memperoleh 9A dalam periksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kedah, Perak dan Pulau Pinang dilanda banjir, 44 keluarga terjejas

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Seramai 153 orang daripada 44 keluarga masih berada di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah, Perak dan Pulau Pinang setakat pagi ini susulan bencana banjir yang berlaku sejak Rabu.

Di Kedah, dua mangsa daripada satu keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Yan, manakala 32 mangsa daripada enam keluarga lagi berada di dua PPS di Bandar Baharu iaitu PPS SK Sungai Salleh dan PPS SK Selama.

“Sebuah lagi PPS di Yan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi yang dibuka bagi menempatkan mangsa yang positif COVID-19 masih aktif dibuka walaupun tiada kemasukan buat masa ini.

“Selain itu, satu lagi PPS iaitu SMK Lubuk Buntar yang juga tidak mempunyai mangsa masih aktif dibuka,” kata jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah menerusi kenyataan hari ini.

Di Perak pula, seramai 95 orang daripada 29 keluarga dari dua daerah masih ditempatkan di dua PPS.

“Tujuh mangsa daripada sebuah keluarga di daerah Teluk Intan ditempatkan di sebuah PPS iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Smart Batu 8, Jalan Changkat Jong.

“Sementara itu di Taiping, seramai 88 orang melibatkan 28 keluarga kini berada di PPS Sekolah Kebangsaan Matang, berikutan air banjir yang belum surut dan masih tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pagi ini,” kata jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Bencana Perak.

Di Pulau Pinang, pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan Pulau Pinang Phee Boon Poh memaklumkan sebuah PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan( SK) Jawi yang menempatkan 24 orang daripada lapan keluarga, berbanding 35 orang petang semalam.

“Seramai 11 orang daripada tiga keluarga telah dibenarkan pulang selepas air di kawasan rumah mereka surut manakala 24 mangsa banjir lagi masih ditempatkan di PPS SK Jawi kerana kediaman mereka belum selamat untuk diduduki.

“Ada rumah mereka yang air telah surut namun belum sempat untuk pulang cuci kerana kesan banjir dan kotoran yang teruk dalam kediaman,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ketika ini cuaca di negeri ini kelihatan baik dan air di kawasan banjir juga mulai surut.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri zahir tahniah Azizulhasni raih perak di Tokyo

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang meraih pingat perak dalam acara keirin lelaki pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Mohd Azizulhasni membawa pulang pingat itu buat kontinjen negara dalam kejohanan sukan terbesar dunia itu, sekali gus melakar sejarah buat sukan lumba basikal trek negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan pencapaian Datuk Azizulhasni ini sebagai pencapaian yang amat bermakna kepada Malaysia.

“Semestinya seluruh rakyat Malaysia amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang ditunjukkan oleh Datuk Azizulhasni,” menurut catatan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Seri Paduka berdua menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta barisan kejurulatihan pasukan basikal trek negara dan seluruh kontinjen negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Seri Paduka berdua turut mendoakan semua atlet negara memperoleh kejayaan cemerlang dan mengharumkan nama negara pada kejohanan-kejohanan mendatang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan varian Afrika Selatan, penduduk Perak dinasihat berwaspada

IPOH, 7 MEI: Rakyat negeri Perak dinasihatkan agar berwaspada dan terus memperkasa amalan norma baharu susulan penemuan virus Covid-19 varian Afrika Selatan (B1351) yang dilaporkan di negeri itu kerana ia sangat mudah berjangkit.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Perak (Kesihatan Awam) Dr Ummi Kalthom Shamsudin ketika dihubungi Bernama berkata varian itu dikesan di Perak selepas sampel terpilih daripada kes-kes positif dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk penjenisan gen lengkap beberapa minggu lepas.

“Menteri Kesihatan mengumumkan penemuan varian ini di Perak dan Kelantan. Semua warga Perak perlu berwaspada dan bukan hanya daerah tertentu sahaja kerana ia sangat mudah berjangkit,” katanya tanpa mendedahkan butiran mengenai varian itu.

Jabatan Kesihatan Negeri Perak dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook rasminya memaklumkan virus itu sangat mudah menjangkiti individu dan orang ramai dinasihatkan memakai pelitup muka dengan betul serta menjaga penjarakan fizikal bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

“Elakkan berada di kawasan sesak atau sempit, amalkan kerap mencuci tangan dan elakkan bersentuhan. Adalah dinasihatkan juga kepada semua untuk tidak menghadiri atau mengadakan sebarang majlis sosial bagi mengelakkan jangkitan berlaku,” menurut kenyataan itu.

Sebanyak 137 kes baharu dilaporkan di Perak semalam melibatkan 120 jangkitan tempatan manakala 17 lagi kes jangkitan dari luar Perak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Azizulhasni, Muhammad Shah raih penamat podium di Australia

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Pelumba berbasikal trek elit negara Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom terus membuktikan kehebatan apabila meraih penamat podium di Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia semalam.

Mohd Azizulhasni atau dikenali dengan julukan The Pocket Rocketman meraih pingat perak manakala rakan sepasukan Muhammad Shah Firdaus menang gangsa dalam acara pecut lelaki di Velodrom Anna Meares, Brisbane.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 33 tahun itu tewas kepada pelumba Australia Matthew Richardson 2-0 di pentas final, menurut https://results.auscycling.org.au.

“Saya memberikan saingan hebat di final untuk meraih pingat emas, namun Richardson lebih baik. Ia adalah pencapaian yang baik dalam persediaan saya ke Olimpik Tokyo. Saya akan berlumba dalam acara keirin esok,” kata Mohd Azizulhasni di laman Facebooknya.

Terdahulu, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 dalam acara keirin mengenepikan seorang lagi pelumba Australia Leigh Hoffman dan Thomas Cornish masing-masing di peringkat suku dan separuh akhir.

Sementara itu, Muhammad Shah Firdaus mengenepikan seorang lagi pelumba tempatan Nathan Hart di suku akhir sebelum tewas kepada Richardson dalam aksi separuh akhir.

Dalam edisi terdahulu yang berlangsung pada Disember, Mohd Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan kelima dalam acara pecut namun mengungguli acara keirin selepas Mohd Azizulhasni muncul juara manakala rakannya itu meraih gangsa.

Kedua-dua pelumba negara itu meneruskan momentum apabila meraih penamat satu-dua dalam acara pecut Kejohanan Trek Elit Victoria manakala di Kejohanan Victorian State Keirin 2021, Muhammad Shah Firdaus pula menjuarai satu lagi penamat podium bulan lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mangsa banjir di Pahang, Kelantan dan Perak meningkat

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Jumlah mangsa banjir di Pahang, Kelantan dan Perak dilaporkan meningkat tengah hari ini manakala Terengganu dan Johor mencatatkan sedikit penurunan.

Di Pahang, mangsa banjir terus meningkat dengan 10,739 mangsa ditempatkan di 201 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah dengan Kuantan masih menjadi daerah paling teruk terjejas.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 1 tengah hari, Kuantan masih menjadi daerah paling teruk terjejas banjir dengan 3,276 orang dipindahkan, diikuti Maran (1,895), Raub (1,493), Jerantut (1,259), Lipis (1,119), Rompin (742), Temerloh (605) Bentong (215) dan Pekan (135).

Sementara itu, 10 sungai negeri itu masih melebihi paras bahaya iaitu Sungai Jelai di Jeram Bungor dan di Kuala Medang, Lipis; Sungai Tembeling di Kuala Tahan dan Sungai Pahang di Sungai Yap di Jerantut, serta tiga sungai di Kuantan iaitu Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Sungai Kuantan di Pintasan Kuantan serta Sungai Lepar di Jambatan Gelugor.

Turut melebihi paras bahaya adalah Sungai Lipis di Batu Malim, Raub; Kuala Sungai Chini dan Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir di PPS di Gua Musang meningkat tengah hari ini kepada 322 orang daripada 78 keluarga berbanding 296 orang daripada 73 keluarga pagi tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana JKM, ketika ini terdapat penambahan satu PPS yang dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 2 berbanding hanya dua PPS yang diaktifkan pada pagi tadi.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat tengah hari ini, paras Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 60.55 meter (bahaya 59m).

Di Perak, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 894 orang berbanding 615 pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata di daerah Hilir Perak, seramai 124 mangsa kini ditempatkan di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap, 101 mangsa di PPS Dewan MPTI Teluk Intan, 129 mangsa di Dewan Serbaguna Chikus dan 29 mangsa di PPS Dewan Kampung Tanjung Keramat, Langkap.

“Kesemua mangsa merupakan penduduk di Kampung SC Ayer Hitam, Kampung Tengah Ayer Hitam, Kampung Belt Parit 1-8, Kampung Sungai Rambai, Kampung Batu Pecah, Kampung Belakang Kedai Degong dan Pekan Chikus yang terjejas akibat banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata di daerah Kampar pula jumlah mangsa banjir kekal iaitu 27 penduduk Kampung Batu 20 masih berada di dewan kampung itu manakala 26 mangsa dari Kampung Pasir Kuala Dipang juga masih di PPS Dewan Dato Azman Mahalan.

Di daerah Muallim pula terdapat tiga PPS ditutup iaitu PPS Kampung Pauh di Tanjung Malim, Dewan Kampung Pasir dan Surau An-Nur Hidayah, Ulu Slim namun terdapat 458 mangsa di lima PPS di Slim River.

Di Terengganu, situasi semakin baik apabila berlaku penurunan jumlah mangsa ditempatkan di PPS iaitu seramai 645 orang daripada 169 keluarga berbanding 815 orang daripada 207 keluarga, pada 12 tengah hari tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata daerah yang terjejas banjir kekal dua iaitu di Kemaman dan Dungun, dengan tujuh PPS masih dibuka.

“Di Kemaman, jumlah mangsa menurun kepada 445 orang daripada 108 keluarga manakala di Dungun pula, mangsa seramai 200 orang daripada 61 keluarga,” katanya.

Setakat ini, Terengganu masih dilanda hujan renyai dan kadangkala lebat terutama di daerah Kemaman.

Situasi sama turut berlaku di JOHOR, dengan jumlah mangsa banjir menurun kepada 6,991 orang setakat 12 tengah hari ini berbanding 7,112 orang yang direkodkan pada 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata Kluang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi seramai 2,376 orang, diikuti Kota Tinggi 2,029 mangsa dan Johor Bahru 1,279 mangsa.

“Sebanyak 68 PPS dibuka dengan 20 di Kota Tinggi, Kluang (19), Johor Bahru (10), Mersing (enam), Kulai (lima), Segamat dan Pontian, masing-masing tiga dan dua di Batu Pahat,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Jabatan Kerja Raya Johor (JKR), setakat ini beberapa jalan persekutuan dan jalan negeri telah ditutup untuk semua kenderaan berikutan banjir di daerah Kota Tinggi.

Jalan berkenaan ialah Jalan Kota Tinggi-Mersing (Kubu), Jalan Kota Tinggi-Mersing (Batu 16), Jalan Kota Tinggi-Mersing (Risda), Jalan Kota Tinggi-Kluang (Arked Mara), Jalan Lok Heng/Mawai/Sungai Mas (Jambatan Sungai Semalok), Jalan Tai Hong, Jalan Tai Hong (rumah kampung), Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Semanggar (jambatan), Jalan Mawai Lama, Jalan Kampung Kelantan/Kampung Panti dan Jalan Sungai Telor.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 16,000 mangsa banjir dipindahkan di enam negeri

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Enam negeri dilanda banjir dengan kejadian terbaharu di Kelantan dan Perak, manakala jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negara termasuk di Johor, Pahang, Terengganu dan Selangor terus meningkat seramai 16,546 orang, pagi ini.

Di KELANTAN, Gua Musang menjadi jajahan pertama dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak malam tadi dengan dua PPS dibuka bagi menempatkan 296 mangsa daripada 73 keluarga.

Berdasarkan aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 279 daripada 68 keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra 1 manakala 17 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Papan.

Menurut infobanjir.water.gov.my, paras Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang merekodkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 59.27 meter, setakat 8 pagi ini.

Tiga lagi sungai iaitu Sungai Lebir di Tualang dan Sungai Kelantan di Kuala Krai serta Sungai Galas di Dabong mencatatkan bacaan melepasi paras waspada.

Di PERAK, tiga daerah mula dilanda banjir menyebabkan 615 penduduk daripada 161 keluarga dipindahkan ke 10 PPS setakat 8 pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata Muallim menjadi daerah paling teruk terjejas banjir apabila 477 mangsa dipindahkan ke tujuh PPS.

Di daerah Kampar, 27 mangsa dari Kampung Batu 20 dipindahkan ke dewan kampung itu dan 26 mangsa dari Kampung Pasir Kuala Dipang dipindahkan ke Dewan Dato Azman Mahalan selepas rumah mereka dinaiki air.

“Di Hilir Perak pula, 85 mangsa dari Kampung SC Ayer Hitam, Kampung Tengah Ayer Hitam, Kampung Sungai Rambai Chikus dan Batu 9 Simpang 3, Jalan Changkat Jong di Teluk Intan ditempatkan ke Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan,” katanya.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 7,112 orang daripada 1,854 keluarga di lapan daerah setakat 8 pagi tadi, berbanding 6,391 orang malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor R Vidyananthan berkata setakat ini, 68 PPS dibuka dengan 20 di Kota Tinggi, Kluang (19), Johor Bahru (10), Mersing (enam), Kulai (lima), Segamat dan Pontian, masing-masing tiga dan dua di Batu Pahat.

Kluang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,527 orang, diikuti Kota Tinggi (2,029), Johor Bahru (1,279), Kulai (581), Mersing (513), Pontian (347), Batu Pahat dan Segamat, masing-masing 65 orang.

Sementara itu, tiga laluan di Kota Tinggi masih ditutup untuk semua kenderaan iaitu Jalan Sungai Sayong di Jambatan Sungai Sayong, Jalan Tun Sri Lanang di Bandar Kota Tinggi, Jambatan Jalan Semangar manakala Jalan Mawai Lama dibuka untuk laluan kenderaan berat sahaja.

Jalan Haji Suhud Taman Muhibbah, Johor Bahru masih ditutup untuk semua kenderaan berikutan jambatan runtuh manakala di Mersing, Jalan Jemaluang-Batu Pahat serta Jalan Kota Tinggi-Mersing dibuka untuk kenderaan berat sahaja.

“Sementara itu, Jalan Batu Pahat-Mersing di Ladang Pak Loh serta Jalan Batu Pahat-Kluang di Sekolah Menengah Kahang juga masih ditutup kepada kenderaan ringan. Jalan Batu Pahat-Mersing di Pertubuhan Peladang Negeri Johor dan Hock Huat ditutup untuk semua kenderaan,“ katanya.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS meningkat kepada 7,603 orang daripada 2,708 keluarga berbanding 3,979 orang, malam tadi.

Menurut portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 7.30 pagi ini, 164 PPS telah dibuka membabitkan sembilan daerah terjejas di negeri itu.

Kuantan masih mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 2,174 orang diikuti Raub (1,401), Maran (943), Jerantut (878), Rompin (704), Lipis (684), Temerloh (509), Bentong (219) dan Pekan (91).

Portal berkenaan turut memaklumkan Sungai Semantan dan Sungai Pahang di daerah Lipis, Kuantan, Raub, Jerantut kini melepasi tahap bahaya.

Sementara itu, ANIH Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan laluan kilometer (KM) 84.6-84.7 (Lanchang) Lebuhraya Pantai Timur 1 di kedua-dua hala ditutup sepenuhnya mulai 11.30 malam tadi susulan limpahan air melibatkan kedalaman satu meter.

Pengguna dinasihatkan menggunakan jalan alternatif iaitu persimpangan Lanchang-Felda Lakum-Bukit Damar-Mempaga-Chinta Manis- Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK).

Bagi laluan Lanchang di KM113 hala Timur, lorong kiri dan kecemasan ditutup manakala bagi arah barat hanya lorong kecemasan sahaja ditutup susulan dinaiki air.

Di TERENGGANU, mangsa banjir meningkat kepada 804 orang daripada 205 keluarga setakat 8 pagi berbanding 138 orang pada petang semalam, menurut Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

Beliau berkata di Kemaman, jumlah mangsa meningkat kepada 609 orang daripada 145 keluarga dengan penambahan lima PPS menjadikan keseluruhan enam PPS ketika ini di daerah itu.

“Di Dungun pula, mangsa bertambah kepada 195 orang daripada 60 keluarga berbanding 92 orang daripada 29 keluarga sebelum ini. Terdapat penambahan satu lagi PPS menjadikan jumlah keseluruhan PPS beroperasi ialah di tiga lokasi setakat ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan stesen bacaan di tiga sungai iaitu Sungai Tebak di Jambatan Tebak dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik di Kemaman serta Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun merekodkan kenaikan air sungai melebihi paras bahaya setakat 8 pagi ini.

Di SELANGOR, 116 mangsa banjir daripada 36 buah keluarga masih ditempatkan di dua PPS di Hulu Bernam setakat 8 pagi tadi.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata kesemua mangsa banjir itu ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Baru A dan Dewan Orang Ramai Kampung Sekolah Sungai Selisek.

– BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Mangsa banjir Kelantan, Pahang meningkat, Terengganu berkurangan

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Banjir di Kelantan dan Pahang masih mencatat peningkatan manakala keadaan di Terengganu semakin baik.

Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di tiga jajahan di Kelantan terus meningkat kepada 400 orang sehingga 8 pagi ini, berbanding 323 orang petang semalam.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 87 mangsa daripada 18 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) jajahan Kota Bharu iaitu 26 mangsa di Sekolah Kebangsaan (SK) Melor, SK Tiong (50) dan 11 mangsa di Islamic Out Reach ABIM Kok Lanas.

Pasir Puteh pula mencatat jumlah mangsa tertinggi setakat ini dengan enam PPS dibuka iaitu Dewan Kompleks Kamil yang menempatkan 67 mangsa, SK Changgai (17), SK Bukit Jawa 2 (37), SK Kamil 3 (44), SK Sungai Petai (23) dan SK Wakaf Raja (31).

Di Pasir Mas, seramai 74 mangsa daripada 16 keluarga di tempatkan di PPS SK Gual Tok Deh dan 20 mangsa di PPS SK Kubang Kual, manakala di PPS Balai Raya Padang Kijang, Tanah Merah yang menempatkan 12 mangsa daripada tiga keluarga sebelum ini, ditutup.

Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di http://publicinfobanjir.water.gov.my setakat 8 pagi ini, Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras bahaya iaitu pada bacaan 9.59 meter (m) (bahaya 9 m) namun ia adalah trend menurun.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 156 mangsa melibatkan 52 keluarga berbanding petang semalam iaitu 109 mangsa daripada 34 keluarga dengan lapan PPS di Raub beroperasi.

Menurut aplikasi Info Bencana JKM, SK Ulu Sungai menempatkan mangsa paling ramai iaitu 42 orang daripada 11 keluarga dari Kampung Sungai Ulu diikuti Masjid Kampung Kuala Semantan (38 orang, 12 keluarga), Dewan Serbaguna Kampung Pia (26 orang,10 keluarga) dan Masjid Kuala Temau (16 orang, tujuh keluarga).

Selain itu, Balai Raya Kampung Sengkela pula menempatkan 12 orang daripada empat keluarga, SK Tersang (11 orang, tiga keluarga), Balai UMNO Kampung Batu Talam (enam mangsa, empat keluarga) dan Balai Raya Kampung Chenua (lima orang, satu keluarga)

Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my setakat 8 pagi, Sungai Jempol di Ran Felda Jengka, Maran telah melepasi tahap waspada dengan mencatat 29.6 meter paras air berbanding 29 meter setakat 8 pagi ini.

Di PERAK, banjir termenung di Kampung Matang Tengah, Beriah dalam daerah Kerian belum surut dan menyebabkan 27 orang masih berada di PPS SK Changkat Lobak, Bagan Serai setakat pukul 8 pagi ini.

Di TERENGGANU pula, situasi banjir bertambah baik dengan jumlah mangsa berkurangan kepada 1,621 orang daripada 416 keluarga setakat 8 pagi tadi, berbanding 2,130 orang daripada 550 keluarga pada 4 petang semalam.

Penurunan itu berikutan penutupan 10 PPS iaitu lima di Besut, Marang (dua), Hulu Terengganu (dua) dan Dungun (satu) menjadikan jumlah terkini PPS adalah 48.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata mangsa paling ramai adalah di Marang iaitu 527 orang daripada 138 keluarga berbanding 769 orang daripada 203 keluarga petang semalam.

Di Dungun, jumlah mangsa berkurangan daripada 166 orang berbanding 190; Besut (359 mangsa daripada 385); Setiu (268 mangsa daripada 294); Kemaman (43 mangsa daripada 116); Kuala Nerus (134 mangsa daripada 218) dan Kuala Terengganu pula berkurangan kepada 124 orang berbanding 139 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

26 daerah zon merah Covid-19 dalam tempoh 14 hari – CPRC

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Sebanyak 26 daerah di seluruh negara dikategorikan sebagai zon merah dalam tempoh 14 hari iaitu dari 7 hingga 20 Oktober, menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia.

Berdasarkan senarai yang diberikan CPRC, Sabah mencatatkan jumlah zon merah tertinggi dengan 16 daerah manakala Selangor mencatatkan lima daerah, masing-masing dua daerah di Kedah (Kota Setar dan Pokok Sena) dan Pulau Pinang (Timur Laut dan Seberang Perai Selatan), manakala satu di Perak iaitu daerah Larut, Matang, Selama.

Memperincikan 16 daerah di Sabah itu, ia melibatkan daerah Lahad Datu, Kota Kinabalu, Sandakan, Tuaran, Kunak, Papar, Semporna, Tawau, Putatan, Penampang, Ranau, Beaufort, Kota Belud, Keningau, Tambunan dan Kudat.

Lima daerah di Selangor pula melibatkan Klang, Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Kuala Langat.

Dari segi mukim pula, Kedah melibatkan mukim Kota Setar dan Gajah Mati; Pulau Pinang (Georgetown dan Mukim 6); Perak (Taiping); dan Selangor (Klang, Kapar, Sungai Buloh, Petaling, Damansara, Kajang dan Tanjung Dua Belas (1)).

Selain itu, mukim merah di Sabah melibatkan Bandar, Silabukan dan kawasan Felda di Lahad Datu; Kota Kinabalu (Laut, Likas, Pantai, Sembulan, Darat, Kamung Air, Petagas dan Tanjung Aru); Sandakan (Sentosa, Karamunting, Beatrice, Batu Sapi, Sibuga dan Pantai Elopura); Tuaran (Indai, Serusup dan Tambalang); Kunak (Pekan); Papar (Pengalit/Kawang dan Labak/ Kinarut); Semporna (Bugaya dan Tampi-Tampi); Tawau (Sri Tanjung, Merotai dan Balung); Putatan (Petagas dan Lok Kawi); Penampang (Kepayan dan Penampang Baru); Kota Belud (Kulambai); dan Kudat (Tiga Papan).

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Tiga lagi sekolah di Perak ditutup

BAGAN SERAI, 19 OKT: Sebanyak tiga sekolah di Perak diarah tutup selama tujuh hari mulai hari ini selepas terdapat jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan pelajar di sekolah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil negeri Razman Zakaria berkata sekolah terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Kebun di Parit Buntar dan SK Klebang Jaya serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Chemor, kedua-duanya di Ipoh.

Beliau berkata pihaknya dimaklumkan pelajar terbabit disahkan positif jangkitan Covid-19 pada 16 Okt lepas.

“Surat arahan penutupan sekolah selama tujuh hari sehingga 25 Okt sudah dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri dan diedarkan ke sekolah terbabit bagi tujuan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi,” katanya dalam sidang media hari ini.

Penutupan terbaharu itu menjadikan jumlah sekolah yang ditutup di Perak disebabkan terdapat jangkitkan wabak Covid-19 membabitkan guru dan pelajar adalah sebanyak empat termasuk SK Lekir Batu 8 di Sitiawan, Manjung yang ditutup tujuh hari sejak 14 Okt lepas.

Sementara itu, enam sekolah di daerah Larut, Matang dan Selama yang ditutup tujuh hari sejak 12 Okt iaitu SMK King Edward VII; SMK (P) Treacher Methodist; SK Convent Kota; SMK Bukit Jana, Kamunting dan SK Taman Jana, Kamunting yang semuanya di Taiping serta SK Ulu Mengkuang, Selama dibuka semula hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Tawar bertambah 12 kes, kini 33 orang

SHAH ALAM, 15 OGOS: Kementerian Kesihatan mengesan pertambahan 12 kes positif Covid-19 membabitkan kluster Tawar menjadikan jumlah keseluruhan 33 orang setakat ini.

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada jumlah itu 10 kes dicatatkan di Kedah manakala dua di Pulau Pinang.

“Sehingga 15 Ogos 2020 jam 12 tengah hari seramai 657 individu telah disaring dalam kluster ini,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Kes pertama kluster berkenaan iaitu kes ke-9,113 membabitkan lelaki warganegara Malaysia yang juga seorang peniaga.

Beliau yang dikesan positif pada 9 Ogos lalu mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga yang berlangsung dari 31 Julai hingga 1 Ogos 2020.

Pecahan saringan mengikut negeri:

1. Kedah (520 disaring):
– 30 individu positif
– 472 individu negatif
– 18 individu masih menunggu keputusan

2. Pulau Pinang (129 disaring):
– Tiga individu positif
– 119 individu negatif
– Tujuh individu masih menunggu keputusan

3. Perak (lapan disaring):
– Tiada kes positif
– Lapan individu masih menunggu keputusan