Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

PBT siap siaga hadapi banjir, tanah runtuh akibat peralihan monsun

SHAH ALAM, 24 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini bersedia hadapi fasa peralihan monsun yang berisiko menyebabkan masalah banjir dan tanah runtuh, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata selain keperluan peralatan, majlis turut memastikan semua dewan masyarakat dalam keadaan baik dan boleh berfungsi untuk dijadikan pusat pemindahan sementara.

Ng Sze Han

“Skuad Pantas yang menjadi pasukan sokongan akan mengendalikan kes kecemasan dan bencana di setiap PBT juga bersiap siaga untuk digerakkan ke kawasan terjejas.

“Saya harap semua pihak dapat menggembleng tenaga bersama-sama berdepan fasa ini serta membantu mangsa banjir,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Kelmarin, hujan lebat lebih tiga jam di Lembah Klang menyebabkan kawasan sekitar Ampang, Hulu Langat dan Gombak dilanda banjir kilat sehingga mencecah ketinggian 1.5 meter.

Susulan itu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan PBT, KDEB Waste Management bersama pusat khidmat dan penyelaras DUN memberi bantuan kecemasan serta perpindahan.

Manakala Team Selangor dan Sukarelawan Selangor (SERVE) membantu mangsa membersihkan rumah dan persekitaran.

Categories
AGENDA NASIONAL

Fasa peralihan monsun bawa hujan lebat dijangka mula Jumaat ini

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Fasa peralihan monsun dijangka bermula 24 Sept ini dan sehingga awal November menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang bermula sejak 19 Mei lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah dalam kenyataan berkata semasa fasa itu, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah sesuai untuk ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.

“Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak. Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya.

Muhammad Helmi menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MetMalaysia.

Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline MetMalaysia di nombor 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut, katanya.

-BERNAMA