Categories
AGENDA GLOBAL

Malaysia ulangi pendirian kutuk tindakan provokatif cemar Islam

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Kementerian Luar Negeri mengulangi pendirian Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan retorik dan provokatif yang mencemarkan nama baik agama Islam, sebagaimana yang telah disaksikan oleh dunia baru-baru ini dalam bentuk penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad S.A.W.

Menurut kenyataan kementerian itu, pendirian tersebut dizahirkan dalam pertemuan dengan Kuasa Usaha Sementara, Kedutaan Besar Perancis di Kuala Lumpur yang dipanggil ke Wisma Putra hari ini.

“Malaysia komited untuk menegakkan kebebasan bersuara dan ekspresi sebagai hak asasi manusia selagi mana hak ini dilaksanakan dengan penuh hormat dan bertanggungjawab agar tidak berlawanan dan melanggar hak mereka yang lain,” demikian menurut kenyataan itu malam tadi.

Pada pertemuan itu juga Malaysia menyatakan kegusaran terhadap peningkatan ketegangan, ucapan berunsur kebencian dan fitnah terhadap Islam.

“Malaysia berpendapat bahawa ketegangan tersebut tidak akan membolehkan kehidupan bersama secara aman dengan semua agama,” kata kementerian itu.

Malaysia juga menekankan kepentingan inisiatif untuk mengurangkan dan menghapuskan Islamofobia di semua peringkat, dan dalam hal ini, Malaysia akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi meningkatkan rasa saling menghormati antara agama dan mencegah ekstremisme agama.

Menurut laporan media, pada 16 Oktober lalu seorang guru di pinggir kota Paris dipenggal kepalanya setelah menunjukkan beberapa karikatur Nabi Muhammad yang disiarkan dalam Charlie Hebdo kepada para pelajarnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Menteri kebudayaan Perancis dijangkiti Covid-19

PARIS, 10 MAC: Menteri Kebudayaan Perancis Franck Riester disahkan dijangkiti Covid-19, namun berada dalam keadaan baik dan kini menjalani kuarantin di rumah, lapor agensi berita Xinhua.

Menteri itu pada minggu lalu menghadiri beberapa sesi perbahasan di Dewan Negara, memetik televisyen BFM.

Terdapat 1,412 kes di Perancis dengan 25 kematian setakat 3 petang (1400 GMT) Isnin, menurut Kementerian Kesihatan.

-BERNAMA

Categories
RENCANA

EU, Perancis bukan musuh minyak sawit

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Kesatuan Eropah (EU) dan Perancis bukan musuh minyak sawit dan kedua-dua pasaran itu akan terus terbuka menerima tanaman tersebut terutamanya sekarang dengan dasar-dasar berwibawa kerajaan Pakatan Harapan dalam melindungi alam sekitar.

Dalam membuat kenyataan itu, Duta Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche mengakui bahawa perkaitan antara minyak sawit dengan penebangan dan kemusnahan hutan sejak sekian lama telah menjejaskan imejnya tetapi keadaan telah berubah.

“Saya dapat lihat bahawa kerajaan Malaysia sedang menangani dengan positif isu alam sekitar dan defisit kepercayaan dalam kalangan pengguna Eropah. Ia menumpukan usahanya bagi dua objektif ini, yang saya fikir adalah sangat baik dan penting.

“Di satu pihak, anda ada persediaan untuk mempromosikan minyak sawit dan memperbaiki imejnya yang masih negatif dalam pandangan umum. Jadi kerajaan melancarkan kempen promosi Love MY Palm Oil (Sayangi Minyak Sawit Malaysia) bagi membantu membersihkan nama tanaman itu,” katanya kepada Bernama.

“Dan keduanya, pembangunan dasar untuk menggalakkan perlindungan alam sekitar, termasuk mengekalkan lebih 50 peratus hutan hujan tropika dengan pelbagai biodiversiti, mengehadkan jumlah bagi kawasan sawit di Malaysia pada 6.5 juta hektar (daripada 5.8 juta hektar pada 2018) dan tiada penanaman sawit di tanah gambut serta menambah baik kelestarian sememangnya penting untuk mendapatkan kembali kepercayaan pengguna Eropah. Dan ini adalah sesuatu yang kami boleh menyokong sepenuhnya,” kata Laplanche.

Tiada larangan ke atas minyak sawit

Perkembangan lain yang menggalakkan adalah langkah Sabah mengguna pakai sepenuhnya pensijilan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan di peringkat persekutuan, usaha bagi inisiatif pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

“Selain Kementerian Industri Utama, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim juga merangka dasar kukuh bagi pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan solar.

“Selain itu, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli membangunkan dasar-dasar untuk membendung penebangan hutan di kawasan yang terdegradasi. Jadi gabungan semua ini akan menjadikan dasar lebih kukuh dan berwibawa bagi alam sekitar,” jelasnya.

Laplanche menegaskan bahawa tidak ada larangan minyak sawit memasuki EU, tetapi apa yang berlaku adalah Perancis dan EU secara keseluruhan beransur-ansur menarik balik insentif bagi minyak sawit untuk ditambah ke dalam campuran diesel.

“Alasan (penarikan balik insentif itu) adalah kerana pengiraaan yang dibuat menunjukkan terdapat masalah keseimbangan dan kesan karbon.

“Sudah tentunya saya perlu terangkan bahawa, walaupun tiada larangan, langkah-langkah ini kemungkinan akan membawa kepada pengurangan penggunaan minyak sawit sebagai biofuel di Eropah, bergantung kepada harga bahan api fosil.

“Sememangnya, dengan menarik balik insentif fiskal itu, kes ekonomi bagi menambah minyak sawit ke dalam diesel akan luput kerana minyak sawit lebih mahal berbanding bahan api fosil tradisional pada harga pasaran semasa.

“Namun, penting untuk memahami bahawa ia bukan larangan, dan kami hanya memperkatakan tentang menarik semula insentif, dan hanya bagi minyak sawit sebagai biofuel. Tidak ada sama sekali perubahan dalam dasar berkaitan minyak sawit digunakan bagi produk makanan dan bahan asas bagi industri oleokimia di peringkat Perancis mahupun EU,” katanya.

EU bukan musuh minyak sawit

Beliau berkata EU adalah antara yang pertama memperkenalkan insentif bagi biofuel dan merupakan antara rantau terakhir di dunia yang masih memberikan insentif bagi minyak sawit dan biofuel.

“Kebanyakan negara lain sama ada tidak pernah memberikan insentif bagi minyak sawit untuk memasuki pasaran mereka sebagai biofuel ataupun telah menarik baliknya sejak lama dahulu. Oleh itu saya tidak mahu orang memikirkan bahawa EU adalah musuh minyak sawit, dan Malaysia. Ia tidak benar,” katanya.

EU, katanya, sentiasa menyediakan pasaran yang besar bagi minyak sawit Malaysia, dan menjadi pelanggan kedua terbesar minyak sawit di dunia, di belakang India.

Beliau juga berkata EU tidak akan mengubah tarif import ke atas minyak sawit dan malahan, tarif bagi minyak sawit diimport ke kesatuan itu adalah antara yang terendah di dunia.

Paris baru-baru ini mengeluarkan perangkaan baharu bagi perdagangan dua hala Perancis-Malaysia, yang menunjukkan peningkatan 11.4 peratus bagi eksport Malaysia ke Perancis tahun lepas dalam semua produk, mencecah lebih daripada RM11 bilion.

Dengan pertumbuhan lebih sederhana eksport Perancis ke Malaysia pada 3.4 peratus, negara ini mencatatkan lebihan perdagangan hampir RM2 bilion dengan Perancis, peningkatan 73 peratus berbanding 2017.

Wujudkan dialog Malaysia, Perancis

Sementara itu, Laplanche turut membangkitkan keperluan menjalin dialog lebih erat antara kerajaan Perancis dan Malaysia.

“Itulah yang kami usahakan pada masa ini, mewujudkan seberapa banyak dialog dengan kerajaan dan pengeluar minyak sawit.

“Malah, kami turut memutuskan untuk membawa Duta Alam Sekitar kami, Yann Wehrling melawat Malaysia pada awal April (lepas). Beliau dibawa ke Sabah bagi meninjau projek pemuliharaan, habitat hidupan liar serta ladang kelapa sawit untuk melihat sendiri apa yang sebenarnya berlaku di situ.

“Seterusnya kami kembali ke Kuala Lumpur untuk mengadakan sesi dengan jawatankuasa bersama kedua-dua kerajaan membabitkan kerjasama minyak sawit. Secara asasnya, pasaran di Perancis dan Eropah akan terus terbuka bagi minyak sawit Malaysia,” katanya.

Ditanya sama ada EU akan kekal sebagai pembeli minyak sawit kedua terbesar dunia, beliau berkata sebarang perubahan itu adalah mengikut populasi dan pembangunan di negara lain.

“Kami mempunyai rakyat seramai 500 juta orang manakala China ada kira-kira 1.4 bilion penduduk, India 1.3 bilion penduduk…namun saya berani katakan bahawa Eropah, termasuk Perancis akan terus menjadi pelanggan penting minyak sawit,” katanya.

Pada 2018, India merupakan pembeli minyak sawit terbesar dunia iaitu sebanyak 15 peratus dan diikuti EU (12 peratus), China (11 peratus), Pakistan (7.0 peratus), Filipina (4.0 peratus), Turki (4.0 peratus) dan Amerika Syarikat (3.0 peratus).

Kerjasama pertanian

Selain itu, Laplanche turut menggesa agar Malaysia dan Perancis mewujudkan kerjasama dalam bidang alam sekitar dan pertanian.

Beliau berkata, sama seperti Malaysia, pertanian di Perancis juga berteraskan ladang milik keluarga dan negara itu boleh berkongsi pengalaman dari segi pembangunan pertanian organik dan penjenamaan tempatan yang khusus dalam konteks pertanian ladang kecil.

“Menerusi pengalaman ini, Perancis mahu ketengahkan lebih banyak nilai untuk ladang milik keluarga. Itulah yang kami harap dapat paparkan dalam dialog dengan Malaysia.

“Bagi minyak sawit pula, kami mempunyai sebuah pusat penyelidikan di sini yang mengkaji agronomi minyak sawit dan dikenali sebagai CIRAD (Pusat Penyelidikan Pertanian bagi Pembangunan Antarabangsa). Inilah bidang yang boleh kita usahakan bersama bagi memastikan hasil sawit ini dapat tumbuh dalam persekitaran terbaik.

“Anda boleh meningkatkan pendapatan tanpa perlu menambah jumlah kawasan (penanaman). Hasil di kawasan sama dapat ditingkatkan dan itulah antara misi yang sedang diusahakan oleh pusat penyelidikan Perancis itu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI

Pendekatan lebih telus galak hubungan Malaysia-Perancis

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Pendekatan kerajaan Malaysia baharu menonjolkan ketelusan, memerangi rasuah dan persekitaran ekonomi yang baik menggalakkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Perancis.

Duta Besar Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche berkata ia membolehkan Pelaburan langsung asing (FDI) memberi kesan positif kepada perdagangan dua hala, di mana lebih banyak pelabur Perancis akan datang dan melabur di sini.

“Persekitaran ekonomi kini lebih menarik khususnya kepada pelabur asing. Ia satu perkara yang bagus apabila melihat dimensi ekonomi kedua-dua negara, khususnya aliran FDI pelaburan Perancis ke Malaysia berjalan dengan baik, setakat ini.

“Daripada apa yang saya lihat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, terdapat kemasukan pelaburan asing Perancis baharu ke Malaysia ke dalam sektor berbeza. Hubungan perdagangan antara Malaysia dan Perancis juga sangat positif dan dinamik.”

Beliau berkata eksport Malaysia ke Perancis meningkat 11.4 peratus tahun lepas manakala eksport Perancis ke Malaysia menokok sebanyak 3.4 peratus.

Laplanche berkata demikian kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama dalam satu temu bual sempena setahun pemerintahan kerajaan Malaysia baharu di bawah Pakatan Harapan (PAKATAN).

Mengulas lanjut, Laplanche berkata satu daripada bidang pelaburan asing yang menjadi tradisi Perancis ialah industri aeroangkasa, yang jelas digambarkan dengan penyertaan delegasi negara ini pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) bulan Mac lalu.

Jumlah projek baharu yang diumumkan semasa pameran itu, menurutnya isyarat jelas kepercayaan kerajaan Perancis di Malaysia dan komitmennya terhadap hubungan erat antara Paris dan Kuala Lumpur dalam sektor maritim dan aeroangkasa.

“LIMA 2019 merupakan pameran yang sangat berjaya dan menjadi platform untuk mengumumkan inisiatif pelaburan baharu oleh syarikat Perancis di Malaysia, program kerjasama baharu antara Angkatan Udara kita dan institusi pendidikan.

“Kerjasama pertahanan dan keselamatan, telah bermula semasa Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) pertama kali menjadi Perdana Menteri, kini ia terus kukuh dan berkembang. Buktinya menerusi kehadiran kami dan banyak syarikat Perancis di LIMA 2019, saya gembira dengan kerajaan baharu ini dan semua inisiatif yang ada,” katanya.

Banyak projek baharu dimumkan kali ini termasuk Dassault Aviation yang mengembangkan sayapnya ke Malaysia melalui pemerolehan kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan membaik pulih (MRO) ExecuJet Malaysia di Lapangan Terbang Subang.Fasiliti itu akan berkembang menjadi pusat MRO untuk pesawat Falcon di Asia.

Tambahnya Airbus juga telah mengumumkan pembukaan pusat menyiapkan dan penghantaran serantau yang baharu untuk helikopter dan meluaskan fasiliti latihannya bagi menampung helikopter baharu, semuanya di lapangan terbang yang sama.

Laplanche berkata meskipun terdapat banyak inisiatif baharu dilancarkan di bawah kerajaan PAKATAN, namun beliau berharap lebih banyak bidang lain yang berpotensi akan diterokai – seperti pendidikan, sosio-budaya dan perubahan iklim.

“Bercakap mengenai pelaburan jangka panjang, aspek budaya juga penting. Saya mahu melihat lebih banyak (promosi) budaya Malaysia di Perancis, dan ia antara bidang kita akan bekerjasama dengan kerajaan baharu. Tidak ketinggalan kerjasama berkaitan perubahan iklim dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Perancis adalah antara negara Eropah pertama mengadakan hubungan diplomatik dengan Malaysia selepas negara ini mencapai kemerdekaannya pada 1957.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Azizah: Pemimpin politik Perancis akui kempen antisawit tidak berasas

PARIS, 20 MAC: Beberapa ahli Parlimen dan pemimpin politik Perancis mengakui bahawa kempen negatif Kesatuan Eropah (EU) mengenai minyak kelapa sawit Malaysia adalah tidak berasas, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pandangan itu disuarakan ahli Parlimen dan pemimpin politik terbabit, ketika mengadakan pertemuan dengan Wan Azizah di sebuah hotel di sini.

“Ahli Parlimen itu menyatakan bahawa mereka telah pergi ke Malaysia dan merasakan bahawa memang Malaysia mempunyai satu persekitaran yang baik (berkaitan industri kelapa sawit) dan mengakui bahawa kelapa sawit kita telah mendapat publisiti yang negatif.

“Mereka sendiri pernah ke Malaysia dan melihat sendiri dan mereka tahu bahawa kempen negatif ini memang tidak berasas dan mengakui bahawa kelapa sawit Malaysia bukan seperti yang didakwa sebagai ‘bad practice’,” katanya kepada BERNAMA dan RTM di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah dalam rangka kerja empat hari ke Perancis bermula Ahad lalu dengan agenda utama bagi mempengerusikan mesyuarat Biro Pengurusan Transformasi Sosial (MOST) dan Sesi ke-14 Majlis Antara Kerajaan bagi MOST.

MOST ialah program sains antara kerajaan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) mengenai transformasi sosial.

Wan Azizah berkata, dalam pertemuan itu ahli Parlimen dan pemimpin politik Perancis terbabit turut terkejut apabila dimaklumkan bahawa Malaysia masih mempunyai lebih 53 peratus keluasan hutan.

“Menerusi kempen negatif mengenai industri sawit Malaysia, mereka diberitahu hutan Malaysia telah berkurangan, tetapi sebenarnya kita ada lebih 53 peratus.

“Saya juga memberitahu mereka mengenai hidupan liar kita yang masih ada dan terpelihara seperti harimau Malaysia (Malayan tiger) dan orang hutan,” katanya.

Dua anggota Parlimen Perancis yang hadir dalam pertemuan dengan Wan Azizah itu ialah anggota parti LaREM, Anne Genetet dan anggota parti UDI Meyer Habib. Mereka disertai tiga lagi pemimpin politik Perancis yang lain.

Industri minyak sawit negara berhadapan kritikan meluas dalam beberapa tahun ini, kerana dikaitkan dengan penebangan hutan yang menjejaskan alam sekitar.

Parlimen EU sebelum ini turut meluluskan resolusi memboikot penggunaan produk minyak sawit yang dihasilkan menerusi cara tidak mampan menjelang 2030.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Macron tangguh kenaikan cukai bahan api 6 bulan

PARIS 5 DIS: Perdana Menteri Perancis, semalam menggantung cadangan menaikkan cukai bahan api sekurang-kurangnya enam bulan sebagai reaksi kepada bantahan beberapa minggu yang kadang-kadang bertukar ganas.

Pengumuman itu adalah tindakan berpatah paling terbesar pertama dibuat pentadbiran Presiden Emmanuel Macron sejak memegang jawatan itu 18 bulan lalu.

Ketika mengumumkan keputusan itu, Edouard Philippe, berkata cuma individu ‘pekak atau buta’ sahaja yang tidak nampak atau dengar kemarahan orang ramai di jalan raya berhubung dasar yang dipertahankan Macron sebagai penting untuk menangani perubahan iklim.

“Rakyat Perancis yang memakai ves kuning mahu cukai diturunkan, dan bekerja untuk membayarnya.

“Itu juga yang kami mahukan. Jika saya tidak mampu menjelaskannya, jika pemerintah tidak dapat meyakinkan rakyat, sesuatu perlu dilakukan

“Tidak berbaloi membahayakan perpaduan negara kerana cukai,” kata Philippe.

Selain penangguhan kenaikan cukai yang ditetapkan pada Januari ini, Philippe berkata, tempoh itu akan digunakan untuk membincangkan langkah lain membantu pekerja miskin dan kelas pertengahan yang bergantung kepada kenderaan untuk pergi ke tempat kerja dan membeli-belah.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Perancis haramkan bawa telefon pintar di sekolah

PARIS 2 OGOS: Telefon pintar dan tablet diharamkan di seluruh sekolah di Perancis menjelang tahun akademik baharu, selepas satu undang-undang baharu diluluskan Parlimen kelmarin.

Pengharaman melibatkan semua pelajar sehingga berusia 15 tahun itu berkuat kuasa September ini bagi mengekang ‘ketagihan skrin’ dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.

Undang-undang baharu itu sebagai memenuhi janji kempen Presiden Emmanuel Macron, tetapi telah dikritik oleh pembangkang sebagai ‘aksi publisiti’.

Pembangkang menggelar rang undang-undang itu sebagai ‘kosmetik’ dan berkata tidak akan membawa sebarang kesan dalam kehidupan sebenar.

Di bawah undang-undang baharu, semua gajet berkaitan perlu ditinggalkan di rumah atau dimatikan sehingga akhir persekolahan.

Sekolah boleh membuat pengecualian untuk ‘penggunaan pedagogi’, aktiviti kokurikulum atau bagi murid orang kelainan upaya.

Sekolah-sekolah tinggi pula boleh memutuskan secara individu sama ada untuk mengenakan larangan sebahagian atau keseluruhan terhadap pengha­raman gajet berkenaan.

Undang-undang sebelum ini yang diluluskan pada tahun 2010 telah pun melarang penggunaan telefon pintar di dalam kelas.

Menteri Pendidikan, Jean-Michel Blanquer berkata, undang-undang awal tidak dikuatkuasakan kerana terdapat kelemahan, manakala undang-undang baharu bertujuan membawa perubahan kepada Perancis pada abad ke-21.

“Larangan itu menghantar mesej kepada rakyat Perancis serta negara-negara lain di seluruh dunia,” katanya.

SUMBER: AFP

Categories
SUKANKINI

Perancis juara Piala Dunia 2018

GLOBAL 16 JUL: Perancis mempamerkan aksi bergaya apabila berjaya menumbangkan Croatia dengan jaringan 4-2 untuk seterusnya dinobatkan sebagai juara Piala Dunia edisi 2018.

Perancis memperolehi gol awal menerusi  gol sendiri pemain Croatia pada minit ke-18 apabila tandukannya menerjah gawang sendiri untuk Perancis mendahului 1-0.

Tersentak dengan gol awal itu Croatia memperhebatkan serangan dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-28 menerusi jaringan Perisic.

Perancis terus mendapat gol kedua melalui sepakan penalti Griezman pada minit ke 38 untuk mendahului dengan 2-1.

Bersambung separuh masa kedua, Perancis terus menambah derita Croatian apabila memperolehi gol ketiga melalui jaringan Pogba pada minit ke-59 dan gol keempat pada minit ke-65 menerusi Mbappe.

Croatia walaupun ketinggalan 4-1 terus berusaha merapatkan jurang jaringan apabila memperolehi gol kedua pada minit ke-69 menerusi Mandzukic untuk kedudukan 4-2.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dan kedudukan itu mengesahkan Perancis muncul sebagai juara Piala Dunia untuk  edisi 2018 selepas menanti selama 20 tahun.

Categories
SUKANKINI

WC2018: Mbappe bantu Perancis pastikan Argentina tersingkir

OLEH AFIX REDZUAN

RUSIA, 1 JULAI: Kylian Mbappe muncul sebagai wira apabila mencipta dua gol bagi membantu Perancis menyingkirkan Argentina 4-3 pada peringkat 16 pasukan terbaik Piala Dunia Rusia 2018.

Perancis terlebih dahulu dihadapan 1-0 menerusi penalti yang disempurnakan Antoine Griezmann pada minit ke-13 selepas Marcos Rojo menjatuhkan Kylian Mbappe.

Pada minit ke-25 Javier Mascherano melakukan lorongan bola terus ke kotak penalti Perancis tetapi gagal disambut Cristian Pavon sebaliknya penjaga gol, Hugo Lloris berindak pantas mengawal keadaan.

Gandingan Paul Pogba dan Griezmann terus menghadirkan ancaman buat Argentina pada minit ke-27 tetapi gagal menghasilkan penyudah dimahukan.

Sebaliknya Argentina yang mengasak mencari gol penyamaan akhirnya berjaya merobek gawang Perancis pada minit ke-41.

Angel Di Maria memastikan kedudukan 1-1 sebelum babak pertama berakhir selepas melepaskan rembatan deras kaki kiri dari luar kotak penalti yang tidak mampu diselamatkan Lloris.

 

Bersambung babak kedua, Argentina akhirnya di hadapan mendahului 1-2 hasil penyudah Gabriel Mercado pada minit ke-48.

Berpunca daripada gerakan Lionel Messi, Mercado yang berjaya melepasi perangkap ofside berjaya menampan bola yang terus menerjah jaring sekaligus mengelirukan lloris di gawang Perancis.

Kegembiraan Argentina hanya bertahan 10 minit sebelum Benjamin Pavard menjadikan kedudukan 2-2 buat Perancis pada minit ke-58.

Pemain pertahanan kanan itu berjaya menyambut hantaran lintang Lucas Hernandez dari sebelah kiri sebelum melepaskan rembatan lencong yang terus masuk menerjah gawang Argentina tanpa mampu digapai penjaga gol, Franco Armani.

Mbappe kembali meletakkan Perancis mendahului 3-2 pada minit ke-64 selepas berjaya merembat masuk bola hasil situasi kelam kabut dihadapan gawang Argentina.

Argentina terus merana pada minit ke-69 apabila Mbappe mencetak jaringan kedua peribadi apabila melepaskan rembatan kencang hasil lorongan Olivier Giroud bagi kedudukan 4-2 buat Perancis.

Peluang terbaik Argentina merapatkan kedudukan menerusi Messi pada minit ke-85 tetapi rembatannya terus ke dakapan Lloris.

Sergio Aguero merapatkan kedudukan 4-3 buat Argentina pada penghujung babak menerusi tandukan hasil hantaran Messi namun sudah terlambat menghalang kemaraan Perancis ke suku akhir.

Kredit Foto: Facebook FIFA World Cup

Categories
GLOBAL

Perancis cabar Beijing di Laut China Selatan, hantar kapal perang

PARIS 13 JUN: Perancis meningkatkan kehadiran ketenteraannya di rantau Indo-Pasifik dengan menghantar kapal-kapal perang ke Laut China Selatan dan merancang latihan udara sebagai tindak balas terhadap pembinaan pangkalan ketenteraan China di kawasan perairan yang menjadi pertikaian.

Pada akhir bulan Mei, kapal perang Perancis Dixmude dan sebuah kapal frigat berlayar melalui Kepulauan Spratly dan kawasan terumbu yang diubah menjadi sebuah pulau kecil China untuk menolak tuntutan Beijing yang mahu menguasai sebahagian besar Laut China Selatan dikatakan kaya de­ngan sumber alam.

“Kami meronda hampir dengan pulau-pulau kecil ini untuk mendapatkan maklumat risikan menggunakan semua peranti yang ada di perairan antarabangsa,” kata pegawai komander Dixmude, Jean Porcher, kepada wartawan dalam temu bual video.

Porcher berkata, kapalnya mengekalkan hubungan radio “mesra” dengan kapal tentera China yang hadir di kawasan itu sehinggalah kapal perang Perancis beredar.

Sehingga kini Amerika Syarikat (AS) mengetuai usaha menentang tuntutan China terhadap wilayah di Laut China Selatan yang turut melibatkan beberapa negara jiran terutamanya Vietnam.

Perancis, selain Britain adalah satu-satunya negara Eropah yang secara berkala menghantar angkatan laut ke rantau itu dengan menghantar kapalnya ke Laut China Selatan sebanyak tiga hingga lima kali setahun.

Sementara itu, portal berita CNN berkata, sistem peluru berpandu China dilaporkan muncul semula di pulau yang dipertikaikan di Laut China Selatan, beberapa hari selepas imej satelit menunjukkan senjata itu telah dikeluarkan dari kawasan ber­kenaan.

ImageSat International (ISI) pada awal bulan Jun mengeluarkan imej menunjukkan kawasan di mana senjata itu ditempatkan sebelum ini bertukar menjadi tanah lapang.

Bagaimanapun analisis risikan baharu yang dikeluarkan semalam, organisasi itu berkata, senjata berkenaan muncul semula di Pulau Woody di rantaian pulau Paracel.

ISI berkata, kemungkinan senjata itu hanya dipindahkan ke pulau lain sebagai sebahagian daripada latihan ketenteraan.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

Perancis berdepan mogok besar-besaran kereta api

PARIS 18 APR: Pengendali kereta api Perancis memberi amaran, pembatalan perkhidmatan secara besar-besaran berikutan pusingan baharu mogok kakitangan yang diadakan sempena demonstrasi diketuai kesatuan menentang Presiden Emmanuel Macron minggu ini.

Pusingan terbaharu mogok dan perhimpunan industri diadakan ketika kesatuan perdagangan terus memberi tekanan meningkat ke atas Macron, cuba memaksa beliau menarik balik pembaharuan meluas perkhidmatan kereta api dan sektor awam.

Pengendali kereta api kerajaan, SNCF berkata pusingan keempat mogok yang bermula awal bulan ini akan secara teruk mengganggu perkhidmatan hari ini dan esok, dengan hanya satu daripada tiga kereta api laju TGV beroperasi.

Hanya satu daripada empat kereta api serantau antara bandar dan satu daripada tiga tren ke Switzerland akan beroperasi.

Perkhidmatan Eurostar ke London bagaimanapun sedikit terjejas dengan empat daripada lima tren beroperasi.

Pembuat dasar dewan rendah Parlimen lewat semalam mengundi sebulat suara menyokong satu pembaharuan rangkaian kereta api yang akan menghapuskan keistimewaan pekerja kereta api dan mengubah status SNCF.

Selepas undian 454 berbalas 80 dalam Perhimpunan Kebangsaan, badan perundangan disokong parti pimpinan Macron dan pembangkang tengah-kanan, beralih ke Senat.

Macron berharap undang-undang itu akan diluluskan segera, menekankan mogok yang dijadualkan sehingga akhir Jun ini.

Beliau disokong sebahagian besarnya oleh pendapat awam, dengan 61 peratus responden dalam tinjauan terbaharu Ifop berkata mereka mahu kerajaan segera melakukan pembaharuan.

Sebaliknya kesatuan perdagangan berikrar untuk meneruskan perjuangan mereka.

Kesatuan menggesa pemberhentian kerja dan bantahan seharian di seluruh negara esok (Khamis) sebagai sebahagian usaha menggerakkan pelbagai kumpulan menentang pembaharuan Macron.

Kakitangan awam, pekerja di rumah persaraan kerajaan dan pelajar digesa menyertai bantahan yang mungkin menyebabkan ratusan ribu penunjuk perasaan berarak di jalanan.

Kira-kira 300,000 kakitangan awam, pekerja kereta api dan pelajar mengambil bahagian dalam bantahan antiMacron 22 Mac lalu.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Usia 3 tahun ditetapkan wajib bersekolah di Perancis

GLOBAL 29 MAC: Kerajaan Perancis di bawah pembaharuan diumumkan Presiden Emmanuel Macron menetapkan kanak-kanak di negara itu bakal memulakan sesi persekolahan mereka pada usia tiga tahun berbanding enam tahun ketika ini.

Agensi Berita BBC NEWS melaporkan, perubahan itu dilihat membolehkan Perancis menjadi satu daripada negara yang mewajibkan persekolahan pada peringkat umur paling muda di Eropah.

Pembaharuan itu, bagaimanapun hanya melibatkan sejumlah kecil kanak-kanak ketika majoriti keluarga di Perancis telahpun menghantar anak-anak mereka ke sekolah ketika berusia tiga tahun lagi.

Berdasarkan data diperoleh kerajaan, hanya 2.4 peratus kanak-kanak tidak mendaftar persekolahan mereka pada usia itu.

Macron berkata, perubahan itu bertujuan mengurangkan ketidakseimbangan dalam pendidikan ketika ibu bapa di kawasan miskin Perancis dan wilayah luar negara tidak cenderung menghantar anak-anak mereka ke sekolah pada usia lebih awal.

Di Paris, sebanyak 93 peratus kanak-kanak berusia tiga tahun didaftar bersekolah tetapi angkanya adalah jauh lebih rendah di beberapa buah wilayah lain di Perancis.

“Saya harap dengan kewajipan ini, bermula pada sesi persekolahan 2019, kita boleh memperbetulkan perbezaan ini,” katanya.

Macron pada masa sama memuji perubahan itu sebagai titik permulaan dalam sistem pendidikan Perancis.

SUMBER: BBC NEWS