Categories
AGENSI SELANGOR

Untung bersih Kumpulan Perangsang Selangor merosot

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Keuntungan bersih Kumpulan Perangsang Selangor Bhd merosot kepada RM2.93 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2019 daripada RM38.30 juta pada tempoh sama 2018.

Perolehan juga berkurangan kepada RM159.16 juta daripada RM161.28 juta bagi tempoh yang sama.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perangsang Selangor, Ahmad Fariz Hassan berkata, perolehan kekal kukuh dengan perniagaan pembuatan menyumbang RM109.6 juta kepada perolehan syarikat.

Bagaimanapun, prestasi kewangan syarikat terjejas berikutan sumbangan rendah daripada bahagian infrastruktur dan utiliti, yang merekodkan perolehan lebih rendah sebanyak RM26.9 juta pada separuh pertama 2019 berbanding RM50.7 juta pada separuh pertama 2018.

Mengenai prospek, Ahmad Fariz berkata pihaknya telah menyelesaikan pembelian ke atas Toyoplas Manufacturing (M) Sdn Bhd pada RM311.25 juta baru-baru ini.

“Pembelian itu adalah langkah strategik untuk melonjakkan pertumbuhan pendapatan, memandangkan Toyoplas berpotensi dalam meneroka pasaran baharu serta memperluaskan jumlah pelanggannya di seluruh industri penting seperti automotif, kelengkapan pengguna dan multimedia,” katanya.

– BERNAMA