Categories
ADN SELANGOR

Thaipusam: Masyarakat diseru ikut SOP demi keselamatan, kesihatan

SHAH ALAM, 16 JAN: Masyarakat Hindu diseru supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sempena perayaan Thaipusam demi keselamatan dan kesihatan semua pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Hindu Selangor V Ganabatirau berkata langkah itu penting bagi mengelak penularan wabak ketika menyambut perayaan terutama terhadap kanak- kanak dan warga emas.

“Walaupun disambut dengan keadaan SOP tetapi kebenaran untuk masyarakat Hindu membayar nazar dan sembahyang masih dibenarkan.

“Oleh demikian, saya seru masyarakat Hindu sucikan rohani dan tidak melawan apa yang ditetapkan kerajaan supaya niat baik dapat dilaksanakan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada Rabu Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique mengumumkan upacara ‘paal koodam’, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’ bagi perayaan Thaipusam.

SOP yang ditetapkan bagi Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves termasuk jumlah pengunjung tidak melebihi 6,000 orang setiap hari, pengunjung untuk ‘paal koodam’  pula dihadkan tidak melebihi 100 orang dan setiap sesi sembahyang selama 30 minit diikuti proses sanitasi.

Kerajaan juga tidak membenarkan gerai jualan sementara dalam bentuk promosi atau jualan di dalam atau luar kawasan kuil sebagai langkah mencegah penularan Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sambut perayaan secara sederhana, jangan jadi punca Covid-19 merebak

KLANG, 16 JAN: Seorang akauntan berharap orang ramai  patuh tatacara operasi piawai (SOP) ketika menyambut perayaan bagi memutuskan rantaian Covid-19 dengan harapan ini adalah kali terakhir disambut dalam suasana sederhana.

Kui Ying

Kui Ying, 27  mengakui sedih dengan situasi yang dialami namun sedar jika sambutan besar-besaran diadakan ia mungkin memberi kesan perebakan Covid-19.

“Tahun Baharu Cina kali ini kami sekeluarga duduk rumah sahaja, kalau nak keluar ke rumah saudara bimbang kita pula menjadi punca pembawa penyakit. Jadi sambut dalam talian sahaja, boleh buat panggilan video.

“Saya harap semua pihak dapat bekerjasama, patuh SOP dan semoga tiada lagi varian yang pelbagai kerana kita mahu sambut perayaan seperti biasa selepas ini,” katanya ketika ditemui di Cetro Mall di sini.

Chow Keh Ming

Bagi warga emas, Chow Keh Ming, 60, beliau akur tidak dapat menyambut Tahun Baharu Cina secara besar-besaran kerana memahami negara masih dalam situasi pandemik.

“Adalah lebih baik orang ramai ikut arahan kerajaan dan patuh SOP yang ditetapkan. Kita semua perlu bertanggungjawab demi keselamatan semua.

“Lagipun saya tidak kisah kerana anak-anak hanya tinggal di Kuala Lumpur sahaja jadi tiada masalah untuk berjumpa mereka pada hari lain,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Thaipusam: Tiada permit penjaja dikeluar sekitar Batu Caves, pengunjung diingat patuh SOP

SHAH ALAM, 15 JAN: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) tidak mengeluarkan permit petak niaga sempena sambutan Thaipusam pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Korporatnya Mohamad Zin Masoad berkata sebarang aktiviti penjaja sekitar kawasan luar Kuil Sri Subramaniam, Batu Caves adalah tidak dibenarkan.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan arahan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sambutan Thaipusam yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“MPS akan membuat pemantauan sepanjang perayaan ini berlangsung dan penjaja yang didapati menjalankan aktiviti tanpa permit akan dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang 3 Penjaja (MPS) 2007,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut memaklumkan tujuh unit tong sampah Roll On Roll Off (RoRo) dan 26 unit tong sampah ditempatkan di kawasan titik panas bagi mengawal kebersihan sepanjang perayaan itu.

“MPS ingin mengingatkan pengunjung untuk sam-sama mematuhi SOP ditetapkan kerajaan dan menjaga kebersihan kawasan persekitaran sepanjang perayaan berlangsung,” katanya.

Pada Rabu Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique mengumumkan upacara ‘paal koodam’, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati dibenarkan tanpa melibatkan acara ‘kavadi’ bagi perayaan Thaipusam.

SOP yang ditetapkan bagi Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves termasuk jumlah pengunjung tidak melebihi 6,000 orang setiap hari, pengunjung untuk ‘paal koodam’  pula dihadkan tidak melebihi 100 orang dan setiap sesi sembahyang selama 30 minit diikuti proses sanitasi.

Kerajaan juga tidak membenarkan gerai jualan sementara dalam bentuk promosi atau jualan di dalam atau luar kawasan kuil sebagai langkah mencegah penularan Covid-19.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Thaipusam: Jalan Bukit Rotan, Jalan Klang-Teluk Intan di Kuala Selangor tutup dua hari

SHAH ALAM, 15 JAN: Dua jalan di Kuala Selangor ditutup dua hari mulai Isnin sempena perarakan sambutan Thaipusam di Kuil Subramaniar Alayam Swamy, Batu 2.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor berkata penutupan itu membabitkan Jalan Bukit Rotan dan Jalan Klang-Teluk Intan menghala ke Tanjong Keramat dengan pihaknya menyediakan laluan alternatif.

“Laluan dari arah Teluk Intan ke Klang ditutup di Kilometer 45.5 dan dilencongkan di lampu isyarat Teluk Piah.

“Manakala, laluan dari arah Klang ke Teluk Intan pula hanya dibuka satu arah iaitu bagi kenderaan dari Klang ke Teluk Intan,” kata Superintendan Ramli Kasa menerusi kenyataan.

Beliau berkata petugas trafik ditempatkan di lokasi selain papan tanda pemberitahuan juga akan diletak bagi melancarkan aliran trafik.

“Semua pengguna jalan raya diminta mematuhi arahan yang ditetapkan sepanjang tempoh berkenaan. Tindakan saman dan tunda akan diambil terhadap kenderaan yang menghalang lalu lintas,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Thaipusam: SOP sambutan cadangan pengurusan kuil, nilai ancaman Omicron

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Kesemua senarai prosedur operasi standard (SOP) sambutan Thaipusam dibuat berdasarkan cadangan pihak pengurusan kuil serta penilaian risiko kesihatan dan pencegahan penularan COVID-19 termasuk ancaman varian Omicron.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata semua cadangan dan permintaan tersebut dibentangkan kepada kementerian itu menerusi sesi libat urus bersama pengerusi dan pengurusan kuil di beberapa negeri.

Jelasnya, semua cadangan tersebut seterusnya dibawa kepada Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 untuk pertimbangan dan kelulusan berdasarkan keperluan menjaga keselamatan serta kesihatan daripada jangkitan pandemik itu.

“Kementerian membawa cadangan dan permintaan mereka ke jawatankuasa Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 untuk dipertimbangkan dari segi keselamatan dan kesihatan rakyat serta penganut…maka terhasil SOP ini.

“Namun, ada pihak yang tidak hadir ketika sesi libat urus itu mengeluarkan kenyataan mendakwa saya telah berjanji macam-macam untuk SOP, sedangkan pengerusi kuil sudah senaraikan cadangan dan permintaan untuk perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves hari ini.

Semalam, Halimah mengumumkan SOP sambutan perayaan itu yang antaranya menetapkan hanya upacara ‘paal koodam’ atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati, dibenarkan pada Thaipusam kali ini.

Upacara ‘paal koodam’ dibenarkan bermula Jumaat ini (14 Jan) hingga 19 Jan dengan penetapan jumlah kehadiran yang berbeza mengikut kuil, manakala acara ‘kavadi’ serta gerai sementara tidak dibenarkan.

Upacara sembahyang secara bersesi serta perjalanan dan pergerakan kereta pedati pula dibenarkan mengikut SOP ditetapkan.

Terdapat 12 sesi sembahyang pada 16 hingga 17 Jan, serta 19 Jan bermula 5 pagi hingga 5 petang, manakala 18 sesi ditetapkan bagi 18 Jan bermula 5 pagi hingga 11 malam, dengan jumlah kehadiran mengikut kuil masing-masing dan perlu disanitasi selepas tamat setiap sesi.

Susulan pengumuman itu, timbul dakwaan mengatakan kementerian berkenaan tidak ‘mendengar’ permintaan daripada penganut Hindu yang menyambut perayaan itu.

Mengenai SOP di Batu Caves yang menempatkan kuil terbesar di negara ini, Halimah berkata pihak pengurusan kuil akan menyediakan ‘tag’ bernombor bagi memastikan jumlah kehadiran 6,000 penganut setiap hari dan 500 orang setiap sesi sembahyang dapat dipatuhi.

— BERNAMA

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MB serah sumbangan RM12,000, baucar beli-belah sempena Deepavali

KLANG, 25 OKT: Dato’ Menteri Besar menyampaikan sumbangan bernilai RM12,000 dan baucar Jom Shopping kepada peserta terpilih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa sempena sambutan Deepavali.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut menyerahkan sijil penghargaan dan hadiah kepada pemenang Cabaran Sihat Sejahtera Sentosa 60 hari anjuran pejabat DUN Sentosa.

Beliau yang juga pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) negeri kemudian melancarkan Jelajah Deepavali KEADILAN Selangor di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa.

Turut hadir EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunaraj, ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli.

Jelajah Deepavali KEADILAN Selangor berlangsung selama tiga hari bermula hari ini melibatkan 22 cabang parti.

Cabang terlibat ialah Kuala Langat, Shah Alam, Kota Raja, Klang, Kapar, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang, Selayang dan Hulu Selangor.

Jelajah turut diadakan di Hulu Langat, Puchong, Gombak, Ampang, Pandan, Bangi, Sepang, Damansara, Sungai Buloh, Subang dan Petaling Jaya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

21 kluster rentas negeri jangkiti 1,010 individu, paling banyak di Perak

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 21 kluster rentas negeri ketika musim perayaan yang menjangkiti 1,010 individu.

Menerusi kenyataan, ketua pengarah kesihatan berkata negeri yang melaporkan jumlah tertinggi sejak 1 Jun ialah Perak dengan lapan kluster diikuti Terengganu (lima) dan Kelantan (tiga).

“Kluster ini disebabkan aktiviti rentas negeri bagi menyambut perayaan, mengunjungi ahli keluarga, hadir majlis pengebumian dan urusan kerja,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Justeru, beliau menasihati orang ramai kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan terus duduk di rumah serta tidak ulangi kesilapan sama seperti merentas daerah atau negeri yang masih lagi tidak dibenarkan.

Categories
AGENDA NASIONAL

10,000 anggota bomba siap siaga hadapi kecemasan menjelang Aidilfitri

PUTRAJAYA, 27 APRIL: Hampir 10,000 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk sebarang kecemasan menjelang sambutan Aidilfitri bulan depan.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata kesemua kira-kira 15,000 anggota pasukan itu bertanggungjawab memastikan perkhidmatan bomba tidak terjejas walaupun ketika musim perayaan.

“Kita telah keluarkan surat arahan kepada 322 balai melibatkan kira-kira 15,000 anggota seluruh negara mengenai pembekuan cuti pada Aidilfitri ini. Ini bagi memastikan kesemua anggota sentiasa bersedia dalam pelbagai kes kecemasan seperti kebakaran, kemalangan, lemas serta khidmat kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan JBPM di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohammad Hamdan menyentuh mengenai aspek pengekalan kompetensi anggota dan dengan itu tiga ‘simulator’ latihan sedang dibangunkan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Marang, Terengganu yang dijangka siap pada Oktober 2024.

Selain itu, katanya JBPM sedang dalam perancangan membina dua akademi Bomba iaitu di Sabah dan Sarawak yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Mohammad Hamdan turut melancarkan ‘Bomba Fighters Malaysia Virtual Run’ sejauh 10 kilometer, bermula pada 1 Jun hingga 1 Julai 2021 secara maya yang menyasarkan 15,000 penyertaan orang awam serta anggota JBPM.

– BERNAMA