Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rebat sewa, pengecualian denda bantu peniaga Kompleks PKNS

SHAH ALAM, 2 SEPT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memberi rebat sewa sehingga 50 peratus kepada penyewa di tiga kompleksnya yang terjejas perniagaan susulan pandemik Covid-19.

Dato’ Menteri Besar menjelaskan peniaga di kompleks PKNS di Shah Alam, Bangi serta Kuala Selangor itu menikmati rebat selama lima bulan bermula April tahun lalu yang jumlahnya bergantung jenis perniagaan.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) turut mengecualikan faedah lewat bayar dari Jun tahun lalu sehingga Disember ini.

Beliau turut mengumumkan pengecualian sewa kepada penyewa bukan sektor penting di Kompleks PKNS Kuala Selangor susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 bermula 15 Jun hingga kini.

“PREC juga dalam kajian mempertimbangkan moratorium sebanyak 50 peratus dari kadar sewa selama empat bulan kepada peniaga di Kompleks PKNS Shah Alam dan Bangi bagi PKP 3.0,” katanya.

Amirudin menjawab soalan wakil rakyat Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berhubung bantuan Kerajaan Negeri untuk membela peniaga di tiga kompleks PKNS pasca Covid-19 di sidang Dewan Negeri Selangor.

Beliau berkata langkah lain mewujudkan platform e-dagang dikenali Bazaarlokal dengan kos pemasarannya ditanggung PREC dan membimbing 200 peniaga yang menjual lebih 500 produk.

Amirudin menjelaskan anak syarikat PKNS itu turut menyediakan platform promosi di ruang legar kompleks tanpa mengenakan sewa selain hebahan di media sosial.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKNS lancar kempen beli hartanah dalam talian hujung minggu ini

SHAH ALAM, 16 DIS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan promosi 48 Jam Mesti Beli Akhir Tahun 2020 secara dalam talian bagi melonjakkan pembelian hartanah pada Sabtu dan Ahad ini.

Ketua pegawai operasinya, Suhaimi Kasdon berkata kempen secara maya kali kedua itu memfokuskan keuntungan lebih RM17 juta sepanjang tempoh berkenaan.

“Kita mempunyai lebihan 300 unit rumah ketika ini namun menerusi kempen kali ketujuh ini, kita sasar 27 unit rumah pelbagai jenis terjual.

“Semua berharga antara RM440,000 hingga RM900,000 membabitkan 20 projek termasuk perumahan baharu iaitu Puteri Aira, Kota Puteri; Saira, Pelabuhan Klang dan Residensi Aurora, Cuberjaya,” katanya ketika sidang media Ibu Pejabat PKNS hari ini.

Menurutnya, pembeli ditawarkan diskaun sehingga 20 peratus selain mendapat yuran guaman dan duti setem secara percuma.

“Pembeli juga layak menerima pakej hiasan dalaman dan dilengkapi kemudahan rumah pintar berjumlah RM15,000.

“Melalui kempen ini, pembeli hanya membayar wang pendahuluan serendah RM500 dan kita akan bantu mereka mendapatkan pinjaman bank,” katanya.

Sementara itu, Suhaimi berkata kempen yang diperkenalkan sejak November tahun lalu itu mencatatkan nilai jualan lebih RM58 juta melalui enam siri sebelum ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKNS: Perkhidmatan gunting rambut, urutan paling banyak terjejas

SHAH ALAM, 27 JULAI: Usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam sektor perkhidmatan gunting rambut, urutan dan kecantikan paling ramai terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Korporatnya berkata ini kerana premis tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh kawalan tersebut sekali gus menyebabkan usahawan hilang punca pendapatan.

“Ada usahawan yang menyewa pejabat dan menawarkan perkhidmatan setiausaha syarikat terjejas kerana (syarikat) tidak dapat menghantar dokumen ekoran Covid-19.

“Bagi perkhidmatan lain kebanyakannya memaklumkan bahawa pendapatan mereka berkurang kerana jualan merosot,” kata Siti Zubaidah Abd Jabar kepada SelangorKini.

Kerajaan bersetuju membuka semula perkhidmatan gunting rambut, dandan rambut dan salun kecantikan pada 10 Jun lalu dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Antara aktiviti dibenarkan ialah gunting rambut, cuci rambut, cukur misai dan jambang, solekan dan dandanan rambut, pedicure, menicure dan cuci muka.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKNS nafi Selangor Business Capital dibangun di rizab hutan simpan

SHAH ALAM, 21 FEB: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menafikan dakwaan sebuah portal berita hari ini mengenai pembangunan Selangor Business Capital akan dijalankan di atas rizab Hutan Simpan Kuala Langat Utara, kata pengurus komunikasi korporatnya.

Mahfizul Rusydin Abd Rashid berkata artikel diterbitkan bertajuk “Kerajaan Selangor mahu bina taman perniagaan mega di rizab hutan” dan “Selangor government wants to bulldoze forest reserve for mega business park” adalah tidak tepat dan mengelirukan.

“Perkara ini mengakibatkan nama baik PKNS tercalar di mana ia telah dibincangkan warga maya di laman sosial.

“Sehubungan dengan itu, PKNS menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkaitan pembangunan Selangor Business Capital dan mencabuli hak Orang Asli di kawasan hutan simpan terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Selangor Business Capital merupakan sebuah projek daripada Kerajaan Negeri dan akan dibangunkan PKNS di Selangor Cyber Valley, Cyberjaya di atas tanah seluas 56 hektar serta tidak melibatkan pemansuhan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Categories
AGENSI PENDIDIKAN SELANGOR

SMK Jalan Kebun rangkul Anugerah Syarikat Terbaik PROTUNe

SHAH ALAM, 7 NOV: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun berjaya merangkul Anugerah Syarikat Terbaik Program Tunas Niaga (PROTUNe) pada Majlis Konvensyen PROTUNe kali ke-21 di Hotel De Palma Shah Alam, di sini, hari ini.

Konvensyen PROTUNe anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Selangor dan bertujuan memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan generasi muda.

Pengetua SMK Jalan Kebun, Hishamuddin Sirat berkata, beliau menzahirkan terima kasih kepada PKNS dan kesemua ahli PROTUNe yang komited menjayakan program terbabit.

“Alhamdulillah syukur atas usaha kita semua, SMK Jalan Kebun berjaya merangkul johan syarikat terbaik PROTUNe dan ia sekali gus menjadikan kemenangan ini adalah kali keenam sejak mula mengikuti pada 2013.

“Tahun lalu kita tidak berjaya memenangi johan tapi kali ini SMK Jalan Kebun membuat kemunculan semula dengan menghasilkan pelbagai barangan bersifat inovatif selain menerapkan budaya cintakan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Konvensyen PROTUNe kali ke-21 di Hotel De Palma Shah Alam, di sini, hari ini.

Sebanyak 12 anugerah dipertandingkan antaranya Anugerah Hartawan Saidina 3x, Anugerah Harapan, Anugerah Produk Kreatif Terbaik, Anugerah Produk Inovasi Terbaik, Anugerah Perkhidmatan Terbaik, Anugerah Laporan Kewangan Terbaik, Anugerah Pekerja Terbaik, Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif Terbaik, Anugerah Pengetua Terbaik, Anugerah Sekolah Terbaik, Anugerah Persembahan Terbaik dan Anugerah Syarikat Terbaik.

Manakala, bagi peserta Program Perintis Usahawan (PPU) terdapat lima anugerah dipertandingkan iaitu Anugerah Persembahan Pentas Terbaik (PPU 2019), Anugerah Jualan Terbaik Keseluruhan PPU 2019, Kejohanan Hartawan Saidina 3x Terbaik PPU 2019, Anugerah Guru Besar Perintis Terbaik 2019 dan Anugerah Guru Perintis Terbaik 2019.

Landasan itu sekali gus memberikan peluang kepada peserta untuk mengikuti bengkel dan seminar bimbingan berkaitan dengan pengurusan syarikat, latihan keusahawanan dan perniagaan secara praktikal seperti penjualan produk makanan dan minuman, seni kraftangan, pakaian serta perkhidmatan seperti fotografi, dobi, juga katering.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKNS sumbang RM223,630 untuk pembangunan pendidikan Islam Kemboja

PHNOM PENH, 29 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menyumbang sebanyak RM223,630 sejak 2014 untuk membiayai pembangunan pendidikan Islam Kemboja.

Pengurus Besar Pembangunan Strategiknya, Suhaimi Kasdom berkata, antara sumbangan PKNS adalah membiayai pencetakan 12,000 naskhah buku teks pendidikan Islam dan penghantaran bernilai RM58,480 pada 2014.

“Pada tahun berikutnya, RM50,000 disumbangkan kepada Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk membeli peralatan Sekolah Kebangsaan Kemboja berjumlah RM20,000 dan baki RM30,000 bagi menambah bilangan buku teks Bahasa Khmer yang dicetak pada tahun sebelumnya.

“Manakala pada 2017, PKNS telah menyumbangkan RM30,000 bagi meneruskan pencetakan buku teks Pendidikan Islam Bahasa Khmer dan pada tahun lalu sebanyak RM30,150 bagi menampung perbelanjaan pembangunan Sistem Pendidikan Islam Kemboja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sekolah Rendah Agama Kemboja (PSRAK) 2019 dan Pelancaran Buku Teks Sirah Sumbangan PKNS di Masjid Ammar bin Yasir, KM9, Crang Comreh di sini, semalam.

Suhaimi berkata, Ketua Pegawai Operasi PKNS turut mengetuai delegasi 21 kakitangan anak syarikat Kerajaan Negeri itu untuk meninjau sendiri perkembangan hasil sumbangannya di Kemboja pada April lalu.

Katanya, dalam kunjungan itu, PKNS menyampaikan sumbangan berupa peralatan persekolahan kepada murid Madrasah An-Nikmah serta pencetakan 8,000 naskhah buku sirah untuk pelajar Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam berjumlah RM55,000.

Selain PKNS, Lembaga Zakat Selangor juga memainkan peranan besar dengan menghulurkan pelbagai bantuan, antaranya RM55,000 yang diserahkan dalam majlis sama.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kumpulan terakhir mangsa kemalangan di Turki selamat tiba

SEPANG, 22 OKT: Kumpulan terakhir rakyat Malaysia yang kemalangan ketika sedang mengikuti rombongan di Turki pada minggu lalu selamat tiba di tanah air malam ini.

Mereka merupakan enam peserta daripada 34 kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang mengalami kecederaan serius akibat kemalangan ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia pada 16 Oktober lalu.

Mereka adalah Shahmun Ishak; Zurani Mohamad Darum; Amim Mohamad Darum; Norzakiah Mohd Akhir; Shamsul Bahrin Md Shukur dan Mohd Zain Sarman.

Kemalangan tersebut turut mengorbankan seorang kakitangan PKNS, Azalan Miswan, 50.

Turut menyambut ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam ini, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

Semalam, 27 kakitangan PKNS itu yang terselamat dalam kemalangan terbabit pulang ke tanah air manakala jenazah Azalan dibawa pulang Sabtu lepas.

Saifuddin ketika ditemui media berkata keenam-enam akan terus dibawa ke Hospital Pakar Avisena, Shah Alam, Selangor bagi rawatan lanjut.

“Saya bersyukur mereka selamat pulang ke tanah air, dan suka mengingat kepada rakyat Malaysia untuk belajar dari pengalaman ini agar mempunyai ejen pelancongan baik dan mengambil insurans ketika melancong di luar negara,” katanya.

Katanya, amalan terbaik yang ditunjukkan PKNS ketika mengendalikan situasi tersebut dengan cekap dan baik wajar dicontohi organisasi lain dan rakyat Malaysia amnya.

Mohd Azizi berkata PKNS telah menghantar kumpulan khas untuk mengurus dan membantu mangsa-mangsa kemalangan di sana selain mendapatkan bantuan daripada pihak Kedutaan Malaysia di Turki.

Salah seorang mangsa, Mohd Zain Sarman yang cedera di bahagian muka berkata dirinya bersyukur urusan beliau di sana dipermudahkan walaupun menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dengan orang tempatan.

“Saya berterima kasih kepada PKNS dan pihak kedutaan yang membantu kami untuk pulang segera ke tanah air,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jenazah Azalan dibawa pulang selewat-lewatnya Sabtu

SHAH ALAM, 17 OKT: Jenazah pekerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azalan Miswan yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Turki semalam akan dibawa pulang selewat-lewatnya Sabtu ini.

Ketua Pegawai Operasi PKNS, Norita Mohd Sidek berkata, pihaknya sedang berusaha menempah penerbangan awal bagi membolehkan jenazah pekerjanya itu dikebumikan di tanah air.

“Kami sedang berusaha untuk mendapatkan penerbangan pulang yang paling awal, mungkin esok atau Sabtu ini untuk membawa jenazah pekerja kami pulang, penerbangan itu nanti turut akan disertai oleh lain-lain kakitangan kami yang tidak tercedera atau telah dibenarkan keluar dari hospital.

“Jika mereka tidak dibenarkan keluar dari hospital lagi kami akan membawa mereka pulang melalui penerbangan yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambah Norita, berdasarkan maklumat yang diterima PKNS, seramai sembilan kakitangannya turut cedera dalam kemalangan berkenaan dan lapan masih dirawat di tiga hospital berlainan.

“Mereka ini mengalami pelbagai jenis kecederaan, ada yang patah kaki, ada yang patah tangan malah ada yang cedera di muka, kakitangan PKNS yang tidak cedera dan telah dibenarkan keluar hospital kini ditempatkan di hotel penginapan sementara yang disediakan oleh Kedutaan Malaysia di Ankara, Turki,” katanya.

Gambar Facebook Noreen Kartal

Menurut Norita lagi, beliau difahamkan kejadian yang mengorbankan seorang pekerjanya yang telah 28 tahun berkhidmat itu berpunca daripada salah satu tayar bas berkenaan telah meletup dan menyebabkan pemandu bas hilang kawalan sebelum terbalik.

Tambah Norita lagi, pihak PKNS amat berterima kasih kepada Kementerian Luar, Kedutaan Malaysia di Ankara, Turki, Kedutaan Turki di Kuala Lumpur dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari kerana banyak membantu dan memberi sokongan moral terhadap PKNS dalam menghadapi kejadian ini.

Kementerian Luar mengesahkan seorang rakyat Malaysia maut manakala 10 yang lain cedera dalam satu kemalangan melibatkan bas yang membawa rombongan seramai 35 kakitangan PKNS di Afyonkarahisar, Turki.

Kemalangan kira-kira pukul 11.35 pagi semalam waktu tempatan itu menyebabkan bas pelancong dinaiki kumpulan rakyat Malaysia tersebut terbalik ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKNS berusaha bawa pulang mangsa kemalangan di Turki

SHAH ALAM, 17 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Turki dan Wisma Putra sedang berusaha membawa pulang segera semua mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Afyonkarahisar, Turki.

Pihaknya dalam kenyataan turut mengesahkan sudah menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan sebuah bas dinaiki 35 rakyat Malaysia yang terdiri daripada kakitangan PKNS yang sedang mengikuti aktiviti percutian.

Bas yang dinaiki rombongan itu dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia ketika kemalangan berlaku di Afyonkarahisar lebih kurang jam 11 pagi waktu Turki, semalam.

Seorang kakitangan PKNS, Azalan Miswan disahkan meninggal dunia manakala empat orang lagi dilaporkan mengalami kecederaan parah dan sedang mendapatkan rawatan di hospital Afyonkarahisar sementara selebihnya hanya mengalami kecederaan ringan serta berada dalam keadaan stabil.

Dalam perkembangan lain, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Azalan yang terkorban dalam kemalangan itu.

“Saya dukacita dengan laporan awal bahawa seorang rakyat Malaysia yang juga kakitangan PKNS telah meninggal dunia dalam kemalangan tersebut sementara 10 lagi mengalami kecederaan.

“Saya mengucapkan takziah buat keluarga mangsa kemalangan dan keluarga besar PKNS atas kehilangan tersebut. Semoga mereka dikurniakan kesabaran dan ketabahan untuk menerima ketentuan Allah SWT. Saya juga mendoakan supaya mangsa lain segera sembuh dan selamat.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Malaysia di Turki serta pihak berkuasa tempatan atas bantuan segera yang disampaikan kepada rakyat Malaysia dan keluarga yang terlibat,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Bola jaring PKNS raih naib juara Karnival Sukan PDC

SHAH ALAM, 28 OGOS: Pasukan bola jaring Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terpaksa berpusa hati selaku naib johan Karnival Sukan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) selepas tewas 8-12 kepada Handal Fighters pada perlawanan akhir, 24 Ogos lalu.

Dalam pertarungan akhir di Azman Hashim Sports Arena, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, PKNS gagal melunaskan dendam selepas tewas 6-15 dengan pasukan sama pada peringkat kumpulan.

Sebanyak 26 pasukan bola jaring dari seluruh negara menyertai kejohanan ini sempena Ulang Tahun Ke-50 Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Unit Komunikasi Korporat PKNS memaklumkan, walaupun gagal menjadi juara, PKNS menunjukkan prestasi cemerlang dalam setiap perlawanan sehingga mampu menempah slot ke perlawanan akhir.

“Syabas diucapkan kepada pasukan bola jaring PKNS di atas semangat dan pencapaian yang diberikan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu, kedua-dua pasukan itu menepati ramalan ke perlawanan akhir selepas bersaing dalam Kumpulan D dalam pusingan awal yag memihak Handal Fighters.

PKNS beraksi cemerlang membelasah dua lagi pasukan dalam kumpulan sama iaitu POLI B dan KUL Ladies sebelum tewas kepada Handal Fighthers.

Aksi cemerlang PKNS di peringkat suku akhir diteruskan pada separuh akhir apabila menewaskan ASNETT, 11-7.

Difahamkan, kejohanan terbabit disertai 26 pasukan bola jaring dari seluruh negara.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kasih PKNS: RM400,000 baik pulih 16 rumah asnaf

KUALA LANGAT, 25 OGOS: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membelanjakan RM400,000 untuk kos baik pulih 16 rumah asnaf, fakir dan miskin di sekitar Kuala Langat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, proses baik pulih kesemua kediaman berkenaan bermula semalam (23 Ogos) dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung Oktober.

Katanya, kos yang dibelanjakan bagi setiap unit rumah adalah sebanyak RM20,000 ke RM30,000 mengikut kerosakan yang perlu dibaiki.

Beliau berkata, program baik pulih itu sudah dilaksanakan sejak 2013 dengan peruntukan keseluruhan RM3.4 juta.

“18 rumah asnaf di Sabak Bernam dibaiki pada 2013, 29 rumah asnaf pula di Kuala Selangor dan Sabak Bernam pada 2014.

“Manakala, pada 2015, 14 rumah asnaf di Petaling dibaik pulih dan pada 2016 sebanyak 20 rumah asnaf di Sepang , serta 16 rumah di Hulu Selangor pada 2017.

“Untuk tahun lalu, sebanyak RM479,905 dibelanjakan untuk baik pulih 16 rumah diGombak,” katanya ketika ditemui di program baik pulih rumah asnaf, fakir miskin di sini, semalam.

Dalam program itu, kakitangan PKNS mengecat sebuah rumah warga asnaf di Jalan Pulai Kanchong Darat, Banting.

Program yang disertai lebih 90 warga PKNS ini adalah Tanggungjawab Sosial Korporat(CSR) PKNS di bawah jenama Kasih PKNS.

Turut dijalankan program penyerahan sumbangan zakat diadakan di salah sebuah rumah penerima.

Mohd Azizi berkata, program pada kali ini berbeza dengan program CSR tahun sebelumnya, kerana PKNS hanya menyampaikan sumbangan berbentuk kewangan sahaja.

“Sumbangan ini sebagai bukti komitmen dan kesungguhan PKNS dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat Selangor secara umumnya.

“Kedaifan hidup golongan asnaf ini perlu dibantu memandangkan mereka hidup dengan serba kekurangan, ditambah pula dengan keadaan rumah yang usang dan kurang selesa,” katanya.

Justeru, Mohd Azizi berharap, rumah yang dibaik pulih itu dapat meringankan bebanan mereka di samping dapat membangkitkan semangat dalam menjalani kehidupan dengan lebih tenang dan selesa.

Categories
AGENSI SELANGOR

Rumah mampu milik buat penjawat awam bakal dibina di Shah Alam

SHAH ALAM, 27 JUL: Penjawat awam di Selangor kini mampu memiliki kediaman pangsapuri apabila Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan membina rumah mampu milik di Seksyen 16, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, rumah yang akan dibina menjelang 2020 itu kini dalam peringkat kelulusan pelan bangunan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Dianggarkan sebanyak 232 unit rumah pangsapuri kos sederhana khusus untuk penjawat awam dan golongan B40 yang PKNS bina.

“Rumah yang dibina adalah pangsapuri dengan keluasan 900 kaki persegi. Pembinaan ini dibuat kerana PKNS prihatin terhadap keperluan rakyat yang inginkan lebih banyak pembinaan rumah yang mampu dimiliki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Koleksi Hartanah PKNS 2019 bertempat di Kompleks PKNS Shah Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, pegawai kanan PKNS termasuk Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Tengah, Azmi Adnan, Ketua Pegawai Kewangan, Nor Azlina Amran dan Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Selatan, Lokman Abd Kadir.

Sebelum ini, PKNS turut menawarkan kediaman kondominium di tengah bandar metropolitan Kuala Lumpur kepada penjawat awam.

Peluang itu dinikmati melalui hasil kerjasama diantara syarikat milik penuh PKNS, DatumCorp International Sdn Bhd (Datum Corp) dan MyAngkasa Az Zahra Sdn Bhd.

Inisiatif menarik itu turut dapat membantu mempertingkatkan pemilikan hartanah berkualiti dalam kalangan penjawat awam di kota metropolis Kuala Lumpur.

Pembinaan yang dikenali dengan nama Datum Jelatek itu terletak kira-kira lima kilometer dari KLCC itu turut bersambung dengan kemudahan pengangkutan awam utama iaitu Stesen LRT Jelatek.

Pembangunan yang turut merangkumi komponen antara pusat membeli-belah dan kediaman setinggi 41 tingkat itu dijangka siap awal suku 2020.