Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 1,500 pengunjung hadir hari pertama Pesta Buku Selangor

SHAH ALAM, 2 DIS: Lebih 1,500 pengunjung hadir hari pertama Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad berkata jumlah itu direkodkan setakat 2 petang tadi.

“Ini merupakan penganjuran kali ke-16. Kita harap lebih ramai datang bagi membantu pempamer dan peniaga menjana pendapatan semula selepas terkesan pandemik Covid-19.

Pengunjung hadir bersama keluarga pada hari pertama Pesta Buku Selangor 2021 di Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 2 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Untuk memudahkan mereka yang tidak dapat hadir kita sediakan platform Shopee dan Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec). Sasaran kita bantu semua peniaga disamping menggalakkan budaya membaca,” katanya kepada SelangorKini.

Mastura berkata untuk penganjuran kali ini pihaknya turut mengadakan pertandingan sukan tradisional batu seremban dan congkak serta e-sukan PUBG sebagai tarikan dengan tawaran wang tunai melebihi RM8,000.

“Langkah ini membantu kita mengetengahkan sukan lama kepada generasi sekarang. Kita tidak mahu golongan muda hanya tahu mengenai e-sukan sahaja.

“Pesta ini berkonsepkan mesra pengunjung. Kita sediakan skuter untuk memudahkan warga emas melawat semua pameran selain surau dan cafe yang menjual harga berpatutan,” katanya.

Pesta 11 hari sehingga 12 Disember depan berlangsung dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menyediakan 152 gerai jualan.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Warkah Kita Selangor peluang anak muda luah harapan menerusi karya

SHAH ALAM, 11 SEPT: Golongan muda digalakkan menyertai pertandingan menulis warkah bertemakan #KitaSelangor 2021 bagi meluahkan harapan masing-masing menerusi karya.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata golongan muda perlu melihat ini sebagai peluang kerana luahan mereka itu akan dibaca oleh pemimpin yang secara tidak langsung dapat mengetahui kehendak generasi muda.

“Jangan lihat ini hanya pertandingan semata-mata tetapi juga peluang untuk berkomunikasi. Luahkan apa sahaja masalah, harapan anda kerana akan ada pemimpin yang akan mendengar keluhan ini dan membantu anda.

“Cuma harapan saya setiap penulisan itu biarlah membina dan kami sebagai pembaca jika ia perit untuk diterima kami akan terima kerana yang perit itu adalah yang terbaik untuk semua memahaminya,” kata Datin Paduka Mastura Muhammad ketika dihubungi SelangorKini.

Ditanya perkembangan pertandingan itu, beliau berkata PPAS menerima ratusan pertanyaan dalam kalangan belia dan setakat ini pihaknya menerima lima penyertaan.

Pada 30 Ogos lalu, perbadanan itu menerusi Facebook memaklumkan penyertaan pertandingan terbuka kepada dua kategori iaitu remaja berusia 15 sehingga 17 tahun (kategori A) dan belia berusia 18 sehingga 35 tahun (kategori B).

Warkah boleh dihantar melalui e-mel [email protected] dengan melengkapkan butiran seperti nama, nombor kad pengenalan, emel, nombor telefon dan alamat sebelum 30 September ini.

Bertemakan Harapan Anak Muda Buat Nusa Bangsa, pemenang utama bakal membawa pulang wang tunai RM1,000, kedua (RM800), ketiga (RM700) dan 30 hadiah sagu hati berjumlah RM100.

Maklumat lanjut boleh hubungi talian 013-826 0950 / 03-3216 4630 / 019-365 6586 atau layari laman web www.ppas.gov.my dan Twitter @selangorlibrary.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PPAS anjur pertandingan tulis warkah sempena Hari Kebangsaan

SHAH ALAM, 7 SEPT: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menganjurkan pertandingan menulis warkah bertemakan #KitaSelangor 2021 sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-64.

Pertandingan bertujuan memupuk semangat patriotik, memberi peluang golongan muda meluahkan harapan dan mempromosi PPAS sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat.

Perbadanan itu menerusi Facebook memaklumkan penyertaan terbuka kepada dua kategori iaitu remaja berusia 15 sehingga 17 tahun (kategori A) dan belia berusia 18 sehingga 35 tahun (kategori B).

Warkah boleh dihantar melalui emel [email protected] dengan melengkapkan butiran seperti nama, nombor kad pengenalan, emel, nombor telefon dan alamat sebelum 30 September ini.

Pertandingan itu turut mendapat kerjasama Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 3 Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Pemenang bertuah bakal membawa pulang hadiah wang tunai.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi talian 013-826 0950 / 03-3216 4630 / 019-365 6586 atau layari laman web www.ppas.gov.my dan Twitter @selangorlibrary.

Categories
AGENSI SELANGOR

PPAS terus kerjasama dengan Gapena, martabat bahasa dan budaya bangsa

SHAH ALAM, 19 SEPT: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) akan terus bekerjasama dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dalam melahirkan ramai pengkarya yang mampu mengangkat martabat bahasa dan budaya bangsa.

Pengarah PPAS, Mastura Muhamad berkata kerjasama itu penting selaras penjenamaan semula perbadanan berkenaan selain pengenalan projek tokoh perpustakaan.

“Malah, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa sudah tiba masa untuk PPAS memikirkan kandungan yang perlu dihasilkan untuk memperkasa seni budaya.

“Sebagai contoh, melalui pengucapan puisi kerana ia adalah karya ulung mempunyai maksud tersirat dan tersurat, jadi usaha ini mungkin boleh mengubah minda masyarakat seterusnya membina peradaban yang baik,” katanya.

Terdahulu, Mastura menghadiri selepas Malam Menghimpun Rindu Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) anjuran PPAS dan Gapena di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar di sini malam tadi.

Sejak 1987 hingga 2010, SDPK menjadi acara rasmi bagi meraikan bulan kemerdekaan bagi memperkasa semangat patriotisme dalam kalangan rakyat melalui puisi.

Buat pertama kalinya SDPK tahun ini, Gapena mengemukakan inisiatif berkenaan kepada Kerajaan Negeri dan PPAS sebagai rakan kerjasama dalam mewujudkan medan menghimpunkan sebahagian sasterawan serta pendaklamator puisi tersohor negara.

Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 200 buku dipinjam, Harry Potter kekal pilihan BooksFly2U

SHAH ALAM, 2 SEPT: Novel fantasi Harry Potter karya J K Rowling dan buku cerita kanak-kanak penulis termasyhur Enid Blyton kekal antara naskhah popular pilihan peminjam melalui BooksFly2U.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata buku kategori bukan fiksyen menerima permintaan tinggi dan seramai 64 peminjam direkodkan sejak program itu bermula pada 26 Jun lalu.

“Selain daripada buku bukan fiksyen hasil tulisan Rowling dan Blyton, buku-buku terbitan Scholastic turut menarik perhatian pembaca. Mengikut rekod sehingga 1 September, peminjam buku terdiri daripada 55 orang dewasa, enam kanak-kanak dan tiga remaja,” kata Mastura Muhamad ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan 281 buku sudah dipinjam dengan pecahan 243 bagi bahasa Melayu dan lima bahasa Inggeris bagi tempoh lebih dua bulan.

Katanya, masyarakat terus digalak meminjam buku secara dalam talian bagi memupuk budaya membaca.

Melalui BooksFly2U dilancarkan pada 16 Julai lalu, pengguna hanya perlu membuat panggilan telefon atau menghantar pesanan tajuk buku ke nombor 010-8491448 atau 03-55197667.

Dalam tempoh dua hari, petugas perpustakaan akan mendapatkannya dan mengaturkan penghantaran menggunakan khidmat e-panggilan manakala kos penghantaran serta pemulangan semula buku ditanggung peminjam.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kanak-kanak 12 tahun peminjam paling muda program BooksFly2U

SHAH ALAM, 10 OGOS: Kanak-kanak 12 tahun menjadi peminjam buku paling muda menerusi program BooksFly2U, kata pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Mastura Muhammad berkata pihaknya tidak menjangka program pinjaman buku secara panggilan telefon itu mendapat reaksi positif dari golongan kanak-kanak.

“Salah seorang kakitangan PPAS yang mengendalikan proses pinjaman buku ini terkejut apabila ada kanak-kanak yang menghubungi mereka untuk meminjam buku.

“Sejak BooksFly2U dilancarkan, majoriti peminjam terdiri dari golongan dewasa ini kerana mereka meminjam buku untuk anak-anak, tetapi berbeza kali ini apabila kanak-kanak sendiri yang menghubungi PPAS untuk mendapatkan buku,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, Mastura berkata jumlah peminjam buku secara e-panggilan itu merekodkan lebih 200 pinjaman setakat ini.

Katanya, buku bagi kategori fiksyen paling banyak dipinjam dengan novel siri Harry Porter menjadi tumpuan utama.

“Buku ini menjadi pilihan kerana harganya di pasaran agak mahal, oleh sebab itu orang ramai suka untuk meminjamnya dari perpustakaan.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ini, saya sarankan supaya orang ramai mengambil peluang menggunakan BooksFly2U untuk meminjam buku-buku, hanya buat panggilan, buku yang ingin dibaca akan sampai di rumah,” kataya.

Melalui BooksFly2U yang dilancarkan pada 16 Julai lalu, peminjam hanya perlu membuat panggilan telefon atau menghantar pesanan tajuk buku ke nombor 010-8491448 atau 03-55197667.

Dalam tempoh dua hari, petugas perpustakaan akan mendapatkannya dan mengaturkan penghantaran menggunakan khidmat e-panggilan manakala kos penghantaran serta pemulangan semula buku ditanggung peminjam.

Categories
AGENSI SELANGOR

Riang Ria Dunia Membaca 2020 tawar pelbagai aktiviti menarik

SHAH ALAM, 4 OGOS: Program Riang Ria Dunia Membaca 2020 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan kerjasama Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) kembali menceriakan kanak-kanak bermula 8 Ogos ini.

Pengarah PPAS Mastura Muhamad berkata program bercerita yang diselangi dengan aktiviti kraftangan dan permainan mengikut tema penceritaan diadakan dua kali sebulan di beberapa lokasi terpilih.

“Program ini diadakan semula selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada kanak-kanak, ibu bapa dan pencerita yang menyedari keperluan merapatkan jurang membaca antara masyarakat di bandar serta desa.

“Selain memupuk minat dan kesedaran kepentingan membaca, program ini sebagai medium melatih, mengiktiraf serta mengaktifkan jaringan pencerita di peringkat komuniti,” katanya kepada SelangorKini.

Antara perpustakaan terpilih ialah PPAS Lembah Jaya, PPAS @ PJKita Community Library, Kampung Lindungan, PPAS Hulu Bernam, PPAS Sri Perantau, PPAS Kuala Selangor, PPAS Kajang, PPAS Sg Udang, Klang, PPAS Dato’ Ahmad Razali, Dengkil dan PPAS Bukit Kapar.

Mastura berkata sebagai langkah pencegahan Covid-19, pihaknya menguatkuasakan tatacara operasi piawai (SOP) ketat dengan mengehadkan jumlah penyertaan bagi mengekalkan penjarakan fizikal.

Katanya, pengunjung juga perlu menjalani saringan suhu badan sebelum memasuki perpustakaan dan memakai pelitup muka serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Bagaimanapun, ada beberapa sesi bercerita dibuat secara dalam talian bersama beberapa tadika yang berminat dengan menggunakan aplikasi ‘Facebook Live’ atau Zoom,” katanya.

Selain menawarkan koleksi buku cerita terkini berunsurkan rakyat dan biblioterapi, peserta juga dibekalkan sarapan pagi, hadiah dan bahan aktiviti kraftangan yang boleh dibawa pulang.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Novel Harry Potter, koleksi Enid Blyton banyak dipinjam guna BooksFly2U

SHAH ALAM, 27 JULAI: Novel fantasi Harry Potter karya J. K. Rowling dan buku kanak-kanak penulis termasyhur Enid Blyton antara naskhah paling popular dipinjam melalui BooksFly2U.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berkata koleksi Geronimo karya Geronimo Stilton turut mendapat permintaan tinggi.

“Jumlah peminjam buku secara e-panggilan itu merekodkan lebih 100 pinjaman dalam tempoh kurang dua minggu.

“Selain dua koleksi itu, kategori bukan fiksyen serta berbahasa Inggeris lebih menjadi pilihan peminjam berbanding kategori lain,” kata Mastura Mohamad kepada SelangorKini.

Beliau berkata akses perkhidmatan yang mudah menggalakkan orang ramai termasuk pelajar sekolah rendah menggunakan BooksFly2U.

“Sejak dilancarkan minggu lalu kita lihat ramai peminjam buku menggunakan cara ini kerana ia mudah. Rekod peminjam banyak dari Petaling dan ramai ibu bapa membuat pinjaman untuk bacaan anak-anak mereka,” katanya.

Melalui BooksFly2U yang dilancarkan pada 16 Julai lalu, peminjam hanya perlu membuat panggilan telefon atau menghantar pesanan tajuk buku ke nombor 010-8491448 atau 03-55197667.

Dalam tempoh dua hari, petugas perpustakaan akan mendapatkannya dan mengaturkan penghantaran menggunakan khidmat e-panggilan manakala kos penghantaran serta pemulangan semula buku ditanggung peminjam.

Categories
AGENSI SELANGOR

Penjenamaan PPAS lonjak status antara terbaik di negara ini

SHAH ALAM, 16 JULAI: Penjenamaan semula Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berjaya mengangkat statusnya sebagai antara terbaik di negara ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi 104 cawangan di seluruh negeri, PPAS menawarkan suasana ceria dengan pelbagai kemudahan untuk dikunjungi seisi keluarga.

“Perbadanan ini bakal meraikan jubli emas 50 tahun penubuhannya tidak lama lagi dan melalui pelbagai transformasi seiring dengan usaha Selangor ke arah mencapai Negeri Pintar 2025.

“Peredaran masa menyebabkan perpustakaan tidak boleh berkeadaan seperti berpuluh tahun lalu yang hanya dikunjungi ulat buku sebaliknya perlu berubah menjadi tempat pendidikan berasaskan keseronokan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan perkhidmatan Booksfly2u di Bangunan Annex hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menerima bungkusan buku sebagai gimik Pelancaran Perkhidmatan Baharu Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) “BooksFly2U” di Dewan Annexe, Shah Alam pada 16 Julai 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menerusi inisiatif yang pertama seumpamanya di negara ini, orang ramai boleh meminjam buku menerusi dalam talian maksimum 10 naskhah dan PPAS akan menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran yang mengambil masa antara tiga hari hingga seminggu.

PPAS melakukan transformasi dengan memperkenalkan konsep ‘PPAS Rumah Keduaku’ berlandaskan empat fungsi iaitu perpustakaan sebagai pusat pembelajaran, pertemuan, rekreasi dan pembangunan modal insan.

Antaranya PPAS Raja Tun Uda di Shah Alam menyediakan pelbagai kemudahan serta tarikan untuk kanak-kanak seperti Reading Tree, Zon Kreatif, Zon Interaktif dan Zon Siber.

Beberapa PPAS terpilih menyediakan kemudahan sewa bilik aktiviti kanak-kanak, auditorium, makmal IT, dewan serba guna, bilik mesyuarat, latihan, seminar dan bilik menyusu bayi.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

PPAS harap jumlah pengunjung meningkat

SHAH ALAM, 18 JUN: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berharap jumlah pengunjung meningkat selepas bangunan itu mula beroperasi Isnin lalu, kata pengarahnya.

Mastura Muhamad berkata sejak dibuka semula, bilangan pengunjung menunjukan perbezaan ketara berbanding sebelum penularan Covid-19.

“Sebelum ini, 1,000 pengunjung direkodkan sehari tetapi kali ini antara 100 hingga ke 200 sahaja.

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita harap jumlah ini akan bertambah. Pengunjung tidak perlu risau kerana kita mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) ketat,” katanya kepada SelangorKini.

Mastura berkata, ibu bapa boleh membawa anak kecil masuk ke perpustakaan namun perlu memastikan mereka mengikut SOP.

Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam; PPAS Gombak, PPAS@PJKita Kampung Lindungan, PPAS Kajang dan PPAS Sungai Udang dibuka dari Isnin hingga Ahad bermula 9 pagi hingga 7 malam.

Perpustakaan daerah, cawangan, pekan dan desa pula dibuka Isnin hingga Jumaat mulai 9 pagi hingga 6 petang manakala Sabtu pada minggu kedua dan keempat setiap bulan dari 9 pagi hingga 5.30 petang.

Categories
SELANGOR

Jom ke Rumah Terbuka PPAS esok

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 JUL: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menjemput orang ramai hadir memeriahkan majlis rumah terbukanya esok.

Majlis berkenaan akan diadakan di Kafeteria Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam di sini.

PPAS dalam kenyataannya memaklumkan, jamuan itu bertujuan untuk meraikan orang ramai bersempena sambutan Aidilfitri.

“Pelbagai menu menarik akan disediakan antaranya termasuk kambing panggang.

“Majlis akan bermula pada jam 11 pagi dan tamat sekitar 3 petang. Semua dijemput hadir bagi memeriahkan suasana,” tulisnya.

Categories
SELANGOR

Riang Ria Bercerita galak kanak-kanak membaca

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

DENGKIL, 29 MEI: Seramai 30 kanak-kanak dari Perkampungan Orang Asli Bukit Tampoi menyertai Program Riang Ria Bercerita anjuran Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) di Balai Raya kampung berkenaan, bermula sejak semalam hingga hari ini.

Pengurus Besarnya, Gan Pei Nei berkata, program julung kali dijayakan bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu bertujuan menggalakkan tabiat membaca dalam kalangan kanak-kanak, khususnya anak orang asal yang tinggal di kawasan terbabit.

“Sepanjang musim cuti ini, kita memberi fokus kepada anak-anak di perkampungan orang asli termasuk golongan B40 dengan menyediakan kemudahan perpustakaan bergerak supaya mereka terbiasa dengan perpustakaan.

“Kita melihat golongan ini kurang pendedahan dengan perpustakaan awam termasuk kemudahan perpustakaan bergerak, oleh sebab itu kita menggunakan pendekatan seperti ini untuk memberi peluang kepada mereka membaca dengan cara bercerita.

“Diharapkan minat membaca anak-anak kecil ini sentiasa berterusan sekali gus menggalakkan mereka untuk berkunjung ke perpustakaan awam berhampiran tempat tinggal masing-masing,” katanya kepada SelangorKini.

Mengakui dorongan ibu bapa penting dalam memupuk amalan membaca, Pei Nei berkata, pihaknya turut melatih pencerita yang majoriti dalam kalangan suri rumah tangga sepanjang program berkenaan diadakan.

“Selain menggalakkan budaya membaca untuk anak-anak, kita mahu ibu bapa belajar melalui aktiviti ini dan melakukan benda yang sama apabila berada di rumah kerana anak-anak lebih banyak meluangkan masa bersama ibu bapa serta ahli keluarga.

“Kita mahu menjadikan budaya membaca ini bukan sahaja di perpustakaan, tetapi paling penting mewujudkan suasana seperti ini di rumah dan komuniti,” katanya.