Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN umum dividen tiga peratus SSPN 2021

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semalam mengumumkan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) tahun lepas sebanyak tiga peratus bagi dua produk simpanan iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus.

Pengerusinya Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata ia membabitkan pemberian dividen dengan anggaran peruntukan RM206.25 juta dan akan memberi manfaat kepada 5.24 juta pendeposit PTPTN.

“Kadar dividen yang diberikan kepada pendeposit Simpan SSPN adalah berdasarkan kepada pulangan bersih pelaburan yang telah dibuat atas deposit yang diterima oleh PTPTN.

“Dividen yang diberikan ini masih lagi kompetitif berbanding keuntungan akaun semasa dan simpanan tetap. Ia juga mengambil kira mandat pelaburan PTPTN yang dibenarkan adalah terhad dalam pasaran wang dan pasaran sukuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengumumkan dividen Simpan SSPN tahun 2021 dan melancarkan Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022 yang dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Ketua Pegawai Operasinya Mastura Mohd Khalid.

Wan Saiful berkata pemberian dividen pada kadar tiga peratus itu jelas menunjukkan bahawa Simpan SSPN tetap mempunyai daya saing berbanding produk-produk simpanan lain yang ditawarkan di pasaran walaupun dalam ekonomi negara tidak menentu.

Beliau turut berharap ini dapat menarik minat masyarakat Malaysia untuk menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama simpanan pendidikan anak-anak.

Katanya selain pemberian dividen, Simpan SSPN turut menawarkan pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful dan geran sepadan secara percuma sehingga RM10,000 bagi tiap keluarga yang layak.

Sementara itu Wan Saiful turut melancarkan Kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2022 pada kadar satu peratus sebagai tanda penghargaan PTPTN kepada pendeposit yang membuat simpanan dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata tempoh promosi bermula 22 Februari sehingga 30 April tahun ini dan layak disertai oleh pendeposit yang membuka akaun Simpan SSPN Prime pada 2004 hingga 31 Dis 2018.

Katanya ganjaran kesetiaan ini akan dinikmati pendeposit Simpan SSPN Prime yang membuat simpanan terkumpul dalam tempoh promosi dengan jumlah minimum RM500 dan sangat berbaloi sebagai pulangan tambahan selain dividen tahunan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Pinjaman PTPTN kepada penuntut diploma B40 dinaikkan – menteri

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Kerajaan bersetuju menaikkan had jumlah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada RM6,800 kepada RM8,000 bagi setiap semester bagi pelajar B40 melanjutkan program diploma di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini, berkata perkara itu tertakluk kepada simpanan bertakaful oleh IPTS berkenaan mulai tahun 2021.

“Pada masa sama, kementerian juga bersetuju untuk meluaskan pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman PTPTN kepada pelajar IPTS daripada keluarga B40 berdasarkan syarat kelayakan PTPTN mulai tahun 2021,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kementerian akan mengkaji cadangan untuk mengecualikan faedah pinjaman dan diskaun bayaran balik dalam tempoh moratorium selain memastikan kelestarian sumber kewangan PTPTN tidak terjejas untuk jangka masa panjang.

“Perkara itu masih dalam perbincangan bersama Kementerian Kewangan sebab apa juga tindakan oleh PTPTN adalah tertakluk juga kepada kelulusan Kementeri Kewangan kerana sumber dana adalah daripada kementerian itu,” katanya.

Menjawab celahan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) mengenai pemotongan Belanjawan 2021 kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) sehingga mencecah RM130 juta, Noraini menjelaskan pengurangan hanya melibatkan sejumlah RM3 juta atau 0.18 peratus.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata ia berikutan jumlah peruntukan mengurus yang diterima UiTM pada tahun 2020 sebanyak RM1.861 bilion adalah termasuk peruntukan untuk Hospital UiTM (HUiTM), tetapi bagi tahun 2021 peruntukan itu telah diasingkan.

“Secara keseluruhannya, peruntukan untuk UiTM (tidak termasuk HUiTM) pada tahun 2020 adalah sebanyak RM1.737 bilion, manakala peruntukan untuk tahun 2021 adalah sebanyak RM1.733 bilion, iaitu pengurangan hanya sebanyak RM3 juta atau 0.18 peratus.

“Saya ingin maklumkan bahawa pengurangan sebanyak 0.18 peratus ini akan ditampung oleh pihak kementerian melalui penjimatan dalaman yang dilaksanakan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN sasar jumlah deposit SSPN RM1.5 bilion tahun ini

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan 400,000 pemegang akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dibuka dengan jumlah deposit RM1.5 bilion tahun ini.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata ini susulan kejayaan yang diraih agensi itu pada tahun lepas yang merekodkan jumlah deposit sebanyak RM1.3 bilion.

“Kami cuba untuk teruskan kejayaan tahun lepas meskipun suasana tahun ini berdepan dengan cabaran ekonomi dan pandemik Covid-19.

“Saya yakin kami dapat tingkatkan jumlah deposit berdasarkan rekod bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, kami telah catat peningkatan deposit RM184.02 juta berbanding tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2020 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Wan Saiful berkata bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, jumlah deposit SSPN adalah RM564.20 juta berbanding RM380.18 juta untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata promosi Cabutan WOW! SSPN-i Plus akan berlangsung bermula 1 Julai hingga 31 Dis bagi cabutan bulanan manakala Cabutan Tahunan pula dari 1 Januari hingga 31 Disember 2020.

Katanya, pembukaan dan penambahan akaun SSPN-i Plus boleh dibuat secara tanpa tunai dengan mudah, cepat dan selamat di www.lovesspn.com selain mengunjungi pejabat PTPTN negeri.

Melalui Cabutan WOW! SSPN-i Plus ini, keseluruhan seramai 1,123 pendeposit akan berpeluang untuk memenangi hadiah yang ditawarkan secara keseluruhannya bernilai RM1 juta.

Hadiah utama cabutan tahunan berupa kereta Mercedes Benz C200 FL AMG Line, manakala cabutan bulanan berbentuk wang tunai.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

4.39 juta pendeposit PTPTN dapat dividen empat peratus

SHAH ALAM, 5 FEB: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini mengumumkan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) empat peratus untuk SSPN-i dan SSPN-i Plus.

Pemberian dividen membabitkan anggaran peruntukan RM147.25 juta akan memanfaatkan 4.39 juta pendeposit PTPTN, lapor Berita Harian.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata tahun lalu SSPN memperoleh keuntungan pelaburan berjumlah RM205.27 juta peningkatan RM41.73 juta atau 25.52 peratus berbanding RM163.54 juta tahun sebelumnya.

“Selaras hasrat kerajaan untuk memastikan simpanan dalam SSPN sentiasa terjamin dan dilindungi, PTPTN mengamalkan kaedah pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberi pulangan atau keuntungan yang tinggi dan positif.

“Keuntungan SSPN bagi 2019 sebanyak RM205.27 juta ini adalah yang tertinggi yang pernah dicapai dalam sejarah PTPTN,” katanya pada majlis pengumuman Dividen 2018 Skim SSPN di ibu pejabat PTPTN di Kuala Lumpur hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM tidak bercadang hapus hutang PTPTN 50 peratus

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak bercadang untuk menghapuskan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak 50 peratus kepada semua penghutang PTPTN.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata sekiranya insentif itu hendak dilaksanakan, kerajaan perlu membelanjakan sebanyak RM29 bilion iaitu 50 peratus daripada keseluruhan pinjaman yang telah dikeluarkan kepada peminjam.

“Jumlah ini adalah bersamaan dengan jumlah peruntukan untuk menaja 1.2 juta peminjam baharu sehingga tamat pengajian.

“KPM perlu memberi perhatian terhadap penambahbaikan pengurusan pinjaman secara keseluruhan,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat kementeriannya, pada persidangan Dewan Negara di sini malam ini.

Menyentuh tentang pendidikan Orang Asli, Teo menjelaskan KPM menerima pencalonan seramai 133 calon guru Orang Asli untuk mengikuti pengajian di institut pendidikan guru (IPG).

Namun hanya 25 calon diterima masuk setelah mengambil kira keputusan Ujian Kelayakan Calon Guru dan keperluan semasa bagi memenuhi unjuran keperluan untuk bidang Bahasa Melayu dan bimbingan kaunseling.

“Kementerian akan terus memastikan murid berkeperluan khusus, seperti murid Orang Asli dan Penan mempunyai peluang untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti dan relevan dengan keperluan mereka,” katanya.

Sementara itu Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata sebanyak 6,821 permohonan kewarganegaraan daripada pemohon berketurunan India telah diterima berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara dari 2014 hingga 30 Nov lepas.

“Daripada jumlah itu, seramai 3,676 pemohon telah dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia manakala yang lain masih dalam proses penelitian, semakan dan ada dokumen yang masih tidak lengkap dan faktor lain,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN sasar deposit SSPN lebih RM1 bilion tahun ini

SEREMBAN, 22 SEPT: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan untuk mendaftarkan 500,000 pemegang akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dengan jumlah deposit melebihi RM1 bilion, tahun ini.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, ini susulan kejayaan yang diraih agensi itu pada tahun lepas yang merekodkan 678,829 pemegang akaun dengan jumlah deposit terkumpul sebanyak RM1.13 bilion.

“Bagi tempoh Januari sehingga 31 Julai lepas, SSPN merekodkan sebanyak 256,135 pemegang akaun dengan jumlah deposit sebanyak RM477.25 juta,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah SSPN 2019 peringkat Negeri Sembilan, yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun di sini, hari ini.

Wan Saiful berkata, SSPN adalah produk yang amat mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat serta menyifatkannya sebagai perkembangan yang baik dan berharap kesedaran menabung dapat dipertingkat dan diperkukuhkan.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya berkata pendidikan merupakan aset utama dalam pelaksanaan pembangunan negara dan kerajaan katanya amat menitik berat soal pendidikan bagi pembangunan modal insan bagi mencapai negara yang makmur dan maju.

Di Negeri Sembilan katanya, sejak 2004 sehingga Julai tahun ini sebanyak 191,013 akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM179.9 juta manakala bagi tempoh Januari hingga 31 Julai tahun ini, sejumlah 12,301 pemegang akaun membabitkan deposit terkumpul sebanyak RM18.4 juta direkodkan di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau menyeru ibu bapa yang belum mempunyai perancangan kewangan pendidikan, supaya memulakan langkah penabungan segera.

Pada majlis itu, Wan Saiful turut memberikan sumbangan akaun SSPN-i kepada 320 pelajar asnaf melibatkan lapan kawasan Parlimen di seluruh negeri ini melalui peruntukan wakalah zakat PTPTN yang berjumlah RM32,000.

Setiap pelajar menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka oleh PTPTN melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

SSPN sejak diwujudkan pada 2004 dan sehingga 31 Julai lalu merekodkan 4.2 juta akaun dengan deposit berjumlah RM5 bilion, di seluruh negara.

Program Jelajah SSPN yang bertujuan untuk membuat hebahan kepada masyarakat berkaitan budaya penabungan bagi pendidikan tinggi, berlangsung selama dua bulan mulai bulan lepas membabitkan 12 lokasi di Semenanjung, 11 lokasi di Sabah dan 10 di Sarawak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN jalin kerjasama strategik bantu peminjam cari kerja

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan tiga agensi bagi membantu peminjam mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

Tiga agensi itu ialah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), agensi pekerjaan JobStreet.com Sdn Bhd dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

Pengerusi PTPTN , Wan Saiful Wan Jan berkata, sebagai peneraju pinjaman pendidikan PTPTN melihat masalah yang dihadapi peminjam yang sukar mencari pekerjaan sebagai satu masalah yang turut dirasai PTPTN.

“PTPTN memahami isu yang dihadapi oleh peminjam dan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN kepada peminjam, langkah tersebut diambil bagi membantu mengatasi masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pertukaran MoU antara PTPTN dan ketiga-tiga agensi tersebut di sini hari ini yang turut disaksikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“la di luar bidang kuasa dan fungsi PTPTN, namun pendekatan ini diambil sebagai sebahagian daripada usaha PTPTN membantu peminjam mencari pekerjaan dan memudahkan urusan mereka memulakan bayaran balik pinjaman selepas tamat pengajian,” katanya.

Beliau berkata kerjasama melalui MoU itu sekaligus akan meningkatkan prestasi bayaran balik pinjaman demi kelangsungan generasi akan datang dan dijangka memanfaatkan satu juta peminjam.

Wan Saiful berkata, kerjasama ini juga diharap membantu peminjam PTPTN yang terdahulu (bermula pinjaman tahun 1997) sekiranya mereka masih menganggur atau ingin mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

Ia diharap membantu peminjam yang sehingga hari ini tidak mampu membayar langsung atau tidak mampu membayar secara konsisten dengan membuka ruang untuk mereka mencari pekerjaan yang lebih baik, katanya.

Sementara itu, Bendahari Kehormat NCCIM, Don Nazwin Don Najib berkata, MyJobs di bawah NCCIM merupakan platform untuk majikan mempromosikan kekosongan jawatan dan juga saluran untuk orang ramai khususnya peminjam PTPTN mencari peluang pekerjaan.

“Landasan ini akan bantu membina pengkalan data permohonan pekerjaan yang boleh digunakan terutamanya kesemua ahli NCCIM untuk memenuhi keperluan mencari calon bagi mengisi kekosongan jawatan dengan kadar segera.

“Sejumlah 650,000 majikan yang merupakan ahli NCCIM akan menyediakan keperluan pekerjaan bagi memastikan ia dapat memenuhi permintaan sama ada bertaraf kontrak atau program latihan pekerjaan sementara sebelum peserta mendapat pekerjaan tetap lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Negara Jobstreet.com, Gan Bock Herm berkata, JobStreet.com mempunyai 90,000 majikan berdaftar dalam dan luar negara.

Selain itu, microsite JobStreet.com diwujudkan untuk PTPTN menyediakan semua fungsi pencarian kerja.

“Perkhidmatan tambahan secara percuma turut disediakan kepada peminjam PTPTN meliputi penyediaan modul pembelajaran seperti persediaan menghadapi temuduga, basic soft skill learning, penyediaan resume dan banyak lagi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN bincang dengan agensi kerajaan kutip pinjaman

PUTRAJAYA, 28 OGOS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi kerajaan untuk memastikan peminjam terutamanya yang dalam kategori tegar, segera membuat pembayaran balik.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, kaedah atau tindakan kepada peminjam yang tegar tidak membayar balik pinjaman adalah berlainan dengan peminjam yang baru bergraduasi.

“Ada peminjam yang patuh bayar, ada yang baru graduasi dan ada yang tegar tidak membayar.

“Jadi sasaran kita haruslah lebih kepada yang tidak membayar dan tegar ini yang saya maksudkan dia dah 20 tahun graduate, tak kan tak boleh bayar,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) PTPTN Sesi Kemasukan September 2019 bagi Parlimen Simpang Renggam, di sini hari ini.

Maszlee berkata, PTPTN sedang dalam perbincangan dengan beberapa agensi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk memastikan kaedah pembayaran balik yang akan dilaksanakan tidak akan membebankan peminjam.

PTPTN dalam kenyataan medianya berkata, sejumlah RM1.33 bilion WPP telah diserahkan kepada 902,881 pelajar sejak tahun 1999 hingga 31 Julai lepas.

Sejumlah 20,716 pelajar telah ditawarkan WPP bagi kemasukan peringkat ijazah ke universiti awam bagi sesi September 2019 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM31 juta.

PTPTN berkata, pemberian WPP itu adalah untuk memastikan tidak ada pelajar yang tidak boleh masuk ke institusi pengajian tinggi disebabkan masalah kewangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN timbang cadangan tambah jumlah Wang Pendahuluan Pembiayaan

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedia mempertimbangkan cadangan menambah jumlah Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) yang ditawarkan kepada pelajar layak menerimanya pada masa akan datang.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, pada ketika ini jumlah WPP yang ditawarkan kepada pelajar yang layak menerima adalah sebanyak RM1,500 seorang.

“PTPTN ada terima permintaan supaya pertimbangkan tambahan jumlah WPP yang diberi kepada pelajar yang layak.

“Setakat ini, itulah jumlah (RM1,500) yang PTPTN berikan tetapi saya rasa ia boleh dipertimbangkan dari semasa ke semasa supaya pelajar mendapat yang terbaik pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan WPP kepada pelajar dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, seramai 359 pelajar ditawarkan WPP bagi sesi kemasukan pengajian peringkat ijazah ke universiti awam sesi September 2019 ini dengan peruntukan sebanyak RM538,500.

Bagi kemasukan pengajian peringkat ijazah ke universiti awam sesi September 2019 ini, PTPTN mengeluarkan waran WPP sebanyak RM31 juta kepada 20,716 pelajar seluruh negara.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, PTPTN menyasarkan bayaran balik pinjaman PTPTN pada ketika ini sebanyak RM2 bilion daripada peminjamnya.

“Pencapaiannya…insya-Allah kita dalam sasaran dan akan mempergiatkan usaha untuk memastikan para peminjam membuat bayaran balik pinjaman PTPTN dan pegawai kami sentiasa bergerak untuk bertemu dengan peminjam bagi memberi sebarang maklumat dan bantuan yang diperlukan.

“PTPTN juga mempunyai rancangan untuk membantu mempermudahkan pembayaran semula pinjaman kepada peminjam yang akan diumumkan kemudian,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PTPTN giat promosi Geran Sepadan untuk golongan B40

KAMPAR, 18 OGOS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan terus menggiatkan promosi skim insentif Geran Sepadan untuk menggalakkan lebih ramai ibu bapa daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) menabung dalam skim berkenaan.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata ini kerana peruntukan yang disediakan kerajaan Persekutuan sejak 2003 berjumlah RM1 bilion hanya digunakan sejumlah RM2.41 juta sahaja setakat ini.

Katanya jumlah penerima yang mendapat manfaat berkenaan adalah terlalu kecil iaitu seramai 1,670 pendeposit dengan bilangan akaun sebanyak 1,803 sehingga 31 Mac 2019.

“Kita akan melipatgandakan promosi dan kempen mengenai Geran Sepadan ini bagi memastikan golongan B40 mendapat sepenuhnya manfaat yang telah disediakan kerajaan kerana kita tidak mempunyai tempoh masa tertentu untuk mencapai sasaran selagi peruntukan sebanyak RM1 bilion itu belum habis digunakan sepenuhnya,” katanya.

Wan Saiful bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2019 peringkat negeri yang dirasmikan Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Penerangan negeri Hasnul Zulkarnain Abd Munaim di Arena Rakyat Tualang Sekah di sini, hari ini.

Wan Saiful berkata insentif Geran Sepadan diberikan secara percuma sehingga RM10,000 untuk sebuah keluarga B40 membuat penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak mereka.

Beliau berkata perkara itu diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad semasa memegang jawatan Perdana Menteri ketika itu pada pembentangan Bajet 2003.

Sementara itu, Wan Saiful berkata pihaknya menyasarkan jumlah simpanan sebanyak RM1 bilion dengan 500,000 akaun baharu akan dibuka pada tahun ini.

“Sehingga 30 Jun tahun ini, sejumlah 256,000 akaun baharu telah dibuka dan ini merupakan cabaran bagi PTPTN bagi memastikan sasaran dapat dicapai dengan melakukan pelbagai strategi selain pelbagai langkah baharu perlu diambil termasuk mengadakan kerjasama dengan semua kerajaan negeri.

Terdahulu, Hasnul Zulkarnaian dalam ucapan perasmiannya berkata Perak adalah antara yang terawal menjadikan SSPN sebagai inisiatif kepada rakyat di negeri itu dengan menyediakan sumbangan dalam bentuk akaun SSPN kepada anak kelahiran Perak di bawah program Tabung Simpanan Pendidikan Negeri Perak yang disalurkan melalui Yayasan Perak.

Beliau berkata menerusi program itu yang diperkenalkan sejak 2010, setiap kelahiran baharu akan menerima RM200 sebagai sumbangan yang dimasukkan terus ke akaun SSPN.

“Saya yakin kerajaan negeri akan meneruskan program ini pada tahun seterusnya demi masa depan anak-anak kelahiran negeri ini,” katanya.

Pada majlis itu, PTPTN turut menyampaikan sumbangan simpanan akaun SSPN-i kepada 960 anak-anak asnaf melibatkan 24 kawasan Parlimen di negeri ini menerusi peruntukan wakalah zakat PTPTN berjumlah RM96,000.

Menerusi sumbangan itu, setiap pelajar yang terpilih menerima RM100 dalam bentuk akaun SSPN-i yang akan dibuka PTPTN melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PTPTN perlu tegas ingatkan peminjam setiap bulan

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu lebih tegas dengan memberi peringatan setiap bulan kepada peminjam yang culas membayar balik pinjaman dalam tempoh lama.

Pengerusi Panel Penasihat Bebas Konsultasi Rakyat PTPTN, Sheikh Shahruddin Sheikh Salim berkata, sebanyak 51 peratus peminjam PTPTN adalah peminjam culas iaitu 32 peratus daripadanya atau 616,000 peminjam membuat pembayaran secara tidak konsisten manakala 19 peratus atau 356,000 peminjam tidak pernah membayar balik pinjaman dengan tunggakan mencecah RM2.8 bilion.

Bercakap pada sesi dialog awam konsultasi rakyat berkaitan isu PTPTN di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini, Sheikh Shahruddin berkata PTPTN perlu mengatasi cabaran utamanya iaitu kekangan kewangan sedia ada berikutan tahap bayaran balik pinjaman yang masih rendah.

“Oleh itu, dalam sesi dialog awam ini, orang ramai diajak menyumbang pendapat masing-masing bagi membantu kerajaan mencapai keputusan terbaik dalam menggubal dasar berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Kita akan mendengar segala pendapat yang diberikan oleh ramai dan akan menyerahkan kepada pihak PTPTN semua idea berkenaan untuk menambah baik 10 idea yang dicadangkan dalam Kertas Konsultasi Rakyat sebelum ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

TPM: Sekatan perjalanan ke luar negara tidak wajar

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah tidak wajar, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut dan cadangan sekatan itu perlu dikaji semula.

“Kita tidak ada apa-apa keputusan. Kita pun rasa bila masa kita berbincang (mengenai sekatan itu)? PTPTN telah memberikan ruang dan peluang untuk anak-anak melanjutkan pengajian mereka namun ada juga segelintir tidak bayar balik.

“Kalau nak ‘rolling’ itu memanglah ada masalah tapi kalau nak buat sekatan-sekatan ini, tak wajar. Kita mesti kaji balik. Itu yang kita tentang dulu, kita protes dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama orang kelainan upaya (OKU) anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan dan Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ummah Selangor, di sini, hari ini.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan sebelum ini dilaporkan berkata cadangan supaya PTPTN menguatkuasakan semula sekatan terhadap peminjam culas merupakan antara idea yang dikemukakan pihak berkaitan hasil daripada sesi libat urus dijalankan. – BERNAMA