Categories
AGENDA NASIONAL

Perdagangan borong dan runcit catat jualan RM1.3 trilion pada 2018

KUALA LUMPUR, 27 JULAI: Perdagangan borong dan runcit negara mencatatkan jualan berjumlah sehingga RM1.3 trilion pada 2018, peningkatan 8.6 peratus setahun berbanding 2013, dengan wilayah Petaling menjadi penyumbang utama, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Terdapat 469,024 pertubuhan beroperasi dalam sektor ini pada 2018 berbanding 370,725 pertubuhan pada tahun 2013 dengan kadar pertumbuhan tahunan 4.8 peratus.

“Bilangan pekerja (dalam sektor perdagangan borong dan runcit) pula direkod seramai 2,002,838 orang dengan kadar pertumbuhan tahunan 3.3 peratus,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata gaji dan upah yang dibayar berjumlah RM62.9 bilion berbanding RM39.0 bilion pada tahun 2013.

Daripada jumlah keseluruhan bilangan pertubuhan yang terlibat dengan perdagangan borong dan runcit, PKS adalah sebanyak 461,975 pertubuhan atau 98.5 peratus dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 4.7 peratus.

Nilai jualan yang dihasilkan oleh PKS ialah RM806.9 bilion berbanding RM591.7 bilion pada banci terdahulu dengan kadar pertumbuhan tahunan 6.5 peratus.

Bagi prestasi mengikut negeri, Selangor mencatatkan bilangan pertubuhan tertinggi iaitu 94,857 sementara mengikut daerah, Petaling mempunyai bilangan pertubuhan tertinggi dengan 40,018 pertubuhan.

– BERNAMA