Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kargo udara catat permintaan tinggi pada Mac

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) melaporkan bahawa permintaan global untuk kargo udara pada Mac 2021 terus mengatasi jumlah permintaan tahap sebelum pandemik Covid-19 dengan permintaan naik 4.4 peratus.

IATA berkata pada Mac permintaan mencapai paras tertinggi sejak data untuk siri pasaran kargo udara global bermula pada tahun 1990.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata kargo udara terus mencatatkan pertumbuhan positf bagi sektor penerbangan dan syarikat penerbangan mengambil pelbagai langkah untuk memenuhi kapasiti yang diperlukan.

“Krisis akibat pandemik telah menunjukkan bahawa kargo udara dapat memenuhi cabaran dengan menggunakan inovasi dengan pantas.

“Begitulah caranya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, walaupun sebahagian besar pesawat penumpang tersadai,” kata Walsh dalam satu kenyataan semalam.

Sektor itu perlu mengekalkan momentum pra-pandemik ini untuk mendorong kecekapan jangka panjang industri dengan digitalisasi.

IATA juga menyatakan bahawa kenaikan permintaan bulan ke bulan dengan jumlah melonjak 0.4 peratus pada Mac berbanding tahap pada Februari, 2021.

Bagaimanapun, pertumbuhannya lebih perlahan daripada bulan sebelumnya yang menyaksikan permintaan meningkat 9.2 peratus berbanding Februari, 2019.

“Prestasi lebih lemah dicatatkan syarikat penerbangan Asia-Pasifik dan Afrika menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih rendah pada bulan Mac,” kata IATA.

Sementara itu, IATA berkata pesanan eksport baharu adalah antara keadaan yang mendasari keadaan ekonomi, ia kekal menyokong kargo udara.

“Selain pesanan eksport, waktu pengiriman barang-barang buatan juga meningkat yang pada kebiasaannya menunjukkan peningkatan permintaan untuk kargo udara dalam usaha untuk mengurangi tempoh pengiriman.

“Perdagangan global meningkat 0.3 peratus pada Februari, kenaikan bulanan kesembilan berturut-turut dan pertumbuhan secara berterusan dicatatkan dalam tempoh lebih daripada dua dekad, ia juga menyokong permintaan untuk kargo udara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Dagangan Malaysia naik 5.5 peratus kepada RM155.88 bilion

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Jumlah perdagangan Malaysia pada September 2020 meningkat 5.5 peratus kepada RM155.88 bilion berbanding September 2019.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata kenaikan perdagangan ini direkodkan terutamanya dengan China, Hong Kong, Amerika Syarikat (AS), Belanda dan Taiwan.

“Eksport pulih dengan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.6 peratus kepada RM88.93 bilion, iaitu nilai eksport tertinggi pernah direkodkan bagi bulan September, 2020 manakala import menyusut 3.6 peratus kepada RM66.96 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Miti berkata eksport barangan perkilangan dan keluaran pertanian mencatatkan pertumbuhan dua digit pada September 2020.

“Eksport barangan perkilangan pada September 2020 yang merangkumi 87.7 peratus daripada jumlah eksport, berkembang 16.3 peratus tahun ke tahun kepada RM77.99 bilion

“Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran getah, barangan perkilangan lain terutamanya peranti ‘solid-state storage’ (SSD), barangan besi dan keluli serta barangan optik dan saintifik.

Ia berkata eksport keluaran pertanian melonjak 26.6 peratus kepada RM6.55 bilion berbanding September 2019, disokong terutamanya oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Miti berkata produk elektrik dan elektronik turut memacu eksport ke Asean pada September 2020, dengan menyumbang RM38.79 bilion atau 24.9 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia, mencatatkan peningkatan 0.5 peratus berbanding September 2019.

“Eksport pulih dengan pertumbuhan 6.7 peratus kepada RM23.1 bilion, disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E yang meningkat sebanyak 47.8 peratus atau RM3.2 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, perdagangan dengan China menyumbang 19.8 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia pada September 2020, meningkat 21.5 peratus tahun ke tahun kepada RM30.85 bilion.

“Eksport ke China melonjak 41.9 peratus kepada RM15.56 bilion berikutan kenaikan eksport bagi barangan E&E, barangan besi dan keluli serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit,” katanya.

Miti menambah eksport ke AS terus meningkat dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 22.1 peratus kepada RM10.32 bilion pada September 2020 berikutan kenaikan dicatatkan bagi keluaran getah, barangan E&E, barangan kayu, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan lain.

Eksport ke Eropah telah pulih kembali dengan peningkatan dua digit sebanyak 28.6 peratus kepada RM8.63 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran getah, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan perkilangan logam.

Sementara itu, barangan perkilangan telah mengimbangi pengurangan eksport ke Jepun sebanyak 11.3 peratus kepada RM4.76 bilion disebabkan terutamanya oleh penurunan eksport gas asli cecair (LNG).

“Penguncupan ini bagaimanapun, telah diimbangi oleh kenaikan eksport barangan perkilangan yang berkembang sebanyak 1.6 peratus kepada RM3.67 bilion,” tambahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit diniaga tidak berubah 4.1660/1720, tumpuan data perdagangan

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Urus niaga ringgit tidak banyak berubah berbanding dolar AS ketika dibuka pagi ini terutamanya menjelang pengumuman data perdagangan untuk September hari ini.

Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.1660/1720 berbanding mata wang dolar daripada 4.1650/1700 ketika ditutup pada Jumaat.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata penyebab kepada sebarang halangan terhadap ringgit ialah data perdagangan itu yang dijangka lemah memandangkan pertumbuhan eksport mungkin perlahan berikutan pengukuhan mata wang tempatan.

“Tetapi sekiranya ada kejutan positif, ia baik untuk ringgit,” kata beliau kepada Bernama.

Selain itu, beliau berkata para peniaga mungkin mengambil masa seminggu atau lebih untuk melupakan bahawa Malaysia masih kekal dalam senarai pemerhatian FTSE walaupun ini telah dijangkakan.

“Dalam pada itu, data keuntungan perindustrian China amat menggalakkan ketika diumumkan pada hujung minggu dan seharusnya dapat membantu ringgit. Tetapi aliran perdagangan masih lagi menunjukkan kebimbangan berkenaan risiko pilihan raya AS yang menyaksikan para peniaga membeli dolar dan perbendaharaan AS. Ini melibatkan sebahagian besar ringgit akhir-akhir ini,” tambah beliau.

Pada Julai, perdagangan Malaysia merosot 2.2 peratus kepada RM159.9 bilion berbanding bulan sama tahun lepas.

Eksport terus merekodkan pertumbuhan positif pada Julai 2020, meningkat 3.1 peratus tahun ke tahun kepada RM92.5 bilion, paling tinggi sejak November 2018. Sebaliknya, nilai import turun 8.7 peratus kepada RM67.4 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 10.4 peratus.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0252/0307 daripada 3.0264/0307 pada Jumaat tetapi lemah berbanding yen kepada 3.9514/9583 daripada 3.9490/9549.

Mata wang tempatan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.8396/8483 daripada 4.8489/8564 sebelumnya tetapi lebih rendah berbanding pound Britain kepada 5.3141/3226 daripada 5.3008/3088.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Konflik AS-China tidak jejas dagangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Konflik perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China sejak awal 2018 tidak memberikan impak besar terhadap prestasi perdagangan Malaysia dengan kedua-dua negara tersebut.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata jumlah perdagangan Malaysia dengan AS untuk tempoh Januari hingga Jun 2020 ialah RM80.41 bilion meningkat sebanyak 3.1 peratus berbanding tempoh sama 2019.

Nilai eksport Malaysia ke AS meningkat pada kadar 2.4 peratus kepada RM46.15 bilion dan import pula bernilai RM34.26 bilion meningkat 4.1 peratus.

Hampir 80 peratus eksport Malaysia ke AS disumbang produk elektrik dan elektronik, produk keluaran getah, peralatan optikal dan saintifik, produk keluaran kayu serta produk perkilangan lain.

Produk yang menyumbang kepada 76 peratus import dari AS adalah produk elektrik dan elektronik, produk kimia dan bahan kimia, mesin dan peralatan, peralatan optikal dan saintifik serta produk perkilangan logam.

Sementara itu, jumlah perdagangan Malaysia dengan China bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 turut mencatat peningkatan 0.3 peratus kepada RM149.16 bilion berbanding tempoh sama pada 2019.

Eksport Malaysia ke China pada tempoh sama bernilai RM69.43 bilion meningkat pada kadar 8.3 peratus disokong eksport utama iaitu elektrik dan elektronik, kimia dan produk kimia, produk petroleum, pembuatan logam serta barangan perkilangan yang lain.

Import pula menurun 5.8 peratus kepada RM79.73 bilion, di mana import utama merangkumi produk elektrik dan elektronik, mesin, peralatan dan bahagian, kimia dan produk kimia, produk petroleum serta pembuatan logam.

“Prestasi perdagangan Malaysia sedikit merosot bagi tempoh Januari hingga Jun 2020 berikutan penularan pandemik Covid-19 yang bermula pada awal tahun dengan jumlah perdagangan berkurangan tujuh peratus kepada RM833.36 bilion berbanding tempoh sama pada 2019.

“Eksport menyusut 6.8 peratus kepada RM448.99 bilion dan import berkurang 7.2 peratus kepada RM384.38 bilion. Lebihan dagangan pula bernilai RM64.61 bilion iaitu menurun 4.1 peratus berbanding tempoh sama 2019,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) yang ingin tahu mengenai kesan perang perdagangan antara AS dan China selain pandemik Covid-19 terhadap import dan eksport Malaysia bagi 2020.

Bagaimanapun, MITI menjelaskan terdapat peluang perniagaan bagi sektor tertentu, contohnya sektor keluaran getah iaitu eksport sarung tangan getah yang melonjak 40.3 peratus bagi tempoh tersebut disokong permintaan tinggi dalam pasaran global berikutan wabak itu.

“Peningkatan eksport turut dilihat bagi produk peralatan perubatan seperti kit pemeriksaan, pembasmi kuman dan barangan persediaan pembasuh kulit,” katanya.

Menyedari perang perdagangan AS-China dan penularan Covid-19 masih berterusan, Miti menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) proaktif bagi menangani impak perdagangan ke atas Malaysia.

Antaranya memberi fokus kepada penggunaan teknologi digital dalam usaha membantu syarikat mengurangkan kos promosi eksport bagi memastikan syarikat pengeksport Malaysia kekal berdaya saing di pasaran antarabangsa.

Memanfaatkan platform digital untuk mengatur pemadanan perniagaan (eBizMatch) antara pembeli berpotensi dengan syarikat pembekal Malaysia, kementerian itu berkata, dari 1 Januari hingga 31 Julai 2020, sebanyak 576 padanan perniagaan diadakan iaitu 395 pembeli asing dipadankan dengan 538 syarikat Malaysia yang menghasilkan potensi jualan RM461.35 juta.

Selain itu menerusi tinjauan dilakukan, Matrade memperluaskan skop Geran Pembangunan Pemasaran (MDG) meliputi aktiviti promosi perdagangan secara maya sejajar dengan Pakej PENJANA.

MDG turut menampung 30 peratus kos logistik termasuk pengangkutan dan pergudangan bagi penghantaran produk ke luar negara, seiring hasrat kerajaan meringankan beban kewangan dialami syarikat pengeksport Malaysia.

“Bagi tempoh 1 Januari sehingga 31 Julai 2020, sebanyak 1,427 permohonan daripada 962 syarikat diproses dengan geran RM14.56 juta disalurkan,” kata kementerian itu.

Menurut Miti, Matrade juga mengadakan beberapa sesi Virtual Trade Clinic (VTC) iaitu platform khidmat nasihat perdagangan membantu syarikat mematuhi keperluan dan mengatasi cabaran eksport dalam usaha memulihkan operasi dan perancangan eksport syarikat.

Sebagai permulaan, Matrade dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melalui Electrical and Electronics Productivity Nexus (EEPN) dan Machinery and Equipment Productivity Nexus (MEPN) menganjurkan VTC bagi syarikat elektrikal dan elektronik.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Perdagangan Malaysia di landasan pemulihan, cabaran kekal

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Pembukaan semula hampir semua aktiviti ekonomi sejak Jun merupakan pendahuluan bagi pemulihan perdagangan Malaysia walaupun peningkatannya mungkin dihadkan oleh permintaan luaran yang lemah dalam keadaan ekonomi maju yang masih bergelut menangani penularan pandemik Covid-19, kata seorang ahli ekonomi.

Momentum perdagangan kekal lemah pada Mei di tengah-tengah pembukaan semula berperingkat aktiviti ekonomi ketika negara beralih kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir selama sebulan.

Malaysia ketika ini berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos, 2020, yang membenarkan pembukaan semula hampir kesemua aktiviti ekonomi.

“Ini akan menjadi pelopor bagi perdagangan untuk pulih, walaupun secara perlahan-lahan, kerana Covid-19 masih kekal menjadi sumber cabaran utama kepada rakan dagangan utama kita,” kata Ahli Ekonomi Public Investment Bank Bhd Dr Rosnani Rasul dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Beliau berkata Malaysia berada di kedudukan terbaik untuk meraih manfaat daripada pemulihan perdagangan global yang dipacu antara lainnya oleh daya tarikan ringgit.

Ketika ini ringgit didagangkan pada paras 4.2820-4.3000 berbanding dolar AS.

Penguncupan Eksport Malaysia

Eksport Malaysia pada Mei turun sebanyak 25.5 peratus tahun ke tahun, penguncupan lebih besar berbanding – 23.8 peratus pada April berikutan penurunan dalam semua sektor yang diterajui perlombongan sebanyak 49.1 peratus tahun ke tahun yang terjejas berikutan pengurangan pengeluaran terbaharu oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Ini diburukkan lagi dengan penutupan beberapa pelabuhan di rantau ASEAN berikutan langkah-langkah membendung penularan Covid-19 oleh negara masing-masing dan permintaan terhadap barangan Malaysia juga terjejas oleh aktiviti ekonomi yang perlahan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), zon Eropah dan Jepun.

Bagaimanapun, lebihan perdagangan melantun semula pada bulan itu kepada RM10.4 bilion, peningkatan 14.7 peratus tahun ke tahun berikutan penurunan besar import berbanding eksport, pemulihan berbanding defisit kecil sebanyak RM3.4 bilion pada April.

Cabaran Ekonomi ASEAN

Malaysia (eksport Mei: -25.5 peratus) dan Vietnam (eksport Mei: -15.5 peratus) merupakan hanya dua negara di rantau ini yang mengumumkan angka perdagangan pada Mei, dengan China, Thailand, Singapura dan Indonesia masih lagi belum berbuat demikian.

Rosnani berkata rantau ASEAN juga mungkin berdepan cabaran berkaitan perdagangan dalam suku kedua (April-Jun) berikutan permintaan luaran yang lemah terutamanya dari ekonomi maju ekoran penutupan ataupun pengasingan disebabkan Covid-19.

“Pemulihan perdagangan ASEAN mungkin perlahan apabila China kembali semula dilanda kes baharu Covid-19 (di Beijing dan Hubei), yang menyebabkan pihak berkuasanya bersiap sedia kemungkinan melaksanakan semula kawalan pergerakan.”

Kerajaan China memutuskan untuk tidak menetapkan sasaran tahunan keluaran dalam negara kasar tahun ini, yang pertamanya sejak 2002, yang menandakan ketidakpastian besar disebabkan Covid-19 yang kekal menjadi isu global.

Pemulihan global yang tidak pasti juga telah menyebabkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak semula unjuran pertumbuhan global 2020 dengan menurunkannya kepada -4.9 peratus daripada -3.0 peratus sebelumnya, satu daripada penurunan besarnya dalam tempoh hanya beberapa bulan di tengah-tengah pemulihan yang lebih perlahan daripada dijangkakan pada awalnya.

Penurunan mendadak itu adalah disebabkan prestasi perlahan di ekonomi maju seperti AS (-8.0 peratus) Zon Eropah (-10.2 peratus) dan Jepun (-5.8 peratus) walaupun IMF kekal yakin dengan prospek 2021 (+5.4 peratus).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin: Malaysia kekal dasar pelaburan dan perdagangan terbuka

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Malaysia akan terus mengamalkan dasar pelaburan dan perdagangan terbuka, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata dasar tersebut berperanan penting dalam usaha negara ke arah penyepaduan lebih kukuh dengan ASEAN selain memanfaatkan saiz penduduk di rantau ini yang berjumlah lebih 600 juta orang.

“Dalam konteks ekonomi global yang semakin terhubung, Malaysia juga akan terus memanfaatkan budaya pembiayaan untuk melonjakkan lagi kelebihan daya saing kita.

“Dalam aspek ini, Malaysia telah berjaya menganjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, yang menyaksikan 18 perjanjian berjaya dimeterai, manakala pemimpin dari dunia Islam bersetuju menyalurkan lebih banyak pelaburan langsung untuk tujuan pembangunan ekonomi mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap ketika sesi pleno bertajuk ‘Pengagihan Semula Kekayaan – Kemakmuran Bersama’ sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 pada 20 Disember 2019. Foto BERNAMA

Mohamed Azmin berkata kerjasama yang ditempa semasa sidang kemuncak itu adalah dalam bidang media, pusat kecemerlangan, pertukaran belia, pertahanan dan keselamatan, serta jaminan makanan.

“Antara lain, satu perjanjian telah ditandatangani antara Felcra Bhd dengan satu daripada pemilik ladang ternakan dan tenusu terbesar Qatar, Baladna Food Industries, untuk usaha sama tenusu berskala besar bagi meningkatkan lagi jaminan makanan negara,” katanya.

Beliau berkata pertukaran dokumen melibatkan pembuat komponen aeroangkasa Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) dan Turkish Aerospace Industries (TAI) turut diadakan di luar acara sidang kemuncak tersebut.

“Semua inisiatif ini dilaksanakan kerajaan untuk membangunkan daya tahan dan memajukan sumber pertumbuhan endogen, seiring dengan harga komoditi lebih baik dan ringgit yang lebih stabil, akan mengorak laluan ke arah peningkatan prospek ekonomi Malaysia,” katanya.

Mohamed Azmin berkata penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan Tahun Melawat Malaysia pada 2020 akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan, khususnya bagi industri pelancongan.

“Justeru, inisiatif dasar yang berterusan akan memperkukuh lagi asas ekonomi Malaysia selain terus menyokong ringgit,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan sentiasa memastikan usaha bersepadu dijalankan untuk mendorong Malaysia ke arah mencapai pertumbuhan lebih mampan dan saksama sejajar agenda kemakmuran bersama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Thailand cari peluang perdagangan di Malaysia Timur

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Usahawan Thailand daripada pelbagai industri sedang mencari peluang usaha sama dengan ahli perniagaan Sabah dan Sarawak melalui Forum Menyambungkan Perdagangan serta Hubungan Pelaburan antara Thailand dan Malaysia Timur.

Duta Thailand ke Malaysia, Narong Sasitorn berkata, forum itu akan berlangsung pada 21 Ogos di Kota Kinabalu dan 23 Ogos di Kuching.

Katanya, ia akan menonjolkan prospek masa hadapan ekonomi Thailand di bawah kerajaan yang baru dipilih, termasuk menggariskan peluang perdagangan berpotensi antara Thailand dan Malaysia Timur.

“Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan yang agak lama. Bagaimanapun, hubungan ini hanya berkisar antara Thailand dengan Semenanjung Malaysia, terutama di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

“Dengan sumber alam yang kaya, Sabah dan Sarawak adalah antara negeri yang mempunyai banyak potensi perniagaan.

“Saya benar-benar berharap bahawa acara ini akan membuka peluang perniagaan serta perkongsian antara kedua-dua negara dan merapatkan hubungan komuniti perniagaan kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Forum itu akan dianjurkan secara bersama oleh Pejabat Hal Ehwal Perdagangan di bawah Jabatan Penggalakkan Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Perdagangan Thailand, Persekutuan Industri Sabah, dan Persekutuan Perniagaan Sarawak.

Sejumlah 11 syarikat dari Thailand akan mengambil bahagian dalam sesi padanan perniagaan dengan peneraju perusahaan Sabah dan Sarawak yang terlibat dalam industri makanan, automotif serta pembuatan.

Sementara itu, Kaunselor Menteri Thailand bagi Hal Ehwal Perdagangan Thailand, Patcha Wutipan berkata forum itu akan membuka peluang besar bagi usahawan Thailand, Sabah dan Sarawak untuk membina rangkaian mereka.

“Kami berhasrat untuk mengembangkan perdagangan dua hala termasuk meneroka peluang pelaburan di Sabah dan Sarawak.

“Bagaimanapun, terdapat juga beberapa cabaran yang kita perlu atasi, terutama kekurangan maklumat mengenai satu sama lain, kos logistik serta pengangkutan yang tinggi bagi mengembangkan jumlah perdagangan sama ada daripada segi eksport atau import,” katanya.

Terdapat beberapa industri yang mana Thailand memiliki kelebihan seperti industri agro, makanan dan minuman, automotif, penyejukan serta penyaman udara, pelancongan dan perkhidmatan kreatif.

“Ini merupakan bidang yang berpotensi bagi Thailand, Sabah dan Sarawak memulakan usaha sama perniagaan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

MATRADE: Perdagangan dengan EU tidak terjejas

KUALA LUMPUR, 16 APR: Isu perdagangan antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) berhubung minyak sawit tidak akan menjejaskan eksport barangan lain ke EU, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, eksport elektrikal dan elektronik (E&E) ke EU kekal kukuh.

“Satu-satunya eksport yang terjejas ialah minyak sawit dan sektor lain setakat ini tidak menunjukkan sebarang kesan negatif,” katanya pada sidang media hari ini mengenai Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) at SEMICON Southeast Asia.

Menurut data MATRADE, perdagangan dengan EU pada Februari 2019 turun sebanyak 5.7 peratus tahun ke tahun kepada RM13.35 bilion atau 10.9 peratus jumlah perdagangan Malaysia.

Eksport ke EU mencatatkan pertumbuhan 3.7 peratus kepada RM7.68 bilion, disumbangkan oleh peningkatan eksport barangan pembuatan khususnya produk E&E, pembuatan logam, jentera, peralatan dan alat ganti serta produk pembuatan berasaskan minyak sawit.

Daripada keseluruhan perdagangan, berbanding pada Februari tahun lepas, eksport produk E&E meningkat sebanyak 4.9 peratus bernilai RM25.81 bilion, yang menyumbang 38.8 peratus daripada jumlah eksport.

“Antara 10 pasaran terkemuka EU yang menyumbang 89.7 peratus jumlah eksport Malaysia ke EU ialah Sepanyol, yang mencatatkan peningkatan 78.4 peratus, Ireland (180.1 peratus), Itali (28.2 peratus), Jerman (1.1 peratus), Perancis (3.6 peratus) dan Republik Czech (2.5 peratus),” katanya.

Wan Latiff berkata kekuatan Malaysia dalam sektor E&E, terutamanya sebagai peneraju di rantau ini, dijangka berkembang pada paras kukuh di sebalik kelembapan global, dengan mengguna pakai pembuatan pintar dan Industri 4.0.

“Saya percaya kami akan mampu mempunyai tapak yang lebih kukuh dalam industri ini dan sektor E&E akan terus memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia.

“Menjelang 2020, industri itu dijangka menjana pendapatan negara kasar tambahan sebanyak RM53.4 bilion dan mewujudkan 157,000 kerja baharu,” katanya.

Sementara itu, Presiden SEMI Southeast Asia, Ng Kai Fai berkata, di sebalik pasaran global yang lebih perlahan, hasil sektor E&E tempatan dijangka mencecah RM490 bilion tahun ini berbanding RM470 bilion tahun lepas.

“Ketika industri terus berkembang berikutan teknologi menjadi lebih canggih dari semasa ke semasa, pemain industri perlu meningkatkan kemahiran mereka dan mengguna pakai teknologi terkini untuk menawan perkongisan pasaran,” katanya.

INSP yang juga inisiatif padanan perniagaan oleh MATRADE, akan turut dianjurkan di SEMICON Southeast Asia pada 8 Mei dengan penyertaan 18 pembeli asing mewakili 10 negara selain dijangka menjana jualan bernilai RM150 juta.

SEMICON yang diadakan di MITEC pada 7-9 Mei dengan tema “Think Smart Make Smart” pula dijangka dihadiri oleh pembeli dan 9,000 perwakilan China, Korea Selatan, Singapura, Amerika Syarikat serta Emiriah Arab Bersatu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kapal dagang beralih ke Singapura, pelabuhan Malaysia berdepan masalah?

Saya ambil maklum kenyataan seorang pakar ekonomi, Prof Hoo Ke Ping menyatakan industri pelabuhan di Malaysia bakal berdepan dengan masalah selepas terdapatnya tanda-tanda hubungan rapat antara China dan Singapura.

Menurutnya, terdapat perubahan dasar di Beijing seperti yang ditunjukkan berdasarkan keputusan rangkaian perkapalan Ocean Alliance yang beralih operasi dari Pelabuhan Klang ke Singapura.

Ocean Alliance, termasuk China Cosco Shipping, United Arab Shipping Company (UASC) dan kumpulan perkapalan Perancis CMA CGM diikat di Shanghai tahun lepas dan Cosco adalah syarikat perkapalan keempat terbesar di dunia.

1. Malaysia perlu bimbang bukan sahaja mengenai hubungan rapat Singapura-China tetapi juga tahap kecekapan di pelabuhan Malaysia berbanding Singapura. Malah, keadaan ini juga adalah berita buruk untuk pelabuhan kita dan mungkin juga bagi Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

ECRL yang bernilai RM55 bilion dilancarkan di Kuantan bulan lepas, dijangka memenuhi sebahagian besar keperluan syarikat perkapalan China. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memujinya sebagai ‘laluan perdagangan alternatif ke Singapura’ kerana laluan itu akan menghubungkan Pelabuhan Klang dengan Pelabuhan Kuantan.

Dalam hal ini Malaysia perlu bertindak lebih pantas dan mempunyai peralatan dan infrastruktur yang paling canggih serta perkhidmatan sokongan yang cekap. Walaupun, Malaysia mempunyai 3 pelabuhan utama dengan tahap kecekapan berbeza dan perbezaan kadar pelaburan semula ke dalam pembinaan kapasiti. Ia boleh ditingkatkan dengan menjadikan pelabuhan ini lebih menarik dan langkah pertama perlukan penyatuan.

2. Selain itu, pelaburan di dalam sektor perkapalan juga perlu mempelbagaikan ekonomi negara. Trend masa kini dengan pembinaan kapal yang semakin besar dan berteknologi tinggi. Ini menuntut kapasiti pelabuhan yang berupaya untuk membolehkan kapal sedemikian untuk berlabuh.

Malaysia mesti menangani situasi ini dengan tawaran komersial yang lebih baik kepada syarikat perkapalan, sambil menambah pihak berkuasa yang berkaitan harus meningkatkan kecekapan dan profesionalisme dengan mengurangkan pembaziran dan rasuah.

Malaysia memerlukan strategi perniagaan baik yang disokong oleh dasar kerajaan yang jelas.

3. Antara faktor penentu kapal untuk singgah berlabuh di pelabuhan adalah permintaan barangan atau komoditi, mutu perkhidmatan pengangkutan dagangan antarabangsa dan tahap daya saing pelabuhan.

Persaingan sengit dari negara jiran sekarang tidak boleh dipandang mudah dan kita perlu prihatin untuk meningkatkan mutu perkhidmatan terutamanya dalam bidang logistik yang menyokong pertumbuhan pelabuhan-pelabuhan besar di negara ini.

Pengangkutan bahan mentah, separa siap, penyimpanan stok tepat masa serta pengagihan yang efisyen adalah amat penting untuk mengurangkan kos logistik yang perlu diserapkan pada harga runcit barangan.

Pada 2005, The United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD) menyenaraikan Malaysia sebagai sebuah negara maritim ke-20 terbesar di dunia dengan menyumbang 1.2 peratus daripada jumlah nilai dagangan global.

4. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai juga dilaporkan berkata, jumlah pengendalian kargo hanya mencatat sedikit penurunan tetapi pertumbuhan kukuh berlaku dalam negara, khasnya pengeluaran ekonomi.

Akibat ketidakcekapan pengendalian kargo, kini kebanyakan kapal dagang ke pelabuhan Singapura dan sebagainya yang akhirnya mengakibatkan satu kerugian besar buat negara.

YB Lee Chean Chung
ADUN Semambu
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN

Categories
NASIONAL

Prestasi perdagangan negara meningkat 1.3%

KUALA LUMPUR 6 OGOS: Prestasi perdagangan Malaysia meningkat 1.3 peratus kepada RM704 bilion bagi separuh pertama 2016 berbanding RM694.98 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam laporan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia, menyatakan pertumbuhan positif itu disokong terutama oleh perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), ASEAN, China, Kesatuan Eropah, Bangladesh, Turki dan Mexico.

Dalam tempoh berkenaan, lebihan dagangan negara meningkat kepada RM41.79 bilion daripada RM41.69 bilion pada tempoh sama 2015, dengan eksport menokok 1.2 peratus (RM4.56 bilion) kepada RM372.9 bilion dan import naik 1.4 peratus (RM4.46 bilion) kepada RM331.11 bilion.

“Prestasi lebih baik itu disumbangkan sebahagiannya oleh pertumbuhan perdagangan pada Jun 2016 yang meningkat 5.7 peratus berasaskan tahun ke tahun kepada RM127.38 bilion.

“Eksport Jun 2016 pulih dengan mencatatkan pertumbuhan 3.4 peratus kepada RM66.45 bilion, setelah merekodkan pertumbuhan negatif pada Mei 2016. Import meningkat 8.3 peratus atau RM4.65 bilion kepada RM60.93 bilion,” tambah laporan itu.

Menurut MITI, lebihan dagangan pada Jun 2016 berjumlah RM5.52 bilion, menjadikannya lebihan dagangan yang ke-224 bulan berturut-turut dicatatkan sejak November 1997.

Secara keseluruhan, kenaikan eksport dicatatkan bagi barangan perkilangan dan keluaran pertanian, meskipun eksport hasil galian berkurang.

“Eksport barangan perkilangan bagi tempoh Januari hingga Jun 2016 menokok RM16.31 bilion (5.6 peratus) kepada RM309.17 bilion berbanding enam bulan pertama tahun 2015,” katanya.

Sementara itu, menurut laporan berkenaan, prestasi perdagangan dengan ASEAN kekal kukuh pada separuh pertama 2016, dengan eksport berkembang enam peratus atau RM6.19 bilion kepada RM110.04 bilion, sekali gus menyumbang 29.5 peratus kepada jumlah eksport Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, import dari ASEAN menurun 3.2 peratus kepada RM82.88 bilion, manakala perdagangan dengan ASEAN meningkat 1.8 peratus kepada RM192.92 bilion.

Antara pasaran utama ASEAN, peningkatan eksport direkodkan ke Singapura dengan peningkatan RM2.68 bilion, disumbang terutama oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik serta ke Vietnam menambah RM3.47 bilion, dipacu peningkatan eksport keluaran petroleum dan barangan perkilangan logam.

EZY

Categories
SELANGOR

Misi perdagangan Selangor 4 hari di India tarik pelaburan

SHAH ALAM 18 APR: Delegasi pegawai Kerajaan Selangor mengadakan misi perdagangan selama empat hari bermula 19 April di dua bandar di India, Mumbai dan Chennai, dalam usaha untuk menarik minat pelabur dari negara itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) di Mumbai, semasa misi lawatan itu, delegasi Selangor merancang untuk memberi gambaran mendalam mengenai peluang pelaburan yang terdapat di Selangor.

Selangor majuPengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana dan Pengangkutan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim, mengetuai delegasi itu yang menyasarkan pelaburan dalam sektor farmaseutikal, peralatan perubatan dan jentera.

Mesyuarat bersama-sama Dewan Perniagaan dan Industri India (FICCI) akan berlangsung di Mumbai pada Isnin, dan di Chennai pada Rabu (22 April).

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Hasan Azhari akan membentangkan kertas kerja bertajuk “Pusat Penyelesaian Pelaburan di Selangor”, semasa misi berkenaan.

Delegasi Selangor juga akan bertemu pihak MIDA dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, serta Konsul Jeneral masing-masing di Mumbai dan Chennai, untuk mendapat maklumat lanjut mengenai peluang perniagaan di India. – Bernama

Categories
NASIONAL

Najib perlu berani putus hubungan perdagangan dengan Israel

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 OGOS: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) PKR, Nurul Izzah Anwar menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya bertindak berani memutuskan hubungan perdagangan dengan Israel yang bernilai berbilion ringgit sejak 2010 lalu.

Katanya, pendekatan itu juga harus diambil oleh masyarakat dunia yang lain bagi menjaga keamanan dunia.

Beliau berkata, sikap mendiamkan diri oleh negara Islam yang lain seperti Mesir dan Arab Saudi tidak boleh kita ikuti, apatah lagi membiarkan Palestin terus dibedil.

Smoke and fire from an Israeli bomb rises into the air ove Gaza CityKatanya, dengan persetujuan genjatan senjata oleh Hamas dan Israel yang akan berlangsung selama 72 jam, Malaysia melalui OIC atau NAM perlu segera mengambil peluang untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada wilayah tersebut melalui udara dan laut.

“Malah, Kerajaan Malaysia boleh mengerah pesawat TUDM untuk menyampaikan bantuan, sementara peluang ini masih terbuka dan bekerjasama terus dengan Aqsa Syarif, Viva Palestina Malaysia dan MAPIM dalam penyaluran bantuan.

“Usaha yang giat perlu dilakukan untuk memecahkan tembok sempadan yang memisahkan Semenanjung Gaza dengan wilayah Palestin lain yang kini dianggap sebagai penjara terbuka terbesar di dunia.

“Masa akan berlalu dengan kemaraan kezaliman Israel yang berterusan. Kita punyai tanggungjawab moral untuk memastikan kegilaan serta kezaliman ini dihentikan,” katanya dalam kenyataan.

Media antarabangsa melaporkan bahawa Israel memanggil 16,000 orang askar simpanan selepas rejim Zionis itu meminta Amerika Syarikat membekalkan senjata tambahan selepas Gaza dibedil secara berterusan.

Lebih malang, laporan media melaporkan Amerika Syarikat bersetuju untuk membekalkan senjata tambahan yang bakal digunakan di dalam serangan yang memangsakan lebih 1400 warga Gaza, yang mana dilaporkan lebih 85 peratus daripadanya rakyat tidak berdosa termasuk kanak-kanak menjadi mangsa.

nurul izzah KLSCAH 01Mengulas lanjut isu kekejaman Israel itu, Izzah berkata, perkembangan terbabit amat mengecewakan dan membangkitkan kemarahan dunia.

“Pesuruhjaya Tinggi Hak-hak Kemanusiaan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Navi Pillay sudah menyeru kuasa dunia untuk menggesa Israel bertanggungjawab ke atas jenayah perang yang diakukan negara teroris itu, yang membabitkan perlanggaran undang-undang kemanusian antarabangsa termasuk kontroversi penggunaan senjata yang diharamkan terhadap rakyat biasa.

“Perumahan awam, ambulan, premis sekolah UNRWA dan infrastruktur utama Gaza termasuk satu-satunya stesen janakuasa juga tidak selamat daripada serangan Israel,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, sebuah tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan keselamatan dan keamanan rantau itu terjamin.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kerajaan-kerajaan dunia yang lain untuk bersatu untuk menamatkan krisis kemanusiaan ini,” katanya.

-NFN-