Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Peguam Negara siar warta Muhyiddin jadi PM sementara

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Jabatan Peguam Negara menyiarkan Warta Kerajaan Persekutuaan, Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan 2021 berhubung pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sehingga pelantikan Perdana Menteri baharu.

Warta itu memaklumkan fungsi Muhyiddin yang dipertanggungjawabkan dengan tanggungjawab mengenai semua jabatan kerajaan persekutuan dan perkara yang jabatan itu bertanggungjawab sehingga pelantikan menteri lain dalam Jemaah Menteri.

Perintah itu berkuat kuasa semalam.

Warta itu turut memaklumkan pembatalan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan (No.3) 2020 [P.U.(A)201/2020].

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau ‘caretaker’ sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Pelantikan sebagai perdana menteri sementara itu diputuskan setelah Seri Paduka berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri yang berkuat kuasa semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir jumpa pemimpin utama politik di Putrajaya

PUTRAJAYA, 25 FEB: Perdana Menteri Sementara, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan bersama tokoh pemimpin politik di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, antara pemimpin parti politik yang hadir Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg (Gabungan Parti Sarawak), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (KEADILAN).

Pemimpin lain Lim Guan Eng (DAP), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (UMNO), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS) dan Mohamad Sabu (Amanah).

Kenyataan sama memberitahu, Dr Mahathir turut mengadakan pertemuan dengan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau dijadual bertemu Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal esok.

Categories
AGENDA NASIONAL

“Seperti biasa satu hari lagi di pejabat” – Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 25 FEB: “Seperti biasa satu hari lagi di pejabat.”

Perdana Menteri Sementara Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkongsi di Instagram, Twitter dan Facebook beliau tiga keping gambar dirinya sedang bekerja di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Beliau dilihat memasuki bangunan Perdana Putra, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri pada jam 9.29 pagi.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara, selepas menerima peletakan jawatan beliau sebelum itu pada hari yang sama.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan mengumumkan Dr Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri ketujuh semalam dan surat peletakan jawatan itu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 1 tengah hari.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan semalam mengumumkan Al Sultan Abdullah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara, menunggu pelantikan perdana menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Mohd Zuki berkata dalam tempoh itu, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baharu dilantik dan Kabinet dibentuk.

Beliau juga berkata Al-Sultan Abdullah, atas nasihat perdana menteri, turut berkenan membatalkan pelantikan timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir mula tugas perdana menteri sementara

PUTRAJAYA, 25 FEB: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memulakan tugas sebagai Perdana Menteri sementara.

Dr Mahathir dilihat memasuki Perdana Putra di sini, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri, pada pukul 9.29 pagi.

Beliau, yang menaiki kenderaan rasmi dengan plat Malaysia 2020, membalas lambaian para wartawan yang membuat liputan di luar bangunan itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara, selepas menerima peletakan jawatannya semalam.

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan dalam satu kenyataan bahawa Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri ketujuh semalam dan surat dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada 1.00 tengah hari.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan semalam memaklumkan Seri Paduka berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara, sementara menunggu pelantikan perdana menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Mohd Zuki, dalam tempoh itu, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baharu dilantik dan Kabinet dibentuk.

Mohd Zuki turut memaklumkan Al-Sultan Abdullah, atas nasihat Perdana Menteri, turut berkenan membatalkan pelantikan timbalan perdana menteri, semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik semalam.

– BERNAMA