Categories
NASIONAL

Peguam Negara Perlu Tumpu Kes Jenayah Bukan Dakwa Pemimpin PR

Anwar PC

PETALING JAYA 29 JULAI :Peguam Negara didakwa melakukan pendakwaan terpilih apabila secara langsung terlibat dalam kes-kes yang membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Dakwaan ini dibuat oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Tan Sri Abdul Ghani Patail dilihat terlibat secara langsung apabila pemimpin PR didakwa di mahkamah.

Tegas Anwar, tanggungjawab asal Peguam Negara ialah menangani kes-kes yang lebih besar seperti salah guna kuasa dan keganasan jenayah.

“Adalah kurang wibawa Jabatan Peguam Negara, saya rasa ada motif tidak sihat dan mereka mahu melafazkan dendam kesumat apabila semua kes baik di pihak sebelah sana atau sini, semuanya hendak diuruskan dan menyinggungkan saya,” katanya kepada pemberita dalam sidang medianya di Ibupejabat PKR pagi tadi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke didakwa gagal mematuhi syarat yang ditetapkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad untuk memperoleh kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berhimpun di Padang Merbok.

Mereka didakwa gagal memberi notis 10 hari kepada polis sebelum menganjurkan perhimpunan Black505 itu.

Menurut Anwar, dakwaan hari ini yang dikenakan terhadap 33 orang yang menyertai perhimpunan berkenaan adalah contoh lain terhadap penyalahgunaan kuasa yang dilakukan secara jelas dan terang-terangan oleh Peguam Negara.

Categories
NASIONAL

Fitnah Dana Asing, Anwar Mahu Saman BH

anwar black505 padang merbok 02

KUALA LUMPUR 16 JULAI : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan akan menyaman akhbar Berita Harian (BH) berikutan laporan fitnah yang menyatakan beliau memperolehi dana asing yang besar daripada Turki, Amerika Syarikat dan Filipina untuk digunakan pada perhimpunan Black505.

Laporan akhbar berkenaan pada 29 Jun lalu memetik satu wawancara khas mantan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla bersama portal berita Merdeka On-line di Jakarta, Indonesia.

Menurut Anwar, beliau dihubungi Jusuf melalui telefon dan memberitahu tidak menyangka kenyataannya akan diputar belit sedemikian.

“Tulisan itu tak benar, tidak datang dari saya, saya akan bantah,” kata Anwar ketika membacakan kiriman pesanan ringkas (SMS) Jusuf di dalam Dewan Rakyat pagi ini.

Anwar turut mendesak Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar supaya menjelaskan mengapa kementerian berkenaan mengambil masa terlalu lama untuk mengambil tindakan mengenai isu ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menambah, Jusuf menghantar empat surat bantahan kepada Ketua Pegawai Eksekutif BH, Ketua Pengarang BH, Eksekutif BH dan Ketua Pengarang Kumpulan BH dan New Strait Times.

“Bagaimanapun setakat ini belum ada pembetulan dan penjelasan,” katanya lagi.

Justeru, Anwar menyatakan peguamnya dan Jusuf akan mengambil tindakan undang-undang terhadap BH yang memfitnah kedua-dua mereka.