Categories
NASIONAL

Malaysia contoh negara pejuang keamanan sejagat

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Kejayaan Malaysia menganjurkan Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka semalam jelas menunjukkan Malaysia wajar dijadikan negara contoh di mata dunia dalam memperjuangkan keamanan sejagat.

Ketua Pegawai Operasi Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Syahrir Azfar Saleh berkata, acara itu dilihat berjaya menterjemahkan prinsip kedamaian dan keharmonian pelbagai agama dengan menolak unsur kebencian.

Beliau berkata, Malaysia memilih untuk menyebarkan prinsip kedamaian walaupun diselubungi rasa sedih dan marah dengan kejadian serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand 15 Mac lepas.

“Keamanan sejagat perlukan kerjasama semua kaum dan program ini berjaya menggabungkan kekuatan dan kebersamaan pelbagai kaum dan agama dalam negara dalam menyokong prinsip keamanan dan kedamaian,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Perhimpunan Solidariti yang julung kali diadakan itu adalah susulan tragedi berdarah yang mengorbankan 50 nyawa termasuk remaja Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, dan tiga rakyat Malaysia adalah antara lebih 40 orang yang cedera dalam kejadian terbabit.

Pada perhimpunan itu, wakil pelbagai agama seperti Islam, Kristian, Hindu dan Taoism menyuarakan mesej senada dan jelas menolak sebarang bentuk kebencian dan menyuburkan keamanan.

Antara lima teras Deklarasi Kedamaian itu ialah mengecam segala tindakan diskriminasi, perlakuan berbentuk keganasan serta pembunuhan atas nama kaum dan agama serta mengutuk sebarang tindakan serta budaya kebencian atas nama kaum dan agama.

Sementara itu, Anggota Lembaga Pengarah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Dr Fauziah Hasan secara peribadi amat tersentuh apabila menerima sekuntum bunga ros daripada seorang wanita Cina yang tidak dikenalinya ketika menghadiri perhimpunan itu.

Kata Fauziah, bunga ros merupakan simbol kepada solidariti dan tanda persahabatan.

“Ini merupakan satu semarak semangat kedamaian. Bukti kita menolak sebarang bentuk kebencian dan keganasan, sebaliknya meraikan perbezaan secara harmoni,” katanya.

Bagi Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Prof Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Salleh berkata, kejayaan perhimpunan itu tidak hanya diukur berdasarkan penglibatan secara ‘fizikal’ peserta, tetapi juga melalui sejauh mana mesej kedamaian itu berjaya disampaikan kepada rakyat.

“Saya mendapati mesej daripada himpunan itu berjaya disampaikan dengan baik melalui pelbagai platform media terutama media sosial seperti Facebook dan saya berharap agar rakyat menerima mesej yang cuba disampaikan dan ketepikan fahaman politik,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mujahid: Pilih kedamaian, bukti taraf kita lebih tinggi daripada pengganas

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Prinsip kedamaian yang diangkat pada Perhimpunan Solidariti Kedamaian hari ini, membuktikan taraf rakyat negara ini adalah lebih tinggi daripada seorang pengganas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, rakyat Malaysia senada menolak sifat kebencian dan memilih jalan kedamaian di saat sedang berduka susulan tragedi serangan pengganas di Chrischurch, New Zealand, 15 Mac lepas.

“Kononnya kita marah dan mahu balas dendam, jadi apa bezanya kita dengan si pengganas ini. Kita cuba dipengaruhi (sifat benci) kita seharusnya kata tidak.

“Taraf kita lebih tinggi dari seorang pengganas. Kita di atas mereka, kita di sebalik mereka kerana mesej kita ialah kedamaian untuk semua,” katanya berucap pada perhimpunan itu, di Dataran Merdeka, pagi ini.

Perhimpunan yang bermula pada jam 7 pagi itu adalah sebagai tanda solidariti Malaysia susulan kejadian tembakan di dua masjid di Chrischurch yang mengorbankan 50 nyawa termasuk remaja Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17.

Mujahid yang turut membacakan Deklarasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019, percaya deklarasi serta simbolik bunga raya dan merpati putih akan menjadi contoh di mata dunia.

Ribuan peserta yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan agama termasuk pemimpin tempatan, ketua agama dan pertubuhan bukan kerajaan menyertai perhimpunan anjuran Jabatan Perdana Menteri (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam) dan Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) dengan kerjasama Civil Society Organisation (CSO) itu.

Antara yang hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy; Menteri Wilayah Pesekutuan, Khalid Abdul Samad; Menteri Indusri Utama, Teresa Kok; dan wakil keluarga Mohamad Haziq, Zarina Shuib (ibu saudara).

Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Hunter Nottage; Duta Turki ke Malaysia, Merve Kavakci; dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski juga hadir dan menyampaikan ucapan.

Sementara itu, pemimpin tempatan senada mengecam tindakan prinsip keganasan dan menyeru agar keharmonian pelbagai kaum di negara ini terus dipelihara.

Teresa Kok dalam ucapan ringkasnya berkata: “Hari ini kita datang bersama hati yang damai dan kasih. Kita mahu Malaysia terus damai dan berkongsi kedamaian ini ke serata dunia,”

Waytha Morthy pula berkata, kedamaian lebih 62 tahun negara ini perlu dikekalkan tanpa ada perasan kebencian.

“Insiden yang berlaku di New Zealand membuktikan kebencian boleh menggugat negara yang damai. Kita perlu jadikan teladan dan jangan ikutkan perasaan benci,” katanya.

Perhimpunan itu diakhiri dengan para peserta bersama-sama membersihkan sekitar kawasan perhimpunan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Himpunan Solidariti: Ribuan rakyat Malaysia berkumpul di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Ribuan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama hari ini bersatu hati berkumpul di Dataran Merdeka bagi melahirkan suara keamanan serta menolak keganasan terutama keganasan melampau.

Rata-rata mereka yang memakai baju putih berkumpul seawal jam 6.30 pagi dan berarak dari Sogo ke Dataran Merdeka, sejauh kira-kira tiga kilometer.

Perhimpunan Solidariti Kedamaian anjuran Jabatan Perdana Menteri (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam) dan Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) dengan kerjasama Civil Society Organisation (CSO) untuk semua rakyat Malaysia itu diadakan susulan tragedi tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 50 nyawa termasuk seorang rakyat Malaysia Muhamad Haziq Mohd Tarmizi, 17.

Perhimpunan dimulakan dengan peserta membaca doa dan bertafakur kira-kira dua minit bagi memperingati mangsa-mangsa tragedi serangan di dua masjid pada Jumaat 15 Mac lepas itu.

Di Dataran Merdeka wakil-wakil agama antaranya Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; Christian Federation of Malaysia, Julian Leow; Malaysian Gurdwaras Council, Sardar Jagir Singh; dan Bahai Community of Malaysia, S Sanggita, menyampaikan ucapan yang senada menolak keganasan.

Turut berucap, Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Hunter Nottage; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowsk; dan Duta Turki ke Malaysia, Dr Merve Safa Kavakci serta Zarina Shuib iaitu ibu saudara Muhammad Haziq, sebagai wakil keluarga mangsa dalam tragedi di Christchurch itu.

“Malang sekali mangsanya termasuk rakyat Malaysia… ingatan kami sentiasa bersama anda, keluarga anda yang sebahagian daripadanya berada di sini, dan komuniti anda. Kami mohon maaf.

”Kita berkabung bersama-sama, kita berdiri bersama-sama atas nama perpaduan dan New Zealand amat berterima kasih kepada Malaysia,” kata Pesuruhjaya Tinggi New Zealand itu yang memulakan ucapannya dalam Bahasa Melayu.

Peserta perhimpunan turut memberikan penghormatan sambil berdiri kepada waris keluarga Muhamad Haziq sebaik mereka menaiki pentas utama. Zarina dilihat menahan sebak ketika menyampaikan ucapan terima kasih dan rasa terharu akan sokongan rakyat Malaysia.

“Sesungguhnya ujian berat menimpa saudara kami di New Zealand yang mana adik kami (Mohd Tarmizi) cedera dan anak saudara kami (Muhammad Haziq) meninggalkan kami buat selama-lamanya akibat serangan itu…walaupun berat ujian ini namun kami ahli keluarga reda.

“Kami akan menyokong usaha ini bagi menyatakan kebersamaaan masyarakat dan rakyat Malaysia agar keamanan dan kedamaian tanpa mengira agama, kaum dan bangsa,” kata Zarina.

Pesuruhjaya Tinggi Australia dalam ucapannya pula berkata: “Memang benar keganasan tidak mempunyai agama, ia tidak mempunyai kewarganegaraan, tetapi hakikatnya dalam kes ini, pengganas itu seorang warga Australia.

“Perkara ini amat memalukan kami, tetapi jika dia bertindak sedemikian dengan tujuan untuk memisahkan kita, dia sebenarnya telah gagal sama sekali dan perhimpunan ini membuktikannya.”

Pada akhir perhimpunan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengetuai membaca satu deklarasi iaitu Deklarasi Kedamaian KL 2019, yang antara lain — Mengecam segala tindakan diskriminasi, perlakuan berbentuk keganasan serta pembunuhan atas nama kaum dan agama; Menolak dan mengutuk sebarang tindakan serta budaya kebencian atas nama kaum dan agama; dan Mendukung segala usaha menghidupkan kedamaian dan menyokong keharmonian antara kaum dan agama.

Perhimpunan kira-kira dua jam itu berjalan dalam suasana penuh harmoni yang jelas menunjukkan rakyat Malaysia keseluruhannya cintakan keamanan, kedamaian dan menolak keganasan.

“Alhamdulillah semua terkawal, kesemua peserta patuh arahan polis dari semasa ke semasa,” kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shahrudin Abdullah, sambil memberitahu, 200 anggota dan pegawai bertugas sepanjang perhimpunan itu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Himpunan Solidariti: Wakil agama sampai mesej senada untuk kedamaian

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Wakil pelbagai agama di negara ini hari ini menyuarakan mesej senada dan jelas menolak sebarang bentuk kebencian dan menyuburkan keamanan, pada Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka di sini.

Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, peristiwa hitam yang berlaku di New Zealand perlu dijadikan iktibar bagi seluruh rakyat menentang sebarang bentuk kebencian dan menyuburkan kedamaian.

Katanya, kedamaian merupakan kunci kepada kebahagian dalam kehidupan.

“Kita ingin kedamaian, inilah diajar dalam al-Quran, kedamaian merupakan kunci kebahagiaan dan hanya akan dapat diterjemahkan melalui kesatuan, apabila hati kita saling meraikan dan memahami, bagaimana kita berinteraksi dengan seluruh masyarakat,” katanya.

Perhimpunan susulan tragedi tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, 15 Mac lalu itu turut disertai ibu saudara Allahyarham Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang terbunuh dalam kejadian yang mengorbankan 50 orang itu, sebagai wakil keluarga mangsa kejadian itu.

Para peserta, kebanyakannya mengenakan baju berwarna putih tanpa mengira kaum dan agama berarak dari pusat beli-belah Sogo, pada jam 7.45 pagi dan tiba di Dataran Merdeka sekitar jam 8.10 pagi.

Sementara itu, wakil daripada Christian Federation of Malaysia, Julian Leow berkata, perhimpunan yang disertai pelbagai kaum dan agama itu menghantar mesej jelas kepada seluruh dunia bahawa rakyat Malaysia menolak keganasan serta kebencian.

“Hari ini kita beri mesej jelas kepada seluruh negara dan seluruh dunia bahawa rakyat Malaysia berikrar untuk mengukuhkan tali persaudaraan dan persamaan dalam sebuah negara yang harmoni dan bersatu padu.

“Kita rakyat Malaysia sepatutnya bukan sahaja bersatu kekalkan keharmonian sedia ada bahkan harus kuatkan dan eratkan lagi tali persahabatan antara kita semua dan pastikan kedamaian berada dalam negara yang kita cintai ini,” katanya.

Wakil daripada Malaysian Gurdwaras Council, Sardar Jagir Singh pula berkata, keharmonian dan keamanan yang telah wujud sejak sekian lama di negara ini harus dikekalkan buat selama-lamanya.

“Kami tolak keganasan dan kebencian, ingatlah bersatu kita teguh bercerai kita roboh,” katanya.

Wakil daripada Bahai Community of Malaysia, S Sanggita menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu padu dan menghapuskan segala prejudis antara agama dan bangsa.

“Sebagai sebuah negara, di Malaysia, kita berada dalam keadaan amat terkejut dan sukar untuk percaya betapa kejamnya perbuatan ini dan kehilangan begitu banyak nyawa yang tidak bersalah lapan hari lepas.

“Bagaimanapun, kita boleh menetapkan hasrat untuk membawa sinar harapan menerusi perkataan dan tindakan kita, dengan sama-sama berganding tangan, serta memperteguhkan dengan sepenuh hati persahabatan kita, seperti yang dapat disaksikan di Dataran Merdeka ini,” katanya.

SUMBER: BERNAMA