Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Perpaduan Negara tangguh perhimpunan, ingatkan patuhi SOP

PUTRAJAYA, 4 OKT: Kementerian Perpaduan Negara mengarahkan penangguhan semua program yang membabitkan perhimpunan orang ramai melibatkan jentera di bawah kementerian tersebut berikutan kes Covid-19 yang meningkat sejak beberapa hari lepas.

Menterinya Datuk Halimah Mohamed Sadique mengingatkan semua jentera perpaduan supaya mematuhi protokol kesihatan dan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta arahan kerajaan negeri yang berkaitan.

“Ini termasuk 8,274 Kawasan Rukun Tetangga (KRT), 5,321 skim rondaan sukarela 1,874 Tabika Perpaduan dan 41 Taska Genius,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Halimah berkata pelaksanaan aktiviti keagamaan di lebih 10,000 rumah ibadat bukan Islam dalam zon hijau dan kuning sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan dipantau dan dikemas kini oleh kementeriannya, tertakluk kepada SOP yang ditetapkan KKM dan MKN serta peraturan kerajaan negeri yang terlibat.

“Kementerian menasihatkan semua kakitangan, jentera perpaduan dan orang ramai supaya sentiasa patuh kepada SOP.

“Amalkan norma baharu seperti pemakaian pelitup muka, memastikan penjarakan fizikal dan sentiasa membersihkan tangan terutamanya ketika berada di tempat awam,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Kes baharu di Singapura cecah 200, 97 pulih

SINGAPURA, 14 MAC: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan 13 lagi kes positif jangkitan COVID-19 dengan sembilan daripadanya ialah kes dari luar.

Peningkatan kes baharu itu menjadikan jumlah kes positif penyakit itu di Singapura kepada 200.

Daripada sembilan kes dari luar, dua daripada mereka mempunyai kaitan dengan perhimpunan keagamaan di sebuah masjid di Malaysia, masing-masing lelaki rakyat Singapura berusia 30 dan 37 tahun dan kini dimasukkan ke bilik isolasi di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Mereka disahkan dijangkiti Covid-19 pagi semalam, kata kementerian itu dalam satu kenyataan semalam.

Satu lagi kes dari luar melibatkan seorang lelaki Malaysia berusia 26 tahun yang telah melawat Jerman, Republik Czech, Austria dan Hungary antara 1 hingga 10 Mac lepas.

Pemegang Pas Kerja Singapura itu juga disahkan dijangkiti Covid-19 dan kini ditempatkan dalam bilik isolasi di NCID.

Menurut MOH, satu lagi kes jangkitan COVID-19 sudah dibenarkan keluar hospital, menjadikan angka mereka yang pulih sepenuhnya kepada 97.

Daripada 103 kes disahkan yang masih berada di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau beransur pulih sementara 11 lagi dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi.

Setakat tengah hari semalam, MOH mengenal pasti 4,910 kontak rapat dikuarantin.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Lima maut rempuhan perhimpunan di timur Nigeria

LAGOS, 8 FEB: Insiden rempuhan membabitkan ribuan penyokong dalam satu perhimpunan politik bagi memilih semula Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari, menyebabkan lima terbunuh manakala beberapa lagi cedera, di timur negeri Taraba.

Menurut agensi berita China Xinhua, Dorcas Philemon, yang juga jurucakap sebuah hospital pakar di mana mayat mangsa disimpan mengesahkan insiden itu kepada wartawan di Jalingo, ibu kota Taraba.

Televisyen dan media sosial menyiarkan imej beribu-ribu orang berhimpun di sebuah stadium di Jalingo bagi menunjukkan sokongan kepada Buhari dalam satu majlis kempen yang dihadiri ahli politik kanan, lapor BERNAMA.

Buhari meluahkan kesedihan berhubung kehilangan nyawa dalam perhimpunan itu melalui satu kenyataan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan besar-besaran yang diterima dari seluruh negara dan menyeru penyokongnya bertenang bagi mengelak insiden tragik itu berulang serta menasihati pengurusan kumpulan ramai di tapak perhimpunan dipertingkat.

“Saya mahu mereka terus bernafas dan menyaksikan dividen tadbir urus bermakna yang bakal dilaksana oleh pentadbiran Kongres Kemajuan Semua (APC) apabila mereka memperbaharui mandat kami,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Anjur perhimpunan, Chegu Bard dilepas tanpa dibebaskan

SHAH ALAM, 4 OGOS: Mahkamah Sesyen, di sini melepas tanpa membebaskan bekas Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai ‘Chegubard’ daripada tuduhan menganjurkan perhimpunan program penghargaan kepada pengundi Selangor, tahun lalu.

Hakim Yasmin Abdul Razak membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Tan Gin Han dan peguam Michelle Yesudas yang mewakili tertuduh.

Terdahulu, dalam prosiding hari ini yang ditetapkan untuk sebutan kes itu, Gin Han memohon mahkamah menetapkan tarikh baru sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan keputusan Mahkamah Rayuan yang menggugurkan pertuduhan ke atas Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad kerana menganjurkan perhimpunan Blackout 505 di Stadium Kelana Jaya pada 8 Mei 2013.

chegu bardMemetik BERNAMA, Michelle yang mewakili Badrul Hisham membantah permohonan pendakwaan dan berhujah bahawa keputusan rayuan kes Nik Nazmi di Mahkamah Persekutuan masih belum mempunyai tarikh dan pertuduhan terhadap anak guamnya akan berlanjutan sehingga kes Nik Nazmi selesai.

Badrul Hisham, 35, yang juga Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, sebagai penganjur perhimpunan program itu didakwa gagal memberitahu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya berkenaan program terbabit dalam tempoh masa ditetapkan iaitu 10 hari sebelum tarikh diadakan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Dataran Petaling Jaya, Padang Timur, Jalan Timur, di sini, pada jam 5 petang, 25 Mei 2013.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.

Categories
NASIONAL

Peguam Negara Perlu Tumpu Kes Jenayah Bukan Dakwa Pemimpin PR

Anwar PC

PETALING JAYA 29 JULAI :Peguam Negara didakwa melakukan pendakwaan terpilih apabila secara langsung terlibat dalam kes-kes yang membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Dakwaan ini dibuat oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Tan Sri Abdul Ghani Patail dilihat terlibat secara langsung apabila pemimpin PR didakwa di mahkamah.

Tegas Anwar, tanggungjawab asal Peguam Negara ialah menangani kes-kes yang lebih besar seperti salah guna kuasa dan keganasan jenayah.

“Adalah kurang wibawa Jabatan Peguam Negara, saya rasa ada motif tidak sihat dan mereka mahu melafazkan dendam kesumat apabila semua kes baik di pihak sebelah sana atau sini, semuanya hendak diuruskan dan menyinggungkan saya,” katanya kepada pemberita dalam sidang medianya di Ibupejabat PKR pagi tadi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke didakwa gagal mematuhi syarat yang ditetapkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad untuk memperoleh kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berhimpun di Padang Merbok.

Mereka didakwa gagal memberi notis 10 hari kepada polis sebelum menganjurkan perhimpunan Black505 itu.

Menurut Anwar, dakwaan hari ini yang dikenakan terhadap 33 orang yang menyertai perhimpunan berkenaan adalah contoh lain terhadap penyalahgunaan kuasa yang dilakukan secara jelas dan terang-terangan oleh Peguam Negara.