SHAH ALAM, 7 FEB: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor menafikan dakwaan berlaku penjualan tanah hutan simpan kekal (HSK) dalam talian seperti didakwa beberapa badan bukan kerajaan.
Hal itu rentetan kajian tinjauan oleh badan bebas Rimba Disclosure Project, yang mengesan 43,539 hektar tanah HSK termasuk Selangor dijual secara komersial di laman web dan Facebook tahun lalu.
Menurut pengarah Perhutanan Selangor, lokasi yang dimaksudkan untuk penjualan itu bukan berstatus HSK yang berwarta bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.
“Terdapat dua lokasi di Selangor yang didakwa telah diiklankan melalui laman web untuk dijual iaitu di Pulau Indah (Pulau Lumut) seluas 192 hektar dan Puncak Alam seluas 72 hektar.
“Hasil semakan ke atas kedua-dua lokasi tersebut bukan berstatus HSK,” kata Dato’ Ahmad Fadzil Abdul Majid dalam kenyataan semalam.
Beliau menjelaskan keluasan HSK negeri ini bertambah kepada 250,250.29 hektar tahun lalu hasil komitmen dan inisiatif dilaksanakan Kerajaan Selangor sejak 2010.
Katanya, usaha itu termasuk menguat kuasa dasar moratorium (pembekuan) pembalakan dalam HSK selama 25 tahun dan meminda enakmen Akta Perhutanan 1985 bagi mengenakan syarat penyiasatan awam ke atas penyahwartaan HSK pada 2011.
“Selain itu, HSK yang dinyahwarta perlu diganti dengan keluasan setara, lebih atau serentak dengan nilai bagi memastikan khazanah alam terus terpelihara dengan telus, cekap dan lestari,” katanya.
Pada Jumaat, beberapa NGO membabitkan persatuan penduduk dan aktivis alam sekitar mahu pihak berkuasa menyiasat penjualan tanah hutan secara komersial yang didakwa berlaku di Semenanjung.
Kumpulan itu turut menuntut perkara berkenaan didedahkan kepada umum dan mahu tindakan wajar diambil jika berlaku pelanggaran undang-undang.