Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Tangguh Undi 18 bukti kerajaan tiada iltizam politik lihat perubahan

SHAH ALAM, 30 MAC: Penangguhan Undi 18 membuktikan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) tiada iltizam politik untuk melihat perubahan ke arah lebih baik.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara tersebut tidak sepatutnya ditangguhkan kerana ia bukan isu terburu-buru dan sudah dibincangkan sejak 2018 sebelum diluluskan pada Julai 2019.

“Sebab itu saya amat menitikberatkan iltizam politik. Kalau pemerintah mempunyai keinginan tersebut, sudah pasti mereka akan menggerakkan badan seperti SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk melaksanakannya.

“Tetapi jika tiada, itu yang jadi tertangguh (Undi 18). Kalau mahu buat, boleh dengan pelbagai alasan dan begitu sebaliknya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Tabung Infaq Ramadan sempena Di Ambang Ramadan di sebuah restoran di Tasik Shah Alam di sini malam tadi.

Amirudin menjelaskan pendaftaran pemilih automatik dan Undi 18 sewajarnya dijayakan bersesuaian dengan semangat demokrasi dan SPR pasti mempunyai perancangan bila serta bagaimana untuk melaksanakannya.

Sebelum ini, suruhanjaya tersebut mengumumkan Undi 18 yang dijadual bermula Julai ini ditunda kepada 1 September tahun depan.

Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan usia calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemerintahan singkat PN ancam kebebasan media

SHAH ALAM, 19 FEB: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang hampir setahun mengemudi negara dilihat cuba menyekat kebebasan bersuara dengan mengganggu penyiasatan wartawan, badan berita bebas serta ahli parlimen.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan itu menunjukkan kerajaan lemah yang sentiasa mengelak masyarakat seperti melaksanakan Pengisytiharan Darurat, penggantungan Parlimen dan serangan terhadap media bebas.

“Pemerintahan kuat dan berkeyakinan tidak akan berkelakuan seperti ini. Hari ini Malaysiakini dihukum bukan kerana melaporkan berita palsu sebaliknya komen pengguna internet yang tidak dikenali.

“Negara luar banyak melakukan taktik ini sekali gus menggambarkan Malaysia menuju ke arah pemerintahan diktator. Tindakan ini akan merobek kepercayaan dan keyakinan terhadap negara malah menyebabkan pelabur asing semakin menjauh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Presiden KEADILAN berkata kebebasan bersuara merupakan ‘tiang seri’ dan elemen penting dalam sistem demokratik dengan cabang pemerintah bertanggungjawab memelihara dan melindunginya sepertimana terkandung dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Pagi tadi Mahkamah Persekutuan menerusi keputusan majoriti 6-1 menjatuhi hukuman denda RM500,000 kepada portal Malaysiakini atas kesalahan menghina mahkamah menerusi komen pembacanya dan harus dibayar dalam tempoh tiga hari mulai Isnin depan.

Ia berkaitan komen lima pembaca mengenai artikel disiarkan Malaysiakini pada 9 Jun bertajuk ‘CJ orders all courts to be fully operational from July 1’ yang didakwa bersifat menghina.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

PN ‘retak’, PAKATAN harus perkukuh kerjasama hadapi PRU15

SHAH ALAM, 4 JAN: Hubungan politik parti mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini dalam keadaan retak menanti belah, kata ketua Angkatan Muda KEADILAN Selangor.

Najwan Halimi berkata perkembangan politik mutakhir ini menyaksikan bibit perpecahan ketara antara Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Daripada 191 bahagian UMNO di seluruh negara, 189 bahagian menyatakan pendirian rasmi menolak kerjasama politik dengan PPBM dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Hal ini sewajarnya direnung serta diinsafi pimpinan dan pendukung Pakatan Harapan (PAKATAN) bahawa mana-mana kerjasama politik dibentuk menerusi muslihat, penipuan serta pengkhianatan tidak akan mampu bertahan lama dan bakal menemui pengakhiran memalukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik juga menggesa parti komponen PAKATAN mengambil peluang itu untuk terus mengukuhkan kerjasama dalam menghadapi PRU15.

Jelas Najwan, gabungan tersebut perlu bergerak lebih agresif dengan merangka semula kebijakan ekonomi dan sosial lebih berkesan demi memenangi semula kepercayaan rakyat seterusnya mengambil alih kembali Putrajaya dalam pilihan raya tersebut.

“Justeru, dalam situasi sempang peranang sedang melanda PN ketika ini, PAKATAN seharusnya mengambil ruang dan ikhtibar memperkukuhkan kerjasama di antara parti komponen KEADILAN, DAP dan AMANAH serta siap siaga untuk menghadapi PRU15 dijangka akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan Najib bersalah gugat kerjasama PN?

SHAH ALAM, 27 JULAI: Sebarang keputusan mahkamah kes Datuk Seri Najib Razak berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) esok meletakkan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam risiko politik.

Berdasarkan sumber dan penganalisis, jika keputusan bersalah disabitkan, sokongan kepada perdana menteri melonjak tetapi ia merenggang hubungannya dengan Umno, parti dominan dalam Perikatan Nasional (PN), lapor Reuters.

Keputusan berkenaan juga meningkatkan kewibawaan Muhyiddin di mata umum tetapi ia melemahkan gabungan PN sekali gus berpotensi mencetuskan pilihan raya.

Pembebasan Najib pula boleh mengubah sentimen rakyat terhadap perdana menteri dan mendorong pembangkang untuk mencabar kerajaan bermajoriti dua kerusi parlimen.

“Keputusan bersalah tidak dapat diterima Umno dan melemahkan pentadbiran Muhyiddin atau berpotensi mencetuskan pilihan raya awal,” kata Adib Zalkapli, pengarah perunding risiko politik BowerGroupAsia.

Sumber terdekat pula mendakwa kem Najib mungkin menarik sokongan kepada perdana menteri manakala sumber terdekat kepada Muhyiddin menyifatkan ia “ancaman besar”.

Buat pertama kali dalam sejarah tanah air, Umno dan parti komponennya tewas pada pilihan raya 2018 susulan kemarahan rakyat terhadap tuduhan rasuah besar-besaran membabitkan pemimpin kerajaan.

Namun, Umno kembali berkuasa melalui gabungan diketuai Muhyiddin pada Mac lalu selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri berikutan pergolakan dengan pemimpin parti gabungan yang menjatuhkan Najib.

Esok bakal menentukan nasib Najib yang didakwa menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd sama ada bersalah atau sebaliknya.

Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa membabitkan dana SRC, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN dakwa PN ‘khadam Umno’, tidak kekal

SHAH ALAM, 6 JULAI: Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor menyifatkan Perikatan Nasional (PN) sebagai ‘khadam Umno’ yang bakal tumbang tidak lama lagi.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga menganggap gabungan itu kian goyah hingga memaksa mereka merancang mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat.

Malah, beliau mendakwa PN juga terpaksa menunggu keputusan kes mahkamah membabitkan Datuk Seri Najib Razak yang boleh mempengaruhi sokongan terhadap mereka.

“Sebab itu mereka (PN) merancang buat pilihan raya kerana makin lama mereka makin berpecah, tambahan (pula) kes Najib ditentukan 28 Julai ini,” katanya pada majlis makan malam bersama cabang Ampang malam ini.

“Sebab kalau dia (Najib) kalah, beliau ada hampir 10 orang ahli parlimen yang setia. Kalau enam daripadanya tidak datang ketika pengundian mereka (PN) akan tewas.”

Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar turut menegaskan PN cuma memikirkan cara untuk kekal berkuasa  tanpa mempedulikan masalah negeri, malah mereka bimbang menjadi kerajaan paling singkat dalam sejarah.

“Ujian pertama adalah lantikan speaker (Dewan Rakyat), mungkin mereka lepas tetapi selepas itu peristiwa besar adalah (kelulusan) belanjawan pada November hadapan,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr M: Kumpulan Muhyiddin tawar jawatan, wang demi raih sokongan

SHAH ALAM, 16 JUN: Kalangan penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan jawatan dan wang bagi menambah sokongan kepada Perikatan Nasional (PN), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga mendakwa mereka yang menolak tawaran berdepan ugutan termasuk digugur dari parti secara tidak sah dan kehilangan pelbagai peruntukan.

“Percayalah mereka yang sanggup menjual diri mereka, mereka yang terima ‘cash is king’ (duit adalah raja), mereka ini akan hancurkan negara bersama orang Melayu,.

“Inilah mereka yang mendirikan kerajaan sekarang,” kata Mahathir dalam catatan bertajuk ‘Kerajaan Muhyiddin’ melalui blognya hari ini. Beliau turut mengucapkan syabas kepada individu yang menolak tawaran sedemikian.

Kebelakangan ini, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin melantik ramai pemimpin politik bagi mengisi hampir 40 jawatan pengerusi pelbagai agensi dan syarikat milik kerajaan (GLC), antaranya Kesedar, Majlis Amanah Rakyat, Risda, Felda dan Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Pemimpin politik turut dilantik mengisi jawatan pengerusi Lembaga Pelabuhan Kelang, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Melaka.