Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jangan lepas peluang menang angpau RM10,000 sambutan Tahun Baharu Cina malam esok

SHAH ALAM, 31 JAN: Orang ramai tanpa mengira kaum berpeluang memenangi angpau berjumlah RM10,000 dengan menyediakan ucapan kreatif dalam siaran langsung sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat negeri malam esok.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha dan Tao Selangor Dato’ Teng Chang Khim berkata ucapan Tahun Baharu Cina itu boleh ditulis dalam pelbagai bahasa bagi memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menyertainya.

“Pengacara program akan memaklumkan waktu penonton boleh menghantar ucapan, sebanyak tiga slot disediakan untuk memenangi angpau berjumlah RM10,000 keseluruhan.

“Siaran langsung disiarkan di Facebook Mandarin Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari @ami.mbselangor/ dan Facebook saya Teng Chang Khim @tengchangkhimpage/ pada jam 9 malam,” katanya.

Chang Khim berkata program kebudayaan istimewa sepanjang siaran langsung berkenaan akan menampilkan seniman dari tiga generasi dari zaman 70-an hingga kini.

Nyanyian lagu Tahun Baharu Cina versi acapella bakal dipersembahkan oleh kumpulan Colour of Voices pada siaran langsung sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat negeri pada 1 Februari 2022. Foto Facebook Teng Chang Khim

Jelasnya, antaranya nyanyian lagu klasik oleh kumpulan Dua Sekawan dianggotai Chow Kam Leong dan Chang Sang Teck dan tarian singa dipersembahkan Persatuan Tarian Singa Hong Jing.

Beliau berkata, pelancaran lagu sempena perayaan Tahun Baharu Cina bertajuk ‘Salam Tahun Baharu’ hasil ciptaan Kam Leong juga akan dibuat pada program itu.

Cara menyertai peraduan ucapan kreatif:

– Layari siaran langsung dalam talian sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat negeri di Facebook Mandarin Dato’ Menteri Besar dan Facebook Teng Chang Khim bermula jam 9 malam 1 Februari
– Kongsikan siaran langsung itu
– Tag kepada rakan-rakan dan tulis ucapan kreatif Tahun Baharu Cina

Dato’ Teng Chang Khim mengambil bahagian dalam babak jamuan makan malam dalam rakaman klip video sambutan Tahun Baharu Cina 2022 di Kampung Baru Jenjarom. Foto Facebook Teng Chang Khim

Berikut 10 acara yang bakal menghibur para penonton:

– Persembahan lagu-lagu klasik Tahun Baharu Cina oleh Chow Kam Leong dan Chang Sang Teck (Kumpulan Dua Sekawan) dan artis Lee Elaine
– Persembahan tarian singa oleh Persatuan Tarian Singa Hong Jing, Selangor
– Persembahan tarian kumpulan Dua Space Dance Theatre
– Nyanyian lagu Tahun Baharu Cina versi acapella oleh kumpulan Colour of Voices
– Persembahan muzik tradisi, guzheng oleh Sara Heng
– Persembahan gendang Cina oleh kumpulan Hands Percussion
– Persembahan guzheng elektronik dan diabolo LED oleh Sara Heng bersama Kumpulan X DiAbolution
– Persembahan artis Lim Wen Suen
– Persembahan artis Gaston Pong & JE Pong
– Ucapan Tahun Baharu Cina daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor