Categories
SELANGOR

Tukang jahit lega kedai kembali beroperasi selepas rugi RM40,000

SHAH ALAM, 19 OGOS: Pembukaan semula beberapa sektor ekonomi memberi kelegaan kepada banyak pihak termasuk pasangan tukang jahit yang terjejas perniagaan mereka hampir dua tahun.

Nor Mohd Ridwan Ismail, 46, yang mengusahakan perniagaan itu bersama isterinya Siti Zahara Abdul, 45, akui mengalami kerugian hampir RM40,000 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Nor Mohd Ridwan hampir empat bulan kedainya Nomori Tailor di Taman Melawati Gombak ditutup sehingga beliau terpaksa berusaha mencari inisiatif lain dengan menjual barangan aksesori kereta secara dalam talian.

“Ada juga kami terima permintaan pelanggan yang mahu menempah pakaian sepanjang kedai tidak beroperasi, cuma adakalanya terpaksa menolak atas faktor sukar mendapat bekalan kerana banyak kedai tutup.

“Kami juga buat tempahan pakaian secara dalam talian tetapi ia tidak sama dengan pelanggan datang ke kedai yang mana kami boleh ambil ukuran mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Nor Mohd Ridwan yang mengusahakan perniagaan jahitan pakaian lelaki dan wanita sejak 1998 turut mengakui pandemik Covid-19 memberi kesan hebat buat peniaga sepertinya sehingga terpaksa memberhentikan dua pekerja.

“Covid-19 dan PKP amat memberi kesan. Saya terpaksa memberhentikan pekerja kerana tidak mampu untuk menggajikan mereka. Lagi memeritkan apabila sewa kedai tetap perlu dibayar walaupun tidak beroperasi,” katanya.

Mengulas berhubung tatacara operasi piawai (SOP) yang perlu dipatuhi, Nor Mohd Ridwan berkata beliau bersedia mematuhi dan berharap kerajaan tidak lagi mengumumkan penutupan sektor ekonomi.

Pada Ahad, kerajaan mengumumkan 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran dibenarkan kembali beroperasi dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 16 Ogos.

Categories
AGENDA SELANGOR

Lanjutan PKP: Pendapatan terjejas, peniaga runsing nasib pekerja

SHAH ALAM, 16 JUN: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang disambung sehingga 28 Jun ini menambah beban kerugian perlu ditanggung seorang pemilik kedai eksesori telefon bimbit.

Pemilik kedai Cikgu Gadget, Syamsul Amir Ahmad, 41, mendakwa lima premisnya tidak dibenarkan beroperasi menyebabkannya mengalami kerugian lebih RM30,000 sepanjang dua minggu fasa pertama PKP penuh.

Usahawan itu yang dibantu Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) turut runsing mengenangkan nasib sembilan pekerjanya dengan dua daripadanya terpaksa diberi cuti tanpa gaji kerana situasi mendesak ketika ini.

“Purata pendapatan dijana sekitar RM3,000 sehari, jika 10 hari sudah RM30,000…sebulan kos operasi merangkumi sewa, gaji pekerja cecah RM20,000, namun bukan semua premis dapat pengurangan kadar sewa.

“Bagi memastikan kebajikan pekerja terpelihara kaedah jualan dalam talian diguna, namun hasilnya tidak seberapa dan bayaran gaji terpaksa bergantung pada hasil jualan ini,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Dia yang baru sahaja melabur puluhan ribu bagi membuka satu lagi premis di Sabak Bernam bulan lalu memaklumkan perlu mencari kaedah lain bagi memastikan perniagaan terus beroperasi.

“Saya harap kerajaan dapat bantu dan cari kaedah terbaik termasuk pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) yang lebih adil,” katanya yang mendakwa terdapat perniagaan tertentu yang dibenarkan menjual aksesori telefon bimbit.

Dalam pada itu Syamsul bersyukur pinjaman RM50,000 daripada Hijrah kini hampir selesai dan pemberian moratorium melalui Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum pada 9 Jun mengurangkan beban yang ditanggungnya ketika ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP: 30,403 anggota Rela bantu polis, tentera

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) telah menggerakkan 30,403 anggotanya ke 157 daerah seluruh negara bagi pelbagai tugasan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lepas.

Ketua Pengarahnya Yahya Sulaiman berkata tugasan itu adalah bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memastikan PKP dipatuhi orang ramai.

“Antara peranan Rela ialah membantu PDRM dalam ‘task force’ penguatkuasaan, sekatan jalan raya (SJR), rondaan pemantauan di kawasan perumahan, kampung, pasaraya, bank serta pemantauan pematuhan SOP (tatcara operasi piawai) tempat tumpuan ramai,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Katanya anggota Rela juga ditugaskan membantu kawalan keselamatan perimeter sekitar lokasi PKP, pusat atau stesen kuarantin, hospital dan membantu proses saringan kesihatan di pintu masuk utama negara selain menghantar sumbangan barangan keperluan dengan penyelarasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata Rela sedia menggandakan bilangan anggota dari semasa ke semasa bagi membantu kerajaan melandaikan keluk jangkitan Covid-19 ekoran pengumuman terkini kerajaan berhubung pelanjutan tempoh PKP.

“Anggota Rela diarah membantu tugasan penguatkuasaan SOP di premis perniagaan, tapak pembinaan, perkilangan, rumah ibadah, pasar malam serta taman awam.

“Sehubungan itu, anggota Rela melaksanakan tugasan ‘omnipresent’ (keberadaan) serta aktiviti pemantauan terhadap pematuhan kepada SOP berkaitan, memberi nasihat, teguran dan peringatan, kepada orang ramai melalui aktiviti hebahan kempen kesihatan mengenai amalan pencegahan penularan Covid-19,” katanya.

Yahya berkata anggota Rela juga diminta melaksanakan kempen kesedaran berkaitan Covid-19 secara berterusan dalam komuniti.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP, orang awam digalak lapor polis – menteri

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Orang ramai digalak melaporkan terus kepada pihak berkuasa jika mengetahui terdapat pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan masing-masing.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan itu adalah amat dialu-alukan terutama dalam membantu polis mengambil tindakan yang sepatutnya.

“Maklumkan kepada polis jika melihat pelanggaran SOP. Polis misalnya ada laman web mereka untuk terima laporan dan sebagainya atau pergi sendiri ke Balai Polis dan laporkan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan PKP di Wisma Pertahanan hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri ditanya berhubung dakwaan masih ada individu yang mengadakan majlis keramaian dan tanpa rasa bersalah mengemas kini status dalam media sosial dengan memberi alasan hanya menjemput keluarga terdekat sedangkan aktiviti berkenaan dilarang ketika dalam tempoh PKP.

Sementara itu, ditanya mengenai pelanggaran SOP oleh individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyampaikan bantuan ketika PKP, beliau berkata walaupun kerajaan sangat mengalu-alukan bantuan berkenaan, mereka tetap tertakluk kepada SOP yang digariskan.

Ismail Sabri berkata pematuhan SOP ini bukan sahaja untuk melindungi masyarakat atau kumpulan yang dibantu, tetapi juga kepentingan dan keselamatan mereka sendiri.

“Jadi kalau sudah laporkan kepada polis, kita serahkan kepada polis untuk ambil tindakan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP: Jakess susun semula operasi libat tarikh prosiding kes

SHAH ALAM, 28 JAN: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) menjadualkan semula operasinya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 4 Februari depan.

Unit komunikasi korporatnya memaklumkan penyusunan itu membabitkan tarikh prosiding kes termasuk sebutan atau pengurusan kes, perbicaraan, Majlis Sulh dan Majlis Tahkim.

Menurutnya, pada masa sama mahkamah juga akan memberi keutamaan kepada kes lama dan kes yang mempunyai elemen keterdesakan.

“Oleh itu, orang awam digalakkan untuk meneruskan semua prosiding secara dalam talian bagi mengurangkan jumlah pelanggan yang hadir ke premis mahkamah sekali gus mengelak risiko jangkitan Covid-19.

“Perkhidmatan kaunter pendaftaran kes baharu bagi semua kes, wakalah dan pentadbiran afidavit dibuka semula, tetapi dengan temu janji awal melalui aplikasi di https://www.picktime.com/jakess,” katanya dalam kenyataan.

Jakess turut mengingatkan, kehadiran tanpa kaedah itu tidak akan dilayan kecuali melibatkan kes mendesak seperti keganasan rumah tangga dan penderaan.

“Bagi kes yang mempunyai tempoh had masa tetapi tidak berjaya mendapat slot temu janji, mereka boleh menghubungi mahkamah bagi membolehkan pendaftar menetapkannya secara manual.

“Perkhidmatan runding cara am dan runding cara Bahagian Sokong Keluarga dalam talian telefon akan diteruskan seperti biasa,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

ATM berkuasa tahan individu ingkar PKP – menteri

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuasa menahan individu melanggar tatacara operasi piawai (SOP) semasa pelaksanaan Ordinan Darurat, namun penekanan lebih diberi kepada penugasan operasi benteng (Op Benteng), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sehingga kini tugas ATM sama seperti biasa termasuk membantu polis memastikan SOP dipatuhi orang awam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Untuk itu ATM masih membantu polis cuma dalam Op Benteng yang diterajui kami sebelum ini, kuasa menangkap pendatang tanpa izin adalah terbatas.

“Jadi bagi tempoh darurat ini, ATM diberikan kuasa sama seperti polis dengan tumpuan Op Benteng di kawasan sempadan negara terutamanya di lorong-lorong tikus bagi mengurangkan kemasukan pendatang tanpa izin di negara ini,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini.

Ismail Sabri berkata sebelum Ordinan Darurat berkenaan dikuatkuasakan, kuasa ATM amat terbatas sewaktu mengekang kemasukan pendatang tanpa izin dalam Op Benteng kerana tiada kuasa menahan mereka.

Sebelum ini, Bernama melaporkan bahawa pegawai dan anggota ATM kini mempunyai bidang kuasa menahan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati melanggar PKP.

Perkara itu terletak di bawah pelaksanaan Ordinan Darurat, bidang kuasa tentera dan polis adalah sama dan ini akan memudahkan pengurusan Covid-19 dengan lebih baik.

Dalam perkembangan lain beliau berkata pihak polis menahan seramai 590 indvidu kerana mengingkari PKP semalam.

“Sejumlah 553 daripada mereka dikompaun sementara 35 lagi direman sementara dua inidvidu dijamin semalam. Mengenai Op Benteng pula, seramai lapan pendatang tanpa izin ditahan manakala 12 kenderaan darat dirampas semalam,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penghantar makanan yang bekerja di restoran atau kedai makan persendirian sama ada dibenar melalui sekatan jalan raya (SJR), Ismail Sabri berkata mereka dibenarkan melalui SJR sepanjang tempoh PKP.

“Bagaimanapun pengusaha makanan perlu memaklumkan kepada pihak polis serta mengeluarkan surat pengesahan majikan kepada pekerja terlibat manakala bagi penghantar makanan persendirian pula mereka boleh memaklumkan dan memohon sendiri kepada pihak polis,” katanya.

Mengenai kebenaran melanjutkan operasi kedai makan kepada pukul 10 malam, Ismail Sabri berkata perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan dan penelitian dari pelbagai aspek.

“Kerajaan mengambil maklum dan prihatin mengenai rungutan dalam kalangan orang ramai yang dan bekerja tidak sempat membeli makanan untuk bawa pulang ke rumah pada waktu operasi sedia ada,” katanya.

Ditanya cadangan untuk mengetatkan SOP susulan kes Covid-19 masih membimbangkan selepas tujuh hari pelaksanaan PKP, Ismail Sabri berkata perkara itu akan dinilai dan diputuskan berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum PKP tamat Selasa depan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan menekankan penguatkuasaan terhadap majikan dalam memastikan semua pekerja asing terutama di kilang dan tapak bina menjalani saringan Covid-19 serta mematuhi syarat SOP penginapan ditetapkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Banci dalam talian dibuka semula – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan menyusun semula banci bersemuka dan membuka semula platform banci dalam talian, e-Census sebagai usaha mengekang penularan Covid-19, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehubungan itu, orang ramai yang belum membuat pengisian banci diminta untuk mengisi segera maklumat banci melalui www.mycensus.gov.my.

“DOSM memaklumkan sehingga kini, dianggarkan seramai 23.5 juta penduduk atau 72.0 peratus daripada kira-kira 32.7 juta penduduk Malaysia masih belum mengisi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020),” kata beliau pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengumumkan seluruh negara kecuali Sarawak akan berada di bawah PKP selepas kerajaan turut menguatkuasakan perintah itu di Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu mulai 22 Januari ini hingga 4 Februari depan.

Sementara itu, pada sidang media yang sama beliau memaklumkan 35 kes penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19 telah didakwa di mahkamah dengan 21 daripadanya didapati bersalah manakala 13 lagi dalam proses perbicaraan.

“Kerajaan memandang serius dan tidak akan bertoleransi terhadap penyebar berita palsu sehingga menimbulkan panik dan kegusaran dalam kalangan masyarakat dan orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya,” katanya.

Sehingga 18 Januari, sebanyak 278 kertas siasatan telah dibuka oleh polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan 141 kes daripadanya masih dalam siasatan.

Pasukan Respon Pantas (PRP) di bawah SKMM juga telah mengeluarkan sebanyak 424 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu berkaitan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sesi sekolah secara bersemuka tabika Kemas ditangguh

PUTRAJAYA, 18 JAN: Sesi persekolahan Tabika Kemas secara bersemuka di seluruh negara yang sepatutnya bermula pada 20 Januari ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurut Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya mengambil maklum trend peningkatan jangkitan Covid-19 dan memutuskan untuk mengikut langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai langkah pencegahan.

“Bagi memastikan tidak berlaku keciciran dalam kalangan kanak-kanak Tabika Kemas, kaedah pembelajaran secara Home-base Learning (pembelajaran di rumah) yang ditetapkan oleh jabatan akan digunakan melalui kaedah Pelaksanaan Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc),” katanya.

Sabtu lepas, KPM memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka bermula 20 Januari ini di seluruh negara hanya membabitkan calon yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020.

Sementara itu, Kemas menjelaskan pihaknya memberi kebenaran bersyarat untuk Taska Kemas beroperasi sekiranya terdapat permohonan daripada ibu bapa yang bertugas sebagai barisan hadapan untuk menghantar anak-anak mereka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sejak 13 Januari sehingga 26 Januari ini.

PKP bermula 16 Januari hingga 29 Januari pula melibatkan Kelantan dan Sibu, Sarawak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Program Subsidi Upah 3.O ditambah baik, majikan di kawasan PKP layak memohon

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Program Subsidi Upah 3.0 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan ditambah baik dengan semua majikan yang beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) layak untuk memohon, tanpa mengambil kira sektor, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata untuk tempoh satu bulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja mereka yang bergaji kurang daripada RM4,000.

“Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja.

“Inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion yang dianggar akan memanfaatkan 250 ribu majikan yang menggaji lebih daripada 2.6 juta pekerja,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika membuat pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) melalui siaran langsung TV dan platform sosial media di sini, hari ini.

Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh pelaksanaan PKP, perdana menteri berkata kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat permohonan bagi program Sistem Insurans Pekerjaan (SIP PRIHATIN).

“Pekerja yang tidak memenuhi caruman minimum, ataupun tidak dilanjutkan kontrak perkhidmatan setelah pembaharuan dibuat sekurang-kurangnya tiga kali, sekarang dibenarkan untuk memohon bantuan kewangan SIP PRIHATIN sebanyak 30 peratus daripada gaji mereka selama tiga bulan,” katanya.

Sementara itu, bagi membantu aliran tunai perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Muhyiddin berkata kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan skim-skim mikro kredit, seperti yang pernah diumumkan sebelum ini.

“Sejumlah RM1 bilion kemudahan mikro kredit disediakan, merangkumi pinjaman mudah berjumlah RM390 juta oleh Bank Simpanan Nasional, RM350 juta oleh Agrobank dan RM295 juta oleh TEKUN,” jelasnya.

Bagi terus menyokong golongan usahawan dan perniagaan untuk menjana pendapatan melalui jualan dalam talian atau platform e-dagang, Muhyiddin berkata kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro dan kempen Shop Malaysia Online dengan jumlah peruntukan RM300 juta.

Melalui kempen berkenaan, para usahawan mikro akan mendapat bimbingan perniagaan dan pembeli akan menikmati penjimatan melalui jual-beli secara dalam talian.

Untuk Geran Khas Prihatin Tambahan (GKP Tambahan) pula, beliau berkata kerajaan akan memperluaskan bantuan GKP Tambahan kepada 500 ribu PKS di tujuh negeri PKP dengan bayaran RM1,000, manakala 300 ribu PKS di negeri yang lain akan menerima RM500.

“Perluasan inisiatif GKP Tambahan ini, atau GKP PERMAI, melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM650 juta.

“Namun demikian, sekiranya terdapat negeri yang berubah menjadi zon merah dan diisytiharkan PKP, kerajaan sedia membantu dengan menyalurkan bantuan tambahan kepada PKS di negeri tersebut dengan serta merta,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP: Seldec hantar barang ke rumah secara percuma

SHAH ALAM, 17 JAN: Rantaian E-Bekalan Digital Selangor (Seldec) menawarkan khidmat penghantaran barangan basah secara percuma sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Agensi itu berkata untuk menikmati tawaran berkenaan, orang ramai perlu membuat pembelian menerusi laman sesawang seldec.com.my dengan jumlah minimum RM50.

“Bukan itu saja, pelanggan juga boleh menikmati diskaun RM5 apabila menggunakan kod promo ‘PKPRM5’.

“Langkah sedemikian bagi mengekalkan orang ramai berada di rumah di samping membantu petugas barisan hadapan mengurangkan penularan Covid-19,” katanya menerusi Facebook.

Seldec memaklumkan barangan basah tersebut antaranya daging segar 100 peratus produk tempatan, ikan, ayam dan ayam kampung serta yang lain seperti kuih muih tempatan, beras, minyak dan kambing perap.

“Selain melakukan pembelian di laman sesawang seldec.com.my , orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi Seldec menerusi Google Playstore dan Apple AppStore untuk membeli-belah secara dalam talian,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjaja minta kerajaan pertimbang benar operasi pasar malam

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) meminta agar kerajaan mempertimbang untuk membenarkan operasi pasar malam di enam negeri yang terlibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Agungnya, Mohamed Zamri Mohammed berkata pihaknya akan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan bagi membolehkan pendapatan terus dijana dalam tempoh sukar ini.

“Golongan penjaja ini hampir keseluruhan terdiri daripada golongan B40, sebahagiannya ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan tiada simpanan, kalau seminggu dua mungkin masih boleh bertahan, tapi apa akan jadi jika PKP dilanjutkan,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘PKP 2.0 Dan Darurat: Nasib Kumpulan Rentan’ terbitan Bernama TV malam tadi.

Mohamed Zamri berkata beliau yakin golongan penjaja mempunyai kesedaran dan pengetahuan untuk menjalankan perniagaan dalam normal baharu susulan pengalaman PKP pelbagai fasa sebelum ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata operasi pasar malam bagi tempoh PKP memerlukan model yang jelas agar memastikan matlamat mengekang Covid-19 tercapai tanpa mengabaikan kebajikan mana-mana pihak.

“Umpamanya, kalau dulu kita boleh masuk ke pasar malam dari mana-mana arah, mungkin boleh wujudkan dan hadkan laluan pintu masuk dan keluar dengan kawalan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.

Selain itu, Noor Azlan berkata tahap kesedaran dan disiplin masyarakat untuk membudayakan kawalan kendiri juga memainkan peranan sekiranya golongan penjaja dibenarkan berniaga dalam tempoh PKP.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir semua aktiviti sosial tidak dibenar sepanjang PKP – menteri

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Hampir semua aktiviti sosial dan yang menyukarkan penjarakan fizikal tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri yang akan dikuat kuasa mulai 12.01 tengah malam ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini termasuk majlis keraian seperti perkahwinan dan pertunangan, resepsi, sambutan ulang tahun, kenduri serta doa selamat.

Beliau berkata selain itu, mesyuarat bersemuka sama ada oleh kerajaan, swasta atau badan bukan kerajaan serta yang berkaitan industri MICE terdiri daripada mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran tidak dibenarkan.

“PKP ini kita banyak tumpukan kepada aktiviti sosial. Dari segi ekonomi ada dibenarkan, banyak juga dibenarkan tetapi yang tak dibenarkan langsung atau sebahagiannya sahaja adalah aktiviti sosial,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP di sini hari ini.

Penguatkuasaan semula PKP itu, yang melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari hingga 26 Januari ini, telah diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Enam lagi negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu serta Kelantan dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) dilaksanakan di Perlis dan Sarawak dalam tempoh sama.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata aktiviti sukan dan rekreasi juga tidak dibenarkan sepanjang pelaksanaan PKP namun kelonggaran diberikan kepada aktiviti riadah termasuk joging serta berbasikal terhad kepada dua orang sahaja dalam satu kumpulan.

Katanya sebarang kejohanan serta pertandingan sukan, aktiviti pelancongan keluar dan masuk ke kawasan PKP termasuk kemasukan pelancong asing ke dalam negara turut tidak dibenarkan.

Untuk aktiviti ekonomi, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, operasi pasar malam, bazar larut malam, kedai menjual pakaian, kedai cermin mata, gunting rambut, salon, spa dan refleksologi serta kelab malam tidak dibenarkan.

Beliau berkata tatacara operasi piawai yang hampir sama melibatkan aktiviti sosial terpakai dalam kawasan PKPB di mana semua aktiviti MICE, majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan serta swasta, kenduri dan majlis sosial lain tidak dibenarkan.

“Aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal dan dijalankan individu tidak lebih 10 orang dibenarkan,” katanya.

Ismail Sabri berkata bagi PKPP pula, ia adalah sama seperti sebelum ini cuma terdapat tambahan kepada larangan rentas negeri sehingga pelaksanaannya tamat.

– BERNAMA