Categories
SELANGOR

Status Tanah Perkuburan Selangor Akan Di Perluas

SHAH ALAM 21 MAC : Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 24/2011 bersetuju dengan Keperluan Perkuburan Sehingga Tahun 2060 di Negeri Selangor sebagai perancangan untuk mengatasi isu tapak-tapak tanah perkuburan yang telah hampir penuh di negeri ini.

Menjawab soalan dari Adun Semenyih, Johan Abdul Aziz berkenaan isu tersebut, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan dianggarkan 12.45 ekar tanah perkuburan Islam yang masih belum dihuni di Mukim Semenyih.

“Ini berdasarkan kajian inventori Tanah Perkuburan Sehingga Disember 2010 yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Tanah/ Daerah,” ujar Abdul Khalid.

“Untuk Daerah Semenyih, kajian tersebut mendapati terdapat kekosongan 5 ekar di Tanah Perkuburan Islam Batu 18 yang masih belum beroperasi,

3.5 ekar kekosongan pula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Purun dengan 30 peratus telah digunakan, Tanah Perkuburan Islam Semenyih yang  berkeluasan 0.75 ekar dengan 75 peratus telah digunakan dan Tanah Perkuburan Islam Batu 3 dengan keluasan 3.2 ekar dengan 20 peratus digunakan.

Sementara itu, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk melaksanakan program jangka masa panjang bagi konsep pembangunan Perkuburan Wilayah Bersepadu (PWB) terutamanya bagi kawasan yang pesat membangun untuk mengatasi masalah tapak perkuburan yang hampir penuh.

Antara tapak cadangan perkuburan wilayah bersepadu yang telah dikenalpasti ialah Tanah Perkuburan Bersepadu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Mukin Hulu Semenyih yang berkeluasan 168.74 ekar (68.29 hek).