Categories
AGENDA NASIONAL

Isu lompat parti antara pindaan perlembagaan dibentang hingga Julai depan

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Beberapa siri pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dibentang dalam tempoh sekarang hingga Julai 2022 termasuk isu lompat parti, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pindaan juga akan menyentuh tempoh mengehadkan jawatan Perdana Menteri.

“Ini dalam CSA (Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan) kita yang saya dikehendaki melaksanakannya, sekurang-kurangnya mesti dibentangkan sebelum atau semasa persidangan Julai nanti,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar.

Beliau berkata perkara kritikal lain termasuk isu kerakyatan anak warganegara Malaysia (sama ada ibu atau ayah) yang lahir di luar negara turut diambil kira dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata pindaan berhubung isu kewarganegaraan ini hendaklah mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja berdasarkan Fasal (5) Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan dan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga Ahli Parlimen.

“Sekiranya cadangan pindaan menyentuh hak orang yang lahir sebelum Hari Malaysia untuk menjadi warganegara oleh sebab perhubungan mereka dengan Sabah dan Sarawak atau jaminan layanan sama rata antara yang lahir dan bermastautin di negeri-negeri Borneo dengan yang lahir dan bermastautin di negeri-negeri Melayu, persetujuan Yang di- Pertua Negeri Sabah dan Sarawak hendaklah diperoleh,” katanya.

Wan Junaidi berkata dalam hal in, mesyuarat pramajlis dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah dijadualkan pada 23 dan 24 Nov ini.

Beliau berkata Jemaah Menteri pada 24 Sept lepas telah bersetuju supaya Peguam Negara menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja mengenai keputusan kes Suriani Kempe & Ors lwn Kerajaan Malaysia & Ors (2021) 8 CLJ 666 berhubung isu kewarganegaraan.

Menyentuh saranan supaya pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan diteliti satu jawatankuasa dwipartisan, Wan Junaidi mencadangkan ia diteliti oleh jawatankuasa sedia ada yang ditubuh di bawah Parlimen.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar perundangan: Sidang Parlimen perlu diadakan sebelum darurat tamat

SHAH ALAM, 18 JUN: Parlimen perlu bersidang dalam tempoh 30 hari daripada tarikh pandangan yang dizahir Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk berbuat demikian.

Pakar Perlembagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata kenyataan “secepat mungkin” yang dizahirkan Baginda bererti pelaksanaannya perlu dibuat sebelum darurat berakhir 1 Ogos ini.

“Tempoh itu dianggap munasabah untuk kerajaan mempersiapkan segala keperluan bagi membolehkan Parlimen bersidang, selaras istilah ‘secepat mungkin’ yang dizahirkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.

“Dalam konteks undang-undang, mahkamah pernah memberi tafsiran pada perkataan ‘as soon as possible’ yang juga bermaksud ‘secepat mungkin’ dalam kes Aminah v Superintendent of Prison, Pengkalan Chepa, Kelantan.

“Ia diertikan sebagai ‘secepat mana yang munasabah menurut keadaan sesuatu kes’. Kayu ukur penting adalah tempoh masa munasabah menyediakan keadaan dan keperluan bagi membolehkan Parlimen bersidang,” kata Prof Datin Dr Faridah Jalil seperti dilapor Berita Harian.

Faridah berkata, dalam aspek persidangan, kesemua Ahli Parlimen sudah divaksin manakala pegawai Parlimen juga boleh divaksin segera selain tiada isu besar susun atur Parlimen, kedudukan kerusi dan penjarakan fizikal.

Rabu lalu Seri Paduka Baginda menitahkan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin selepas mempengerusi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.

Sementara itu, pakar Perlembagaan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berpendapat Parlimen perlu bersidang lebih pantas daripada tatacara biasa, yang memerlukan notis sekurang-kurangnya 28 hari sebelum dilaksanakan.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan PAKATAN tekad pertahan kedaulatan, perkasa perlembagaan

MUAR, 1 JUN: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) tetap akan mempertahankan Raja-Raja Melayu, kedudukan orang Melayu dan kedaulatan Islam biarpun terdapat dakyah-dakyah yang disebarkan menerusi aplikasi Whatapps menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Salahuddin Ayub berkata, kerajaan pimpinan PAKATAN sentiasa mempertahankan kedaulatan dan perkara asas yang termaktub dalam perlembagaan negara.

“Jangan dengar dakyah dan fitnah yang sentiasa disebarkan dalam ‘whatapps group’ kononnya kerajaan tidak lagi menganggap Islam, bangsa Melayu, Raja-Raja Melayu sebagai asas perjuangan kita.

“Sebagai anggota jemaah menteri yang mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, saya memegang taat setia kepada negara ini, dan kita perlu pertahan hatta dengan nyawa sekali pun,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Berbuka Puasa anjuran AMANAH Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, di Batu 3, Bakri di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan.

Salahuddin berkata, rakyat seharusnya menjadikan kekacauan yang berlaku di negara jiran baru-baru ini selepas pilihan raya umum dan pemilihan presiden sebagai iktibar untuk mengelakkan pecah belah.

“Kita perlu elakkan seperti yang berlaku di negara itu sehingga mengakibatkan korban nyawa kerana isu yang dimainkan ekstreme agama dan bangsa.

“Kita adalah negara Malaysia yang aman sejahtera, pada tahun lalu menyaksikan proses peralihan kuasa kerajaan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 berlaku dengan lancar dan tanpa pertumpahan darah, yang kalah menerima hakikat dan yang menang membentuk kerajaan dan ini adalah tanggungjawab kita untuk pertahankan keharmonian negara ini,” katanya.

– BERNAMA