Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir Melaka dan Perlis kian pulih, mangsa terjejas di Kedah meningkat

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Keadaan banjir di Melaka dan Perlis semakin pulih apabila jumlah mangsa serta pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan pagi ini, namun di Kedah jumlah mangsa terus mencatatkan peningkatan.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir di Alor Gajah terus mencatat penurunan kepada 95 mangsa daripada 26 keluarga pada 8 pagi ini berbanding 149 mangsa daripada 38 keluarga, 4 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata semua mangsa berkenaan ditempatkan di tiga PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah serta Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal.

Jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS SK Durian Tunggal membabitkan 26 orang daripada 10 keluarga, SJKC Sin Wah (49 mangsa daripada 12 keluarga) manakala di Dewan Japerun Durian Tunggal (20 mangsa daripada empat keluarga), katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata semua mangsa merupakan penduduk yang terjejas di enam kawasan di daerah berkenaan iaitu Kampung Padang Keladi, Bukit Balai, Kampung Bukit Tambun, Pekan Durian Tunggal, Taman Murai Jaya dan Kampung Padang Kerbau.

Di Perlis, hanya satu PPS masih dibuka di Arau bagi menempatkan penduduk yang terjejas akibat banjir di kawasan berkenaan sejak Selasa.

Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Mohammad Hazam Ismail, 12 keluarga melibatkan 42 individu ditempatkan di PPS SK Arau setakat 8 pagi tadi.

“Semalam dua PPS dibuka, tapi hari ini satu sudah ditutup iaitu di Masjid Kampung Banggol Sena dan penduduk sudah pulang ke rumah masing-masing kerana air telah surut,” katanya.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kedah meningkat kepada 754 orang pagi ini berbanding 665 mangsa pada petang semalam.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata setakat 8 pagi tadi semua mangsa yang terdiri daripada 205 keluarga ditempatkan di 13 PPS di lima daerah.

Beliau berkata satu lagi PPS dibuka di daerah Kubang Pasu di SK Malau pada 11 malam tadi yang menempatkan 26 mangsa daripada empat keluarga dan beberapa PPS lain turut menyaksikan peningkatan mangsa yang dipindahkan.

“Seramai 141 mangsa dipindahkan di Kubang Pasu yang terdiri daripada 36 keluarga dan setakat ini dipindahkan ke tiga PPS di daerah itu sementara Baling mencatat 15 mangsa daripada lima keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan.

“Di daerah Kota Setar, 272 mangsa daripada 79 mangsa dipindahkan ke empat PPS dan 34 mangsa daripada 10 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Pokok Sena manakala 292 mangsa daripada 72 keluarga dipindahkan ke dua PPS di daerah Pendang, katanya dalam kenyataan.

Di Johor, daerah Pontian melibatkan kawasan Kampung Paya Embun dilanda banjir kilat selepas hujan lebat lebih dua jam, petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata keadaan itu menyebabkan sebuah PPS di SK Melayu Raya dibuka pada 9 malam tadi bagi menempatkan 18 mangsa daripada empat keluarga.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Maklum kepada polis jika jiran langgar SOP Aidilfitri

KANGAR, 10 MEI: Orang ramai dinasihatkan supaya memerhati kawasan kejiranan mereka dan memaklumkan kepada polis sekiranya terdapat individu yang pulang beraya ke kampung tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa, kata Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad.

Beliau berkata maklumat sedemikian diperlukan bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap individu yang masih berdegil dan tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Aidilfitri 2021.

“Polis Perlis juga akan tingkatkan jumlah keanggotaan dalam memastikan pematuhan SOP serta akan mengambil tindakan tegas terhadap individu di kawasan perumahan…termasuk memperketatkan kawalan di sempadan negeri, stesen bas dan stesen keretapi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Surina juga menasihati orang ramai agar mematuhi SOP Aidilfitri dan berada di rumah kecuali mempunyai urusan penting.

Menurut beliau kadar pematuhan SOP di Perlis adalah tinggi iaitu 98 peratus dan berharap orang ramai terus mematuhi ketetapan tersebut bagi mengekalkan Perlis sebagai negeri hijau dan seterusnya memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

Mengulas mengenai jumlah kenderaan yang dikesan bertambah di Perlis sejak beberapa hari kebelakangan ini, Surina berkata jumlah kemasukan kenderaan ke negeri itu tidak serius iaitu sekitar lima peratus berbanding hari biasa.

“Peningkatan jumlah kenderaan adalah berpunca daripada ibu bapa yang mengambil anak-anak mereka yang menuntut di institusi pengajian tinggi sekitar negeri ini untuk pulang beraya di samping kemasukan penduduk dari Kedah yang berulang-alik bekerja di Perlis,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata pihaknya akan melakukan rondaan pematuhan SOP Aidilfitri secara menyeluruh di sekitar Kangar bermula hari ini.

“Hari Raya nanti, kita akan ‘all out’ termasuk melakukan rondaan dari rumah ke rumah bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Diharapkan agar orang ramai dapat terus memberi kerjasama dengan polis bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di negeri ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD bersasar di Kedah, Perlis tamat esok

SHAH ALAM, 25 OGOS: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (Temco) di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul, Perlis serta empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap, Kedah tamat esok.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata keputusan itu diambil atas nasihat Kementerian Kesihatan selepas semua penduduk di kawasan tersebut disaring dan tiada kes baharu Covid-19.

“KKM telah menyaring 1,397 penduduk di Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul serta lebih 7,000 penduduk di Kubang Pasu dan Padang Terap, ” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri berkata KKM mengesan beberapa kes melibatkan kluster Tawar di empat daerah di Kedah.

“Bagaimanapun Temco tidak akan dilaksanakan di kawasan tersebut sebaliknya langkah pencegahan diambil menerusi kawalan pergerakan secara bersasar,” katanya.

Perintah berkenaan melibatkan empat mukim di Kubang Pasu dan Padang Terap bermula 3 Ogos dan sepatutnya tamat pada 30 Ogos manakala Temco di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul berkuat kuasa 8 Ogos hingga 4 September.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua kawasan di Perlis dikenakan PKPD pentadbiran – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Dua kawasan di Perlis iaitu Kampung Sanglang dan Kampung Tanah Timbul dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar Secara Pentadbiran (Temco) bermula dari hari ini hingga 31 Ogos.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penguatkuasaan Temco itu melibatkan 191 buah rumah dengan 872 orang penduduk.

“Pelaksanaan Temco akan mengguna pakai tatacara operasi piawai (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan beberapa ‘cut off’ jalan raya. Pergerakan keluar masuk oleh penduduk setempat atau penduduk dari luar kawasan Temco adalah dilarang,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini mengesahkan 11 kes termasuk 10 kes baharu Covid-19 di Perlis berasal daripada Kluster PUI Sivagangga di Kedah.

Ismail Sabri berkata premis perniagaan di bawah perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi di dalam kawasan Temco dan masa operasi dihadkan dari pukul 8 pagi sehingga 6 petang.

Selain itu katanya pergerakan di dalam kawasan Temco adalah dibenarkan dan bekalan makanan dibenarkan dibawa masuk ke kedai runcit yang berada di dalam kawasan terlibat.

Menurutnya lagi semua pejabat kerajaan dan sekolah yang terletak di dalam kawasan berkenaan juga ditutup dan semua aktiviti keagamaan di masjid-masjid dihadkan secara bersyarat manakala semua rumah ibadat bukan Islam tidak dibenarkan beroperasi.

“Petugas KKM akan melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas semua penduduk di dalam kawasan Temco,”katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata terdapat sedikit kekeliruan apabila terdapat kerajaan negeri mengumumkan mengenai melaksanakan Temco di lokaliti negeri mendahului kerajaan persekutuan.

Oleh itu beliau mengingatkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah di bawah Kerajaan Persekutuan dan perlu dipatuhi oleh semua kerajaan negeri kecuali negeri Sarawak.

“Kesan daripada kerajaan negeri melaksanakan sendiri peraturan tanpa kelulusan Kerajaan Persekutuan, akta tersebut tak boleh dikuatkuasakan dan polis tak boleh ambil tindakan kecuali dengan kelulusan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau memberi contoh Kerajaan Negeri Sabah yang mengumumkan perhimpunan ramai tidak boleh melebihi 150 orang sedangkan ia menyalahi peraturan di bawah Akta 342 yang membenarkan perhimpunan ramai tidak lebih 250 orang.

Beliau berharap agar kekeliruan tersebut tidak berulang lagi kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat terlibat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua kampung di Perlis kena PKPD bersasar

KANGAR, 9 OGOS: Kerajaan Perlis melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bersasar (Temco) selama 28 hari bermula malam tadi di dua kampung di Kuala Sanglang.

Keputusan itu yang melibatkan Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul berkuat kuasa 10 malam tadi hingga 4 September.

Kerajaan Negeri Perlis menerusi satu kenyataan berkata pelaksanaan Temco dibuat selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan dengan mengambil kira bilangan kes aktif Covid-19 di kawasan berkenaan.

“Penduduk diminta memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan Temco akan mengguna pakai prosedur operasi standard PKP Pemulihan sedia ada dengan tambahan kepada pelaksanaan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk ke kawasan tersebut.

“Orang awam yang berada di luar kawasan Temco tidak dibenarkan masuk kecuali mereka yang terlibat dengan memberikan perkhidmatan perlu,” katanya.

Penduduk di kedua-dua kampung juga diminta mematuhi arahan kuarantin di rumah yang telah dikeluarkan kepada penduduk setelah menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Sanglang.

“Sepanjang tempoh arahan kuarantin di rumah, ketua isi rumah dibenarkan keluar dari rumah bagi membeli barang keperluan harian sementara menunggu seluruh ahli isi rumah memperoleh arahan pelepasan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Perlis,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut kerajaan negeri prihatin kesulitan yang dialami dan akan menyalurkan bantuan kepada penduduk di kedua-dua kampung yang terlibat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Bersyarat: Sekatan jalan raya jaga sempadan negara, negeri

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), polis kini menumpukan pada sekatan jalan raya (SJR) di kawasan sempadan negeri dan negara, selain operasi pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM)

Kawalan di sempadan negara bertujuan memastikan ia tidak diceroboh masuk warga asing manakala di sempadan negeri adalah bagi menyekat pergerakan rentas negeri yang masih tidak dibenarkan,

Di JOHOR, Ketua Polis negeri Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata SJR di Johor kini turut tertumpu di kawasan pesisir pantai dalam usaha kerajaan mengekang kemasukan migran, dengan keseluruhan 39 SJR di semua daerah.

Beliau berkata 4,200 anggota polis bertugas bagi PKPB berbanding 4,600 anggota ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan susun atur SJR juga akan dilakukan termasuk di jalan keluar dan masuk antara sempadan negeri.

“Kesemua 39 SJR merupakan di laluan utama. Ia termasuk kawasan di daerah-daerah yang menghadap pesisir pantai. Ini khusus untuk membendung penyusupan masuk migran dari negara jiran,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor yang baharu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di Johor Bahru hari ini.

Bekas Komander Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Batu Kawa Kuching, Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Johor yang baharu bagi menggantikan Datuk Shafie Ismail, yang bersara hari ini.

Sementara itu, Polis Perlis pula menggunakan kaedah pemeriksaan mengejut dan rondaan Kereta Peronda Polis (MPV) bagi mengesan orang ramai yang melalui lorong tikus dan ‘batas ban’ (jalan sawah padi) bagi mengelak SJR di semua pintu masuk utama ke negeri itu.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata kumpulan rondaan ini akan digerakkan memasuki semua 77 ‘batas ban’ dan lorong tikus yang terdapat di negeri itu iaitu sebanyak 49 di Kangar, 13 di Padang Besar dan lima di Arau.

“Walaupun tiada lagi penutupan jalan dan lencongan di jalan-jalan utama setelah PKPB, kita tidak mahu berlaku keadaan orang ramai bolos menggunakan lorong tikus dan batas ban,” katanya kepada Bernama di Kangar.

Surina berkata pihaknya meningkatkan rondaan di lorong tikus bagi memastikan tiada individu yang masuk ke negeri itu tanpa melalui SJR, atau mengelakkan warga asing masuk ke negara ini menerusi lorong tikus.

Polis Perak pula mengurangkan SJR daripada 102 sewaktu PKP kepada 30, dengan 13 daripadanya dibuat di sempadan negeri termasuk susur masuk atau keluar di lebuh raya, melibatkan sempadan Perak dengan Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Pahang, dengan bantuan tentera darat bermula hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata polis juga meningkatkan pemantauan di tempat-tempat awam terutama di pasar raya dan stesen bas bagi memastikan sektor yang dibenarkan beroperasi mematuhi SOP semasa PKPB termasuk jarak sosial.

“Polis juga banyak memberikan khidmat nasihat kepada orang awam di tempat-tempat tumpuan serta pengusaha restoran dan kebanyakannya sudah faham mengenai SOP bagi bersama-sama melawan penyebaran wabak Covid-19,” katanya di Ipoh.

Razarudin berkata rondaan turut ditingkatkan di kawasan rekreasi dan taman permainan bagi mengelakkan orang ramai menjalankan sebarang akitiviti riadah berikutan Perak masih belum membenarkan penggunaan taman awam.

Bagi Kedah, orang awam di negeri itu bebas bergerak merentasi daerah termasuk ke Pulau Langkawi, namun perlu menitikberatkan SOP ditetapkan KKM terutama aspek jarak sosial.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata pematuhan terhadap SOP sangat penting bagi mengekang penularan Covid-19, sekali gus memastikan Kedah terus kekal berada dalam zon hijau.

“Sekatan jalan raya dikurangkan bermula hari ini dan tumpuan akan diberikan di pintu-pintu masuk ke Kedah kerana perjalanan rentas negeri masih belum dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Al-Quran Wakaf Kepada Barisan Hadapan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ladang ketum banyak di Kedah, Perlis

JERLUN, 20 NOV: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengenal pasti sejumlah 138 hektar (342 ekar) ladang ketum di negara ini yang sebahagian besarnya berada di Kedah dan Perlis.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, penanaman ketum perlu dikawal melalui peruntukan undang-undang bagi mengelak ketum terus merosakkan masyarakat terutama golongan muda.

Berdasarkan kebimbangan itu, beliau berkata, pindaan Akta Racun 1952 yang sedang dalam proses akhir sebelum dibentangkan di Parlimen dijangka dapat memastikan penguatkuasaan terhadap tanaman itu dijalankan dengan lebih berkesan.

“Kalau sebelum ini, memiliki ketum yang diproses, air ketum dan daun ketum itu salah, tapi dalam masa terdekat apabila pindaan ini diluluskan di Parlimen akan menjadikan menanam ketum, menjual dan mengeksport sebagai satu kesalahan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri perjumpaan bersama pengusaha ketum di Kedah dan Perlis, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, pindaan itu dijangka dibentang dan dibahas pada sidang Parlimen yang sedang berlangsung dan beliau menggesa pengusaha serta penanam ketum segera berubah kepada tanaman lain sebelum undang-undang itu dikuatkuasakan.

Menurut beliau, berdasarkan reaksi 32 pengusaha yang hadir dalam pertemuan hari ini, kebanyakan mereka memberikan maklum balas positif dan bersedia untuk berubah kepada tanaman lain.

“Namun ada perkara-perkara yang menjadi kerisauan kepada mereka seperti tidak tahu nak tanam apa, masalah benih dan kos untuk menukar kepada tanaman lain yang saya rasa boleh dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk kita bincangkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa setakat ini Kementerian Kesihatan tidak mengeluarkan sebarang pengesahan bahawa ketum boleh digunakan untuk tujuan perubatan dan mampu meningkatkan tahap kesihatan.

Perjumpaan tersebut yang turut disertai wakil Jabatan Farmasi, Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Pertanian diadakan bagi memberi penjelasan kepada pengusaha ketum berhubung langkah kerajaan itu dan saranan supaya mereka berubah kepada tanaman lain.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Semarak perpaduan Perlis-Sabah, titah Raja Muda Perlis

TAWAU, 20 MEI: Bersempena lawatan kerja Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke Sabah, baginda berharap perpaduan tanpa sempadan antara masyarakat di negeri di bawah bayu itu dan Perlis dapat disemarakkan.

“Hubungan sesama anggota keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan masyarakat perlu dipelihara agar wujud masyarakat harmoni berbilang agama, kaum, budaya dan adat resam. Hubungan ini harus dikembangkan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sebelum berbuka puasa dengan penduduk Kampung Merotai di Masjid Hidayatul Iman semalam.

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin yang pertama kali ke kampung itu disambut oleh Komander Rejimen 516 Askar Wataniah, Brig Jeneral Tan Sri Liew Yun Fah dan kira-kira 500 penduduk kampung.

Baginda berharap lawatan ini akan dapat menjadi pengikat tali persahabatan antara dua negeri yang jauh.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada imam masjid Kampung Merotai, Mohd Nasir Saleh, 47, untuk membeli kelengkapan masjid dan bantuan makanan golongan asnaf.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Syarifuddin fokus sasar menang di Perlis

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 SEPT: Md Syarifuddin Azman yakin pasukannya, Idemitsu Kozi Yam Honda Racing semakin mendapat rentak dan terus mencabar sengit perlumbaan kelas WIRA KBS pada pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kangar, Perlis, minggu ini.

Pada saingan pembukaan musim ini, pelumba pasukan pernah memegang takhta juara kategori itu tiga tahun berturut-turut pada 2015 hingga 2016 gagal menaiki podium.

Namun, pasukan itu mula bangkit pada pusingan kedua apabila Md Fadlyshah Redzuan menamatkan saingan di tempat ketiga.

Selaku antara pelumba diharap membawa podium kepada pasukan, Md Syarifuddin mula mempamerkan aksi sebenar apabila meraih dua kemenangan pada pusingan keempat di Temerloh dan kelima (Teluk Intan) selepas gagal menamatkan dua perlumbaan pusingan awal tahun ini.

“Pada peringkat awal musim, kami masih mencari dan mencuba pelarasan baharu ingin digunakan tahun ini, namun kami gagal menaiki podium dan saya sendiri gagal menamatkan perlumbaan.

“Hasil kerja keras semua, kami mula bangkit dan terus memperbaiki kesilapan yang ada sehingga akhirnya saya dapat menjuarai dua perlumbaan berturut-turut,” Md Syarifuddin.

Mengulas mengenai peluang mengejar kedudukan keseluruhan dipegang, Md Danial Syahmi (SIC Junior Team AFB TECH Racing) dengan 97 mata, Syarifuddin kini keempat dengan 58 mata berkata, beliau tidak terlalu memikirkannya.

“Perbezaan mata ketika ini agak jauh, namun saya tidak mudah menyerah kalah kerana tidak mustahil untuk mengejar.

“Hanya fokus saya berbeza dan mahu memberi tumpuan memenangi satu demi satu perlumbaan berbanding dengan gelaran,” katanya.

Categories
NASIONAL

NADMA pantau kejadian ribut di Perlis

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 18 SEPT: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kini menjalankan pemantauan berhubung kejadian ribut di Perlis, semalam, yang mengorbankan empat nyawa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, NADMA dengan kerjasama agensi berkaitan juga akan menilai kerosakan berlaku akibat kejadian berkenaan.

“Laporan berhubung pemantauan dan penilaian ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang akan diadakan, pada malam ini,” katanya dalan kenyataan media, hari ini.

Foto: Astro Awani

Ekoran kejadian itu, beliau berkata, terdapat enam kemalangan berlaku dan rekod rasmi polis melaporkan sehingga kini berlaku empat kematian.

“Operasi pembersihan sedang giat dijalankan pelbagai agensi berkaitan dan orang awam dengan keutamaan diberikan kepada kes pokok tumbang yang menghalang laluan serta menimpa rumah,” katanya.

Dr Ahmad Jailani berkata demikian merujuk kejadian hujan lebat dan angin kencang di Perlis, semalam, yang mengakibatkan banyak pokok tumbang dan rumah rosak serta kemudahan awam terjejas.

Kejadian dengan kelajuan angin 68.7 kilometer sejam direkod MET Malaysia Perlis, menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sehingga jam 12 tengahari tadii menyebabkan 102 rumah terjejas sekitar Mata Ayer, Bintong, Kayang, Beseri, Sena, Chuping, Kuala Perlis dan Pauh.

Selain itu, sebanyak 189 kes pokok tumbang mengakibatkan gangguan elektrik, di kawasan terbabit.

Categories
NASIONAL

Banjir di Perlis semakin surut

KANGAR, 25 SEPT: Keadaan banjir di Perlis semakin pulih dengan lebih ramai mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini, menyaksikan 16 pusat pemindahan ditutup setakat jam 4 petang ini.

Menurut kenyataan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perlis, kini hanya sembilan pusat pemindahan masih dibuka iaitu enam dalam Parlimen Kangar menempatkan 1,170 orang daripada 322 keluarga dan tiga dalam Parlimen Arau membabitkan 142 orang daripada 43 keluarga.

“Antara pusat pemindahan di Kangar ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bintong yang menempatkan 127 keluarga membabitkan 434 orang; SK Panggau (126 keluarga membabitkan 483 mangsa) dan SK Sri Perlis (40 keluarga membabitkan 129 mangsa).

“Di Arau pula, di SK Kampung Serdang menempatkan tiga keluarga membabitkan 13 orang; SK Long Boh (22 keluarga membabitkan 79 orang) dan Dewan Orang Ramai Padang Petani (18 keluarga membabitkan 50 orang),” menurut kenyataan itu.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Abdul Najib Abdullah yang dihubungi Bernama berkata paras air Empangan Timah Tasoh telah susut ke paras berjaga-jaga 29.60 meter daripada 29.98 meter.

“Pihak kami akan terus melepaskan air sehingga paras 29.20 atau 29.00. Jika hujan, kita akan lepaskan air sehingga 29.00. Pelepasan air ini tidak menyebabkan banjir kilat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

EL Nino: Kerajaan Perlis mungkin catu air

KANGAR 12 JAN: Kerajaan Perlis mungkin mencatu bekalan air jika kemarau akibat fenomena El Nino yang melanda negara sekarang berlanjutan, kata Pengerusi Jawatankuasa Sumber Asli dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Mat Rawi Kasim.

Menurut beliau catuan tidak dapat dielakkan sekiranya paras air di Empangan Timah Tasoh dan sungai yang menyusut sejak dua minggu lepas terus susut.

Perlis“Penduduk Perlis diminta bersedia jika catuan terpaksa dibuat dan berjimat menggunakan air,” katanya dipetik Bernama.

Sumber utama air penduduk di selatan Perlis diperolehi dari sungai dan terusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) manakala di utara Perlis menerima bekalan dari Empangan Timah Tasoh.

Mat Rawi berkata kali terakhir Perlis dilanda kemarau teruk pada pertengahan tahun 70-an semasa Empangan Timah Tasoh belum dibina.

Sehubungan itu beliau meminta Syarikat Air Perlis (SAPs) membuat pemantauan menyeluruh di seluruh negeri untuk mengesan dan membaiki paip-paip yang bocor dengan segera.

Beliau mengingatkan orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka dalam keadaan kemarau sekarang bagi mengelak api merebak dengan cepat dan memerlukan banyak air untuk memadamkannya.

Jabatan Meteorologi meramalkan Perlis dan Kedah paling teruk menerima ancaman El Nino yang berkemungkinan berlarutan hingga penghujung April ini.

EZY