Categories
AGENDA NASIONAL

Permaisuri Agong berkenan tinjau situasi banjir di Dengkil

DENGKIL, 19 DIS: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan meninjau situasi mangsa banjir di persekitaran kawasan ini.

Seri Paduka tiba di lokasi banjir pada 5.10 petang sebelum berkenan menaiki bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk meninjau keadaan mangsa yang masih terkandas akibat banjir.

Selepas hampir sejam meluangkan masa menyantuni mangsa banjir, Seri Paduka menitahkan anggota keselamatan untuk membawa keluar mangsa banjir yang masih terkandas dalam rumah mereka dengan secepat mungkin.

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kuala Lumpur dan Dengkil, hari ini. Foto Facebook Istana Negara

Raja Permaisuri Agong diiringi Brig. Jen. Datuk Mohamed Zahari Yahya, yang merupakan Juruiring Tentera Udara Diraja Malaysia kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Raja Permaisuri Agong turut berkenan melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Rendah Agama Datuk Ahmad Razali.

Dengkil hampir lumpuh setelah dilanda bah sejak semalam dengan paras air masih belum surut sehingga 6 petang tadi.

Berikutan itu, penduduk di kawasan ini diarah meninggalkan rumah masing-masing kerana dikhuatiri paras air terus meningkat ekoran ketidaktentuan cuaca.

Beberapa kawasan perumahan dan kedai dilanda banjir dengan paras air meningkat sehingga paras leher.

Para penduduk Dengkil menggambarkan bencana banjir kali ini adalah yang terburuk sejak 1971. Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Taman Emas, Taman Permata, Taman Baiduri, Taman Kristal, Taman Mutiara dan Taman Desa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Permaisuri Agong nasihat wanita sayangi diri, jadi insan hebat

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengingatkan setiap wanita supaya menyayangi dan menghargai diri sendiri untuk menjadi seorang insan yang hebat dan bahagia.

Baginda bertitah wanita perlu menjaga kesihatan fizikal dan mental diri sendiri serta keluarga kerana seorang wanita yang bahagia akan mampu membawa kebahagiaan kepada semua orang di sekelilingnya.

“Wanita waja mampu mengharungi setiap cabaran yang datang dan kekuatan yang diberikan oleh Allah SWT itulah istimewanya kita wanita,” titahnya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial rasmi Istana Negara sempena sambutan Hari Wanita hari ini.

Jelas baginda, kekuatan wanita terserlah ketika pandemik Covid-19 yang melanda negara kini apabila mereka mampu bangkit serta cekal mengatasi sebarang cabaran, sesuai dengan tema sambutan Hari Wanita tahun ini – Wanita Bangkit Mendepani Cabaran.

“Di sinilah kita melihat kekuatan seseorang insan yang bergelar wanita. Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, wanita tetap mampu bangkit dan cekal serta berjaya keluar daripada cabaran tersebut,” titah Tunku Azizah.

Baginda turut menyeru supaya masyarakat menghargai wanita, menyayangi, menghormati dan berlemah lembut dengan golongan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir simpati terhadap mangsa banjir, seru hulur bantuan

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa simpati kepada mangsa bencana banjir di beberapa negeri, khususnya di Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor, Perak dan Selangor.

Dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Seri Paduka turut menzahirkan harapan agar semua mangsa banjir tabah mengharungi dugaan dan musibah yang menimpa mereka.

Seri Paduka Baginda juga menyeru pihak berkuasa, khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), supaya terus menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri yang terjejas.

“Rakyat khususnya di kawasan rendah pula dinasihati untuk sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri, keluarga serta bersedia berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan segera jika diarahkan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berkenan menyantuni pemandu lori yang terkandas susulan banjir di Plaza Tol Karak, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada 5 Januari 2021. Foto Facebook Istana Negara

Mengambil kira kenaikan mendadak kes positif Covid-19 harian di negara ini, Seri Paduka Baginda menitahkan supaya aspek norma baharu dan tatacara operasi piawai (SOP) diamalkan semua petugas dan mangsa banjir serta menjadi keutamaan di semua PPS bagi membendung penularan wabak.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah hari ini berkenan mencemar duli mengadakan lawatan mengejut, bertemu mangsa banjir yang ditempatkan di empat PPS di Maran, Pahang (Sekolah Menengah Kebangsaan [SMK] Maran, Surau Kampung Jara, Sekolah Kebangsaan [SK] Kuala Sentul dan Masjid As Syakirin).

Kenyataan itu menyebut Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa menyantuni mangsa banjir yang berada di PPS itu dan mengurniakan sumbangan kepada mereka bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Nadma, Kerajaan Negeri dan Pentadbiran Daerah serta agensi penyelamat dan jabatan kerajaan seperti polis, bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertungkus lumus membantu rakyat setiap kali banjir,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Seri Paduka Baginda mengajak seluruh rakyat mendoakan bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda.

Hujan lebat sejak Sabtu lepas menyebabkan banjir di enam negeri – Johor, Pahang, Terengganu, Selangor, Kelantan dan Perak – dengan Johor dan Pahang terjejas teruk apabila ramai mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke PPS.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Permaisuri Agong seru rakyat jaga keluarga, putuskan rantaian Covid-19

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya menjaga keluarga terutamanya ketika negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

Bersempena dengan Bulan Keluarga Kebangsaan 2020, Tunku Azizah bertitah, baginda dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan semua anak-anak dan ahli keluarga agar bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19.

“Kebimbangan terhadap penularan Covid-19 pasti bermain-main di minda setiap dari kita termasuk saya juga. Sebagai ibu dan isteri, keutamaan saya pastinya kepada keluarga saya namun sebagai permaisuri negara sudah tentu semua keluarga di Malaysia turut menjadi keutamaan dan perhatian saya.

“Bersempena dengan November sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan 2020 bertemakan ‘Kita Jaga Keluarga’, saya dan Tuanku Agong ingin ambil kesempatan berpesan kepada semua anak-anak serta ahli keluarga besar Malaysia supaya bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19,” titah baginda dalam rakaman video yang dimuat naik menerusi hantaran laman Facebook rasmi Istana Negara hari ini.

Raja Permaisuri mengingatkan semua pihak agar sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan mengambil iktibar kesusahan yang dialami rakyat semasa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas.

Baginda turut menyeru semua pihak supaya mengingati pengorbanan barisan hadapan dan para petugas kesihatan serta keselamatan yang bertungkus lumus memutuskan rantaian Covid-19.

“Mereka juga mempunyai keluarga seperti kita, andai kita bersatu hati insyaAllah seluruh keluarga boleh berkumpul semula seperti sedia kala. Ambillah iktibar daripada kesusahan dialami rakyat negara kita semasa menjalani PKP pada Mac yang lalu. Adakah kita sanggup menghadapinya lagi.

“Justeru itu, nasihat saya sebagai ibu kepada seluruh keluarga Malaysia kita jaga keluarga kita, jika bukan kita siapa lagi. Bersama-samalah kita raikan keluarga sempena Bulan Keluarga Kebangsaan ini, #kitajagakeluarga,” titah baginda.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Permaisuri Agong: Usaha perangi Covid-19 tanggungjawab bersama

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Maimunah Iskandariah menegaskan usaha memerangi pandemik Covid-19 adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat negara ini tanpa mengira bangsa, agama serta fahaman politik.

Justeru, baginda menyeru rakyat agar bersatu untuk memastikan penularan pandemik itu dapat dibendung dengan jayanya.

“Beta nasihatkan seluruh rakyat untuk tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap pematuhan tatacara kebiasaan baharu, termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal serta duduk di rumah atau mengelakkan berada di lokasi yang sesak jika tiada keperluan,” titah baginda.

Titah baginda itu dimuat naik menerusi hantaran laman Facebook rasmi Istana Negara.

Tunku Azizah bertitah demikian pada Majlis Taklimat Khas Pencegahan dan Kawalan Covid-19 di Istana Negara di sini hari ini yang berlangsung selama dua jam bermula 2 petang.

Majlis diadakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) atas inisiatif dan cetusan idea Tunku Azizah.

Taklimat yang dibahagikan kepada dua sesi itu dihadiri 62 pegawai serta kakitangan Istana Negara.

Sesi pertama bertajuk ‘Jangkitan Covid-19 dan Implikasi Terhadap Kesihatan’ dikendalikan oleh Pegawai Perubatan dan Penyakit Berjangkit HKL Dr Khairil Erwan Khalid manakala sesi kedua bertajuk ‘Pencegahan Covid-19’ pula dikendalikan oleh Pegawai Kesihatan HKL Nazlee Mohd Zin.

Para pegawai dan kakitangan Istana Negara yang hadir merupakan mereka yang berisiko tinggi kerana berkhidmat rapat dengan Seri Paduka berdua.

Mereka termasuk 14 kakitangan yang telah disahkan positif Covid-19 dan menjalani rawatan pada Mac lalu.

Taklimat itu juga bertujuan memberikan pegawai dan kakitangan Istana Negara pemahaman serta kepekaan yang tinggi terhadap ancaman pandemik Covid-19 selain menyahut saranan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Permaisuri Agong terima pengiktirafan tertinggi pandu puteri sedunia

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semalam mendapat pengiktirafan tertinggi apabila dianugerahkan pingat perkhidmatan Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS).

Pingat perkhidmatan WAGGGS merupakan bentuk pengiktirafan tertinggi kepada individu cemerlang yang mempamerkan perkhidmatan luar biasa kepada pertubuhan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri di peringkat nasional dan global.

Pengumuman rasmi dibuat oleh pengerusi Lembaga WAGGGS Sedunia Ana Maria Mideros menerusi Youtube.

Beliau berkata Tunku Azizah amat aktif dalam Persatuan Pandu Puteri Malaysia, memegang jawatan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

“Baginda amat gigih dalam usaha membangunkan potensi wanita dan juga gadis muda ke arena antarabangsa menerusi pandu puteri,” katanya.

Tunku Azizah pernah menyandang gelaran Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Pahang, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan menjadi Penaung Diraja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri pada 2015 dengan keanggotaan dari 27 negara di rantau Asia Pasifik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Permaisuri Agong berangkat ke Malam Deklamasi Puisi Putrajaya

PUTRAJAYA, 19 JAN: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Malam Deklamasi Puisi Putrajaya di Auditorium Cempaka Sari, Kompleks Perbadanan Putrajaya malam tadi.

Baginda diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Raja Permaisuri Agong yang tiba pukul 8.45 malam, menyaksikan persembahan lima sasterawan negara, Dr Siti Zainon Ismail, Datuk Dr Zurinah Hassan, Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah (Kemala), Profesor Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh dan Datuk Dr Anwar Ridhwan serta persembahan khas Datuk M. Nasir.

Terdahulu, baginda berkenan menyempurnakan pelancaran buku antologi puisi “Putrajaya Karya Pascamerdeka”, terbitan hasil kerjasama PPj dan DBP yang menghimpunkan 25 karya puisi bertemakan Putrajaya hasil pertandingan Sayembara Mencipta Puisi Putrajaya 2019, yang diadakan Oktober lepas.

Buku itu juga menghimpunkan karya sumbangan sasterawan negara antaranya Datuk Seri A. Samad Said, Profesor Emeritus Dr Muhammad Salleh dan Datuk Dr Anwar Ridhwan.

Raja Permaisuri Agong turut berkenan mengurniakan hadiah kepada juara Sayembara Mencipta Puisi Putrajaya 2019, Muhamad Syazwi Sholihin, pemenang tempat kedua Muhammad Azri Store Pipe dan pemenang tempat ketiga Rohana Karno.

Sementara itu, Khalid dalam ucapannya berkata Malam Deklamasi Puisi Putrajaya merupakan acara pembuka tirai bagi Sambutan Jubli Perak Putrajaya yang akan diraikan dengan penuh kemeriahan sepanjang tahun ini.

“Seluruh warga Putrajaya khususnya dan Malaysia amnya pasti tertunggu-tunggu detik sambutan penuh bersejarah ini kerana Putrajaya merupakan simbol kejayaan perancangan dan pembangunan bandar yang begitu ampuh dan membanggakan negara.

“Justeru itu, Sambutan Jubli Perak Putrajaya yang julung-julung kali diadakan ini turut memberi fokus kepada pemerkasaan bahasa kebangsaan Malaysia, pembudayaan seni sastera dan budaya yang menjadi jiwa sesebuah bangsa,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jadi duta Islam dalam mencari keredaan Illahi

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) perlu menjadi duta kepada integrasi, Islamisasi, pengantarabangsaan dan kecemerlangan menyeluruh dalam mencari keredaan Illahi, titah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tunku Azizah yang juga Ketua Perlembagaan (Canselor) UIAM,juga menasihati para graduan agar menggunakan ilmu yang mereka perolehi daripada universiti itu untuk menjadikan dunia ini lebih baik daripada apa yang ada sekarang.

“Keadaan ummah memerlukan, lebih daripada biasa, bahawa kita bangkit dengan kebijaksanaan, keyakinan, keberanian dan tekad. Apa pun cabaran, kita tidak boleh, dan tidak harus berputus asa, kerana itu akan menafikan intipati Islam yang menjadi Raḥmatan Lil-‘Alamin atau rahmat kepada sekelian alam, “titah baginda.

Baginda bertitah kepada 577 graduan sebelum permulaan majlis penganugerahan pertama pada majlis konvokesyen IIUM ke-35, di sini hari ini.

Tunku Azizah, yang juga wanita pertama yang diisytiharkan Ketua Perlembagaan UIAM, menyeru graduan supaya mempersiapkan diri dalam menghadapi cabaran termasuk sosial, budaya, politik, ekonomi, rohani dan peradaban.

Baginda percaya UIAM telah menyediakan graduannya untuk menghadapi cabaran dengan kebijaksanaan, keyakinan, keberanian dan tekad.

“Keberanian bukan tentang memanjat gunung paling tinggi. Ini adalah tentang menjadi diri anda sebenar. Ia adalah mengenai berpegang teguh kepada iman kita, dengan kekuatan dan keyakinan. Ini adalah tentang memenuhi ‘amanah’ Ilahi.

“Dengan konvokesyen ini, anda berdiri di ambang yang menandakan permulaan yang baharu, satu perjalanan baru. Pembelajaran adalah proses sepanjang hayat. Belajar daripada orang-orang di sekeliling anda. Belajar daripada keadaan baru anda. Belajar daripada sejarah dan belajar daripada kehidupan, “titah baginda.

Tunku Azizah juga bertitah kepada para graduan bahawa mereka telah menamatkan pengajian dari sebuah institusi yang berbangga memanggil dirinya sebagai ‘Taman Ilmu dan Kebaikan’ di mana UIAM melambangkan sebuah taman, di mana ilmu dan kebaikan itu tumbuh dan makmur.

“Anda telah menyumbang dengan ketara dalam membina taman ini. Anda telah membantu dalam memastikan kebun itu menjadi yang mampan, dengan bukan sahaja sebagai penerima ilmu wahyu dan sains manusia tetapi juga pencipta bersama pengetahuan bersepadu dan menjadi pembawa serta penggerak kepada pengetahuan, sains dan kebaikan Islam itu sendiri, “titah baginda.

Baginda juga berbangga dengan usaha-usaha UIAM dalam mengutamakan ‘keperluan khusus’ pelajar dan kakitangan serta usaha menjangkau mereka yang memerlukan pendidikan.

“Ini sesungguhnya merupakan sebahagian daripada ‘rahmah’ atau ihsan dalam usaha kita untuk menyebarkan Rahmatan Lil-Alamin. Saya berbangga untuk mengumumkan kepada anda semua, bahawa UIAM sekali lagi ‘Memimpin Jalan’ bagi umat Muslim untuk mencerahkan masa depan’, “titah Tunku Azizah.

Tunku Azizah, yang tiba di majlis konvokesyen bersama puteri baginda Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah, disambut oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Presiden UIAM Datuk Dr Mohd Daud Bakar dan Rektor UIAM Tan Sri Prof Emeritus Dzulkifli Abdul Razak.

Tahun ini seramai 5,445 graduan akan menerima skrol di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah mengikut bidang pengajian masing-masing menerusi lapan sidang selama empat hari bermula hari ini.

Pada sidang itu, Permaisuri Agong turut berkenan menyampaikan 10 anugerah utama kepada graduan, antaranya Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Presiden, Anugerah BUDI dan Anugerah Rektor.

Tunku Azizah turut berkenan menyampaikan Anugerah Merit Ibn Khaldun 2019 kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) sebagai menghargai sumbangan MAKNA atas usaha serta kepakaran menjaga kebajikan pesakit kanser.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saya tidak malu berkongsi kesukaran dapat anak – Tunku Azizah

PETALING JAYA, 8 NOV: “Saya tidak malu untuk memberitahu atau berkongsi dengan dunia semua masalah dan kesukaran yang perlu saya lalui untuk mendapat anak.”

Itulah kata-kata Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika bertitah pada majlis perasmian pusat fertiliti, Alpha IVF and Women’s Specialists di Encorp Strand Mall di sini hari ini.

Tunku Azizah bertitah semua kesukaran yang dialami membuat baginda memahami perasaan wanita atau pasangan lain apabila mereka tidak dapat memiliki anak mereka sendiri dan itulah yang menjadi pendorong untuk menubuhkan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF).

“Sekarang, rasanya saya menjadi satu-satunya Permaisuri di dunia yang mempunyai empat bayi IVF (In vitro fertilization). Saya memutuskan untuk mempunyai yayasan fertiliti sendiri kerana mahu membantu semua wanita dan pasangan di luar sana yang tidak dapat melahirkan anak kerana masalah perubatan tertentu.

“Saya tahu bagaimana rasanya apabila tidak mempunyai anak, stigma yang kita ada mengenai wanita sentiasa dipersalahkan (untuk keadaan itu), tetapi ia sebenarnya adalah persamaan jantina,” titah baginda.

Semasa menzahirkan kesyukuran doanya dimakbulkan, Tunku Azizah juga berterima kasih kepada pasukan perubatan dan para doktor atas usaha mereka dalam memperkenalkan teknologi berkenaan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Tengku Puteri Diraja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah Al-Sultan Abdullah, serta Pengasas dan Pengarah Urusan Alpha IVF and Women’s Specialists, Datuk Dr Colin Lee dan penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Majlis itu juga menyaksikan pusat fertiliti itu memberi penajaan 15 rawatan IVF kepada TAFF.

Sementara itu, pada sidang media, Dr Lee berkata pusat berkenaan menyediakan program Smart IVF untuk membantu pasangan dari golongan berpendapatan rendah (B40) yang menghadapi masalah untuk hamil.

“Kos program bermula dari RM13,888. Ini adalah bentuk IVF yang dipermudah yang efektif dan mempunyai kadar kehamilan kira-kira 50 peratus bagi mereka yang berumur di bawah 35 tahun. Mereka juga boleh mendapatkan bantuan dari TAFF, ” jelasnya.

Dr Lee berkata semakin moden masyarakat hari ini, semakin tinggi risiko ketidaksuburan dan kesukaran untuk mereka hamil.

Dalam banyak kes, beliau berkata wanita di kawasan bandar kebanyakannya berkahwin selepas mencapai umur 35 tahun dan mempunyai masalah kesuburan kerana gaya hidup moden.

-BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Permaisuri Agong suka memancing, selalu dapat ikan

KUANTAN, 25 JULAI: Minat Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada dunia jahitan dan masakan sememangnya sudah diketahui umum, tetapi ramai mungkin tidak tahu Raja Permaisuri Agong juga mempunyai hobi lain yang jarang menarik minat kaum wanita, iaitu memancing.

Di sebalik kelembutan perwatakan dan wajah putih kemerahan baginda, Tunku Azizah sebenarnya cekap memasang sendiri umpan pada mata kail dan tidak pernah pulang dengan tangan kosong setiap kali ‘melayan’ ikan di laut.

Sisi lain Raja Permaisuri Agong itu diceritakan rakan baginda, Datin Seri Tan Puay Ling, 58, yang berkata ​​​​​​hobi itu antara kegemaran baginda walaupun agak jarang dapat melakukannya.

“Kali terakhir kami memancing ialah tahun lalu di Pulau Redang (Terengganu) dan seperti biasa, baginda tidak perlu menunggu lama untuk mendapat ikan.

“Saya pun tidak tahu bagaimana…mungkin kerana bakat. Baginda juga begitu selesa berada di laut sedangkan saya sering mabuk laut walaupun kini semakin baik selepas beberapa kali mengikut baginda memancing,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Mengimbau perkenalan mereka, Tan berkata beliau sering melihat Tunku Azizah semasa anak bongsunya, Ti J-hhix dan anakanda baginda, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Sultan Abdullah belajar di tadika yang sama di sini sekitar 1999.

Bagaimanapun, ketika itu beliau hanya mampu memandang Tunku Azizah dari jauh setiap kali baginda mencemar duli menghadiri aktiviti tadika mahupun datang menghantar atau menjemput putera baginda itu.

“Biarpun Tunku Azizah nampak mesra dengan rakyat, namun saya hanya memerhati dari jauh sahaja sebab segan untuk menegur kerana baginda seorang yang berkedudukan tinggi. Kali pertama kami bercakap adalah semasa saya menemani anak perempuan saya ke hari sukan sekolah rendahnya.

“Ketika itu Tunku Azizah mencemar duli ke sekolah sama bagi memberi sokongan kepada anakanda baginda Tengku Amir Nasser Ibrahim dan baginda menegur cara saya memakai baju kurung Kedah bersama seluar panjang dengan mengatakan ia adalah cara yang menarik untuk menggayakan pakaian tradisional,” katanya.

Selepas itulah, katanya beliau mulai rapat dengan baginda ditambah lagi selepas suaminya Datuk Seri Ti Lian Ker aktif politik di Pahang.

Seperkara lagi yang dikagumi Tan mengenai Tunku Azizah ialah ‘kekuatan luar biasa’ yang dimiliki Tengku Ampuan Pahang itu setiap kali mencemar duli untuk menyantuni rakyat.

Tan yang sering menemani Tunku Azizah memasak di pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di Pahang mengakui hairan kerana Tunku Azizah tidak pernah kelihatan letih atau kedengaran merungut walaupun telah memasak di tiga atau empat PPS dalam sehari.

‘Kekuatan luar biasa’ yang dimiliki oleh baginda itu menyebabkan rakan-rakan rapat Tunku Azizah sering berseloroh dengan menyifatkan semangat baginda itu seperti bateri energizer atau ‘mempunyai tenaga solar selepas matahari terbenam’ kerana tidak pernah mengenal letih.

“Jika ada pertandingan memasak kotak misteri, Tunku Azizah pasti menang kerana baginda pasti boleh menghasilkan juadah yang enak… disebabkan baginda juga, saya kini boleh memasak hampir 100 resepi hanya menggunakan ikan sardin dan kobis,” katanya merujuk kepada dua bahan yang sering ada di PPS.

Tunku Azizah juga menurut Tan, amat prihatin dengan mereka yang akan disajikan juadah masakan baginda, seperti sering berpesan supaya masakan di PPS tidak terlalu pedas kerana ada anak kecil selain jangan bersantan bagi membolehkan makanan tahan lama dan rakyat boleh kerap mengulang makan.

Malah, Tan berkata baginda juga amat jarang beradu dalam kereta sebaliknya masih memastikan dirinya tetap aktif, sama ada mengait, menulis, melakukan crochet atau bermain ‘Candy Crush’, dan baginda tidak pernah hilang tumpuan walaupun melakukan aktiviti itu sambil berborak!

“Jika ditanya bila ‘me-time’ Tuanku, saya sendiri tidak tahu bila kerana kebanyakan masa ada sahaja yang hendak dilakukan. Saya sendiri lelah jika melihat aktiviti baginda tapi yang pasti saya belajar menjadi lebih baik kerana baginda.

“Semasa di awal saya mengikut baginda, pernah kami ke sebuah perkampungan dan saya tahu baginda dapat lihat keadaan lantai yang agak kotor, namun baginda tetap menghormati jemputan dan membuka kasut untuk masuk dan sudah pasti saya perlu masuk juga.

“Apabila saya melihat Tuanku memandang ke arah lain, saya mengesat kaki dengan kain baju kurung menyebabkan saya ditegur di dalam kereta. Rupanya baginda perasan dan menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak baik dan memalukan baginda.

“Baginda berpesan kita perlu menjaga hati dan perasaan orang, lebih-lebih lagi tuan rumah. Begitu juga semasa kami ke kawasan yang agak banyak lalat. Tuanku tetap menjamah juadah dan tidak pernah cerewet walaupun hanya nasi dan ayam sahaja,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Permaisuri Agong titip nasihat kepada bekas banduan

PEKAN, 14 JULAI: “Tuanku permaisuri menasihatkan saya supaya menjaga rumahtangga, jaga isteri dan kelakuan. Jangan ulang kesilapan lama kerana ini peluang kedua saya untuk membaiki diri”.

Itu kata bekas penghuni Penjara Penor di sini, dikenali sebagai Mat Ngek, 40, yang menerima ucapan tahniah daripada Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tunku Azizah berkenan menzahirkan ucapan itu semasa bertemu Mat Ngek yang baru melangsungkan perkahwinan semalam, dan isteri, Leha, 54, semasa mencemar duli melawat Pusat Tenun Pahang Diraja, Kampung Budaya Pulau Keladi di sini hari ini, tempat Mat Ngek bekerja.

“Tuanku juga berkenan berjumpa dengan isteri yang datang menemani saya hari ini. Baginda juga berkenan menyampaikan kurniaan kepada kami dan memberikan nasihat kepada kami untuk sabar melayari ujian berumahtangga.

“Baginda berpesan supaya isteri jangan mudah cemburu kerana di sini pekerjanya ramai wanita. Jasa tuanku dengan saya begitu banyak… sejak dari dalam penjara lagi kerana kemahiran menenun dipelajari di Penjara Penor,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mat Ngek dan Leha melangsungkan perkahwinan di Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan dekat sini, setelah sebulan berkenalan di laman sosial Facebook sekitar hujung Mei lalu.

Anak jati Kuala Berang, Terengganu itu berkata dia mula bekerja di pusat tenun itu pada Februari lepas, selepas tamat menjalani hukuman penjara sejak 2012 kerana menyamun.

“Raja Permaisuri Agong menawarkan kerja kepada saya dan memang kebiasaan baginda berbuat demikian kepada bantuan yang baru dibebaskan. Mungkin kerana kami sudah mempunyai kemahiran selain baginda tahu mutu hasil kerja kami.

“Saya sendiri pernah menenun persalinan untuk perkahwinan anakanda saudara Tunku Azizah, Tunku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim, persalinan bersiram bagi istiadat pertabalan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selain beberapa majlis negara.

“Bagaimanapun, orang sukar untuk percaya kerana status saya. Hendak mendapat kerja pun sukar, jadi lebih baik bekerja dengan Tunku Azizah. Secara tak langsung menjauhkan saya daripada perkara yang boleh menarik saya ke jalan lama,” katanya.

Mat Ngek berkata dia mengambil masa enam bulan untuk menguasai kemahiran menenun kerana ‘kosong’ dalam kraftangan itu semasa mula-mula menjejak kaki ke penjara.

Dia mengakui senang bekerja dengan Tunku Azizah kerana keperibadian baginda yang sering memberi semangat kepada banduan untuk membaiki diri dan tidak pernah sesekali memandang rendah kepada mereka.

“Baginda juga pemurah dan sering membawa makanan kepada kami. Ada masanya baginda menjamu kami dengan juadah yang dimasak sendiri selain menjadi kelaziman untuk baginda bertanya kepada kami jika ada makanan yang kami mahu,” katanya.

Terdahulu, Tunku Azizah berkenan mencemar duli ke Bengkel Tenun Pahang Diraja di Penjara Penor di sini, untuk menziarah hampir 60 banduan di situ yang kesemuanya kelihatan teruja menyambut ketibaan baginda.

Baginda yang ditemani puteri sulung Sultan Terengganu, Tengku Nadhirah Zahrah Tuanku Mizan, meluangkan masa selama hampir dua jam di situ untuk meninjau proses penghasilan kain tersebut.

Baginda juga dilihat meneliti hasil kerja dan menasihatkan seorang banduan yang baharu sebulan dibenarkan mengendalikan ‘kek’ (alat tenun) yang dilihat agak gementar kerana beberapa benang yang ditenunnya putus.

“Awak baharu ya? Belajar elok-elok. Banyakkan belajar supaya benang tak putus lagi,” titah baginda.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Air katira, sata pilihan juadah iftar Agong, Permaisuri

KUANTAN, 15 MEI: Air katira, sata, puding raja, murtabak dan pulut panggang antara juadah yang dibeli Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di bazar Ramadan Mahkota Square di sini, hari ini.

Baginda yang berkenan mencemar duli untuk berbuka puasa bersama rakyat Pahang di Padang MPK di sini, diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di bazar itu pada 6.50 petang.

Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan barisan anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah seterusnya berkenan ‘meronda’ bazar Mahkota Square selama hampir 15 minit untuk membeli juadah berbuka selain bertanya khabar peniaga dan pengunjung bazar, yang semuanya kelihatan teruja melihat kelibat baginda berdua.

Baginda berdua kemudiannya berkenan berbuka puasa di padang MPK 1 yang terletak bersebelahan bazar itu, yang merupakan tradisi tahunan pasangan diraja itu sejak dahulu pada setiap kali bulan Ramadan.

Sementara itu, peniaga sata Safiuddin Omar, 27, dari Kota Bharu, Kelantan mengakui agak terkejut apabila Al-Sultan Abdullah berkenan membeli sata dan pulut panggang jualannya, kerana kedudukan gerainya yang berada di barisan akhir.

“Tergamam juga apabila tuanku berada di depan kerana ini kali pertama saya menerima pelanggan diraja walaupun sudah tiga tahun berniaga di sini. Mungkin rezeki saya hari ini, tuanku berkenan membeli kerana sebelum ini saya hanya mendengar rakan-rakan peniaga dapat bertemu tuanku.

“Lebih seronok kerana mengetahui sata yang merupakan resepi keluarga saya menjadi sebahagian daripada juadah berbuka tuanku berdua untuk hari ini,” katanya yang sudah mengusahakan perniagaan itu selama lima tahun.

Peniaga air, Khairul Afendi Mohamed, 31, berkata Al-Sultan Abdullah berkenan membeli air katira, air kelapa, teh susu dan jus durian belanda di gerainya.

“Baginda juga ramah… sempat bertanya khabar dan ingin tahu bagaimana perniagaan pada kali ini sementara menanti saya membungkus air. Agak gemuruh juga tapi saya pura-pura tenang sahaja,” katanya.

-BERNAMA