Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, permaisuri zahir takziah pemergian bekas atlet angkat berat Darus Abdullah

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas atlet angkat berat negara, Darus Abdullah, yang meninggal dunia semalam.

Turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Darus ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” menurut catatan itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.

Allahyarham yang berasal dari Selangor pernah mewakili negara pada Kejohanan Sukan SEA 1989 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, permaisuri ucap Selamat Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada rakyat Malaysia yang menyambut perayaan itu.

“Seri Paduka berdua turut menzahirkan harapan semoga rakyat dan keluarga tersayang dilimpahi kesejahteraan, keafiatan dan keceriaan, serta semoga sambutan Tahun Baharu Cina mengukuhkan lagi perpaduan dan semangat muhibah sesama rakyat berbilang kaum, agama dan bangsa,” seperti hantaran dimuat naik di laman Facebook dan Instagram Istana Negara.

Seri Paduka berdua menasihati rakyat dalam meraikan perayaan berkenaan untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan diri, dengan berdisiplin mengamal kawalan kendiri serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

Masyarakat Tionghua akan meraikan Tahun Baharu Cina pada esok yang mewakili permulaan Tahun Baharu dalam kalendar Lunar.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, permaisuri zahir takziah pemergian dua bekas atlet wanita negara

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua bekas atlet wanita negara yang meninggal dunia semalam.

Mereka adalah bekas pemain skuad bola sepak wanita Kasmah Darus dan bekas atlet silat Zaleha Suradi.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Kasmah dan Zaleha selain berharap seluruh keluarga kedua-dua Allahyarhamah sabar dan tabah menghadapi dugaan.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarhamah kepada negara,” menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik menerusi Facebook hari ini.

Kasmah, 63, yang berasal dari Tambun, Perak terkenal sebagai pemain sayap kanan pasukan bola sepak wanita kebangsaan semasa era 70-an dan 80-an, terutama pada pertandingan Piala Tun Sharifah Rodziah yang diibaratkan Piala Malaysia bagi kaum hawa.

Kehebatan Allahyarhamah bersama pasukan Selangor dan Perak pada ketika itu turut membawanya menyarung jersi Malaysia dalam Kejohanan Wanita Asia anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Kasmah turut mewakili skuad wanita kebangsaan pada Kejohanan Wanita Asia Ketiga di Calicut, Kerala, India pada 1980 dengan menduduki tempat kelima dalam liga pusingan awal.

Sementara itu, Zaleha yang pernah digelar ‘dwiantarabangsa’ kerana mewakili negara dalam dua sukan iaitu bola sepak dan silat pernah menyarung jersi skuad bola sepak wanita negara pada Kejohanan Wanita Asia 1986 di Hong Kong.

Allahyarhamah juga pernah muncul naib juara kelas E (65 kilogram) Kejuaraan Silat Dunia di Belanda pada 1990 selain pernah membawa pulang dua pingat gangsa daripada Kejuaraan Silat Dunia 1982 di Jakarta, Indonesia dan 1987 di Kuala Lumpur.

Zaleha juga merupakan seorang yang aktif berpersatuan terutamanya bersama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan sentiasa melibatkan diri dalam program anjuran yayasan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri titah rakyat bersatu hadapi cabaran Covid-19

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah bahawa kesepaduan sosial, integrasi nasional dan perpaduan antara kaum adalah kunci untuk negara menghadapi apa jua cabaran termasuk Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini berkata Seri Paduka turut menasihati seluruh rakyat agar terus menjaga kesihatan diri dan turut bersatu padu dalam mewujudkan suasana persekitaran yang selamat demi untuk membendung penularan pandemik itu.

“Seri Paduka berpandangan bahawa sikap segelintir yang tidak bertanggungjawab dengan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang telah ditetapkan akan hanya membawa musibah kepada masyarakat dan turut berupaya menggugat pelan pemulihan negara yang telah dirangka.

“Oleh hal yang demikian, Seri Paduka menasihati rakyat menyedari bahawa usaha mengekang pandemik memerlukan kesepaduan dan kesatuan seluruh rakyat, pemimpin serta kerajaan dengan menolak perbezaan pendapat dan mengenepikan pertikaian politik agar wujud simbiosis erat antara semuanya dalam berjuang untuk membawa negara merdeka dari pandemik yang melanda,” kata Ahmad Fadil.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan kesyukuran kerana pada usia kemerdekaan negara menginjak ke-64 tahun, perpaduan dan keharmonian rakyat terus menjadi asas kukuh dalam mengekalkan kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata Seri Paduka bertitah bahawa meskipun sambutan Hari Kebangsaan kali ini merupakan tahun kedua rakyat meraikannya dalam suasana ancaman pandemik Covid-19, namun ia tidak menghalang dan mematahkan semangat patriotisme dan kesatuan untuk terus meraikan hari yang penuh bersejarah.

“Seri Paduka mengajak rakyat mengimbau kembali enam dekad yang lalu di mana semangat patriotisme dan cintakan tanah air telah menyatu-padukan rakyat sekaliannya dengan tekad dan iltizam untuk bangkit menentang penjajah sehingga kemerdekaan yang diidamkan menjadi sebuah realiti.

“Justeru, Seri Paduka menzahirkan pandangan bahawa sekiranya semangat dan roh perjuangan enam dekad yang lalu diterap dan disuburkan kembali pada hari ini, nescaya negara juga berupaya untuk merdeka dari ancaman pandemik Covid-19 buat selama-lamanya,” kata Ahmad Fadil.

Bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan 2021 iaitu Malaysia Prihatin, Al-Sultan Abdullah turut menyeru kerajaan untuk terus merangka dan menyusun pelan tindakan untuk membantu rakyat yang terkesan dan mengembalikan semula iklim ekonomi yang sihat.

Seri Paduka bertitah rakyat wajar untuk terus dilindungi agar dapat berdiri tangkas menghadapi impak negatif kemelut ini.

“Seri Paduka turut menyeru Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) juga hendaklah terus diperkasa bagi membolehkan negara mencapai imuniti kelompok yang diharapkan. Manakala, rakyat juga sewajarnya turut berpegang teguh kepada prinsip “Malaysia Prihatin” dengan segera mendapatkan vaksin bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti,” kata Ahmad Fadil.

Al-Sultan Abdullah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan negara merangkumi petugas kesihatan, pasukan keselamatan, penjawat awam, para sukarelawan dan orang perseorangan yang telah menabur khidmat bakti kepada masyarakat dan negara.

Seri Paduka turut mengajak rakyat untuk mengingati dan menghargai para pejuang dan patriot kemerdekaan serta anggota pasukan keselamatan yang telah berkorban sehingga berjaya menyelamatkan negara daripada belenggu penjajah dan seteru negara.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah serta Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mendoakan negara terus berada dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT daripada segala musibah dan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia di negara ini mahu pun mereka yang berada di luar negara.

“Seri Paduka merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya telah mengizinkan Baginda dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan bagi 2021,” kata Ahmad Fadil.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri ucap tahniah kejayaan Bonnie sumbang emas pertama

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet angkat berat paralimpik negara Bonnie Bunyau Gustin yang menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo, Jepun hari ini.

Menerusi catatan di laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas kejayaan anak kelahiran Sarawak itu, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Kejayaan Bonnie merupakan kejayaan yang amat bermakna kepada kontinjen Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat kepada rakan-rakan atlet untuk meneruskan buruan pingat di kejohanan terbesar sukan paralimpik,” menurut catatan itu.

Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan pencapaian cemerlang Bonnie sekali lagi membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

Menurut catatan itu, kejayaan itu juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar kejayaan dan semangat perjuangan Bonnie turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun di persada antarabangsa.

Kenyataan itu turut memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Bonnie dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama di kejohanan mendatang.

Bonnie, 22, merangkul pingat emas dengan angkatan seberat 228 kg menewaskan atlet dari Mesir, Mahmoud Attia (191 kg) dan atlet dari Great Britain, Micky Yule (182 kg).

Lebih mengagumkan, beliau turut memecahkan rekod Sukan Paralimpik yang dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada Rio 2016 iaitu 227 kg, dengan angkatan 228 kg dalam percubaan ketiganya pada hari pertama sukan berkenaan berlangsung.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Datuk Indera Mustafar Abu Bakar

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Orang Besar Berlapan dan Ahli Jumaah Pangkuan Negeri Pahang Darul Makmur Dato’ Setia Wangsa Dato’ Indera Mustafar Abu Bakar yang meninggal dunia hari ini.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham selaku Orang Besar Berlapan dan Ahli Jumaah Pangkuan kepada kesultanan Pahang, masyarakat dan negeri Pahang,” menurut catatan itu.

Seri Paduka berdua turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Siti Sarah

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bintang seni tanah air Siti Sarah Raissuddin yang meninggal dunia awal pagi ini akibat jangkitan Covid-19.

Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi hari ini menyatakan Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarhamah dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” demikian menurut hantaran itu.

Siti Sarah, 37, meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, pada pukul 5.13 pagi ini.

Allahyarhamah yang hamil tujuh bulan sebelum ini dimasukkan ke HCTM pada petang Rabu selepas mengalami batuk yang teruk dan kekurangan oksigen dalam badan akibat jangkitan virus itu.

Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak di sini pada pukul 1.45 tengah hari tadi.

Siti Sarah dan suaminya pelawak Shahmira Muhammad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu, 39, serta tiga anak mereka disahkan dijangkiti wabak itu sejak 25 Julai lalu selepas menjalani ujian saringan apabila pembantu rumahnya disahkan positif virus berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri zahir tahniah Azizulhasni raih perak di Tokyo

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang meraih pingat perak dalam acara keirin lelaki pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Mohd Azizulhasni membawa pulang pingat itu buat kontinjen negara dalam kejohanan sukan terbesar dunia itu, sekali gus melakar sejarah buat sukan lumba basikal trek negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan pencapaian Datuk Azizulhasni ini sebagai pencapaian yang amat bermakna kepada Malaysia.

“Semestinya seluruh rakyat Malaysia amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang ditunjukkan oleh Datuk Azizulhasni,” menurut catatan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Seri Paduka berdua menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta barisan kejurulatihan pasukan basikal trek negara dan seluruh kontinjen negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Seri Paduka berdua turut mendoakan semua atlet negara memperoleh kejayaan cemerlang dan mengharumkan nama negara pada kejohanan-kejohanan mendatang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri zahir tahniah Soh Chin Ann diiktiraf Fifa

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Soh Chin Ann yang dinobatkan sebagai pemain paling banyak mewakili skuad kebangsaan dalam perlawanan antarabangsa.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan yang sama, terhadap bekas pertahanan skuad kebangsaan itu yang disenaraikan dalam ‘Fifa Century Club’ sebagai pemilik ‘caps’ antarabangsa terbanyak FIFA dengan 195 ‘caps’.

Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi hari ini memaklumkan, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan beliau menduduki tempat pertama, sekali gus melakarkan sejarah serta mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka berdua juga menyifatkan pencapaian Chin Ann ini sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia. Tahniah dan syabas,” menurut hantaran itu.

Fifa Century Club adalah eksklusif untuk pemain yang telah bermain sekurang-kurangnya 100 perlawanan antarabangsa.

Chin Ann yang mewakili pasukan kebangsaan dari 1969 hingga 1984, merupakan antara empat legenda kebangsaan termasuk Zainal Abidin Hassan, mendiang Datuk M Chandran dan Datuk Santokh Singh, yang disenaraikan Fifa dalam kemas kini terbaharu pada 3 Ogos lepas.

Jumlah penampilan Chin Ann mengatasi rekod Ahmed Hassan dari Mesir yang mengumpul 184 penampilan, Bader Al Mutawa dari Kuwait (181) dan Ahmed Mubarak dari Oman (180).

Antara legenda bola sepak antarabangsa dalam senarai 10 terbaik ialah Sergio Ramos dari Sepanyol (180, tempat kelima), Cristiano Ronaldo dari Portugal (179, keenam) dan Gianluigi Buffon dari Itali (176, kesembilan).

Hantaran tersebut turut memaklumkan antara legenda bola sepak tanah air yang turut tersenarai ialah Datuk Abdul Shukor Salleh (163), Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (138) dan mendiang Datuk R. Arumugam (131).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri sumbang makanan kepada petugas PKRC Pahang

KUANTAN, 12 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengurniakan sumbangan makanan kepada petugas Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa), hari ini.

Sumbangan itu disampaikan menerusi Juruiring Tentera Darat Seri Paduka Brig Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin, Pegawai Khas Sultan Pahang Tok Aria Rakna Ahmad Nurbadelin Abdul Murad dan Pegawai Khas (Kebajikan) Sultan Pahang Datuk Abdul Rahman Endut.

Selain polis dan petugas kesihatan, turut bertugas di PKRC itu ialah bomba, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Sukpa yang terletak di Indera Mahkota diaktifkan sebagai PKRC sejak Khamis lepas, bagi menempatkan pesakit Covid-19 warga asing berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus, ekoran pertambahan kes daripada kluster Jalan Genting di Bentong, kira-kira 170 kilometer dari sini.

Pembukaan PKRC itu bagi memastikan perkhidmatan hospital kerajaan di Pahang tidak terjejas dengan peningkatan kes positif Covid-19 dan setakat semalam, seramai 131 pesakit dipindahkan ke situ bagi rawatan.

Pengarah MKN Pahang Mohd Zairasyahli Shah Zakaria sebelum ini, memberi jaminan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang dengan pembukaan PKRC Sukpa kerana ia dikawal ketat 24 jam oleh pasukan keselamatan selain dipasang kawat duri sepanjang 354 meter bagi mengelakkan pesakit melarikan diri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri bereben hijau sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta anakanda Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan hari ini berkenan mengenakan reben hijau bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020 yang jatuh pada 10 Oktober setiap tahun.

Riben hijau merupakan simbol kesihatan mental antarabangsa, selain sebagai tanda sokongan bagi kesedaran dan penyebab kesihatan mental serta membantu membina solidariti untuk komuniti itu.

Menurut kenyataan Istana Negara hari ini, Tengku Puteri Iman Afzan merupakan Penaung Antarabangsa bagi Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020 setelah menerima undangan daripada Gabungan Badan-Badan Kesihatan Mental Sedunia baru-baru ini.

Pelantikan Tengku Puteri Iman Afzan itu adalah bukti usaha murni Malaysia dalam meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental, cara-cara perawatan dan cabaran polisi. Usaha itu diperakui Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang lain.

Naungan diraja Tengku Puteri Iman Afzan itu adalah hingga Oktober 2021.

Menurut kenyataan itu, Tengku Puteri Iman Afzan dalam perutusannya sebagai Penaung Antarabangsa, mengajak rakyat dan kerajaan di seluruh dunia bersatu dalam usaha memartabatkan kesihatan mental kerana perkara tersebut adalah tanggungjawab semua.

Anakanda Seri Paduka berdua itu turut dipetik bertitah akan betapa pentingnya meluangkan masa dan memberi perhatian, sokongan, kasih sayang serta belas kasihan sesama kita bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan mental yang lebih baik.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri tunai solat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Afzan

KUANTAN, 31 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama jemaah di Masjid Tengku Ampuan Afzan di sini.

Keberangkatan Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke masjid itu pada jam 8.25 pagi, disambut Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan pentadbiran negeri Pahang.

Turut berangkat menunaikan solat sunat itu ialah anakanda Seri Paduka berdua termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang kesemua mereka sedondon mengenakan baju Melayu berwarna kelabu.

Solat sunat itu dipimpin oleh imam besar masjid Mohd Hafiz Suhaili manakala bacaan khutbah Aidiladha disampaikan Kadi Kuantan Abdul Aziz Abd Karim.

Seri Paduka juga berkenan menyaksikan ibadah korban melibatkan sembilan ekor lembu yang diadakan di perkarangan masjid sebelum berangkat pulang.

-BERNAMA