Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Golongan B40, M40 di Selangor disaran ceburi perniagaan francais

SHAH ALAM, 10 FEB: Kerajaan negeri Selangor menggalakkan lebih ramai golongan B40 dan M40 menceburkan diri dalam perniagaan francais kerana ia memberi sumbangan yang positif terhadap pemulihan dan pengukuhan ekonomi pasca-pandemik.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor Rodziah Ismail berkata sistem perniagaan francais adalah salah satu kaedah pengedaran produk dan perkhidmatan yang sistematik, mempunyai tahap pengurusan yang efisien serta produktiviti dapat ditingkatkan melalui pemindahan pengetahuan dan teknologi sekali gus dapat memenuhi kehendak dan keperluan pengguna.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Perasmian Program Jelajah Francais Mikro dan Mampu Milik (Jelajah F3M) peringkat negeri Selangor baru-baru ini.

Program Jelajah F3M Selangor siri keempat itu merupakan program anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Rodziah berkata program itu dapat melahirkan lebih ramai usahawan francais di Selangor menerusi pemberian geran di bawah Program F3M, kerajaan Selangor turut memberi bantuan melalui skim HIJRAH Selangor, Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) dan inisiatif tawaran ruang niaga oleh pihak berkuasa tempatan di Selangor.

KPDNHEP menyediakan dua jenis geran untuk program pembangunan francais mikro dan mampu milik dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM6 juta.

Fokus pemberian dua jenis geran itu adalah bagi meningkatkan bilangan usahawan francais daripada golongan B40 dan M40 melalui geran padanan dan geran penuh untuk membantu usahawan membangunkan lebih banyak pakej francais bernilai RM100,000 dan RM50,000 ke bawah.

Sementara itu, Pengerusi MFA Datuk Dr Radzali Hassan berkata MFA sentiasa bersedia dan komited untuk membantu para usahawan dan orang ramai yang memerlukan sokongan dan khidmat nasihat bagi menceburi perniagaan francais.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut maklumat berkaitan perniagaan francais, boleh hubungi MFA di talian 03-62414141 atau melayari laman web, www.mfa.org.my .

– BERNAMA