Categories
AGENDA NASIONAL

Thaipusam: SOP sambutan cadangan pengurusan kuil, nilai ancaman Omicron

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Kesemua senarai prosedur operasi standard (SOP) sambutan Thaipusam dibuat berdasarkan cadangan pihak pengurusan kuil serta penilaian risiko kesihatan dan pencegahan penularan COVID-19 termasuk ancaman varian Omicron.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata semua cadangan dan permintaan tersebut dibentangkan kepada kementerian itu menerusi sesi libat urus bersama pengerusi dan pengurusan kuil di beberapa negeri.

Jelasnya, semua cadangan tersebut seterusnya dibawa kepada Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 untuk pertimbangan dan kelulusan berdasarkan keperluan menjaga keselamatan serta kesihatan daripada jangkitan pandemik itu.

“Kementerian membawa cadangan dan permintaan mereka ke jawatankuasa Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 untuk dipertimbangkan dari segi keselamatan dan kesihatan rakyat serta penganut…maka terhasil SOP ini.

“Namun, ada pihak yang tidak hadir ketika sesi libat urus itu mengeluarkan kenyataan mendakwa saya telah berjanji macam-macam untuk SOP, sedangkan pengerusi kuil sudah senaraikan cadangan dan permintaan untuk perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves hari ini.

Semalam, Halimah mengumumkan SOP sambutan perayaan itu yang antaranya menetapkan hanya upacara ‘paal koodam’ atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang serta perjalanan pedati, dibenarkan pada Thaipusam kali ini.

Upacara ‘paal koodam’ dibenarkan bermula Jumaat ini (14 Jan) hingga 19 Jan dengan penetapan jumlah kehadiran yang berbeza mengikut kuil, manakala acara ‘kavadi’ serta gerai sementara tidak dibenarkan.

Upacara sembahyang secara bersesi serta perjalanan dan pergerakan kereta pedati pula dibenarkan mengikut SOP ditetapkan.

Terdapat 12 sesi sembahyang pada 16 hingga 17 Jan, serta 19 Jan bermula 5 pagi hingga 5 petang, manakala 18 sesi ditetapkan bagi 18 Jan bermula 5 pagi hingga 11 malam, dengan jumlah kehadiran mengikut kuil masing-masing dan perlu disanitasi selepas tamat setiap sesi.

Susulan pengumuman itu, timbul dakwaan mengatakan kementerian berkenaan tidak ‘mendengar’ permintaan daripada penganut Hindu yang menyambut perayaan itu.

Mengenai SOP di Batu Caves yang menempatkan kuil terbesar di negara ini, Halimah berkata pihak pengurusan kuil akan menyediakan ‘tag’ bernombor bagi memastikan jumlah kehadiran 6,000 penganut setiap hari dan 500 orang setiap sesi sembahyang dapat dipatuhi.

— BERNAMA

 

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Budaya dialog dijadikan norma baharu, dapat kukuh perpaduan

SHAH ALAM, 25 NOV: Budaya dialog perlu diterapkan sebagai norma baharu dalam kalangan masyarakat supaya perpaduan antara kaum dapat dikukuhkan, kata setiausaha Kerajaan Negeri.

Dato’ Haris Kasim berkata kerjasama dan perbincangan tanpa membezakan agama mampu mencegah timbul isu sosial, rasuah, alam sekitar, rumah tangga dan dadah.

“Setiap agama perlu berganding bahu membincangkan pelbagai isu dan mencari jalan penyelesaian memandangkan masalah saling berkait serta berisiko mendatangkan situasi luar jangkaan.

“Terutama pada pasca Covid-19 yang mencabar ini, usaha bersepadu melibatkan agensi kerajaan, komuniti dan individu tanpa mengira agama dan etnik penting. Jadi kita harus bersama-sama menggerakkan tenaga, kepakaran serta sumber supaya membentuk kesepaduan,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Konvensyen Dialog Antara Agama Negeri Selangor 2021 yang berlangsung secara maya hari ini.

Jelasnya, semua pihak juga perlu mematuhi dan mengamalkan prinsip perpaduan bagi melindungi keharmonian negara.

“Diharap majlis dijayakan hari ini menjadi platform untuk semua pihak mengupas semua isu lebih mendalam sekali gus menghasilkan cadangan yang praktikal untuk dimanfaatkan masyarakat,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Keharmonian bantu Selangor depani era digital, tarik pelabur asing

SHAH ALAM, 25 NOV: Penyebaran maklumat berhubung dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri perlu disampaikan dalam bahasa yang mudah supaya difahami seluruh lapisan masyarakat, kata EXCO perpaduan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata elemen itu penting memandangkan masyarakat Selangor terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Mengekalkan keharmonian dan kerukunan hidup bersama dalam masyarakat berbilang agama merupakan cabaran besar yang dihadapi Malaysia khususnya di Selangor.

“Sebagai negeri yang memimpin kemajuan ekonomi dan politik, Kerajaan Selangor bertanggungjawab mengekalkan kesepaduan dan cara ini mampu menghadapi persaingan era digital serta menarik pelaburan asing,” katanya berucap pada Konvensyen Dialog Antara Agama Negeri Selangor 2021.

Program secara maya itu dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.

Dr Siti Mariah berkata bagi mencapai matlamat berkenaan, Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai usaha menyeluruh dan proaktif termasuk jalinan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi akademik, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antara program dijayakan adalah bengkel yang dianjur bersama Pusat Komunikasi Masyarakat (Komas), sidang perpaduan bersama Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Selangor, webinar bersama Institut Darul Ehsan serta siri dialog rumah ibadat dengan komuniti.

“Saya percaya usaha ke arah memperkukuh keharmonian dan mempromosi kesepaduan perlu dilaksanakan secara kolektif dan inklusif agar boleh difahami dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: MPIS jadi wadah, pusat wujud perpaduan

SHAH ALAM, 20 SEPT: Majlis Perpaduan dan Integrasi Selangor (MPIS) adalah inisiatif Kerajaan Negeri dalam menjadi wadah serta pusat untuk mewujudkan perpaduan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi MPIS kerajaan dapat menilai bagaimana mewujudkan perpaduan dengan melihat contoh di tamadun-tamadun sebelum ini yang bukan sekadar atas nama toleransi tetap kesefahaman.

“Andalusia membuktikan bahawa kesefahaman antara masyarakat berbilang agama ketika itu, pertembungan Eropah dan Asia mampu dirangkum dan stabil dengan kefahaman dan keprihatinan satu sama lain.

“Ini akan menjadi salah satu inti penting kepada usaha membentuk perpaduan dan semoga sesi ini menerbit dan menumpukan sesuatu bermakna dan menjadi model kepada Selangor,” katanya dalam merasmikan Sidang Perpaduan MPIS secara maya hari ini.

Amirudin berkata usaha Kerajaan Negeri ini adalah langkah ke hadapan dalam memastikan Selangor sebagai negeri pendahulu dan juara dalam pelaburan pembangunan ekonomi yang mempunyai kestabilan ekonomi dan politik.

“Walaupun berada dalam cabaran pandemik Covid-19 yang belum berakhir tetapi nampak tanda-tanda kejayaan awal kita masih mampu meneruskan agenda termasuk menubuhkan MPIS yang diluluskan dalam MMKN baru-baru ini,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin mengumumkan Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta untuk menggerak usaha perpaduan dan integrasi negeri melalui Jawatankuasa Tetap Perpaduan Negeri Selangor di bawah pimpinan Dr Siti Mariah Mahmud.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: RM1 juta diperuntuk gerak usaha perpaduan di Selangor

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kerajaan Negeri memperuntuk RM1 juta untuk menggerak usaha perpaduan dan integrasi negeri melalui Jawatankuasa Tetap Perpaduan Negeri Selangor dibawah pimpinan Dr Siti Mariah Mahmud.

Dato’ Menteri Besar berkata peruntukan itu juga khusus bagi penubuhan Majlis Perpaduan dan Integrasi Selangor (MPIS).

Beliau berharap MPIS dapat berfungsi sebagai badan pemikir kepada dasar dan polisi Kerajaan Negeri berkaitan perpaduan.

“Usaha ini diharap memacu dan melonjak ekonomi Selangor
yang menjadi contoh bukan hanya pembangunan dan kemajuan pesat tetapi juga mencapai kemakmuran dan peradaban sosial tinggi,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata demikian ketika merasmikan MPIS secara dalam talian menerusi Facebook Dr Siti Mariah, malam tadi.

Beliau berkata kemajmukan masyarakat dengan komposisi kaum merangkumi 3.54 juta orang Melayu, 1.5 juta (Cina), 757,000 (India) dan 52,000 pelbagai etnik adalah keunikan utama negeri ini.

Namun beliau mengingatkan kepelbagaian yang wujud sentiasa berpotensi mencetuskan konflik jika tidak diurus dan diwaspadai sebaiknya.

“Defisit sosial inilah yang perlu dikenalpasti, difahami, dipantau dan diurus agar cabaran ini dapat kita tangani bersama,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Dukung hasrat negeri, Dr Siti Mariah rangka program perkukuh perpaduan

SHAH ALAM, 9 OKT: Dr Siti Mariah Mahmud bersedia membalas kepercayaan Kerajaan Negeri dengan merangka program memperkukuh perpaduan di Selangor bersesuaian dengan nama portfolio baharu itu, Perpaduan.

“Pertambahan jawatankuasa ini saya anggap sebagai satu kepercayaan Dato’ Menteri Besar untuk melaksanakannya kerana ia pertama kali diwujudkan.

“Saya akan berbincang dengan semua pihak termasuk semasa pemukiman EXCO nanti untuk merencana program sesuai berkaitan perpaduan,” kata Ahli Dewan Negeri Seri Serdang ketika dihubungi.

Perpaduan adalah salah satu daripada lima portfolio baharu diwujudkan sejajar dengan keperluan semasa negeri diumumkan Dato’ Seri Amirudin Shari pada Rabu lalu susulan pelantikan dua EXCO baharu, Borhan Aman Shah dan Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada 17 September.

Berikutan itu, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga kini mengetuai jawatankuasa dikenali Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Siti Mariah berkata Selangor adalah sebuah negeri majmuk dan rencam malah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri memastikan keamanan serta kesejahteraan rakyat terjamin.

“Pemerkasaan perpaduan penting bagi mengekalkan keharmonian kerana pihak tidak bertanggungjawab sering membangkitkan sentimen perkauman dan agama dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Semai perpaduan, rancak pembangunan

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT, pada hari yang berbahagia ini, saya dapat bersama-sama, dijemput Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional untuk melancarkan dan merasmikan sesi maklum balas rakyat draf Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 yang dilancarkan pada peringkat negeri. Seterusnya ia akan diadakan di seluruh daerah, di sembilan lokaliti yang bakal ditetapkan Kerajaan Negeri dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Saya berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada JPNIN yang berusaha untuk meneruskan usaha memantapkan perpaduan dan muafakat masyarakat berbilang kaum dalam negara kita. Seterusnya, ia menjadi salah satu inti dan resipi penting kepada kejayaan negara pada masa hadapan.

Bulan Ogos, kita dipenuhi dengan kegiatan yang bertepatan untuk sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang kita cintai untuk kali ke-63. Dalam tempoh itu, kita melalui beberapa episod mencabar dan mencuba keupayaan kita dalam mengekalkan perpaduan antara satu sama lain selain meneruskan usaha pembangunan dan kesepakatan yang difikirkan oleh ‘forefathers’ ataupun pendiri negara kita.

Justeru negara ini pernah berdepan dengan rintangan awal sejak kemerdekaan, dengan sinisisme dalam kalangan negeri-negeri sekitar, ataupun jangkaan negara-negara luar ketika itu. Yang menjangka kita tidak akan mampu berdepan dengan kesenjangan antara kaum, pengenalan ekonomi mengikut kaum dan pelbagai ramalan merebaknya semangat kedaerahan yang melampau dan akhirnya memisahkan dan mencerai-beraikan negara yang tertubuh pada 1957.

Merungkai perbalahan

Kemudian, kita berdepan isu perbalahan dan perseteruan kaum yang memuncak sehingga peristiwa berdarah 13 Mei dicatatkan dalam rekod buruk negara. Akhirnya ia memisahkan kita dan menimbulkan beberapa dasar-dasar baru untuk menangani perkara tersebut.

Ini termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Nasional (DPN) mahupun Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKN) di mana usaha yang telah direncanakan ketika itu, tidak lain dan tidak bukan, mengurangkan jarak antara kaum dan mengurangkan penguasaan ekonomi berdasarkan kaum tertentu yang menjadi salah satu punca perbalahan dan keirian dengan kemuncaknya pada 1969.

Kemudian, negara bergerak lagi ke hadapan selepas tamatnya DEB, kita memperkenalkan DPN dengan Wawasan 2020 menjadi elemen penting. Ia diletakkan sebagai kayu ukur dan keupayaan kita untuk mengekalkan perpaduan di samping ingin membawa negara ke arah dunia teknologi tinggi, membawa dunia pendigitalan yang kita nikmati sekarang ini.

Cyberjaya

Kelahiran Cyberjaya dan beberapa elemen perpaduan ketika itu, yang ingin menolak negara daripada hanya mengamal ekonomi berasaskan produktiviti dan mengekalkan produktiviti tinggi berdasarkan teknologi tinggi.

Salah satu elemen penting dalam DPN ataupun Wawasan 2020 dalam sembilan cabaran yang diketengahkan ialah mewujudkan sebuah bangsa yang kita namakan sebagai bangsa Malaysia yang bersatu-padu.

Justeru, setelah kita melalui beberapa episod, mengenalkan DEB, DPN dan Wawasan 2020, kita ingin melonjak ke hadapan dalam tempoh 15 ke 20 tahun. Sudah pasti kita harus menilai dan meneliti semula episod, kejadian dan perkembangan terkini.

Bagaimana setiap isu dan persoalan yang ditimbulkan daripada setiap zaman dapat diketengahkan, ditangani dan dirumuskan untuk kita lalui serta depani cabaran mendatang.

Sepakat depani krisis

Negara kita sememangnya terkenal mampu muafakat dan sepakat apabila berlakunya krisis. Apabila timbul isu perbalahan kaum 13 Mei, sebagai contoh, segenap kelompok dan penduduk dalam negara pada ketika itu berfikir bagaimana untuk menangani perkara itu. Dan beberapa dasar dan perkara-perkara baru yang dapat kita lalui bersama.

Episod 1998, sedikit sebanyak memisahkan kita atas perbezaan ekonomi dan politik yang mencengkam. Namun kerana adanya kesepakatan, fikiran dan fikrah yang jelas untuk kemajuan dan pembangunan negara, kita berjaya menghadapinya bersama-sama.

Kali ini, dalam episod terbaru, kita diuji dengan pandemik Covid-19 yang sedikit sebanyak mencuba bagaimana semangat perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum di negara kita dapat ditangani.

Alhamdulillah, pada saat kita berdepan ‘krisis ini’ kita dapat menanganinya, kita dapat berdepannya dan kembali ke landasan ataupun dalam istilahnya ‘we tow to the line’, kita kembali kepada landasan yang jelas – bagaimana perpaduan dipupuk dan muafakat dapat dibentuk yang akhirnya kita berjaya melepasi cabaran tersebut.

Namun begitu, dalam pada masa sama, kita tidak boleh alpa kerana negara kita merupakan negara berbilang kaum dan multi-etnik. Timbul beberapa persoalan berterusan antara satu sama lain.

Tumpuan ramai

Apatah lagi pada hari ini kita bicara tentang Selangor, sebuah negeri, sebuah kawasan dan lokaliti yang dianggap sebagai ‘melting pot’ atau menjadi tempat tumpuan ramai masyarakat Melayu Bumiputera, ras dan etniknya cukup pelbagai.

Sama ada mereka kelompok Malaysia Timur daripada Sabah dan Sarawak yang memilih Selangor sebagai pusat pemberdayaan ekonomi ataupun ruang mencari ekonomi dan pendidikan serta pelajaran tinggi mereka. Atau daripada ras-ras sedia ada di Selangor – Jawa, Banjar, Bugis, Mandailing dan pelbagai kelompok lain, tidak ketinggalan kelompok Orang Asli ataupun Orang Asal mahupun daripada negeri lain seluruh Malaysia.

Daripada Sabah sampai Sarawak, daripada Kelantan, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, mereka memilih Selangor sebagai salah satu pusat kehidupan mereka kerana di sini pusat tumpuan ekonomi selepas pusat perkembangan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang terletak berdekatan dan menjadi jiran kepada negeri yang kita cintai.

Sudah pasti cabarannya bukan cuma satu dan bukan ‘single issue’ tetapi bagaimana kita menangani perkara ini selama ini harus dijadikan pengajaran dan melihat ada isu-isu baru yang harus ditangani dengan jernih. Kita harus melihat persoalan semasa dan persoalan media sekarang yang sudah semakin terbuka.

*Sedutan ucapan bahagian pertama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara di Pusat Konvensyen Midlands, Shah Alam pada 27 Ogos

 

 

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Bersatu dalam semangat perpaduan

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada Isnin, pelbagai pihak tampil menggesa rakyat Malaysia agar tetap meraikan sambutan itu dengan semangat patriotik sekalipun dalam kekangan norma baharu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan bagi mengawal penularan Covid-19.

Antara pihak berkenaan ialah Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) yang dalam mesejnya menggesa rakyat memupuk persefahaman yang lebih mendalam bagi membina rasa hormat dan percaya dalam kalangan pelbagai kaum.

“Aspek kehebatan Malaysia inilah yang harus kita hargai agar perpaduan masyarakat dan patriotisme dapat dipertingkat, sekali gus mengelak aspek ini dirampas oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menggugat keharmonian negara.

“Kita perlu meningkatkan lagi aspek tolak ansur dan kesederhanaan bagi menenggelamkan ‘suara-suara sumbang’ ini yang memupuk sikap ekstremis dan fanatik,” demikian menurut MCCBCHST dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya pertumbuhan dan kemajuan negara boleh dilaksanakan melalui perpaduan berserta semangat cintakan negara dan patriotisme.

MCCBCHST berkata ia akan terus berusaha ke arah merapatkan masyarakat menerusi perpaduan antara kaum dan saling menerima serta menghormati agama lain agar rakyat keseluruhannya dapat berdiri bersama menghadapi pelbagai cabaran.

“Slogan sambutan Merdeka tahun ini iaitu ‘Malaysia Prihatin’ adalah tepat dalam menyatakan yang kita perlu saling mengambil tahu antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama bagi mengekalkan sebuah masyarakat yang prihatin. Inilah yang diharapkan dan didoakan oleh MCCBCHST.

“Kita harus terjemahkan makna slogan itu, kalau tidak slogan hanya sekadar slogan,” demikian menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Undang-undang sedia ada memadai pelihara perpaduan – timbalan menteri

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Tiada keperluan untuk menggubal undang-undang baharu bagi memelihara keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara Datuk Ti Lian Ker berkata undang-undang sedia ada pada ketika ini mencukupi.

“Yang perlu ketika ini bukanlah undang-undang tambahan, sebaliknya penguatkuasaan, pelaksanaan dan pendidikan kesedaran,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Jalaludin Alias (BN-Jelebu) yang mahu kementerian memaklumkan adakah undang-undang sedia ada pada ketika ini mencukupi untuk memelihara keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Lian Ker berkata mana-mana individu yang sengaja mencetus atau mengeluarkan kenyataan yang mengganggu-gugat perpaduan dan mengancam keharmonian rakyat boleh didakwa di bawah akta sedia ada termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Seksyen 504 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan subseksyen 41 Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

Lian Ker juga menyeru ahli parlimen supaya memainkan peranan mereka untuk kembali kepada semangat Rukun Negara dan mengamalkan prinsip semangat perlembagaan bagi mengukuhkan perpaduan dalam negara ini.

Menjawab soalan tambahan Jalaluddin, Lian Ker berkata antara langkah mendidik rakyat menghormati undang-undang sedia ada ialah memperketat penguatkuasaan dan mengenakan hukuman setimpal terhadap individu yang mengekploitasi emosi perkauman dan keagamaan bagi membuka mata rakyat supaya menghormati undang-undang berkaitan.

Selain itu kempen kesedaran dan semangat perpaduan wajar disebarkan kepada kumpulan sasar iaitu pelajar sekolah, mahasiswa, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat sivil bagi membantu kempen ini.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Ubah cara lama fahami perpaduan, hayati merdeka

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Rakyat Malaysia perlu mengubah pemahaman simplistik mengenai perpaduan untuk menghayati erti sebenar kemerdekaan yang dikecapi negara sejak 63 tahun lalu.

Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata ini kerana nilai perpaduan bukan hanya diterjemahkan dalam “detik persamaan” sebaiknya turut dijelmakan dalam “detik perbezaan” yang diraikan masyarakat majmuk di negara ini.

Shamsul Amri yang juga Penasihat Perpaduan kepada Kementerian Perpaduan Negara merujuk kepada detik persamaan misalnya kebersamaan ditonjolkan rakyat Malaysia ketika jaguh badminton negara, Lee Chong Wei menentang Lin Dan dari China dan usaha menangani pandemik Covid-19 atau detik perbezaan masyarakat Malaysia dalam penerimaan isu tulisan khat dan Jawi di sekolah.

“Dalam detik persamaan dan perbezaan ini kita terus berjalan kerana kita ada kesepaduan ke arah proses perpaduan.

“Kesepaduan adalah apabila rakyat Malaysia bersetuju dengan dua bentuk persetujuan iaitu untuk hidup di Malaysia ini kita semua, perlu bersetuju untuk bersetuju dan bersetuju untuk tidak bersetuju.

“Kesepaduan adalah sebahagian perpaduan. Penyatupaduan pula adalah jalan ke arah perpaduan. Inilah kefahaman baharu dan jurang yang kita kena urus,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Shamsul Amri, 69, yang juga Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (Kita) UKM adalah antara individu yang terbabit dengan usaha pemulihan pascaperbalahan kaum 13 Mei 1969 yang menyaksikan pelancaran Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 bagi menyatupadukan rakyat.

Bermula dengan penglibatannya dalam persembahan muzik semasa jamuan durian (majlis mengeratkan perpaduan) di Kuala Lumpur pascainsiden 13 Mei 1969, Shamsul Amri mengabdikan diri untuk memupuk dan menyebarluaskan kefahaman masyarakat mengenai perpaduan melalui Kita.

“Saya tidak bersetuju jika ada yang mengatakan kita gagal (dalam perpaduan). Saya pro-Malaysia dan saya akan cerita pada dunia, betapa bagusnya kita. Inilah kisah Malaysia iaitu keupayaan kita untuk mempertahankan perpaduan, demokrasi dan kebebasan.

“Kita suka berperang mulut tapi kita tidak akan mengangkat parang,” kata Shamsul Amri merujuk kepada norma masyarakat Malaysia yang sering bergaduh dalam isu sensitif, tetapi tidak pernah mengambil jalan keganasan atau menumpahkan darah sepertimana berlaku di negara lain.

Beliau memberi contoh bagaimana pertukaran kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) pada Mei 2018 yang berjalan dengan lancar tanpa insiden keganasan sekalipun lebih 60 tahun BN memerintah Malaysia.

Shamsul Amri menegaskan kematangan dan kefahaman rakyat terhadap pentingnya perpaduan dan keamanan negara, menjadikan kemerdekaan yang dicapai Malaysia sejak 31 Ogos 1957 lebih bermakna.

Merujuk kepada penubuhan Kementerian Perpaduan Negara oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak Mac lalu, Shamsul Amri berkata keputusan kerajaan mengembalikan perpaduan sebagai agenda negara adalah keputusan bijak dan bertepatan pada masanya seiring perkembangan semasa.

Katanya, negara tidak pernah gagal dalam proses penyatupaduan rakyat sebaliknya pemahaman awal mengenai perpaduan haruslah diubah daripada bersifat simplistik, mekanistik dan literal semata-mata.

“Simplistik ini bersifat fizikal contohnya majlis jamuan untuk erat perpaduan. Mekanistik pula contohnya sekolah wawasan (meletakkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dalam satu kawasan) dan kita buat jambatan penghubung.

“Kefahaman literal pula merujuk perpaduan sebagai suatu yang padu macam batu bata, tetapi perpaduan di Malaysia bukan dalam bentuk solid tetapi fluid (berubah-ubah mengikut detik perbezaan). Bukan semuanya bersifat batu bata dan kerana itu ramai menyimpulkan belum wujudnya perpaduan,” kata Shamsul Amri.

Beliau berkata kefahaman awal mengenai perpaduan perlu berubah seiring perkembangan masyarakat di Malaysia yang turut mewarisi elemen perbezaan sejak negara merdeka daripada penjajah, sebagai contoh, sistem vernakular.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Isu perpaduan, persiapan hadapi Covid-19 dibangkit di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Hal berkaitan perpaduan dan kesediaan negara berdepan peningkatan penularan Covid-19 adalah antara perkara yang bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu berkenaan terkandung dalam sesi soal jawab lisan yang akan diajukan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) kepada Menteri Perpaduan Negara berhubung perancangan Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN) peringkat kebangsaan yang baharu ditubuhkan dalam menangani isu dan cabaran perpaduan di Malaysia.

Hal-hal yang berkaitan penularan wabak Covid-19 di negara ini turut menjadi tumpuan Ahli Parlimen apabila dua soalan mengenainya tersenarai dalam 10 soalan pertama pada sesi berkenaan.

Soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) memohon penjelasan kerajaan mengenai usaha-usaha yang dibuat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam menyelesaikan isu berkaitan pelaksanaan ibadah yang timbul sepanjang penularan Covid-19.

Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) pula bertanyakan Menteri Kesihatan berhubung perancangan kementerian dalam kesediaan negara menghadapi penularan wabak pada masa akan datang termasuk sekiranya wabak Covid-19 kembali memuncak.

Sidang dewan yang memasuki hari ketujuh hari ini dijadual menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

Tumpuan juga dijangka terarah kepada pembentangan bacaan kali kedua bagi Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020, Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2019 dan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019 serta Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2019.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Usaha kekal perpaduan dan keamanan negara

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Perpaduan dan keamanan negara tidak boleh dipandang remeh, sebaliknya perlu sentiasa dikekalkan, kata timbalan perdana menteri.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata keharmonian dalam kalangan rakyat menggambarkan kesatuan yang dibangunkan atas kepelbagaian agama, kaum, bahasa dan budaya.

“Senang untuk mengamalkan mentaliti sekawan iaitu kita dipengaruhi oleh rakan sebaya untuk mempraktikkan tingkah laku mereka berdasarkan emosi daripada asas rasional.

“Namun, ia berbahaya kerana kita dapat dipengaruhi untuk melakukan sesuatu yang boleh mengancam keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya ketika berucap pada sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina bagi Parlimen Pandan di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah di sini, malam tadi.

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata rakyat tidak boleh membenarkan mereka yang mempunyai agenda tersendiri untuk menyemarakkan sentimen perkauman di negara ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya terus menjaga kebersihan dengan mengamalkan penggunaan pensanitasi (sanitizer) dalam rutin harian susulan penularan Covid-19.

“Saya harap kita semua menjaga kebersihan. Sebab itu disediakan pensanitasi supaya kita tidak menyebarkan kuman. Ini sepatutnya menjadi amalan. Dengan peringatan itu saya berharap semua sihat-sihat belaka menjalani Tahun Tikus (sempena Tahun Baharu Cina 2020) dengan lebih baik,” katanya.

-BERNAMA