Categories
PBT SELANGOR

Pupuk minat membaca, MBSJ wujud perpustakaan mini di pangsapuri angkat

SUBANG, 29 DIS: Lebih banyak perpustakaan mini dan sudut bacaan akan diwujudkan di pangsapuri angkat Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat.

Datuk Bandar Subang Jaya Noraini Roslan berkata pihaknya bersedia membantu ahli majlis dan jawatankuasa penduduk untuk menjayakan inisiatif berkenaan yang setakat ini dibangunkan di beberapa penempatan antaranya Pangsapuri Sri Mutiara, Sri Tanjung dan Angsana.

Menurutnya, Perpustakaan Hipermedia MBSJ boleh membantu menyediakan bahan bacaan selain memohon sumbangan daripada syarikat swasta.

“Setakat ini semua kemudahan disediakan penduduk sama ada menggunakan kayu pallet untuk buat meja dan kerusi serta sumbangan pihak luar, malah ada sedia komputer.

“Kita hendak melihat inisiatif dan inovasi dari penduduk kerana sekiranya datang daripada mereka ada perasaan sayang kemudahan berbanding jika majlis sedia semua,” katanya pada mesyuarat penuh MBSJ di sini hari ini.

Berhubung perkara berasingan, Noraini berkata kedudukan kewangan MBSJ masih berada pada tahap kukuh walaupun sasaran kutipan hasil pada tahun ini yang berjumlah RM260 juta seolah-olah sukar untuk dicapai atas beberapa faktor.

Jelasnya, kekurangan itu dapat ditampung kerana MBSJ mempunyai rizab kewangan baik.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bantuan RM10,000 naik taraf perpustakaan mini rumah pangsa AU2

HULU KELANG, 11 APRIL: Kerajaan Selangor menyumbang RM10,000 kepada Kelab Kebun Rumah Pangsa AU2 bagi meningkatkan keluasan dan menambah bahan bacaan di perpustakaan mini di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata fasiliti di perpustakaan berkeluasan 644 kaki persegi itu masih belum cukup untuk menampung jumlah penduduk yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Kita lihat perpustakaan ini sangat asas, sebab itu kita (Kerajaan Negeri) sumbang sedikit dana supaya pengurusan kelab kebun berkenaan boleh tambah keluasannya.

“Saya sangat teruja dan bangga dengan usaha dijalankan komuniti di sini kerana mereka bukan sahaja mewujudkan kebun komuniti yang mempunyai pelbagai tanaman tetapi membina perpustakaan ke arah melahirkan masyarakat berilmu,” katanya selepas merasmikan perpustakaan itu hari ini.

ADN Hulu Kelang, Saari Sungib (kiri) menyerahkan cek kepada Pengerusi Kelab Kebun Rumah Pangsa AU2, Mohamad Halim Mohamad Said (dua kanan) sambil disaksikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) sempena majlis perasmian Perpustakaan Mini di Kebun Rumah Pangsa AU2, Hulu Kelang pada 11 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Mohd Fauzi Mohd Yatim dan Pengerusi Kelab Kebun Rumah Pangsa AU2 Mohamad Halim Mohamad Said.

Sementara itu, Mohamad Halim berkata pihaknya menerima 1,000 buku bahasa Inggeris sumbangan Big Bad Wolf dan Book Xcess termasuk 300 bahan bacaan lain daripada badan bukan kerajaan (NGO) serta individu setakat ini.

Beliau juga berhasrat menjadikan perpustakaan itu sebagai tempat bacaan surah Al-Kahfi setiap jumaat dan tahlil sebulan sekali selain pusat tuisyen secara percuma untuk mata pelajaran Matematik serta Bahasa Inggeris.

“Saya percaya, setiap kali perpustakaan ini dimanfaatkan, mengalirlah saham kepada penyumbang,” katanya.

Perpustakaan mini tersebut dibina pada 23 November dan siap sepenuhnya pertengahan Disember tahun lalu hasil kerjasama 25 pelajar serta lapan pensyarah Universiti UCSI termasuk ahli kelab kebun berkenaan.