Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ruang belajar kreatif, bacaan senyap pikat lebih ramai datang perpustakaan

SHAH ALAM, 8 DIS: Pembinaan ruang pembelajaran kreatif dan bacaan senyap di Perpustakaan Raja Tun Uda Fasa 2B mampu menarik minat orang ramai mengunjungi pusat ilmu itu apabila bangunan baharunya siap kelak.

Penuntut tahun pertama jurusan geosains petroleum Universiti Teknologi Petronas Syakirah Irdina Zamri berkata ruang berkenaan boleh dimanfaatkan penggemar industri kreatif untuk mempelajari ilmu baharu.

Syakirah Irdina Zamri

“Walaupun belum dipastikan pengisian dalam ruang tersebut, saya percaya lebih ramai orang akan berminat untuk datang ke perpustakaan jika ruang pembelajaran seumpama itu disedia.

“Pihak pengurusan perpustakaan mungkin boleh mengadakan kelas pembelajaran kreatif setiap minggu dan menyediakan pameran supaya pengunjung dapat belajar perkara baharu,” kata gadis berusia 19 tahun ketika ditemui.

Sementara itu, pegawai bank Ridhwan Ruzlan, 34, berkata kewujudan ruang pembelajaran kreatif di perpustakaan membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa industri kreatif.

Ridhwan Ruzlan

Beliau yang mengikuti pengajian profesional perakaunan separuh masa mengakui bidang kreatif memiliki potensi besar di Selangor dan wajar diperkasakan.

“Sebab itu saya menyambut baik usaha Kerajaan Selangor mengembangkannya melalui penubuhan ruang pembelajaran kreatif,” katanya yang mengunjungi perpustakaan dua kali seminggu.

Mahasiswa Universiti Teknologi Mara Shah Alam Siti Aisyah Mat Hasan, 24, pula berkata projek pembangunan yang turut menempatkan ruang bacaan senyap memberi peluang kepada pengunjung menelaah pelajaran dengan lebih fokus.

Siti Aishah Mat Hasan

“Selain lengkap dengan bahan rujukan, aspek keselesaan juga penting bagi pelajar yang menjadikan perpustakaan sebagai tempat mengulang kaji.

“Justeru, dengan adanya ruang bacaan senyap, setidak-tidaknya tumpuan kami tidak terganggu untuk belajar,” kata penuntut semester tujuh jurusan perakaunan.

Pada 26 November lalu, Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan pembinaan Perpustakaan Raja Tun Uda Fasa 2B sebagai kesinambungan projek Fasa 1 dan Fasa 2A.

Mengumumkan perkara itu semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2022, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan pembinaan itu terdiri daripada Galeri Diraja, Galeri Menteri Besar dan Ruang Pembelajaran Kreatif.

Menurutnya pembangunan sama menempatkan ruang dwifungsi sebagai ruang pameran dan bacaan senyap.