Categories
SELANGOR

MB: Buka perpustakaan hingga 10.00 malam, tingkat budaya membaca

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 31 OKT: Budaya membaca dan menimba ilmu di kalangan rakyat patut dibangunkan seperti mana kepesatan pembangunan fizikal di negeri terkaya itu.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, justeru itu beliau mahu setiap perpustakaan awam di negeri itu melanjutkan operasi mereka sehingga jam 10.00 malam.

baca buku aKatanya, ia supaya pengunjung terutama kakitangan awam dapat membawa anak mereka selepas waktu berkerja.

“Bandar raya Shah Alam, Petaling Jaya, Subang adalah kawasan perbandaran maju bukan saja pembangunan fizikalnya tetapi juga harapan saya melihat kawasan pembangunan ini maju dalam mempelopori wacana pemikiran intelektual.

“Kalau perpustakaan tersebut buka jam 9.00 pagi, tutup jam 4.00 petang, itu tak memberikan matlamat yang jelas dan saya harap perkara ini diputus semula agar perpustakaan awam ini dilanjutkan tempohnya hingga 10.00 malam,” kata Mohamed Azmin hari ini.

Mohamed Azmin berkata demikian di hadapan kira-kira 200 kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Program Menteri Besar Selangor Turun Padang bagi peringkat Daerah Petaling di Auditorium MBPJ di sini.

Jelas beliau lagi, menghidupkan tradisi keilmuan mampu menjamin sesebuah masyarakat tidak hanyut dalam arus pembangunan dengan pelbagai gejala sosial.

Kata Mohamed Azmin, kesungguhan Kerajaan Negeri meningkatkan tradisi keilmuan boleh dilihat dalam Belanjawan 2015 Selangor apabila pendidikan menjadi salah satu teras utama dalam belanjawan kali ini.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Jadikan perpustakaan rumah kedua

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 22 APRIL : Kerajaan Negeri sentiasa mendokong dan membiayai usaha memperkasakan perpustakaan untuk melahirkan tenaga kerja berilmu dan berkemahiran di masa hadapan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tumpuan juga diberikan kepada usaha mempertingkat prasarana dan membaik pulih perpustakaan desa dengan konsep penjenamaan semula.

BacaKatanya, masyarakat perlu menjadikan perpustakaan sebagai rumah kedua serta menjadikan amalan membaca sebagai rutin kewajipan.

“Kita perlu tingkatkan keupayaan berfikir kerana negara kini memasuki era industri perkhidmatan yang memerlukan pekerja yang berpengetahuan dan berkemahiran.

“Jadi, membaca adalah alat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, untuk menajamkan fikiran dan pemahaman berkaitan sesuatu perkara,” katanya dalam sidang media di sini.

Terdahulu, beliau merasmikan program ‘Jom Membaca 10 Minit’ yang turut dihadiri Exco Negeri, Dr. Halimah Ali dan Rodziah Ismail serta Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad.

MembacaKempen Jom Membaca 10 Minit ini dilakukan secara serentak di seluruh 14 buah negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak bermula jam 10 hingga 10.10 pagi.

Sebelum perasmian, Abdul Khalid bersama tetamu kehormat serta lebih 2,000 peserta lain turut meluangkan masa 10 minit bagi membaca bahan bacaan yang disediakan.

“Saya memang suka membaca, sebentar tadi saya juga sempat menghabiskan (bacaan) sebanyak 30 halaman muka surat.

“Saya juga baca cepat kerana dulu sewaktu belajar kurang duit, saya biasa singgah kedai buku untuk membaca cepat jadi dua kali pergi buku pun habis dibaca, tidak perlu beli,” katanya sewaktu ucapan perasmian.

Pada 2010, Kerajaan Negeri turut menganjurkan kempen membaca dengan konsep sama dan merekodkan penyertaan seramai 13,271 orang membaca selama 15 minit dalam satu majlis di persekitaran Tasik Shah Alam.

EZY