Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP, GoGet perkenal program simpanan saraan bersepadu bagi pekerja gig

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan GoGet Malaysia bekerjasama untuk melindungi kewangan dan menyediakan komuniti pekerja gig yang turut dikenali sebagai ‘GoGetters’ semasa persaraan mereka, melalui pelancaran program simpanan bersepadu.

GoGet, aplikasi kerja atas permintaan akan menjadi yang pertama di Malaysia untuk memasukkan ciri caruman KWSP dalam platformnya yang bersepadu dan boleh disesuaikan sebagai antara usaha menggalakkan GoGetters menyumbang kepada simpanan persaraan melalui program caruman sukarela seperti i-Saraan dan caruman sendiri.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka berkata pekerja gig yang mempunyai akaun KWSP sedia ada hanya perlu memberi kebenaran untuk menyertai program ini dan menetapkan kadar caruman mereka.

Katanya bonus yang diterima GoGetters daripada GoGet akan turut menjadi sebahagian daripada pendapatan yang dicarumkan kepada KWSP.

GoGetters yang bekerja secara sambilan dengan majikan formal atau mereka yang berumur 55 tahun ke atas, turut digalakkan menyumbang melalui program caruman sendiri, yang terbuka kepada semua individu yang boleh menyumbang pada bila-bila masa sehingga maksimum RM60,000 setahun.

Ciri ini sangat fleksibel berikutan GoGetters dapat melaraskan kadar sumbangan mereka atau menarik diri daripada program itu pada bila-bila masa.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata GoGetters memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi, namun akan memberikan kesan buruk kepada sosioekonomi dalam masa terdekat sekiranya mereka dibiarkan tanpa jaringan keselamatan sosial untuk persaraan.

“Pandemik Covid-19 telah banyak mengubah landskap kerja dan kami melihat peningkatan mendadak bilangan individu yang bekerja sendiri di Malaysia.

“Bagi sesetengah orang, bekerja sendiri boleh menjadi laluan kerjaya yang menarik. Namun, ia tidak disertakan dengan pelan persaraan yang tersendiri. Di sinilah peranan KWSP menjadi penting kerana kami mahu mereka mendapat sokongan pelan persaraan rasmi untuk jaminan persaraan mereka,” katanya.

CEO GoGet Francesca Chia berkata GoGetters akan mendapat manfaat daripada kuasa pengkompaunan dividen dengan memulakan simpanan awal dan konsisten walaupun melibatkan jumlah yang kecil.

Sebagai contoh, individu yang menyimpan RM50 sebulan selama 30 tahun akan dapat mengumpulkan simpanan sebanyak RM47,000 selepas 30 tahun atau lebih dua kali ganda jumlah caruman mereka sebanyak RM18,000.

“Jika GoGetters menjimatkan RM140 sebulan, mereka akan dapat memaksimumkan insentif i-Saraan dan mengumpulkan RM131,000 di sebalik RM50,400 jumlah caruman dalam masa 30 tahun,” kata Chia.

Pada September 2021, KWSP telah menandatangani MoU dengan Grab Malaysia untuk tujuan yang sama.

Pada masa ini, lebih separuh daripada tenaga buruh Malaysia tidak dilindungi untuk jaminan pendapatan persaraan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada lagi pengeluaran KWSP selain persaraan

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan sentiasa melindungi keperluan serta kesejahteraan persaraan rakyat Malaysia pada masa hadapan dan dengan itu, tidak mengalakkan lagi pengeluaran dana itu bagi tujuan lain.

KWSP dalam satu kenyataan semalam menegaskan komitmennya untuk membantu ahli membina semula kecukupan pendapatan persaraan mereka dan menyokong pemberhentian pengeluaran simpanan KWSP di bawah skim i-Citra.

“KWSP merupakan sebuah dana persaraan yang diberi mandat bagi melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka,” tambahnya.

Ditubuhkan sejak 1951, KWSP adalah tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70 peratus simpanan) ditetapkan bagi persaraan, manakala Akaun 2 (30 peratus simpanan) adalah untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan yang lebih cerah.

“Bagaimanapun, tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam,” tegas kumpulan wang persaraan itu.

KWSP berbesar hati dengan pendirian beberapa kesatuan negara seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Kongress Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, yang telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap masa depan persaraan pekerja-pekerja di Malaysia serta mahukan pemberhentian pengeluaran khas simpanan KWSP

Oleh yang demikian, KWSP, yang merupakan sebahagian daripada Rangkaian Tindak Balas Bencana GLIC/GLC (GDRN) telah menawarkan sokongan melalui sumber di bawah keupayaannya termasuk peruntukan RM10 juta yang diperoleh daripada penjimatan melalui perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan oleh KWSP.

KWSP ingin menegaskan bahawa tiada kesan material ke atas dana atau pulangan ahli kerana bantuan tersebut datang daripada perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan. Sokongan itu akan disalurkan melalui sumbangan berbentuk barangan yang diperlukan oleh mereka yang terjejas dan disalurkan melalui pertubuhan amal yang berkredibiliti.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Mazlan Mansor bersara selepas bersama 41 tahun bersama PDRM

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor hari ini mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah menabur bakti selama 41 tahun dalam pasukan itu susulan persaraan wajibnya secara rasmi esok.

Majlis Paluan Berundur di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, petang tadi, yang dihadiri oleh lebih 300 pegawai kanan dan isteri masing-masing, adalah merupakan simbolik sebagai penghormatan terakhir buat beliau yang hadir ditemani isterinya, Datin Farihah Mohd Zamri dan anak perempuan, Batrisyia Zahwaa.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Majlis bermula jam 5 petang itu diserikan dengan persembahan Pancaragam Pusat PDRM dengan Mazlan diberi penghormatan memimpin persembahan itu.

Sebelum majlis berakhir, Mazlan bersama isteri dan anak telah diarak menggunakan kenderaan rasmi pasukan sebelum menandatangani buku pelawat di bilik pengawal PULAPOL.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 9 Mei tahun lalu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang bersara pada 17 Mac tahun lalu.

Sebelum dilantik ke jawatan nombor dua dalam PDRM, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sejak 29 Januari 2019.

Mengimbas kembali kerjayanya dalam pasukan polis, Mazlan yang lahir pada 14 Ogos, 1960, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, menyertai pasukan polis pada 4 Nov 1979 selepas mengikuti latihan Inspektor di PULAPOL di sini.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Aberystwyth, Wales, United Kingdom dan turut memiliki Sijil Amalan Guaman, beliau memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Antara jawatan yang pernah disandang ialah Timbalan Ketua Polis Kuala Kubu Bahru; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ipoh; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Perak; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor; Ketua Polis Melaka; Pesuruhjaya Polis Sarawak dan Ketua Polis Selangor.

Hari ini, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

FOMCA: Lanjut usia persaraan nafi hak generasi muda

Oleh: MARNIZA OTHMAN

SHAH ALAM, 9 MAC: Cadangan untuk melanjutkan umur persaraan daripada 60 kepada 62 tahun dilihat bakal menafikan hak generasi muda untuk berkhidmat dalam agensi kerajaan.

Timbalan Presiden  Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, kadar pengangguran dalam kalangan siswazah bakal meningkat, di samping pekerja muda tidak berpeluang merasa kenaikan pangkat.

Perhimpunan Bulanan SUK-MB (7)“Pekerja muda terpaksa tunggu lama untuk kenaikan pangkat. Yang baru keluar universiti kena tunggu orang lain pencen, baru boleh mohon kerja itu,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Beliau berkata, cadangan ini perlu diperhalusi kerana berkenaan soal kemampuan sesorang yang dianggap sudah berumur untuk memikul tanggungjawab.

“Kemampuan untuk buat kerja pada usia 60 hingga 62 tahun perlu diambil kira.

FOMCA“Tapi, kalau sesetengah sektor atau jawatan yang memerlukan kepakaran dan pengalaman mungkin tiada masalah untuk praktikkan persaraan lambat,” katanya.

Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) semalam meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan itu dengan membandingkan dasar negara luar seperti Singapura, Thailand , Sri Lanka, Eropah dan Amerika Syarikat yang menetapkan umur persaraan mencecah 65 tahun.

-NFN-