Categories
AGENDA NASIONAL

BAM gantung Zii Jia, Jin Wei dua tahun

KUALA LUMPUR, 21 JAN: Pemain badminton perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia yang mahu berhenti daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), terpaksa membayar harga yang tinggi apabila badan itu memutuskan untuk menggantungnya daripada bermain dalam kejohanan antarabangsa untuk tempoh dua tahun.

Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunood berkata pihaknya tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan untuk tempoh dua tahun, bermula 18 Januari.

Jahaberdeen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perundangan BAM berkata persatuan itu telah pun mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pemain nombor tujuh dunia itu, sejak beliau menghantarkan surat peletakan jawatannya pada 11 Januari.

“Bagaimanapun Zii Jia tetap dengan keputusannya, dan pada satu daripada perbincangan tersebut berkata yang beliau tidak dapat tahan tekanan berada di dalam skuad kebangsaan dan gaya hidup ditetapkan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di samping memberikan beberapa terma, yang kami tolak.

“Terma tersebut adalah untuk beliau mempunyai pasukan kejurulatihannya dan kakitangan sokongannya sendiri, merancang kejohannnya sendiri dan untuk mempunyai penajanya sendiri. Kami dengan berat hati membuat keputusan sukar ini demi kepentingan negara dan kesan kewangan, selepas membimbing pemain ini selama 11 tahun,” katanya dalam satu sidang media di ABM di sini hari ini.

BAM juga membuat keputusan untuk mengenakan tindakan kepada bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei yang secara tiba-tiba meninggalkan BAM atas alasan kesihatan, dengan hukuman yang sama bermula 31 Oktober 2021.

Untuk bermain dalam sebarang kejohanan diiktiraf Persekutuan Badminton Dunia (BWF) seseorang pemain itu perlu didaftarkan menerusi persatuan badminton kebangsaan.

Bagaimanapun Jahaberdeen berkata, pada masa ini BAM tidak bercadang untuk mengenakan denda kepada kedua-dua pemain tersebut.

Jahaberdeen berkata pemain-pemain itu boleh membuat rayuan pada bila-bila masa, manakala pintu untuk mereka kembali kepada BAM juga masih terbuka.

Sebelum ini BAM telah menggantung pemain seperti Tan Chung Seang dan Toh Ee Wei kerana meninggalkan kem latihan negara. Bagaimanapun Ee Wei kemudiannya menyertai semula BAM.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik: Prestasi Zii Jia jadi tumpuan peminat badminton tanah air

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Perhatian seluruh peminat badminton negara pastinya tertumpu kepada persembahan pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia dan juga rakan sepasukannya dalam usaha mereka meraih pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020, apabila pertandingan badminton di temasya sukan itu bermula esok.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata kini terpulang kepada mereka untuk mempamerkan persembahan mantap, selepas segala persediaan terbaik mungkin telah dilaksanakan oleh pihak persatuan.

“Ia termasuk satu fasa latihan sebelum bermula Olimpik, serta penyertaan dalam pelbagai pertandingan dalam usaha memberi pendedahan kepada pemain, dan memberikan mereka pengalaman berharga, bersaing dengan antara pemain terbaik dunia.

“BAM amat prihatin dan bertindak tegas lagi berani, untuk membawa semua pemain, termasuk pemain junior di bawah satu bumbung di Akademi Badminton Malaysia (ABM) ketika pandemik Covid-19 pada suku pertama 2020 bermula,” kata Mohamad Norza dalam satu kenyataan.

Beliau berkata para pemain ditempatkan dalam kem latihan berasaskan kuarantin, di bawah peraturan ketat bagi menjamin keselamatan mereka, di samping memastikan mereka boleh menjalani latihan tanpa apa-apa gangguan.

“Saya percaya dalam tempoh penuh mencabar yang dilalui, telah mengukuhkan mereka secara fizikal mahupun mental, dan menyediakan mereka untuk menghadapi Olimpik Tokyo, apabila sekatan pergerakan yang dikenakan selama berbulan lamanya memberi kesan besar terhadap persediaan kita, terutama dalam menghantar pemain kita ke luar negara untuk sertai pertandingan,” katanya.

Mohamad Norza berkata para pemain telah bekerja keras dan cukup komited, walaupun dikenakan pelbagai syarat disebabkan pandemik.

“Saya benar-benar puas hati dengan semangat serta komitmen mereka, dan yakin mereka akan mempamerkan persembahan yang mantap di Tokyo,” katanya.

Katanya, beliau juga berpuas hati dengan persembahan pemain muda di bawah BAM, dan berkata pihaknya telah menyediakan rancangan jangka panjang dan sederhana, tanpa mengira hasil Sukan Olimpik ini, yang termasuk “Projek 2024’ dan program ‘Junior Elite’ bagi melahirkan juara bertaraf juara.

Selain Zii Jia, Malaysia diwakili oleh Soniia Cheah dalam perseorangan wanita, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sistem pemarkahan: BAM ‘tunggu dan lihat’

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu mempertimbangkan maklum balas pemain dan jurulatih sebelum membuat keputusan berhubung cadangan menggunakan sistem permarkahan baharu selepas Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata selain pemain dan jurulatih, BAM juga akan mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ terhadap pendirian negara lain mengenai cadangan oleh Indonesia dan Maldives itu yang menerima persetujuan Presiden BWF Poul-Erik Hoyer.

“Saya percaya ia amat penting untuk mendapatkan data yang relevan daripada pemain, jurulatih dan negara lain mengenai sistem permarkahan baharu itu sebelum keputusan muktamad diputuskan bulan depan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Mengikut laporan media asing, BWF akan mengundi bulan depan mengenai cadangan menukar sistem pemarkahan semasa iaitu 21 mata dalam tiga set kepada 11 mata dalam lima set dalan usaha meningkatkan sensasi perlawanan dan menjadikan sukan itu lebih menarik untuk ditonton di televisyen.

Ditanya pandangan peribadinya, Goh berkata BWF perlu mengadakan ujian terlebih dahulu melibatkan kejohanan besar bagi menila keberkesanan sistem baharu yang dicadangkan itu.

Walau bagaimanapun, undi majoriti dua pertiga daripada anggota badan dunia itu diperlukan untuk melaksanakan sistem itu yang akan diputuskan pada mesyuarat agung tahunan BWF yang akan diadakan secara maya pada 22 Mei ini.

Cadangan sama telah digerakkan untuk menukar sistem permarkahan pada 2014 dan 2018 tetapi gagal mendapat perhatian anggota BWF.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ujian pertama buat pemain badminton negara minggu depan

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Setelah empat bulan tanpa sebarang kejohanan susulan pandemik Covid-19, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhirnya menganjurkan Kejohanan Jemputan BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, minggu depan.

Pemain terbaik negara berpeluang menguji prestasi masing-masing setelah lama tidak berada di pentas pertandingan pada kejohanan pertama dianjurkan secara dalaman.

Kejohanan berkenaan diadakan berdasarkan format round-robin dan dibahagi kepada dua peringkat.

Peringkat pertama diadakan pada 5-8 Ogos, menyaksikan enam pemain pelapis perseorangan lelaki negara berentap merebut dua tempat teratas dalam Divisyen 2, untuk layak ke peringkat seterusnya.

Divisyen 1 pula dijadualkan pada 11-16 Ogos menyaksikan lima kategori membabitkan 52 pemain senior, termasuk lapan pemain profesional turut bertanding dalam kejohanan berlangsung selama enam hari itu.

Bagaimanapun, kejohanan berkenaan berlangsung tanpa penonton, namun beberapa perlawanan pilihan akan disiarkan secara langsung menerusi YouTube rasmi BAM, @BA_Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan BAM Wong Choong Hann berkata kejohanan berkenaan dapat mendedahkan pemain kepada pertandingan selepas menjalani latihan pemulihan selama dua bulan (untuk pemain di bawah program Road to Tokyo) dan kumpulan kedua pemain negara.

Katanya, kejohanan itu juga memberi peluang kepada pemain untuk mendapatkan kembali daya saing mereka dan bermain di bawah tekanan.

“Kejohanan ini adalah platform yang mewujudkan persekitaran tekanan tinggi dan mendorong pemain ke tahap yang lain kerana mereka akan menentang rakan sepasukan yang tahu gaya permainan mereka dengan baik.

“Tekanan akan dirasai beberapa pemain yang mahu mempertahankan status mereka manakala ada juga yang mahu mencipta kejutan dan mencipta nama. Ini semua tahap tekanan yang berbeza-beza. Kami mahu membentuk pemain yang tidak terjejas dengan tekanan,” katanya dalam satu kenyataan.

Choong Hann berkata dalam kategori perseorangan lelaki, dibahagikan kepada dua divisyen kerana terdapat 12 pemain dengan setiap pemain bermain keseluruhan 11 perlawanan, sama seperti bermain dua perlawanan berturut-turut.

Hampir semua kejohanan antarabangsa dibatalkan sejak Mac lepas serta tiada kejohanan tempatan dibenarkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Chong Wei mula turun jalani latihan

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Selepas lebih enam bulan ‘menggantung raket’, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kembali menjalani latihan pemulihan di gimnasium Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.

Ia adalah penampilan kali pertamanya bersama kem Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak beliau berehat daripada menjalani rawatan kanser hidung pada Julai tahun lalu.

Chong Wei sebelum ini memberitahu beliau akan memulakan latihan lebih intensif pada Isnin ini.

Pada sesi latihan hari ini, beliau tiba di BAM pada jam 8 pagi ditemani dua jurulatih, Hendrawan dan bekas jurulatihnya, Datuk Tey Seu Bock.

Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali bagaimanapun enggan memberi reaksi kepada media.

Kali terakhir penampilannya adalah pada Kejohanan Terbuka Indonesia yang menyaksikan beliau tewas pada pusingan separuh akhir kepada Kento Momota dari Jepun pada Julai tahun lalu.

Kemudian pemain berusia 36 tahun itu menjadi tumpuan media apabila beliau menarik diri dalam dua kejohanan besar tahun lalu iaitu Kejohanan Dunia di Nanjing, China dan Sukan Asia Indonesia kerana menghidap kanser hidung tahap satu.

Beliau kini disahkan sembuh sepenuhnya daripada penyakit itu selepas menjalani rawatan hampir empat bulan di Taiwan.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek berkata, beliau gembira melihat anak didiknya itu kembali bersemangat dan ceria menjalani pemulihan hari ini.

Jelasnya, BAM memberi kebebasan kepada Chong Wei untuk membuat keputusan mengenai latihan dan kejohanan yang akan disertainya pada tahun ini.

“Saya tidak mahu mengganggu penampilan beliau. Saya rasa belum masanya lagi untuk berbincang secara lanjut mengenai persiapannya. Apa yang saya lihat tadi dia datang untuk melakukan pemanasan badan di gimnasium sahaja,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL SUKANKINI

TPM alu hasrat Chong Wei terus karier

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 NOV: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyambut baik hasrat jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, bagi meneruskan karier sebagai pemain.

Beliau yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memaklumkan mengikuti rapat mengenai diri Chong Wei dan keputusannya kembali ke gelanggang adalah perkembangan positif untuk dunia sukan negara khususnya badminton.

“Iltizam Chong Wei menjadi sumber inspirasi buat semua bekas pesakit kanser, tiada apa yang mustahil.

“Saya ucapkan selamat maju jaya dan terus harumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya dalam laman sosial twitternya, @drwanazizah

Dalam sidang media di Kompleks Sukan Bukit Kiara, di sini, hari ini, Chong Wei berkata, beliau belum berhasrat untuk bersara dari dunia badminton negara susulan kesihatannya semakin pulih daripada kanser hidung dihidapinya sejak bulan lalu.

Beliau berkata, walaupun perlu mengutamakan kesihatan, namun bersedia kembali ke gelanggang apabila keadaan mengizinkan.

“Saya amat menyayangi sukan badminton dan tidak bersedia bersara.

“Saya menerima rawatan di Taiwan dan kini semakin pulih daripada kanser dihidapi,” katanya.

Chong berkata, keutamaannya ketika ini adalah kesihatan dan tidak pasti bila akan kembali menjalani latihan sama ada akhir tahun ini atau sebaliknya.

Beliau berkata, ketika ini masih meneruskan rawatan kanser tiga kali sebulan serta keadaannya semakin pulih dengan sokongan ahli keluarga dan semua termasuk peminat.

Pada September lalu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dalam kenyataannya mengesahkan jaguh nombor satu negara menghidap kanser hidung tahap satu dan menjalani rawatan di Taiwan.

Categories
SUKANKINI

Datuk Seri Dr Wan Azizah penaung BAM baharu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 20 SEPT: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai penaung BAM baharu, hari ini.

Presiden BAM, Dato’ Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya mengalukan pelantikan Dr Wan Azizah sebagai penaung baharu bagi menggantikan penaung terdahulu, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Terima kasih kepada Dr Wan Azizah kerana sudi menjadi penaung BAM dan kami di BAM berbesar hati dengan kesudian beliau.

“Kami yakin sukan badminton akan lebih menyerlah dengan adanya beliau sebagai penaung baharu menjelang Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis BAM, di Akademik Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Mohd Norza berkata, beliau percaya selaku individu yang bermain badminton, Dr Wan Azizah sentiasa peka dengan perkembangan badminton negara.

“Saya berharap kecekalan dan kehadiran timbalan perdana menteri wanita pertama negara itu bakal menjadi contoh kepada pemain badminton negara, jurulatih serta pegawai BAM.

“BAM turut mengucapkan terima kasih atas jasa serta pengorbanan bekas penaung sebelum ini,” katanya.