Categories
AGENSI SELANGOR

Tiada had untuk lepasan AMD di Selangor II

SHAH ALAM, 29 DIS: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tidak menetapkan sebarang kuota bagi pemain pelapis di bawah kendaliannya termasuk 28 pelatih lepasan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) untuk beraksi bersama pasukan Selangor II.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon sebaliknya berkata, pemilihan akan dibuat berdasarkan keupayaan dan potensi setiap pemain itu sendiri.

“Kita tidak mengamalkan kuota. Seperti yang umum tahu Selangor baru melantik Pengarah Teknikal, Michael Feichtenbeiner dan dia akan putuskan pemain mana akan diletakkan di Selangor II, pasukan Piala Presiden dan Piala Belia berdasarkan garis panduan disediakan.

“Menetapkan kuota hanya merugikan dan mengurangkan persaingan. Pemain terbaik akan dapat bermain di Selangor II dan ianya tidak mengikut umur walaupun untuk pemain baru berumur 18 tahun sekalipun sekiranya berjaya menunjukkan permainan yang baik akan dipilih ke Selangor II,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Johan berkata, sistem kenaikan pemain di dalam struktur baharu kini lebih baik berbanding sebelumnya.

Katanya, hal ini kerana pasukan Selangor II yang diwujudkan berperanan sebagai platform untuk mengasah pemain sebelum diserapkan ke pasukan utama di Liga Super.

Katanya, berbanding sebelum ini, ramai pemain Piala Presiden yang melepasi had umur 21 tahun terpaksa dilepaskan berikutan tidak mampu bersaing dengan pemain Liga Super.

“Dalam sistem baharu, pemain Piala Presiden dan Piala Belia ada peluang yang agak baik kerana sebelum ini mereka yang melepasi had umur tiada platform lain kecuali terus ke pasukan Liga Super sedangkan saingan di sana cukup sengit.

“Keadaan ini menyebabkan ramai pemain terpaksa dilepaskan kerana tidak melepasi tahap yang diperlukan untuk bersaing di Liga Super tetapi bila ada ada Selangor II mereka berpeluang mengasah permainan mereka setahun dua lagi di Liga Perdana,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor Asia Challenge 2020 terus dapat kepercayaan penaja

SHAH ALAM, 26 DIS: Selangor terus mendapat sokongan dan kepercayaan bagi menjayakan ‘Selangor Asia Challenge’ yang dijadual berlangsung pada 18 dan 19 Januari depan selepas syarikat pengurusan logistik terunggul, ANF Logistics Sdn Bhd tampil sebagai rakan strategik utama untuk temasya julung kali itu.

Pengarah Urusan ANF Logistics, Meor Mohd Fadzlan berkata, pihaknya optimis The Red Giants akan kembali menjadi pasukan ‘menyengat’ dan digeruni bukan sahaja di peringkat liga domestik, malah di persada antarabangsa menerusi penajaan itu.

Katanya, kejohanan pra-musim itu mampu membawa jenama syarikat pengendalian dan penghantaran kargo udara berkenaan ke pentas lebih tinggi.

“Sebagai penyokong setia pasukan bola sepak Selangor, saya yakin dengan kepimpinan, pembangunan dan hala tuju pengurusan baharu Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) di bawah naungan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Setiausaha Agungnya, Dr Johan Kamal Hamidon.

“Saya berterima kasih kepada FAS kerana memberi peluang dan kepercayaan untuk sama-sama menjayakan kejohanan berprestij yang julung diadakan di pentas Asia. Dari sudut logistik, kejohanan seumpama ini mampu mengeratkan lagi hubungan antara negara-negara yang terlibat,” katanya dalam kenyataan dimuat naik FAS di laman Facebook, hari ini.

Selain ANF Logistics, pihak lain yang turut mengesahkan penyertaan sebagai rakan strategik bersama adalah syarikat peneraju kandungan dan konsumer bersepadu Malaysia , Astro Malaysia Holdings Bhd, Majlis Bandaraya Shah Alam, Fuel Athletics Malaysia, Malaysia Airlines, Ekspres Mutiara serta Avisena Specialist Hospital.

Berlangsung selama dua hari, kejohanan yang diadakan di Stadium Shah Alam bermula 5 petang hingga 11 malam itu melibatkan penyertaan tiga pasukan negara jiran iaitu Bangkok United FC dari Thailand, Hanoi FC (Vietnam) dan Persib Bandung (Indonesia).

Setiap pasukan akan bermain dua perlawanan sahaja dan pasukan yang mempunyai rekod terbaik daripada setiap perlawanan akan dinobatkan sebagai juara.

Untuk menambahkan kemeriahan perlawanan, sistem pengiraan mata dan jumlah gol bakal diambil kira seperti kejohanan Emirates Cup di Eropah.

Sebagai ganjaran, juara akan membawa pulang wang tunai USD10,000 (RM41,353.81) dan naib juara membawa pulang USD5,000 (RM20,676.91) selain piala pusingan yang ditempa oleh Royal Selangor.

Penyokong boleh mendapatkan tiket bagi kejohanan terbabit menerusi laman sesawang FAS atau pada hari kejohanan dengan harga RM15 (pemegang kad Red Giants), RM30 (bukan pemegang kad) dan RM5 (kanak-kanak).

Categories
AGENDA SUKANKINI

Liga M 2020: Selangor sasar saingan peringkat Asia

SHAH ALAM, 14 DIS: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) meletakkan sasaran untuk layak ke saingan peringkat Asia pada 2021 menerusi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020 yang dijangka bermula hujung Februari depan.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, sasaran itu berikutan skuad Red Giants telah mengatur beberapa strategi dianggap ‘strategik’ tahun ini bagi mengatasi kelemahan untuk menghadapi saingan tahun depan.

Tambah beliau, berbekalkan barisan pemain utama yang dikekalkan dan ditambah penyertaan enam pemain baharu untuk saingan Liga-M 2020, pasukan Merah Kuning kini lebih bersedia untuk ‘menyahut’ sebarang perlawanan yang mampu melayakkan mereka hingga ke saingan peringkat Asia.

“Tahun ini kita ‘signed’ pemain yang strategik untuk mengatasi aspek kelemahan pasukan. Kita sahut cabaran penyokong (untuk mencapai peringkat yang lebih membanggakan).

“Dengan kekuatan pasukan sedia ada ditambah enam pemain baharu yang mempunyai kehebatan dan keupayaan tersendiri, kita lihat skuad Selangor kini lebih lengkap,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengenalan pemain Selangor 2020 di sini, hari ini.

Berangkat ke majlis pengenalan pemain itu ialah Raja Muda Selangor yang juga Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Enam pemain baharu FAS yang diperkenalkan hari ini ialah Nor Hakim Hassan, Safuwan Baharudin, Nicholas Swirad, Brendan Gan, Rodney Celvin dan Tauffiq Ar Rasyid.

Pasukan Selangor menduduki tangga ketiga Liga-M bagi musim 2019 dengan mengumpul 37 mata di belakang Pahang dan Johor Darul Takzim.

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Selangor, B Sathianathan melihat sasaran pengurusan FAS untuk pasukan layak ke saingan peringkat Asia adalah realistik memandangkan barisan pemain untuk musim 2020 mempunyai kaliber tersendiri.

“Sebagai jurulatih, saya sahut sasaran itu. Ia dilihat realistik di bawah pengurusan (FAS) yang baharu. Daripada pengalaman saya pada musim lepas, tiada pasukan yang dikatakan lemah. Prestasi sama dan saya rasa sasaran itu tepat pada masanya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

FAS lancar padang sintetik bertaraf antarabangsa

SHAH ALAM, 13 DIS: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) melancarkan Gardens Arena, sebuah padang sintetik untuk kemudahan latihan bola sepak di Gamuda Gardens, Sungai Buloh pada 7 Disember lalu.

Majlis pembukaan padang sintetik yang menepati piawaian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

FAS menerusi kenyataan memaklumkan, padang sintetik bertaraf antarabangsa itu hasil usaha pembangunan pihaknya bersama Arena Legacy Sdn Bhd.

DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menyantuni peserta FAS Soccer School ketika merasmikan Gardens Arena di Gamuda Gardens, Sungai Buloh pada 7 Disember 2019. Foto FA Selangor

Katanya, Gamuda Gardens dipilih memandangkan suasana persekitaran hijau dikelilingi 50 ekar taman sentral, air terjun dan lima tasik, sekali gus menjadikan satu ekosistem yang sihat untuk aktiviti sukan serta riadah.

“Pembinaan ini menjadi permulaan baik bagi pembangunan akar umbi bola sepak seawal tujuh tahun seperti FAS Soccer Schools sehingga peringkat dewasa seperti perlawanan Liga Selangor

“Padang ini juga akan menjadi kegunaan pembangunan pengadil Selangor, kursus kejurulatihan (Lesen akar umbi, lesen D dan lesen C) dan pembangunan ahli gabungan FAS,” kata kenyataan itu.

Pasukan Legenda Selangor dan Team Media FC bergambar di padang sintetik sebelum sepak mula perlawanan persahabatan sempena perasmian Gardens Arena. Foto FA Selangor

Terdahulu, pasukan Legenda Selangor dan Team Media FC menjadi dua pasukan pertama merasmikan penggunaan padang itu dalam satu perlawanan persahabatan sejurus selesai majlis pelancaran.

“Di samping itu, beberapa jurulatih dari pasukan Selangor turut terlibat dalam menganjurkan Klinik Bolasepak untuk kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun yang tinggal di kawasan Sungai Buloh dan Rawang.

“Dua pemain utama pasukan Selangor iaitu K Sarkunan, Namathevan dan Wan Zack Haikal juga hadir bagi memberi semangat kepada peserta sambil memeriahkan majlis,” katanya.

Categories
SUKANKINI

FAS lancar #SSACarpool, galak penyokong kongsi kenderaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 10 APR: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengambil inisiatif melancarkan kempen #SSACarpool sebagai mekanisme menggalakkan lebih ramai penyokong The Red Giants berkongsi kenderaan ke Stadium Shah Alam.

Menerusi entri terbaharu di Facebook, FAS memaklumkan, pihaknya mendengar keluhan ramai penyokong gergasi merah itu yang mengalami kesukaran mendapatkan kenderaan ke stadium berkenaan.

“Cara menjayakan kempen ini adalah menggunakan tanda pagar #SSACarpool apabila anda mencari rakan-rakan baru dari kawasan yang sama yang ingin ke Stadium Shah Alam sewaktu hari perlawanan.

“Penumpang yang ingin mencari kenderaan untuk berkongsi juga boleh melakukan pencarian di media sosial dengan menggunakan tanda pagar ini, contohnya #SSACarpool Sabak Bernam. Gerak pukul 5 petang. Pickup point/Drop off: SK Sabak Bernam. 2 kekosongan penumpang,” tulis kenyataan itu.

FAS berharap inisiatif itu bukan sahaja dapat membawa lebih ramai penyokong ke stadium, malahan mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan parkir, lebih menjimatkan mesra alam sekitar, selain berjumpa dengan rakan baru.

Status dimuat naik itu menerima sebanyak 236 pelbagai tanda, 34 komen dan 17 perkongsian.

Seorang pengendali Facebook menggunakan nama Anis Skrtel menyifatkan pendekatan FAS sebagai satu perubahan amat baik bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Good move…Lagi satu please makesure every game ada polis trafik jaga jalan please especially kat trafic light lama tuuu,” tulisnya.

Sementara itu, Ghazali Ahmad teruja dengan inisiatif berkenaan, selain berharap kempen seumpama itu turut dijalankan di Kuala Lumpur.

“Ini macam barulah best!! Jangan lupa buat sekitar yang tinggal di KL juga!! #MKLK#AkuRedGiants,” tulisnya.

Categories
SUKANKINI

Sasar futsal Selangor julang Piala Juara Asia menjelang 2020

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 24 MAC: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memasang tekad untuk membawa pasukan futsal negeri ke Piala Juara-Juara Asia menjelang 2020.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, justeru itu, pihaknya akan merealisasikan hasrat berkenaan menerusi pengurusan pasukan yang lebih teratur.

Katanya, FAS juga sedang dalam usaha untuk mendapatkan Perlesenan Kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) atau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) buat sukan futsal, tahun ini.

“Lesen ini sebagai langkah memastikan pengurusan futsal mencapai piawaian antarabangsa sekali gus membolehkan Selangor beraksi di peringkat kejohanan Juara-Juara Asia 2020,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kontrak Pasukan Futsal Selangor bertempat di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Pada acara itu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyerahkan kontrak kepada 25 ahli Pasukan Futsal Lelaki Selangor dan 18 ahli Pasukan Futsal Wanita.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan dan Presiden Kelab Futsal M.A.C merangkap Pengurus Pasukan Futsal Lelaki Selangor, Mimi Afzan Afza.

Johan berkata, beliau yakin futsal Selangor bakal menempa nama apabila MPSJ bersama Kelab Futsal M.A.C sudi memberi kerjasama bagi memantapkan lagi sukan berkenaan.

Katanya, persetujuan untuk menjalinkan kerjasama itu selari dengan prinsip Tengku Amir Shah selaku Presiden FAS.

“Baginda percaya bahawa pembangunan bola sepak di Selangor bukan tanggungjawab FAS sahaja tetapi sepatutnya menjadi tanggungjawab semua peminat dan pengamal tegar sukan futsal demi memartabatkan sukan ini ke tahap yang lebih tinggi.

“Pembabitan FAS di dalam kejohanan liga futsal anjuran FAM pada tahun ini turut meningkatkan jumlah pasukan di bawah pengelolaan iaitu pasukan bola sepak utama, presiden, belia, bawah 17 tahun, bola sepak wanita, futsal lelaki dan futsal wanita.

“Ini adalah jumlah yang sangat besar untuk sebuah pengurusan yang sedang menjalankan usaha transformasi yang lain dan kami akui kerjasama ini mempunyai cabaran tersendiri dari masa ke semasa,” katanya.

Categories
SUKANKINI

FAS tawar tiga pas bermusim pada harga berpatutan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 FEB: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memperkenalkan tiga pas bermusim baharu dengan harga berpatutan khas untuk penyokong pasukan Selangor selepas mendengar maklum balas diberikan sebelum ini.

Dua daripada Pas Bermusim Tanpa Kit dijual pada harga RM49 untuk Kids dan RM109 bagi kategori Open sementara bagi Pas Bermusim Fan dijual pada harga RM149 beserta sehelai jersi ‘fan issue’.

Pas Bermusim ini boleh didapati menerusi pautan redgiants.faselangor.my/pas-bermusim dan tarikh tutup pembelian pada 26 Februari 2019.

Sistem jualan tiket berteknologi yang julung kali dilaksanakan di Malaysia ini membabitkan jalinan kerjasama antara FAS dan Ticket Hotline.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Ticket Hotline, Datuk Zairil Ayu Ibrahim dlaporkan berkata, sistem berkenaan mengalihkan semua transaksi dan pengurusan tiket perlawanan kepada medium dalam talian FAS.

Katanya, operasi itu dilengkapi dengan teknologi imbasan kod ‘QR’ bagi memudahkan urusan jual beli tiket dan kawalan keluar masuk penyokong ke stadium.

Turut dimaklumkan, laman rasmi FAS akan ditutup untuk pembelian Pas Bermusim selama tiga hari sebelum perlawanan menentang PKNS dan setiap hari bermula jam 12 tengah malam sehingga 2 pagi untuk penyelenggaraan.

Categories
SUKANKINI

FAS perkenal sistem tiket berteknologi baharu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 FEB: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memperkenalkan sistem pengurusan tiket berteknologi baharu yang mula beroperasi dalam perlawanan pertama Liga Super, di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Sistem yang julung kali dilaksanakan di Malaysia itu membabitkan jalinan kerjasama antara FAS dan Ticket Hotline.

Ketua Pegawai Eksekutif Ticket Hotline, Datuk Zairil Ayu Ibrahim berkata, sistem berkenaan mengalihkan semua transaksi dan pengurusan tiket perlawanan kepada medium dalam talian FAS.

Katanya, operasi itu dilengkapi dengan teknologi imbasan kod ‘QR’ bagi memudahkan urusan jual beli tiket dan kawalan keluar masuk penyokong ke stadium.

“Kami sangat berbangga kerana diberi peluang untuk berkerjasama dan berkongsi pencapaian ini dengan FAS.

“Ia adalah salah satu matlamat yang sudah lama kami harap untuk direalisasikan. Kali ini kami amat berbesar hati kerana ada pihak yang berfikiran ke hadapan dan terbuka seperti FAS yang mahu bersama membawa pengurusan tiket liga bola sepak di Malaysia ke tahap seterusnya,” katanya dalam kenyataan.

Zairil berkata, sistem terbabit membantu mempercepatkan proses pengurusan tiket, sekali gus membolehkan pembeli yang membuat pembelian tiket secara dalam talian dan pemegang pas bermusim menggunakan Kod QR tanpa perlu membuat tuntutan tiket di kaunter.

“Sistem ini juga adalah satu langkah untuk mengajak lebih ramai penyokong dan penonton menggunakan kemudahan yang disediakan,” katanya.

Tiket yang dijual secara dalam talian boleh didapati dengan harga serendah RM12, tidak termasuk caj transaksi dalam talian bagi setiap pemegang kad keahlian Red Giants.

Penyokong mempunyai pilihan untuk membeli pas bermusim dengan harga serendah RM199 (Pas Bermusim Terbuka Dewasa), RM79 (Pas Bermusim Kanak-Kanak) dan RM399 (Pas Bermusim VIP) yang dilengkapi dengan beberapa barangan rasmi FAS edisi terhad.

 

Categories
SUKANKINI

FAS hargai kehadiran 13,000 penyokong

SHAH ALAM, 5 FEB: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penyokong yang sentiasa menjadi tunjang kepada pasukan The Red Giants.

Katanya, ucapan tahniah juga diberikan di atas kehadiran 13,000 penyokong yang membanjiri Stadium Shah alam pada perlawanan Home pertama Selangor menentang Felda United dalam kempen Liga Super musim ini.

“Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada semua penyokong yang sentiasa menjadi tunjang kepada pasukan Selangor.

“Jumpa lagi dalam perlawanan Liga Super seterusnya,” tulisnya dalam di laman facebook rasminya.

Pada 3 Februari lalu, Selangor berjaya mencatat keputusan seri 1-1 menentang Felda United dalam aksi pertama kempen Liga Super musim ini di Stadium Shah Alam.

Terdahulu, Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) komited menyelesaikan proses balik pulih dan status semasa kerja baik pulih Stadium Shah Alam selesai sepenuhnya malahan padang sedia digunakan sebelum perlawanan pertama menetang Felda United.

Pengurus Besarnya, Rohaidi Tugiro berkata, bagi tahun lalu pihaknya membuat perancangan membaik pulih sebahagian kawasan padang stadium yang mengalami keporosan tanah.

Categories
SELANGOR SUKANKINI

FAS galak remaja bina kerjaya selaku pengadil

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 JAN: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menggalakkan remaja membina kerjaya dengan memilih pengadil bola sepak sebagai kerjaya.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, ia bertujuan mengelakkan golongan berkenaan daripada terjebak dengan gejala kurang sihat.

“Bidang pengadil bola sepak juga adalah kemahiran yang menyediakan platform kerjaya sekali gus mampu menjana pendapatan munasabah kepada golongan remaja.

“Apabila mereka menceburi bidang ini, ia secara tidak langsung dapat menyelamatkan remaja daripada terjebak dengan aktiviti kurang berfaedah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Pengadil dan Penilai Pengadil FAS 2019 di Kompleks Akademi Bolasepak Merah Kuning, di sini, baru-baru ini.

Pada masa sama, katanya, FAS komited meneruskan usaha melahirkan pengadil kebangsaan yang berkualiti.

“Hanya dengan melahirkan pengadil ke peringkat FAM, Selangor sekali gus dapat melahirkan calon Pengadil FIFA yang berpeluang ke peringkat Piala Dunia,” katanya.

Terdahulu, FAS turut merangka beberapa garis panduan bertujuan mempromosikan bidang pengadilan kepada golongan wanita menjelang tahun depan.

Categories
SUKANKINI

Sasar lahir pengadil wanita menjelang tahun depan – FAS

OLEH SHEEDA FATHIL

PUNCAK ALAM, 6 JAN : Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bercadang mahu melahirkan pengadil wanita menjelang tahun depan.

Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pihaknya sedang merangka beberapa garis panduan bertujuan mempromosikan bidang pengadilan kepada golongan wanita.

“Jika kita lihat di negara luar, golongan wanita aktif membabitkan diri selaku pengadil dalam sukan bola sepak namun di Malaysia agak kurang.

“Oleh itu, FAS komited untuk menggalakkan lebih ramai wanita berkecimpung dalam kerjaya selaku pengadil,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Seminar Pengadil dan Penilai Pengadil FAS 2019, di Kompleks Akademi Bola Sepak Merah Kuning di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Johan berkata, terdapat banyak liga dalam FAS daripada peringkat akar umbi sehingga veteran.

“Latihan kecergasan akan diadakan kepada calon pengadil wanita, manakala pelaksanaan untuk meletakkan mereka dalam mana-mana liga dilakukan secara berperingkat.

“Mungkin untuk permulaan kita akan letakkan mereka dalam perlawanan bola sepak kanak-kanak seperti bawah 12 tahun dan seterusnya,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

FAS tawar jersi serendah RM20 di Jelajah 360° Smart Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 NOV : Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menawarkan jersi serendah RM20 sempena Jelajah 360° Smart Selangor di Batang Kali, minggu ini.

Jurucakap FAS berkata, biasanya jersi pasukan bola sepak itu dijual diantara RM90 hingga ke RM100, namun kini peminat boleh mendapatkannya dengan harga lebih murah.

“Ia bukan setakat murah tetapi jualan rugi buat FAS, namun demi peminat, kami menjualnya dengan harga ‘gila-gila’.

“Bagi yang ingin mendapatkannya, silalah berkunjung ke Jelajah 360° Smart Selangor bertempat di Oasis Street Mall, Batang Kali, Hulu Selangor bermula 17 hingga 18 November akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah menarik, pada program kali ini, FAS juga akan mengadakan sesi ‘Meet & Greet’ Session bersama pemain bola sepak.

Wakil tersebut memaklumkan, antara pemain dijangkakan hadir termasuk Kannan Kalaiselvan dan Khairulazhan Khalid.

“Kali ini kami bawakan khas pemain Selangor kerana mahu mendekati peminat-peminat di kawasan luar bandar kerana biasanya mereka bertemu peminat di kawasan bandar.

“Jadi kepada penduduk di Hulu Selangor, jangan lepaskan peluang keemasan ini,” katanya.